Langkau ke kandungan utama

Mengapa kita perlu Apologetik?

Pernahkan anda bertanya/ditanya soalan-soalan seperti ini?
  1. Betulkah Yesus benar-benar wujud 2 ribu tahun yang lalu?
  2. Benarkah Yesus itu Tuhan?
  3. Adakah Alkitab yang kita ada sekarang sama seperti ketika ia mula-mula ditulis?
  4. Mengapa sejarah gereja penuh dengan keganasan?
  5. Mengapa Yesus perlu mati di kayu salib untuk menebus dosa manusia?
  6. Jika Tuhan wujud, mengapa dunia ini penuh dengan kejahatan?
  7. Mengapa doa saya tidak pernah dijawab Tuhan?
  8. Apa maksud Triniti?
  9. Bagaimana dengan nenek moyang saya yang tidak sempat mendengar tentang Yesus, adakah mereka akan dimasukkan ke dalam neraka kerana tidak sempat mendengar?
  10. Mengapa Tuhan mencipta neraka untuk menyeksa mereka yang tidak mahu menyembah-Nya?
  11. Mengapa Tuhan membiarkan Adam dan Hawa jatuh di dalam dosa?

Apa yang akan kita katakan untuk menjawab persoalan-persoalan ini? Adakah kita hanya akan memandang peribadi yang menanyakan soalan-soalan tersebut sambil terkebil-kebil dan tersipu-sipu?


Rasul Petrus telah memberikan peringatan berikut,
"..Dan siap sedialah pada segala waktu untuk memberi pertanggungan jawab kepada tiap-tiap orang yang meminta pertanggungan jawab dari kamu tentang pengharapan yang ada padamu.."
Mungkin ada yang mengatakan 'dunia hari ini semakin skeptik'. Seolah-olah dunia sebelum ini kurang skeptik.


Hakikatnya, dunia sentiasa skeptik terhadap Berita Baik yang diberitakan oleh Yesus Kristus. Bukan hanya skeptik, malah ada pihak yang memberitakan Berita Baik yang berbeza dengan Berita Baik yang diberitakan oleh Yesus sendiri.


Namun, perlu diketahui, apologetik bukanlah bertujuan untuk kita berdebat tentang kepercayaan kita, seolah-olah menunjukkan bahawa kita mempunyai pengetahuan yang sangat dalam berbanding orang lain.


Apologetik bukanlah untuk "mengalahkan" individu yang cuba mempersoalkan kepercayaan kita atau "memalukan" mereka, tetapi berkongsi kepercayaan kita dengan orang lain yang bertanya.


Dan, apologetik juga tidak bererti kita lebih beriman atau lebih istimewa dari orang lain yang tidak tahu apa itu apologetik.


Dan paling penting, apologetik tidak menyelamatkan kita dari dosa. Kerana telah dinyatakan, Iblis juga tahu (Yakobus 2:19).

Ulasan