Langkau ke kandungan utama

Siri Injil Barnabas: #6. Bukti daripada Muslim terhadap kesahihan Injil Barnabas

Siri ini berdasarkan/terjemahan artikel The Gospel of Barnabas tulisan Samuel Green.
*Senarai lengkap siri ini di sini.

Menilai Bukti daripada Muslim terhadap kesahihan Injil Barnabas

Tidak wujud sebarang salinan kitab Injil Barnabas di dalam penemuan gulungan-gulungan kitab Laut Mati. Kandungan gulungan-gulungan kitab Laut Mati ini telah lama dipaparkan secara umum dan anda sendiri boleh mengetahui gulungan kitab apa yang telah ditemui dengan pergi ke perpustakaan-perpustakaan utama dan membaca buku tentang hal tersebut.[1] Ketiadaan sebarang bahagian kitab Injil Barnabas di dalam gulungan-gulungan kitab ini adalah suatu pengetahuan umum.

Ini adalah fakta penting yang perlu diketahui kerana ramai Muslim telah meletakkan gambar gulungan kitab Laut Mati di dalam kitab Injil Barnabas terbitan mereka. Ia adalah cubaan untuk memperdayakan orang lain sehingga mereka menyangka Injil Barnabas adalah sebuah penulisan kuno. Gambar yang ditunjukkan di sebelah kanan ini adalah contoh kepada perbuatan yang licik tersebut.

Di dalam kebanyakkan cetakan edisi moden kitab Injil Barnabas, terdapat pengenalan atau apendiks yang bertajuk "Bagaimana Injil Barnabas terpelihara".[2] Ia adalah versi ringkas untuk sebuah buku yang ditulis oleh Muhammad `Ata ur-Rahim dan bertajuk Yesus, Nabi Islam.[3] Di dalam buku ini, beliau cuba menunjukkan keaslian kitab Injil Barnabas. Bagi ramai orang, apa yang telah ditulis oleh Rahim ini telah meyakinkan mereka tentang keaslian kitab Injil Barnabas. Atas sebab ini, saya akan meneliti bukti yang telah beliau berikan.

Rahim menulis:
Injil Barnabas diterima sebagai sebahagian daripada kanon Injil di dalam gereja-gereja di Alexandria sehinggalah tahun 325 masihi. (Rahim, m/s 41)
Rahim memberikan dakwaan tersebut namun anda akan mendapati beliau tidak memberikan sebarang bukti untuk dakwaan tersebut. Saya tidak tahu sebarang bukti untuk menyokong hal ini, dan selagi tidak ada bukti maka dakwaan ini adalah tidak berasas.

Rahim meneruskan:
Melalui penulisan Irenaeus (130-200 S.M), kita mengetahui bahawa ia (kitab Injil Barnabas) telah disebarkan pada abad pertama dan kedua selepas kelahiran Yesus, yang mana beliau (Irenaeus) menyokong kepada Kesatuan Ilahi. Irenaeus menentang Paulus yang mana menurut beliau telah bertanggungjawab terhadap kemasukkan kepercayaan pagan Rom dan falsafah Platonik ke dalam pengajaran asal Yesus. Beliau (Irenaeus) telah memetik banyak isi kandungan kitab Injil Barnabas untuk menyokong pandangannya. (Rahim, m/s 41)
Sekali lagi kita melihat Rahim memberikan dakwaan namun tidak memberikan bukti untuk dakwaan tersebut. Dia mendakwa bahawa ahli teologi gereja awal, Irenaeus, memetik isi kandungan kitab Injil Barnabas ketika menentang pengajaran rasul Paulus. Apabila dakwaan ini diselidiki, dakwaan ini adalah palsu. Penulisan-penulisan Irenaeus boleh dibaca[4] dan saya telah menyelidikinya dan beliau (Irenaeus) tidak pernah memetik daripada kitab Injil Barnabas. Inilah sebabnya Rahim tidak dapat memberikan rujukan di mana di dalam penulisan Irenaeus yang menunjukkan beliau telah memetik kitab Injil Barnabas. Irenaeus juga tidak menentang rasul Paulus seperti yang didakwakan oleh Rahim. Sebaliknya, Irenaeus menyokong rasul Paulus dan menggunakan penulisan Paulus sebagai kitab yang berwibawa. Pertimbangkan tulisan Irenaeus berikut:
(Tuhan) pada mulanya menyatakan kisah penciptaan dunia di dalam kata-kata ini: "Pada mulanya Allah menciptakan langit dan bumi." (Kejadian 1:1) dan kemudian semua perkara yang lain; namun tidak ada ilah lain atau malaikat [terlibat di dalam penciptaan ini]. Sekarang, bahawa Allah ini adalah Bapa kepada Tuhan kita Yesus Kristus, Paulus juga telah mengisytiharkan, [dia berkata,] "satu Allah dan Bapa dari semua, Allah yang di atas semua dan oleh semua dan di dalam semua" (Efesus 4:6). Saya telah membuktikan bahawa hanya ada satu Tuhan; namun saya akan menjelaskan lebih lanjut hal ini daripada para rasul sendiri, dan menggunakan pengajaran-pengajaran Tuhan (Yesus). (Irenaeus Against Heresies)[5]
Rahim meneruskan:
Pada tahun 325 masihi, Persidangan Nicea yang terkenal itu diadakan. Doktrin Triniti diisytiharkan sebagai sebagai doktrin rasmi untuk gereja aliran Paulus, dan salah satu akibat dari keputusan ini adalah daripada lebih kurang 300 buah kitab Injil ketika itu, empat buah dipilih sebagai kitab Injil rasmi Gereja. Kitab-kitab Injil yang lain, termasuk kitab Injil Barnabas, diarahkan untuk dimusnahkan sepenuhnya. Juga diputuskan bahawa semua kitab Injil dalam bahasa Ibrani juga perlu dimusnahkan. Sebuah dekrit dikeluarkan bahawa sesiapa yang didapati memiliki kitab-kitab Injil yang dilarang akan dihukum bunuh. (Rahim, m/s 42)
Dakwaan ini langsung tidak berasas. Dekrit/kanon yang dikeluarkan pada Persidangan Nicea boleh dibaca secara percuma dan saya menggalakkan anda untuk membacanya.[6] Terdapat 20 dekrit dikeluarkan pada Persidangan Nicea. Tidak ada satu pun yang berkaitan dengan memilih atau menolak kitab-kitab Injil. Juga tidak ada dekrit tentang menghukum bunuh individu yang "memiliki kitab-kitab Injil yang terlarang". Penyelidikan Rahim jelas sangat lemah; beliau seperti mengada-adakan buktinya sendiri.

Rahim meneruskan:
Malahan, adalah diketahui bahawa Pope mendapatkan sebuah salinan kitab Injil Barnabas pada tahun 383 masihi dan menyimpannya di dalam perpustakaan peribadinya. (Rahim, m/s 42)
Sekali lagi Rahim tidak memberikan sebarang bukti untuk dakwaan ini. Ia adalah suatu penyelidikan yang lemah jika memberikan dakwaan tersebut tanpa bukti. Saya tidak tahu sebarang bukti untuk menyokong hal ini, dan selagi tidak ada bukti maka dakwaan ini adalah tidak berasas.

Rahim meneruskan:
Pada tahun ke-4 pemerintahan Maharaja Zeno iaitu pada tahun 478 masihi, tinggalan mayat Barnabas telah ditemui, dan senaskah salinan kitab Injil Barnabas, yang ditulisnya (Barnabas) sendiri, telah ditemui terletak di atas dadanya. Hal ini telah dicatatkan di dalam Acta Sanctorum, Boland Junii, Tome II, muka surat 422-450, diterbitkan di Antwerp ipada tahun 1698. (Rahim, m/s 43)

Apabila dakwaan ini diselidiki, ia didapati adalah palsu. Acta Sanctorum (Kisah para Saint) boleh dibaca di perpustakaan-perpustakaan utama dan juga internet.[7] Saya telah membaca rujukan yang diberikan oleh Rahim tersebut dan ia tidak seperti yang didakwakannya. Kenyataan sebenar yang tercatat pada Acta Sanctorum adalah:
Peninggalan Rasul Barnabas telah ditemui di Siprus di bawah sepohon pokok ceri, dan di dadanya terletak kitab Injil Matius yang disalin oleh Barnabas sendiri.(Acta Sanctorum, Jun II, m/s 422.)[8]
Sekali lagi kita menyaksikan penyelidikan yang lemah oleh Rahim. Kisah Barnabas tersebut mengatakan yang ditemui adalah kitab Injil Matius, bukan kitab Injil Barnabas.

Di dalam versi lain penulisan Rahim yang boleh ditemui di bahagian pengenalan kitab Injil Barnabas, kita menemui dakwaan tidak masuk akal berikut:
Alkitab Vulgate yang terkenal nampaknya adalah berdasarkan kitab Injil ini (Barnabas). (p.xv)
Hal ini sangat tidak munasabah dan sekali lagi tidak mempunyai bukti. Alkitab Vulgate adalah terjemahan awal Alkitab ke dalam bahasa Latin yang terkenal pada abad ke-4 masihi, dan telah menjadi Alkitab standard yang digunakan oleh gereja Katolik Roma. Ia tidak mengandungi Injil Barnabas dan juga tidak berdasarkan kitab Injil Barnabas. Jerome mendasarkan terjemahannya menggunakan kitab-kitab Perjanjian Lama dan Baru yang ditulis menggunakan bahasa asal kitab-kitab tersebut.[9]

Seterusnya, Rahim memperkatakan tentang tiga dokumen rasmi gereja. Dokumen-dokumen ini adalah sebuah katalog mengenai penulisan mana yang diterima sebagai Kitab Suci dan penulisan mana yang tidak dianggap sedemikian. Rahim menulis:
Pada Glasian (sic) Decree bertarikh 496 masihi, kitab Evangelium Barnabe dimasukkan ke dalam senarai kitab-kitab yang dilarang... 
Barnabas juga disebut di dalam Stichometry of Nicephorus seperti berikut:
No. Siri: 3, Surat Barnabas... baris 1, 300.
dan juga di dalam senarai Sixty Books seperti berikut:
No. Siri: 17. Perjalanan dan pengajaran Para Rasul.No. Siri: 18. Surat Barnabas.No. Siri: 24. Injil menurut Barnabas.
(Rahim, m/s 42-43)
Dalam hal ini, Rahim memberikan sumber yang betul. Barnabas memang disebut di dalam katalog tersebut, dan direkodkan memang ada surat dan kitab Injil atas namanya. Namun, bukti diperlukan untuk mengesahkan bahawa Injil Barnabas yang disebut di dalam dokumen-dokumen ini adalah Injil sama yang didakwakan oleh Muslim hari ini. Sebenarnya terdapat beberapa sebab mengapa kita tidak boleh mengandaikan ia adalah buku yang sama.

Pertama, kita sudah melihat bahawa terdapat bukti-bukti kukuh yang menunjukkan Injil Barnabas yang ada hari ini ditulis pada abad ke-14 masihi, tarikh yang mana juga dipersetujui oleh sebilangan ulama Islam.

Kedua, terdapat perkaitan bukti melalui Surat Barnabas. Surat Barnabas diberikan bersama-sama dengan Injil Barnabas di dalam senarai tersebut. Kedua-duanya dikaitkan dengan Barnabas dan direkodkan di dalam senarai yang sama pada masa yang sama. Atas sebab ini, Surat Barnabas memberikan kita bukti terbaik yang ada untuk menilai kemungkinan isi kandungan Injil Barnabas yang disebut di dalam senarai yang sama tersebut. Pada tahun 1859, salinan Surat Barnabas yang ditulis pada abad ke-4 telah ditemui.[10] Saya telah menyediakan teks agar anda dapat membacanya.[11]

Jadi, apa yang dinyatakan oleh Surat Barnabas tersebut? Jika ia mengesahkan pengajaran yang terdapat di dalam Injil Barnabas yang didakwakan oleh Muslim, maka ini akan memberikan bukti yang baik bahawa kitab ini adalah kitab Injil yang sama seperti yang disebut di dalam senarai tersebut. Namun, ia bukan seperti itu. Surat Barnabas adalah sepenuhnya dokumen Kristian walaupun ia tidak dianggap sebagai Kitab Suci. Ia mengajarkan tentang pengorbanan, kebangkitan dan keilahian Yesus.
"For to this end the Lord endured to deliver up His flesh to corruption, that we might be sanctified through the remission of sins, which is effected by His blood of sprinkling. (Epistle of Barnabas, ch. 5)"
terjemahan,
"Kerana hingga akhirnya Tuhan bertahan untuk tidak memberikan daging-Nya kepada kerosakan, supaya kita dapat dibenarkan melalui penebusan dosa, yang mana disebabkan oleh tertumpahnya darah-Nya. (Surat Barnabas, bab 5)"
Oleh itu, bukti perkaitan yang diberikan melalui Surat Barnabas menunjukkan bahawa Injil Barnabas yang dinyatakan di dalam senarai tersebut adalah dokumen Kristian yang mengajar kematian, kebangkitan dan keilahian Yesus. Maka ia adalah kitab yang berbeza dengan yang didakwakan oleh Muslim.

Seterusnya, Rahim menggunakan sebuah teks Greek kuno:
Terdapat satu-satunya tinggalan manuskrip versi Greek untuk Injil Barnabas yang dapat ditemui di sebuah muzium di Athens, yang mana bahagian yang lain telah terbakar:
(Rahim, m/s 43)
Masalah untuk bukti ini adalah teks pada tinggalan manuskrip ini bukanlah teks dari Injil Barnabas! Berikut adalah terjemahan kepada teks tersebut:
Barnabas the Apostle said that in evil contests the victor is more wretched because he departs with more of the sin.[12]
Terjemahan:
Rasul Barnabas berkata di dalam pertandingan yang jahat pemenangnya lebih jahat kerana membawa pergi lebih banyak dosa.
Ayat ini langsung tidak serupa dengan mana-mana ayat di dalam Injil Barnabas. Tinggalan manuskrip ini adalah daripada kitab yang berbeza. Maka, tinggalan ini tidak memberikan sebarang bukti kepada keaslian Injil Barnabas. Sekali lagi, penyelidikan Rahim didapati palsu. Rahim melakukan putar belit.

Kesimpulannya, tidak ada sebarang bukti bahawa Injil Barnabas yang didakwakan oleh Muslim adalah sebuah dokumen kuno. Maka, tarikh penulisannya kekal iaitu pada abad ke-14.

Nota
[1] Kini, anda boleh melihat gulungan-gulungan kitab Laut Mati ini secara online di sini.
[2] "How the Gospel of Barnabas Survived", The Gospel of Barnabas, Lahore: Islamic Publications (PVT.) Limited, 1993, pp. xv-xvi. Boleh dibaca secara online.
[3] Muhammad `Ata ur-Rahim, Jesus A Prophet of Islam, Karachi: Begun Aisha Bawany Waqf, 1981, m/s 41-43.
[4] Penulisan-penulisan Irenaeus boleh ditemui di, Ante-Nicene Fathers, ed. Alexander Roberts, D.D. & James Donaldson, LL.D.; Massachusetts: Hendrickson, 1995, vol. 1, m/s 315-578. Boleh dibaca secara online di The Early Church Fathers.
[5] Ibid., "Irenaeus Against Heresies", buku 2, bab 2, m/s 362.
[6] Baca dekrit The Council of Nicaea.
[7] Joannes Bollandus, et al, Acta Sanctorum. Reprint. Originally published: Antuerpiae: Apud Ioannem Meursium, 1643-. The Acta Sanctorum online.
[8] Ibid., Acta Sanctorum, Jun II, m/s 422. Diterjemahkan dari bahasa Latin oleh Fr. Max Polak.
[9] Jerome and the Vulgate Bible, Catholic Encyclopedia.
[10] Early Christian Writings, ed. Betty Radice; London: Penguin Books, 1987, m/s 155-158.
[11] Anda bacalah sendiri Surat Barnabas ini.
[12] Diterjemahkan oleh John Lee.

Ulasan