Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #26: Bagaimana Judas mati?

Senarai lengkap siri ini di sini.

Pada muka surat 36 hingga 39 buku ini, penulis cuba memberikan beberapa "kemungkinan" bagaimana Judas mati. Apa yang menariknya, penulis sendiri tidak pasti dan mengakhiri setiap "kemungkinan" dengan ungkapan hanya Allah mengetahuinya.

Penulis cuba menggambarkan cara kematian Judas yang diceritakan di dalam Alkitab bercanggah. Penulis memetik Matthew 27:3-8 yang mengatakan Judas membunuh diri dengan menggantung dirinya. Kemudian, penulis memetik Acts 1:18-19 yang menceritakan Judas jatuh dan tubuhnya terbelah sehingga semua isi perutnya terkeluar.

Penulis kemudian menulis,
Melalui kedua-dua versi cerita ini, yang mana kita dapat jadikan pegangan? Judas membunuh diri dengan cara menggantung diri ataupun Judas mati tersungkur dan isi perutnya terkeluar. (m/s 38)
Perhatikan ungkapan yang digariskan pada kenyataan penulis. Beliau mengatakan "mati tersungkur" sedangkan jika kita membaca Acts 1:18-19, tidak ada disebut Judas "mati tersungkur". Malah, Acts 1:18-19 langsung tidak menyebut bahawa sebab kematian Judas adalah mati tersungkur.


Hakikatnya, kedua-dua penceritaan ini tidak bercanggah. Tetapi saling melengkapi antara satu sama lain. Saya berikan ilustrasi berikut:
Lelaki A telah ternampak sebuah kereta melanggar seorang pejalan kaki sehingga mati. Lelaki A kemudian memberitahu polis yang tiba di tempat kejadian bagaimana pejalan kaki tersebut mati. Mayat pejalan kaki tersebut kemudian dibawa ke hospital untuk dibedah siasat. Koroner yang melakukan bedah siasat tersebut tidak menyaksikan kemalangan yang terjadi namun menjelaskan secara terperinci kecederaan parah yang dialami oleh pejalan kaki tersebut akibat dilanggar kereta. Kedua-dua pihak, iaitu lelaki A dan si koroner memperkatakan hal yang sama, iaitu kemalangan yang melibatkan si pejalan kaki. Cuma, dari sudut yang berbeza.
Sama halnya dengan kematian Judas. Matthew menceritakan bagaimana Judas mati, iaitu menggantung dirinya. Luke pula (Luke adalah penulis kitab Acts) menceritakan apa yang terjadi kepada Judas selepas dia menggantung dirinya. Ingat, Acts tidak pernah mengatakan Judas mati akibat jatuh tersungkur (anda boleh membacanya sendiri). Acts hanya mengatakan Judas jatuh lalu perutnya terburai.

Cuba anda fikirkan, adakah mungkin seorang yang jatuh dari tempat yang rendah, akan terburai perutnya? Kecuali mayatnya telah mulai mereput dan kembung lalu jatuh. Keadaan ini konsisten dengan penceritaan Matthew di mana Judas menggantung dirinya, setelah itu, mayatnya mereput, lalu jatuh dan perutnya kemudian terburai, seperti yang dicatatkan di dalam Acts.

Alkitab dengan jelas mencatatkan, Judas mati dengan menggantung dirinya. Maka, adalah sangat menyedihkan apabila penulis cuba menafikan hakikat yang jelas tercatat ini dengan memasukkan "kemungkinan" yang tidak konsisten dengan apa yang tercatat di dalam Alkitab.

Penulis juga cuba memberikan kesimpulan berikut yang sangat tidak konsisten dengan apa yang dicatatkan di dalam John.
Dalam John 19:34, Jesus pernah ditusuk tombak pada rusuknya. Perhatikan dengan teliti ayat Bible ini. Sebenarnya kita mendapat isi penting, antara Jesus yang disamakan wajahnya ditusuk tombak pada tiang salib dengan Judas serta perutnya terbelah. Mungkinkah orang yang disalib dengan orang yang tergantung dan perut terbelah adalah orang yang sama? Adakah orang yang disalib dan digantung itu adalah Judas? Hanya Allah mengetahuinya.
Saya tidak tahu bagaimana penulis boleh mengaitkan tusukan ke rusuk Jesus dengan Judas kerana jika kita membaca seluruh John 19, langsung tidak ada sebarang kaitan dengan Judas. Judas langsung tidak disebut. Malah, John 19 dengan jelas menceritakan Jesus mati disalibkan dan dikuburkan.

Jadi, bagaimana Judas mati? Jawapannya jelas, dengan menggantung diri.

Ulasan