Senarai lengkap siri ini di sini.
Pada muka surat 50 hingga 53, penulis cuba menimbulkan keraguan kepada peristiwa kebangkitan Jesus dengan mendakwa terdapat percanggahan pada perincian kisah kebangkitan tersebut.
Berapa orang wanita?
Penulis cuba mengatakan wujud percanggahan kerana "Wanita-wanita yang diceritakan datang ke kubur tidak sama dalam ketiga-tiga Gospel Sinoptik". Penulis mendakwa percanggahan ini wujud kerana "Gospel of John hanya menyebut seorang wanita bernama Maria Magdalena". Namun, penulis sendiri kemudian memberikan penjelasan kepada percanggahan tersebut apabila berkata "Namun, dalam Gospel of John wanita itu menggunakan kata ganti nama 'kami' semasa bercakap, seolah-olah dia mempunyai teman".
Ini bermaksud, John tahu ada wanita lain cuma dia tidak menulis nama-nama wanita lain tersebut. Adakah hanya kerana John tidak mencatatkan nama wanita-wanita lain yang pergi ke kubur Jesus menjadikan kisah tersebut bercanggah? Hal seperti ini juga masih berlaku pada zaman ini. Contohnya, cuba baca berita kemalangan berikut yang dilaporkan oleh empat buah syarikat akhbar yang berbeza.
Akhbar A, Akhbar B, Akhbar C, Akhbar D
Keempat-empat akhbar ini melaporkan berita yang sama namun dengan perincian yang berbeza. Akhbar A tidak menulis semua nama yang terlibat. Akhbar B dan Akhbar C pula melaporkan hampir semua nama yang terlibat namun dengan pendahuluan yang berbeza. Akhbar D pula melaporkan lebih beberapa nama berbanding Akhbar A namun tidak selengkap Akhbar B dan Akhbar C. Adakah ini bererti keempat-empat akhbar ini melaporkan peristiwa yang bercanggah?
Sama halnya dengan Matthew, Mark, Luke dan John. Mereka melaporkan peristiwa yang sama, hanya dengan perincian yang berbeza. Itu bukan bererti wujud percanggahan.
Tiga kali?
Penulis mendakwa "Luke hanya menyebut Jesus menampakkan dirinya hanya tiga kali" sedangkan "Matthew hanya menyebut Jesus dilihat sekali sahaja di Galile". Sebenarnya, Luke mencatatkan di dalam Acts 1:3 bahawa Jesus menampakkan diriNya selama empat puluh hari. Maka, dakwaan penulis kononnya Jesus hanya menampakkan diriNya sebanyak tiga kali adalah tidak tepat.
Sama seperti hujah penulis di dalam dakwaannya tentang jumlah wanita, hal menampakkan diri ini juga hanya melibatkan penceritaan perincian penceritaan berbeza yang tidak mengakibatkan percanggahan. Ia hanya menunjukkan Matthew, Mark, Luke dan John tidak mencatatkan semua penampakkan Jesus.
Lapan hari?
Penulis kemudian mendakwa "John mengatakan terdapat perbezaan masa selama lapan hari antara kali pertama dengan kali kedua Jesus dilihat iaitu, di bilik makan di Jerusalem". Ayat yang dimaksudkan penulis adalah John 20:1-19. Sebenarnya, penulis telah tersilap. Jika kita membaca kisah tersebut, kita akan mendapati Jesus menampakkan diriNya pada hari yang sama, bukan selepas lapan hari. Perhatikan,
"Pada hari pertama minggu itu, pagi-pagi benar ketika hari masih gelap, pergilah Maria Magdalena ke kubur itu dan ia melihat bahwa batu telah diambil dari kubur." (John 20:1, TB)
"Ketika hari sudah malam pada hari pertama minggu itu berkumpullah murid-murid Yesus di suatu tempat dengan pintu-pintu yang terkunci karena mereka takut kepada orang-orang Yahudi. Pada waktu itu datanglah Yesus dan berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata: "Damai sejahtera bagi kamu!"" (John 20:19, TB)
Kali pertama adalah pada waktu "pagi-pagi" dan kali kedua pula ketika hari sudah "malam" pada hari minggu pertama yang sama. Maka, bagaimana penulis boleh mengatakan berbeza selama lapan hari?
500 orang sekaligus?
Penulis kemudian mendakwa "Kejadian-kejadian itu bertentangan dengan kisah Jesus dilihat yang mana dicatatkan dalam Surat Pertama Paul kepada orang-orang Korintus (15:5-7) iaitu dilihat oleh 500 orang sekaligus". Sekali lagi, penulis melakukan kesilapan sama seperti jumlah wanita yang dipersoalkannya. Penulis tidak menyentuh bagaimana Jesus menampakkan diri selama empat puluh hari seperti yang tercatat di dalam Acts 1:3. Tidakkah penulis terfikir dalam masa empat puluh hari tersebut Jesus tidak ada menampakkan diriNya kepada 500 orang sekaligus?
Penulis juga mungkin tidak tahu bahawa petikan pada 1 Korintus 15:1-7 adalah sebuah pengakuan iman yang bukan dicipta oleh Paul tetapi diterima oleh Paul daripada para rasul iaitu murid-murid Jesus sendiri. Hal ini diakui oleh ramai penyelidiki Alkitab bukan Kristian seperti Bart Ehrman, Gerd Ludemann, James Crossley dan ramai lagi.[1] Maka, dakwaan penulis ini hanya menunjukkan penulis tidak menyelidiki 1 Korintus 15:1-7 dengan teliti. Atau mungkin penulis sengaja menyembunyikan fakta ini?
Paul satu-satunya saksi?
Penulis kemudian mendakwa Paul adalah satu-satunya saksi menurut tulisan Luke iaitu Acts (penulis menterjemakan Acts sebagai "Perbuatan-perbuatan Rara Rasul"). Adakah penulis tidak membaca sendiri Acts yang dengan jelas mencatatkan Jesus telah menampakkan diriNya kepada para pengikutNya selama empat puluh hari sebelum Paul menjadi pengikut Jesus? Darimana penulis mendapat "idea" untuk mendakwa Paul adalah satu-satunya saksi yang menyaksikan kebangkitan Jesus?
Judea atau Galilie?
Penulis kemudian mendakwa wujud percanggahan di antara Luke dan Matthew apabila "Luke menyatakan Jesus menampakkan diri di Judea. Matthew pula menyatakan Jesus menampakkan diri di Galilie" (m/s 52). Tidakkah penulis terfikir bahawa Jesus telah menampakkan diriNya di kedua-dua tempat tersebut memandangkan Jesus tetap tinggal selama empat puluh hari sebelum Dia naik semula ke syurga? Dan jika kita membaca Luke, tidak ada disebut Jesus menampakkan diriNya di Judea, tetapi di Jerusalem. Namun, mungkin maksud penulis adalah Jerusalem kerana Jerusalem ada di Judea (atau mungkin juga penulis tersilap).
Maka, hal ini juga bukan percanggahan. Jesus menampakkan diriNya di Judea dan di Galilie.
Tidak bekerjasama? Sepatutnya seragam?
Penulis kemudian memetik (atau menterjemahkan) kata-kata R.P. Roguet berikut:
"Kisah yang seolah-olah tiada kaitab antara satu sama lain, dan tiada keseragaman menunjukkan pengarang Gospel tidak bekerjasama. Ini kerana sekiranya mereka bekerjasama, tentu mereka dapat menyesuaikan sejarah masing-masing. Namun begitu, walaupun mereka tidak bekerjasama, cerita mereka pasti sama sekiranya mereka benar-benar melihat kejadian itu. Perkara yang menjadi pertanyaan kita adalah, bila keempat-empat penulis Gospel ini hidup? Adakah mereka selalu bersama-sama Jesus ketika masih hidup ataupun selepas Jesus wafat." (m/s 52)
Daripada petikan ini, penulis cuba mendakwa "cerita mereka pasti sama sekiranya mereka benar-benar melihat kejadian itu". Namun, seperti yang telah dijelaskan di atas, perbezaan perincian yang cuba ditimbulkan oleh penulis bukanlah suatu percanggahan. Sama seperti contoh Akhbar yang diberikan, keempat-empat penulis Gospel menceritakan hal yang sama. Cuma, terdapat perincian yang ditulis dan ditinggalkan oleh si penulis.
Selain itu, keempat-empat Gospel ini ditulis selepas Jesus bangkit dan naik ke syurga. Soalan sama ada mereka selalu bersama Jesus ketika masih hidup ataupun selepas Jesus wafat pula tidak relevan. Kerana jelas dicatatkan di dalam keempat-empat Gospel, setelah Jesus wafat, tiga hari kemudian Dia bangkit semula, dan kemudian kembali ke syurga.
Kesimpulannya, tidak ada percanggahan di dalam kisah kebangkitan Jesus.
Nota
[1] Contohnya jurnal tulisan Gary Habermas bertajuk "Experiences of the Risen Jesus: The Foundational Historical Issue in the Early Proclamation of the Resurrection" yang menyenaraikan beberapa nama pengkaji tekstual Alkitab bukan Kristian yang mengakui 1 Korintus 15:1-7 adalah pengakuan iman yang diterima oleh Paul (bukan dicipta oleh Paul) daripada pengikut-pengikut Jesus setelah Paul sendiri menjadi pengikut Jesus.
Ulasan