Langkau ke kandungan utama

Siri Defenders: Asas-asas Doktrin Kristian (Bahagian 1)

Diterjemahkan dari transkrip ini.
-----------------------------------


Kutipan ayat Alkitab untuk kelas kita hari ini adalah 1 Petrus 3:15, "Tetapi dengan tulus hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hidup kamu. Hendaklah kamu sentiasa bersedia memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kamu menjelaskan harapan yang kamu miliki. Tetapi lakukanlah hal itu dengan lemah lembut dan hormat." Jadi, menurut Petrus, kita semua sebagai orang-orang Kristian yang percaya perlu bersedia untuk memberikan jawapan kepada mana-mana orang tidak percaya yang bertanya tentang kepercayaan kita. Dan kita perlu memberitakan kepercayaan kita dengan lemah lembut dan hormat. Ayat ini akan menjadi motivasi kepada apa yang kita lakukan di dalam kelas "Defenders" ini.


Ada tiga tujuan di dalam kelas "Defenders" ini:

1. Untuk melatih orang-orang Kristian agar memahami, memberikan penjelasan, dan mempertahankan asas kebenaran Kristian. Ketiga-tiga hal ini bukan sekadar seperti kata-kata berulang seorang peguam. Sebaliknya, ketiga-tiga hal ini menunjukkan elemen penting tentang apa yang ingin kita capai di dalam pembelajaran ini. Kita mahu memahami asas kebenaran Kristian. Kita mahu anda sebagai seorang Kristian mempunyai pemahaman yang kukuh tentang dasar-dasar utama di dalam doktrin atau kepercayaan Kristian. Kita mahu anda dapat menjelaskannya. Kita mahu anda dapat menyatakan apa yang kita percayai dengan teratur dan tepat supaya anda tidak kehilangan kata-kata apabila ditanya tentang kepercayaan anda. Anda akan belajar untuk menjelaskannya dengan jelas dan tepat. Dan kita mahu anda dapat mempertahankannya, iaitu bukan sekadar mengatakan apa yang anda percayai, tetapi juga mengapa anda mempercayainya. Jadi, di dalam siri pembelajaran ini, walaupun fokus kita adalah doktrin Kristian, kita akan sekali-sekala menyimpang, iaitu melihat bagaimana untuk mempertahankan kepercayaan-kepercayaan ini. Kita akan melihat isu-isu berkaitan dalam mempertahankan kebenaran yang kita akan pelajari. Tujuan pertama ini adalah tujuan utama kita.

2. Untuk mencapai mereka yang belum mengenal Kristus melalui Injil, dengan sentiasa bersedia untuk memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kita menjelaskan pengharapan kita. Kita mahu menjadi suatu tempat yang sentiasa mengalu-alukan dan terbuka kepada mereka yang sedang mencari dan orang tidak percaya, agnostik yang mempunyai persoalan-persoalan tentang iman Kristian dan mahu menerokainya. Jadi kelas ini mengalu-alukan anda jika anda termasuk di dalam kategori tersebut. Anda boleh merasa seperti di rumah sendiri dan menyatakan keraguan-keraguan, persoalan-persoalan, dan bantahan-bantahan anda dengan bebas dan terbukan di dalam suasana yang sedia menerimanya.

3. Menjadi pemangkin kepada persekutuan yang saling mendorong dan mengambil berat. Di dalam sebuah gereja-mega yang besar seperti Johnson Ferry, adalah penting untuk mempunyai perkumpulan setempat, seperti sebuah gereja di dalam gereja, yang terdiri daripada orang-orang yang mengenal siapa anda dan mengambil berat tentang anda, dan bersedia untuk berdoa dan membantu jika anda melalui masa-masa yang sukar. Kita mahu membina suatu persekutuan bersama yang saling mendorong. Seperti api yang membakar dengan marak. Jika anda mengasingkan kayu api di dalam tempat pembakaran tersebut, apinya akan semakin kecil dan terpadam. Namun, jika anda mengumpulkan kayu-kayu api tersebut, ia akan bersama-sama memastikan api kekal marak dan mengekalkan kehangatan yang ada. Kita mahu mempunyai persekutuan seperti itu di dalam kelas ini.

Apa itu Doktrin Kristian?

Soalan pertama yang perlu kita tanya adalah, "Apa itu Doktrin Kristian?" Saya rasa kebanyakan anda tidak tahu apa itu doktrin, dan sekarang kita akan mempelajarinya. Jadi, apa itu doktrin Kristian? Seorang ahli sejarah gereja bernama Jaroslav Pelikan mendefinisikan doktrin Kristian seperti berikut: "Doktrin Kristian adalah apa yang dipercayai dan diajarkan oleh gereja." Saya rasa ia adalah definisi yang baik. Jadi, yang kita akan perhatikan adalah kepercayaan-kepercayaan dasar tentang kebenaran di dalam Kristianiti.

Mengapa belajar tentang Doktrin?

Mengapa kita pelu belajar tentang doktrin? Saya akan memberikan empat sebab yang berdasarkan Alkitab tentang mengapa setiap orang Kristian perlu mempelajari dokrtin Kristian:

1. Setiap orang Kristian adalah ahli teologi - bukan hanya mereka yang terlatih secara akademik atau seorang profesor di sekolah Alkitab. Sebaliknya, setiap orang Kristian adalah ahli teologi. Lihat di dalam Efesus 4:13-15. Di sini, Paulus memperkatakan tentang mempersiapkan orang-orang benar untuk pelayanan dan membina tubuh Kristus (iaitu gereja):
Dengan demikian kita menjadi satu oleh iman yang sama dan pengertian yang sama tentang Anak Allah. Kita akan menjadi matang dan sempurna seperti Kristus. Barulah kita tidak menjadi anak-anak lagi, yang diumbang-ambingkan dan ditiup ke sana sini oleh angin ajaran orang licik. Mereka menyesatkan orang dengan tipu muslihat. Sebaliknya, kita harus mengatakan perkara-perkara benar dengan hati yang penuh kasih, sehingga kita menjadi matang dalam segala hal dan menjadi seperti Kristus, iaitu kepala jemaah.
Perhatikan, matlamat Paulus di sini adalah untuk melatih orang-orang Kristian supaya menjadi matang dan kematangan Kristian tersebut adalah kefasihan dalam hal-hal doktrin. Matlamat tersebut adalah untuk memiliki pemahaman tentang doktrin Kristian, supaya kita tidak menjadi seperti anak-anak, tidak diumbang-ambingkan oleh angin-angin doktrin yang datang. Maka adalah sebahagian dari kematangan Kristian untuk mempunyai pegangan yang jelas tentang doktrin Kristian.

Lihat juga Galatia 1:6-9 untuk penekana yang sama tentang doktrin:
Aku hairan terhadap tingkah laku kamu. Allah sudah memanggil kamu kerana rahmat Kristus. Tetapi dalam masa yang demikian singkat, kamu telah meninggalkan Dia lalu mengikut berita baik lain yang bukan daripada Allah. Sebenarnya tidak ada berita baik lain. Tetapi aku berkata demikian kerana ada beberapa orang yang mengelirukan kamu dan cuba memutarbalikkan Berita Baik tentang Kristus. Jika kami, ataupun malaikat dari syurga, mengkhabarkan berita baik yang berlainan daripada Berita Baik yang telah kami khabarkan kepada kamu, biarlah orang itu dihukum oleh Allah! Kami telah mengatakannya dahulu, dan sekarang aku mengatakannya sekali lagi: Orang yang mengkhabarkan berita baik yang berlainan daripada Berita Baik yang telah kamu terima daripada kami, biarlah orang itu dihukum Allah!
Di sini, Paulus berkata-kata dengan ungkapan yang lebih keras tentang pentingnya memiliki doktrin yang benar. Jika ada yang memberitakan Injil yang berbeza, peristiwa kehidupan atau pengajaran yang berbeza tentang Kristus, Paulus berkata biarlah orang tersebut masuk ke dalam neraka kerana memberitakan sesuatu yang bercanggah dengan Injil sebenar tentang Yesus Kristus, yang mana adalah Injil yang diberitakan oleh Paulus kepada jemaat di Galatia yang telah dilawatinya. Maka, sekali lagi, penekanan Paulus adalah tentang doktrin yang betul dan pemahaman yang sebenar tentang Injil.

Yang terakhir, lihat Titus 1:9. Konteks pada ayat tersebut adalah tentang kelayakan-kelayakan untuk menjadi seorang penatua di gereja. Paulus memberikan beberapa kelayakan untuk menjadi seorang penatua, dan pada ayat 9 dia berkata, "Dia mesti berpegang teguh pada perkhabaran yang dapat dipercaya dan yang sesuai dengan asas kepercayaan. Dengan demikian dia dapat menggalakkan orang lain dengan ajaran yang benar, dan juga menunjukkan kesalahan orang yang menentang ajaran itu." Maka, para penatua di gereja, iaitu mereka yang menjadi contoh kematangan Kristian di kalangan kita, perlu tahu memberikan pengajaran berdasarkan doktrin yang betul, dan mereka perlu mampu menunjukkan kesalahan orang lain yang mengajarkan doktrin yang salah. Saya tidak tahu pendapat anda, namun, saya percaya kematangan Kristian bukanlah milik eksklusif penatua gereja sahaja. Saya percaya setiap kita perlu mempunyai keinginan untuk memiliki karakter yang dinyatakan pada ayat tersebut, supaya jika tidak ada penatua, kita layak untuk menjadi seorang penatua. Kita mahu memiliki karakter yang disebut oleh Paulus di sini. Dan kita telah melihat bahawa kematangan Kristian yang ditunjukkan oleh seorang penatua adalah pengetahuan yang kukuh tentang doktrin Kristian, mampu mengajar doktrin yang betul dan menjawab mereka yang menidakkannya.

Oleh itu, saya percaya bahawa setiap orang Kristian adalah ahli teologi. Sebagai seorang Kristian, anda berpegang kepada suatu pendirian. Anda berpegang kepada hal-hal seperti kewujudan Tuhan, nilai-nilai moral yang objektif, kebenaran sebagai sesuatu yang objektif, keTuhanan Kristus, kebangkitan-Nya dari kematian, pengorbanan-Nya menebus kita dari dosa, kewujudan hidup kekal, harapan kepada kebangkitan dan kedatangan semula Kristus. Sebagai seorang Kristian, anda berpegang kepada hal-hal ini. Jadi, mengapa anda tidak mahu memahami hal-hal ini? Persoalannya bukanlah sama ada anda akan menjadi seorang ahli teologi atau tidak. Sebagai seorang Kristian, anda telah pun menjadi seorang ahli teologi. Persoalan yang tinggal adalah: adakah anda akan menjadi seorang ahli teologi yang kuat atau lemah? Adakah anda akan mempunyai suatu pegangan yang kukuh tentang doktrin Kristian dan teologi atau seperti seorang yang tidak matang dan keanak-anakan?

2. Cara hidup yang betul memberikan perspektif pemikiran yang betul tentang Tuhan. Jika kita membaca surat-surat Paulus, anda akan mendapati suatu corak yang konsisten. Pada bahagian awal surat-surat Paulus, dia akan memberikan dasar-dasar doktrin kepada hal yang hendak disampaikannya, dan pada bahagian seterusnya di dalam surat-suratnya, dia akan menyentuh tentang pengajaran praktikal cara hidup Kristian. Untuk melihat corak ini, lihat, sebagai contoh, kitab Efesus. Bab 1 hingga 3 memperkatakan tentang doktrin Kristian, tentang kesatuan gereja, kemasukkan orang-orang bukan Yahudi ke dalam umat pilihan Tuhan, dan kemudian menyimpulkannya pada bab 3 ayat 20. Kemudian ada ayat yang berfungsi sebagai penyambung apabila dia mula memperkatakan aplikasi praktikal doktrin tersebut di dalam cara hidup Kristian. Di dalam bab 4, ayat 1, dia berkata, "Itulah sebabnya aku  —  orang yang dipenjarakan kerana mengabdikan diri kepada Tuhan  —  menggesa kamu supaya hidup sesuai dengan cara hidup yang ditetapkan oleh Allah ketika Dia memanggil kamu." Dan kemudian dia masuk ke dalam aplikasi praktikal.

Kitab Filipi juga sama. Di dalam kitab Filipi anda akan dapat melihat tiga bab pertamanya adalah memperkatakan tentang doktrin Kristian. Dan kemudia, pada bab 4, Paulus mula memperkatakan aplikasi praktikalnya tentang bagaimana hidup bersama-sama dengan orang lain di dalam persekutuan Kristus. Oleh itu, memikirkan tentang Tuhan memberikan kita suatu dasar kepada cara hidup yang benar. Jika anda benar-benar memahami tentang Tuhan, apa yang Dia inginkan dari kita, apa maksudnya mengikut Kristus, maka, ia akan memberi kesan kepada cara anda menjalani kehidupan anda.

3. Pembelajaran tentang doktrin adalah suatu ekspresi kepada mengasihi Tuhan dengan segenap akal budi kita. Matius 22:37-38 menceritakan tentang seorang Farisi yang berjumpa dengan Yesus dan bertanya kepada-Nya apakah hukum yang terutama di dalam Taurat. Dan di dalam ayat 37 Yesus menjawab, "‘Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.’ Inilah perintah yang terutama dan yang terpenting!" Sebagai seorang Kristian, kita perlu mengasihi Tuhan bukan hanya dengan hati dan jiwa, tetapi juga dengan seluruh akal kita. Dan mempelajari tentang kebenaran-Nya adalah salah satu cara terbaik untuk kita mengekspresikan kasih kita kepada Tuhan, dengan mahu mengetahui Dia dan kebenaran-Nya. Jadi, pembelajaran tentang doktrin adalah suatu cara kita menyatakan kasih kita kepada Tuhan dengan mendisiplinkan akal kita untuk mengasihi dan mengetahui kebenaran yang daripada-Nya. Pembelajaran tentang doktrin adalah ekspresi kita dalam mengasihi Tuhan dengan seluruh akal kita.

4. Kristus tidak dapat dipisahkan dari kebenaran tentang Kristus itu sendiri. Lihat 2 Yohanes 9-10. Pada ayat tersebut, Yohanes memberikan amaran tentang pengajar-pengajar palsu:
Setiap orang yang tidak tinggal di dalam ajaran Kristus, tetapi yang melangkah keluar dari situ, tidak memiliki Allah. Barangsiapa tinggal di dalam ajaran itu, ia memiliki Bapa maupun Anak. Jikalau seorang datang kepadamu dan ia tidak membawa ajaran ini, janganlah kamu menerima dia di dalam rumahmu dan janganlah memberi salam kepadanya.
Di sini, Yohanes menggunakan doktrin tentang Kristus sebagai pengukur yang akan digunakan untuk menilai mereka yang datang kepada anda dan mengaku sebagai Kristian atau mengaku berbicara dalam nama Kristus. Jika seseorang itu tidak mempunyai doktrin yang benar, dia tidak mempunyai Kristus. Jadi, jangan mudah terpedaya dengan orang mungkin mempunyai pandangan yang kelihatan baik tentang Yesus dan berkata, "Oh, saya mengasihi Yesus!", tetapi mempunyai doktrin yang palsu. Doktrin adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dengan Peribadi Kristus. Untuk memiliki Kristus, ia melibatkan hal memiliki pemahaman yang betul tentang siapakah Kristus. Jika tidak, anda tidak memiliki Kristus, tetapi hanya memiliki suatu pengalaman bersifat emosi. Maka, doktrin adalah sangat penting di dalam kehidupan Kristian. Doktrin tanpa Roh Kudus akan membawa kepada legalisme. Roh Kudus tanpa pemahaman doktrin membawa kepada kefanatikan. Doktrin dengan pimpinan Roh Kudus akan membawa kepada kuasa sebenar di dalam kehidupan Kristian. Dan ini adalah matlamat kita, untuk memiliki doktrin yang benar, iaitu pemahaman yang benar tentang kebenaran Kristian, bersama dengan kehidupan Kristian yang dipenuhi Roh Kudus. Supaya kita memiliki kedua-dua Firman dan Roh.

Maka, berdasarkan keempat-empat sebab ini, saya rasa adalah sangat penting untuk kita sebagai Kristian mempelajari doktrin Kristian, iaitu apa yang diajarkan dan dipercayai oleh gereja. 

Ulasan