Langkau ke kandungan utama

Pembohongan Tentang Haman - Pengenalan

Post ini timbul dari komen yang diberikan oleh seorang pengunjung "tanpa nama" blog ini, yang cuba mengatakan tentang Haman sebagai bukti mukjizat dan keajaiban Al-Quran. Komen tersebut boleh dibaca di sini.

Komen yang diberikan oleh tanpa nama tersebut sebenarnya adalah terjemahan kepada sebuah artikel tulisan Harun Yahya yang bertajuk "Haman and ancient Egypt monuments". Terjemahan tersebut bertajuk "Haman dan Bangunan Mesir Kuno".

Namun, tahukah anda bahawa dakwaan di dalam artikel tersebut sebenarnya adalah palsu? Pendedahan kepalsuan dakwaan ini telah didokumentasikan dengan terperinci oleh Jochen Katz di dalam siri artikel beliau yang bertajuk "The Haman Hoax" (Pembohongan tentang Haman).

Memandangkan komen yang diberikan oleh si tanpa nama ini adalah terjemahan kepada artikel yang di-copy-paste olehnya, maka, saya akan memberikan respon dengan menterjemahkan artikel tulisan Jochen Katz yang mendedahkan kepalsuan artikel "Haman dan Bangunan Mesir Kuno" tersebut.
--------------------------------------------------------------------

Pengenalan

Al-Quran mengandungi beberapa contoh "mampatan sejarah", iaitu, kisah-kisah dua atau lebih peristiwa sejarah yang berbeza digabungkan untuk membentuk suatu cerita baharu, atau, karakter di dalam suatu kisah yang lain dimasukkan ke dalam kisah lain. Contohnya, di dalam Al-Quran kita menemui Saul dan Daud di dalam kisah Gideon, atau seorang Samaria bersama dengan Musa di dalam kisah kitab Keluaran. Senarai kepada banyak lagi contoh mampatan sejarah seperti ini disenaraikan di laman berikut.

Sama ada kisah-kisah dan karakter-karakter ini telah dikelirukan oleh penulis Al-Quran kerana ketidak-tahuannya atau dengan sengaja digabungkan untuk tujuan tertentu, kisah-kisah baharu ini telah dipersembahkan sebagai peristiwa-peristiwa sejarah, yang mana menunjukkan wujud kesilapan-kesilapan sejarah di dalam Al-Quran.

Salah satu contoh kekeliruan sejarah terkenal yang terdapat di dalam Al-Quran adalah karakter Haman di dalam kisah Musa dan Firaun. Firaun dan Haman adalah dua tokoh yang sangat bahaya di dalam sejarah orang Yahudi. Kedua-dua mereka telah cuba menghapuskan seluruh umat Israel. Firaun telah memerintahkan untuk membunuh semua bayi lelaki yang baru lahir (kitab Keluaran 1) dan Haman telah merancang untuk membunuh semua orang Yahudi yang sedang tinggal sebagai pelarian di Persia (kitab Ester 1).[1] Namun, kedua-dua peristiwa ini dipisahkan melalui dua fakta: (a) jarak secara geografi yang beribu-ribu kilometer di antara Mesir dan Persia, dan (b) perbezaan jarak di dalam garis sejarah iaitu kira-kira seribu tahun.

Memandangkan karakter Haman sangat ketara tidak kena pada tempatnya dengan kisah Musa dan Firaun, hal ini memberikan faktor memalukan yang agak tinggi, dan orang-orang Muslim merasakan tekanan untuk mencari penyelesaian munasabah terhadap dakwaan bahawa wujud kekeliruan sejarah di dalam Al-Quran.

Kalaulah orang-orang Muslim dapat mencari nama "Haman" atau yang hampir serupa di dalam rekod-rekod sejarah Mesir... kerana ini akan membolehkan mereka mendakwa bahawa Haman adalah nama orang Mesir, dan seterusnya membolehkan mereka memutuskan perkaitan Haman di dalam Al-Quran dengan Haman di dalam kitab Ester.

Namun, lebih dari itu, apologis-apologis kepada Islam telah berjaya merancang suatu pembohongan yang telah menarik dan mengelirukan ramai orang sepanjang 15 tahun ini. Pembohongan ini telah melalui tiga peringkat perkembangan (melalui Maurice Bucaille, Islamic Awareness, dan Harun Yahya) dan kesemua tiga peringkat ini dapat diakses di melalui internet, termasuk perbezaan-perbezaan perincian yang ada di antara ketiga-tiga peringkat tersebut.[2] Di dalam artikel ini, saya akan memperkatakan ketiga-tiga peringkat argumen ini secara bergilir-gilir dan menunjukkan pelbagai keganjilan yang ada di dalamnya.

Perbincangan seterusnya akan agak panjang dan rumit kerana (1) banyak perincian perlu diselidiki, dan (2) artikel ini mengandungi tiga hujah balas terhadap tiga versi argumen yang berbeza (namun saling berkaitan) daripada Muslim tentang hal ini.

Sebagai pengenalan kepada tulisan seterusnya, biar saya perkenalkan kepada anda dua perincian daripada banyak kenyataan palsu oleh Muslim di dalam topik ini. Maurice Bucaille mendakwa telah merujuk kepada seorang ahli kaji purba Mesir (Egyptologist) tentang nama Haman dan transliterasi yang mungkin untuk nama tersebut di dalam tulisan kuno Mesir (hieroglyph). Beliau kemudian menulis:
Untuk mengesahkan kesimpulannya tentang nama tersebut, dia menasihatkan saya untuk merujuk Dictionary of Personal Names of the New Kingdom oleh Ranke, di mana saya mungkin akan menemui nama tersebut ditulis dalam bentuk hieroglyphs, seperti yang dituliskannya di hadapan saya, dan transliterasinya ke dalam bahasa Jerman. Saya mendapati semuanya seperti yang telah disimpulkan oleh pakar tersebut, dan, lebih dari itu, saya terpegun apabila membaca pekerjaan Haman: "Penyelia kepada pekerja-pekerja di kuari batu," sama seperti yang dapat disimpulkan dari Al-Quran, walaupun kata-kata Firaun menggambarkannya sebagai pakar pembinaan.
Untuk perbandingan, ini adalah apa yang tertulis di dalam kamus Ranke tersebut:


Sangat jelas, Bucaille telah berbohong. Transliterasi yang diberikan Ranke bukanlah "Haman", dan Ranke juga tidak menyebut apa-apa tentang "penyelia kepada pekerja-pekerja di kuari batu". [Makna dan kesan kepada kenyataan ini akan diperkatakan dengan lebih lanjut pada bahagian kedua artikel ini.]

Harun Yahya menulis pada 10 tahun yang lalu:[3]
Nama "Haman" sebenarnya disebut di dalam batu-batu bersurat kuno Mesir. Ia disebut pada sebuah monumen yang kini berada di dalam Muzium Hof di Vienna...
Ini satu lagi pembohongan. Tidak wujud walau sebuah pun batu bersurat, apatah lagi batu-batu bersurat, yang mana mengandungi nama Haman di dalamnya. Artifak yang mengandungi tulisan nama Haman tersebut juga bukanlah sebuah "monumen"; ia adalah sebuah tiang pintu dan tidak mengandungi nama "Haman". Paling ironik, sebenarnya Muzium Hof sudah tidak wujud lagi sejak lapan puluh tahun yang lalu!

Seluruh kisah penemuan ini adalah pembohongan dari awal hingga akhir.

Setelah membaca "pembuka selera" ini, sekarang mari kita lihat kepada argumen/hujah penuh Muslim tentang hal ini dan menyelidikinya satu persatu. Perbincangan ini disusun seperti berikut:

* Pembohongan
Peringkat Pertama: Maurice Bucaille (Akan diterjemahkan pada masa akan datang. Artikel asal boleh di baca di sini.)
Peringkat Kedua: Islamic Awareness (Akan diterjemahkan pada masa akan datang. Artikel asal boleh di baca di sini.)
Peringkat Ketiga: Harun Yahya (Akan diterjemahkan pada masa akan datang. Artikel asal boleh di baca di sini.)
Peringkat Keempat: Caner Taslaman (Akan diterjemahkan pada masa akan datang. Artikel asal boleh di baca di sini.)
* Excursus: Impak daripada argumen Muslim tentang Haman (Akan diterjemahkan pada masa akan datang. Artikel asal boleh di baca di sini.)

* Maklumat tambahan lain untuk pemahaman latar belakang hal ini.
(Akan diterjemahkan pada masa akan datang.)

----------------------------------------------------------
Nota kaki
[1] Kita tidak akan dapat tahu dengan pasti mengapa Haman dimasukkan ke dalam kisah Musa di dalam penceritaan Al-Quran. Namun, mungkin kerana persamaan di antara mereka (Haman dan Firaun yang mahu menghapuskan bangsa Israel) berkemungkinan telah menimbulkan situasi di mana Muhammad mendengar daripada orang-orang Yahudi yang memperkatakan tentang kedua-dua karakter jahat ini "diceritakan pada masa yang sama". Faktor-faktor kemungkinan lain yang mungkin telah menyumbang kepada kemasukkan Haman di dalam kisah Firaun dan Musa diperkatakan di Appendiks 1.

[2] Pencarian melalui Google menggunakan beberapa istilah berkaitan dengan hal ini menunjukkan hampir seribu laman web Muslim menyebarkan argumen ini. Hal ini boleh dijadikan sebagai pengukur kepada pengaruh topik ini di dalam komuniti Muslim.

[3] Kemungkinan besar pada penghujung tahun 1998 atau awal 1999.

Ulasan