Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #28: Kitab-kitab Apokripa lagi?

Senarai penuh siri ini di sini.

Pada muka surat 46 hingga 49, penulis sekali lagi cuba menggunakan kitab-kitab apokripa untuk menyokong kesnya. Namun, seperti yang telah diperkatakan pada poin 9 sebelum ini, kitab-kitab apokripa ini adalah kitab-kitab palsu yang ditulis pada zaman di mana semua nama-nama yang kononnya menulis kitab-kitab apokripa tersebut sudah lama meninggal dunia.

Lebih teruk lagi, semua kitab-kitab apokripa yang diberikan penulis sebenarnya menidakkan dakwaan penulis sendiri. Kita hanya perlu membaca sendiri kitab-kitab apokripa tersebut. Mungkin, itulah sebabnya penulis hanya memetik ayat-ayat dan bahagian-bahagian tertentu sehingga konteks sebenar ayat dan bahagian tersebut "dapat disembunyikan" oleh penulis.

Penulis telah menterjemahkan bahagian/ayat kitab-kitab apokripa tersebut ke dalam Bahasa Melayu. Dan terjemahan yang diberikan penulis agak mengelirukan. Ditambah dengan terjemahan nama kitab yang diberikan penulis tanpa memberikan nama asal kitab tersebut. Agak sukar untuk mencari kitab asal kerana penulis langsung tidak memberikan sebarang sumber rujukan.

Berikut adalah nama kitab-kitab yang diberikan oleh penulis. Anda bandingkan dengan nama sebenar kitab-kitab tersebut.

  • Bible Dua Kitab Jesus. (Nama sebenar: The First Book of IEOU. Boleh dibaca di sini m/s 135-138.)
  • Bible Wahyu Peter. (Nama sebenar: The Apocalypse of Peter. Boleh dibaca di sini, m/s 197-199.)
  • Bible Risalah Kedua Set Agung. (Nama sebenar: Second Treatise of the Great Seth. Boleh dibaca di sini.)
  • Bible Perbuatan-perbuatan John. (Nama sebenar: The Acts of John. Boleh di baca di sini.)
Penulis telah memetik beberapa bahagian di dalam kitab-kitab ini yang seolah-olah menggambarkan bukan Jesus yang disalibkan tetapi orang lain. Apa yang tidak diberitahu oleh penulis adalah semua kitab-kitab ini adalah berfahaman Gnostik. Lebih spesifik, Kristian-Gnostik. Dan salah satu pemahaman Kristian-Gnostik adalah Jesus wujud dalam bentuk roh dan telah memasuki tubuh seseorang.[1] Maka, apabila Jesus disalibkan, Gnostik percaya Jesus tidak disalibkan tetapi hanya tubuh tersebut yang disalibkan kerana Jesus adalah roh. Maka, itulah sebabnya petikan-petikan yang diberikan menulis seolah-olah mengatakan orang lain dan bukan Jesus yang disalibkan. 

Kepercayaan Gnostik ini berbeza dengan apa yang cuba dikatakan oleh penulis. Menurut penulis, bukan Jesus yang disalibkan tetapi diganti oleh orang lain sedangkan kitab-kitab yang dipetik oleh penulis menyatakan "tubuh fizikal" Jesus disalib cuma bukan "tubuh roh" Jesus. Kitab-kitab apokripa ini tidak pernah mengatakan ada orang lain (contohnya Judas) yang mengganti Jesus.

Maka, apabila kitab-kitab apokripa ini mengatakan Jesus tidak disalib tetapi "orang lain", ia sebenarnya merujuk kepada tubuh yang digunakan Jesus, bukan Judas atau sesiapa pun juga. 

Mengapa kepercayaan sebenar Gnostik yang menjadi dasar kepada kitab-kitab apokripa tersebut tidak dijelaskan oleh penulis? Jawapannya jelas, iaitu agar hujah penulis kelihatan kukuh walhal di sebaliknya fakta sebenar disembunyikan.

Nota
[1] Sebagai contoh, pada permulaan kitab Second Treatise of the Great Seth, Jesus berkata, "I visited a bodily dwelling. I cast out the one who was in it first, and I went in." Terjemahan, "Aku melawat satu tubuh. Aku mengusir yang ada di dalamnya, dan aku masuk ke dalam."

Ulasan