* Kisah ini adalah kisah benar. Nama dan tempat tidak dinyatakan bagi menghormati pihak-pihak yang terlibat. Namun, ada satu kisah yang sangat penting yang boleh kita renungkan bersama.
Sebuah kampung yang terpencil telah mengalami suatu kejadian yang sangat luar biasa. Telah terjadi kejadian yang tidak dapat dijelaskan, atau lebih dikenali sebagai mukjizat.
Seorang ketua pelayan telah menerima apa yang dipanggilnya sebagai 'bisikan Roh Kudus' di dalam hatinya. Dia diarahkan oleh 'bisikan' tersebut untuk melakukan beberapa perkara kerana suatu 'keajaiban' akan terjadi di sidang tempat dia melayani.
Dia melakukannya dengan sungguh-sungguh tanpa mengetahui apa 'keajaiban' yang akan terjadi. Setelah berdoa dan berpuasa, hari yang dikatakan pun tiba. Dia bersama jemaat sidang yang lain, telah naik ke gunung doa dan berdoa dengan sungguh-sungguh. Semua mereka tidak tahu apa yang akan terjadi, mereka hanya percaya di dalam iman, iman yang dapat memindahkan gunung.
Selesai berdoa, mereka semua kehairanan. Sebelum naik ke gunung doa, mereka telah membawa segumpal tanah lumpur yang dibentuk seperti sebuah adunan. Namun, adunan lumpur tersebut telah berubah menjadi sebuah kek yang sangat sedap. Lebih ajaib lagi, walaupun kek tersebut kecil, ia dapat diagih-agihkan kepada ramai orang, juga ke gereja-gereja berhampiran dan semua yang memakannya berasa kenyang. Ia seperti mukjizat roti yang pernah dilakukan oleh Yesus!
Hal itu tersebar luas sehingga seluruh daeah mengetahuinya. Sidang tersebut menjadi tumpuan ramai, malah, beberapa mukzijat lain lagi telah terjadi.
Pada suatu ketika, sebuah kebaktian telah diadakan di gereja tesebut. Ramai jemaat dari seluruh daerah telah datang walaupun jalan untuk sampai ke gereja tersebut agak sukar ketika itu. Perlu berjalan kaki sejauh 1 batu lebih dari jalan besar.
Berhampiran gereja tersebut, tinggal seorang nenek. Dia tinggal seorang diri di dalam sebuah rumah yang usang. Tidak ada yang menjaganya, hanya anjing-anjingnya yang sentiasa menemaninya. Nenek itu tidak terurus, selekeh, kotor dan berbau busuk. Dia melihat sekumpulan anak muda datang ke gereja. Anak-anak muda ini datang dari luar.
Nenek ini berasa senang melihat kehadiran mereka. Dia merasakan perlu menyambut kedatangan mereka. Nenek ini pun masuk ke dalam gereja untuk bertemu dengan tetamu-tetamu yang baru datang tadi.
Akan tetapi, ketua pelayan tadi ternampak kedatangan nenek ini lalu mencegahnya.
"Jangan masuk ke dalam gereja, badan kamu busuk."
Nenek itu kelihatan tersipu-sipu kerana dipermalukan di hadapan tetamu yang datang.
Seorang pemudi di kalangan tetamu itu berasa kasihan dengan nenek tersebut. Dia seperti mahu menangis melihat nenek tadi diperlakukan demikian. Lebih-lebih lagi, dari seorang ketua pelayan yang sebelum ini telah dipakai melakukan mukjizat yang luar biasa.
Paulus pernah menyatakan hal ini (1 Korintus 13:1-3)
1 Meskipun aku dapat bercakap dalam pelbagai bahasa manusia, bahkan dalam bahasa malaikat sekalipun, tetapi jika aku tidak mengasihi orang lain, maka kata-kataku hanya seperti bunyi bising yang tidak bermakna.
2 Meskipun aku mempunyai kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah, dan memahami hal-hal yang dalam, serta hal-hal yang tersembunyi, dan aku juga sangat percaya kepada Allah sehingga dapat mengalihkan gunung, tetapi jika aku tidak mengasihi orang lain, maka aku tidak berguna.
3 Meskipun aku mendermakan semua milikku kepada orang miskin, dan menyerahkan diriku untuk dibakar, tetapi jika aku tidak mengasihi orang lain, maka semua itu tidak berfaedah bagiku.
terjemahan Alkitab Berita Baik Bahasa Malaysia
Ulasan