Langkau ke kandungan utama

Adakah Perjanjian Baru dipengaruhi oleh Agama-agama Pagan? (Terjemahan)

Perjanjian Baru dipengaruhi oleh Agama Pagan? (Was The New Testament influenced by Pagan Religions?) diterjemah dari sebuah artikel di dalam majalah Christian Research Journal tulisan Ronald H. Nash. (Perkataan/ayat di dalam tanda [..] dan berwarna perang adalah penerangan dari saya untuk mana-mana terma/istilah yang sukar diterjemahkan dalam satu perkataan sahaja.)


Di awal pertengahan abad ke-20, beberapa penulis liberal dan profesor mendakwa bahawa pengajaran di dalam Perjanjian Baru mengenai kematian dan kebangkitan Yesus, Kelahiran Baru, dan Pembaptisan dan Perjamuan Kudus, diambil dari kepercayaan misteri pagan. Yang menjadi perhatian utama adalah di antara semua ini ialah dakwaan bahawa Doktrin Keselamatan yang terdapat di dalam Perjanjian Baru menyamai tema yang biasanya ditemui di dalam Agama Misteri: tuhan penyelamat mati dengan kejam demi mereka yang akan diselamatkannya, kemudian tuhan tersebut hidup kembali dari kematian.

Adakah Perjanjian Baru dipengaruhi oleh Agama-agama pagan abad pertama? Walaupun saya telah meninjau perkara ini di dalam buku saya pada tahun 1992,1 isu ini sangat penting - terutamanya untuk Kristian yang sedang menuntut di kolej yang seringkali tidak tahu di mana untuk mendapatkan jawapan - di mana wujud keperluan untuk menjelaskan hal ini menurut pemahaman yang lebih umum dan tidak terlalu rumit.

Runtuhan tempat suci di Eleusis, Greece. 
APA ITU AGAMA-AGAMA MISTERI?
Selain kepercayaan Yahudi dan Kristianiti, agama-agama misteri ini merupakan kepercayaan yang paling berpengaruh pada awal permulaan abad selepas Kristus. Sebab mengapa kepercayaan ini dipanggil sebagai Agama Misteri ialah kerana ia melibatkan acara rahsia yang hanya diketahui oleh mereka yang dijemput menyertai kultus tersebut. Dijangkakan bahawa keuntunganan utama amalan-amalan tersebut adalah suatu keselamatan.

Sudah tentu, agama-agama misteri ini bukanlah satu-satunya menifestasi kepercayaan rohani di dalam Empayar Kerajaan Roma. Kita juga boleh menemui kultus bersifat umum yang tidak memerlukan sebarang acara atau kepercayaan rahsia untuk menyertainya. Contoh agama jenis ini adalah Agama ahli Olimpik Yunani [Greek] dan lain-lain kepercayaan Roma yang sejenis dengannya.

Setiap rantau Mediteranian menghasilkan agama misteri masing-masing. Dari Greece, muncul kultus Demeter dan Dionysus, serta agama misteri Eleusinian dan Orphic, yang berkembang kemudian.2 Asia Kecil telah melahirkan kultus Cybele, Ibu Agung, dan anak yang dikasihinya, seorang gembala bernama Attis. Kultus Isis dan Osiris (yang kemudian diubah kepada Serapis) berasal dari Mesir, sementara Syria dan Palestin menyaksikan kebangkitan kultus Adonis. Dan yang terakhir, Persia (Iran) merupakan tempat awal permulaan kultus Mithras, yang mana - kerana sering digunakan sebagai simbol peperangan - mempunyai tarikan khusus untuk tentera Kerajaan Rom. Agama-agama misteri awal Yunani adalah agama rasmi kerajaan di mana ia mendapat status kultus awam atau sivil dan berfungsi di dalam acara-acara kerajaan atau awam. Agama-agama misteri bukan-Yunani yang wujud kemudian bersifat peribadi, persendirian dan individualistik.


Ciri-ciri asas
Kita mesti mengelak dari sebarang cadangan yang mengatakan wujud satu agama misteri yang sama. Walaupun wujud kecenderungan ke arah eclecticism dan sintesis yang berkembang selepas 300 A.D [Tahun Masihi], setiap agama-agama misteri ini adalah kepercayaan yang terpisah dan berbeza di dalam abad yang menyaksikan kelahiran gereja Kristian [iaitu sebelum 300 A.D]. Lebih dari itu, setiap kultus misteri mengambil bentuk yang berbeza di dalam persekitaran budaya yang berbeza dan kemudian melalui perubahan yang ketara, terutamanya selepas 100 A.D. Walaupun begitu, agama-agama misteri ini memperlihatkan lima ciri umum.

  1. Dasar kepada setiap misteri adalah ia melibatkan kitar kehidupan tumbuh-tumbuhan di mana kehidupan diperbaharui setiap musim bunga dan mati setiap musim luruh. Pengikut-pengikut kultus misteri melihat simbolik yang sangat signifikan di dalam pertumbuhan, kematian, kehilangan, dan kelahiran semula alam semulajadi.
  2. Seperti yang dinyatakan di atas, setiap kultus mementingkan acara rahsia atau misteri, selalunya berkaitan dengan ritual penyertaan. Setiap agama misteri juga menurunkan suatu "rahsia" kepada yang telah menyertai [yang] mengandungi maklumat tentang kehidupan dewa atau dewi kultus tersebut dan bagaimana manusia dapat bersatu dengan dewa/dewi tersebut. "Pengetahuan" ini selalunya berkaitan dengan rahsia atau pengetahuan penuh misteri, tidak dapat diperolehi oleh mereka yang berada di luar kumpulan kultus tersebut.
  3. Setiap misteri juga berpusat pada mitos tentang di mana tuhan kepercayaan tersebut bangkit dari kematian atau mencapai kemenangan ke atas musuh-musuhnya. Juga tersirat di dalam mitos tersebut adalah pembebasan dari semua hal yang bersifat duniawi dan sementara.
  4. Misteri kepercayaan ini kurang atau tidak mempunyai sebarang doktrin dan kepercayaan yang benar. Mereka lebih prihatin tentang pengalaman emosional pengikut-pengikut mereka. Kultus-kultus ini menggunakan pelbagai kaedah untuk mempengaruhi emosi dan imaginasi pengikut mereka yang kemudian menghasilkan "kesatuan dengan tuhan": perarakan, berpuasa, suatu peranan, perbuatan penyucian, ritual nyala cahaya, liturgi esoterik [ritual yang hanya difahami oleh orang tertentu]. Ketiadaan penekanan terhadap kepercayaan yang benar merupakan perbezaan penting di antara kepercayaan misteri ini dan Kristianiti. Iman Kristian bersifat eksklusif di mana ia mengakui hanya satu jalan benar untuk bersama Tuhan dan keselamatan. Kepercayaan misteri ini pula bersifat terbuka di mana pengikut dalam sesuatu kultus itu boleh percaya kepada agama misteri yang lain.
  5. Matlamat segera yang diperolehi oleh mereka yang mengikuti kepercayaan ini ialah pengalaman bersifat mistik yang seolah-olah membuatkan mereka berasa telah bersatu dengan tuhan mereka. Matlamat yang lebih jauh lagi ialah 2 tujuan berikut: suatu penebusan atau keselamatan, dan kekekalan.
Evolusi
Sebelum tahun 100 A.D., agama-agama misteri ini masih terbatas di dalam lingkungan lokasi tertentu dan wujud sebagai fenomena yang agak baru. Setelah tahun 100 A.D., kepercayaan-kepercayaan ini mulai popular dan beransur-ansur mempengaruhi Empayar Kerajaan Rom. Namun, kepercayaan-kepercayaan ini juga mengalami perubahan ketara yang terhasil kerana kultus yang pelbagai ini saling menyerap kepercayaan kultus-kultus yang lain. Apabila penganut kepercayaan-kepercayaan ini mulai bersikap ekletik [bersifat terbuka dalam menerima dan memilih pelbagai sumber-sumber lain] di dalam kepercayaan dan amalan mereka, kombinasi baru dan ganjil yang terhasil dari gabungan kepercayaan sebelumnya mulai timbul. Dan apabila kultus-kultus ini mulai mengubah ciri-ciri yang tidak disenangi sebelum ini, ia mulai menarik minat lebih ramai pengikut.

MEMBINA SEMULA KEPERCAYAAN MISTERI
Hanya sekitar abad ke-3 Tahun Masihi kita dapat menemui maklumat secukupnya (contohnya, maklumat tentang agama misteri melalui penulisan zaman tersebut) untuk membentuk semula isi kepercayaan mereka selengkap yang mungkin. Banyak penulis menggunakan sumber lewat tersebut (selepas 200 A.D.) untuk membina semula kepercayaan agama misteri abad ke-3 dan kemudian tanpa penilaian yang cermat menganggap apa yang dinyatakan oleh sumber-sumber ini adalah sama dengan kepercayaan asal kultus-kultus tersebut di awal permulaannya. Amalan ini merupakan kaedah penyelidikan yang sangat tidak baik dan tidak seharusnya dibiarkan tanpa kritikan. Informasi tentang sesuatu kultus yang berasal dari sumber yang wujud beberapa tahun selepas Perjanjian Baru dibukukan tidak seharusnya dilihat sebagai menyamai status asal kultus tersebut semasa abad pertama selepas Masihi. Persoalan utama bukanlah pengaruh kepercayaan misteri yang mungkin telah memberikan kesan ke atas Kristianiti selepas 400 tahun Masihi, tetapi apa kesan kemunculan kepercayaan misteri ini ke atas Perjanjian Baru pada abad pertama.

Kultus Isis dan Osiris
Isis dan Osiris
Kultus Isis berasal dari Mesir dan telah mengalami dua perubahan besar. Di dalam versi Mesir awal, yang mana ketika itu ia bukan sebuah agama misteri, Isis dianggap sebagai dewi langit, tanah, laut, dan dunia ghaib yang berada di dalam bumi. Pada peringkat awal, Isis mempunyai seorang suami bernama Osiris. Kultus Isis hanya menjadi agama misteri apabila Ptolemy the First memperkenalkan beberapa perubahan besar, sekitar 300 B.C. [Sebelum Masihi]. Pada peringkat kemudian, dewa baru bernama Serapis menjadi pasangan Isis. Ptolemy memperkenalkan perubahan ini untuk mempersatukan kepentingan Mesir dan Yunani [Greek] di dalam kerajaannya, yang mana mempercepatkan Helenisasi [penyebaran kebudayaan Yunani] Mesir.
Serapis

Dari Mesir, kultus ini beransur-ansur sampai ke Rom. Walaupun pada mulanya Rom menolak kultus tersebut, agama ini akhirnya berjaya masuk ke dalam bandar semasa pemerintahan Caligula (37-41 A.D.). Pengaruhnya tersebar perlahan-lahan dalam 2 abad seterusnya, dan di tempat-tempat tertentu menjadi saingan utama kepada Kristianiti. Kejayaan kultus ini di dalam Empayar Rom kelihatannya disebabkan oleh ritual yang mengagumkan dan harapan kehidupan kekal kepada pengikut-pengikutnya.

Dasar mitos kultus Isis adalah berkenaan dengan Osiris, suaminya di peringkat awal kepercayaan ini semasa zaman Mesir awal dan belum menjadi agama misteri. Menurut versi paling umum mitos ini, Osiris telah dibunuh oleh saudaranya yang kemudian menenggelamkan keranda mayat Osiris ke dalam sungai Nil. Isis menjumpai mayat tersebut dan membawanya pulang ke Mesir. Namun, adik iparnya sekali lagi berjaya mendapatkan tubuhnya [tubuh Osiris], kali ini memotongnya kepada 14 bahagian dan memisahkannya ke merata tempat. Setelah lama mencari, Isis menemui semula setiap bahagian tubuh tersebut. Pada ketika inilah bahasa yang digunakan untuk menggambarkan apa yang berlaku seterusnya menjadi sangat penting. Kadang kala, mereka yang menceritakan kisah tersebut berpuas hati dengan sekadar mengatakan yang Osiris hidup kembali, walaupun ia melebih-lebihkan apa yang terkandung di dalam mitos yang sebenar. Sesetengah penulis pergi lebih jauh dengan merujuk kononnya Osiris telah "dibangkitkan". Ia digambarkan melalui seorang penulis liberal bagaimana biasnya sesetengah penulis apabila mereka menerangkan mitos pagan menggunakan gaya bahasa Kristian: "Mayat Osiris terapung di sungai Nil dan hidup kembali, ia tercapai melalui pembaptisan di dalam air sungai Nil."3

Penggunaan gaya bahasa yang berat sebelah dan cincai ini telah memberikan 3 persamaan yang mengelirukan di antara Osiris dan Kristus: (1)suatu tuhan penyelamat mati dan (2) mengalami kebangkitan disertai dengan (3) pembaptisan air. Namun, persamaan yang dikatakan, termasuk bahasa yang digunakan untuk menggambarkannya, hanyalah dibuat-buat oleh sarjana moden dan bukan sebahagian daripada mitos asal. Perbandingan di antara kebangkitan Yesus dan resusitasi [berbeza dengan keadaan dibangkitkan dari kematian, lebih kepada mendapat kesedaran] Osiris telah dibesar-besarkan.4 Bukan setiap versi mitos ini menceritakan Osiris hidup kembali; ada yang menceritakan dia hanya menjadi raja di alam kematian. Cubaan untuk mencari persamaan di antara pembaptisan Kristian dan mitos Osins juga dibuat-buat.5 Kaitan di antara nasib keranda Osiris di dalam sungai Nil dengan pembaptisan tidak lebih relevannya dengan tenggelamnya Kota Atlantis ke dasar laut. [Maksud ayat ini, peristiwa keranda Osiris di dalam sungai Nil tidak selari dengan pembaptisan Kristian sama seperti ia tidak selari dengan kisah Kota Atlantis yang tenggelam ke dasar laut]

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pada peringkat yang lebih kemudian, tuhan lelaki kepada kultus Isis bukan lagi Osiris yang boleh mati tetapi Serapis. Serapis seringkali digambarkan sebagai tuhan matahari, dan jelas ia bukan tuhan yang boleh mati. Jelas bahawa ia juga bukan tuhan yang bangkit dari kematian. Maka, penting untuk diingati bahawa versi kepercayaan misteri kultus Isis selepas Ptolemic yang disebarkan mulai 300 B.C. sehingga ke awal abad permulaan era Kristianiti langsung tidak mempunyai sebarang persamaan kepada tuhan penyelamat yang mati dan bangkit semula.

Kultus Cybele dan Attis
Cybele dan Attis.
Cybele, juga dikenali sebagai Ibu Agung, dipuja sepanjang perkembangan dunia kebudayaan Yunani. Pada mulanya ia dipuja sebagai dewi alam semulajadi. Di awal pemujaannya melibatkan upacara bersifat pesta di mana pemuja lelaki yang menjadi liar dan tidak tentu arah bertindak mengembiri diri mereka, yang kemudian menjadikan mereka "Galli" atau sida-sida kepada dewi mereka. Akhirnya Cybele menjadi Ibu kepada semua tuhan dan penguasa kepada semua hidupan.

Kebanyakan maklumat yang kita perolehi mengenai kultus ini bukan dari era awal kerajaan Rom. Namun, perinciannya tipis dan hampir kesemua maklumat ini dari sumber yang agak lewat, dan yang pastinya Perjanjian Baru telah dibukukan lama sebelum data-data tersebut diperolehi. [Dengan kata lain, Perjanjian Baru lebih awal berbanding maklumat tentang kultus tersebut]

Menurut mitos tersebut, Cybele mencintai seorang pengembala bernama Attis. Oleh kerana Attis curang, dia [Cybele] menyebabkannya [Attis] menjadi gila. Dikuasai ketidak warasan, Attis mengembiri dirinya sendiri lalu mati. Ini menyebabkan Cybele meratapi kematiannya, dan ia telah membawa masuk kematian ke dalam alam semulajadi. Namun, Cybele kemudian menghidupkan Attis, kejadian yang juga telah menghidupkan semula alam semula jadi.

Andaian awal seseorang pentafsir cenderung mempengaruhi penggunaan bahasa yang digunakannya dalam menggambarkan peristiwa selepas kematian Attis. Kebanyakan penulis dengan cuai merujuknya sebagai "Kebangkitan Attis" [menyamakan dengan Kebangkitan Yesus]. Namun hal ini adalah ditokok-tambah. Tidak dinyatakan sebarang hal yang serupa dengan kebangkitan di dalam mitos tersebut, yang mana hanya mengatakan bahawa Cybele cuma mampu mengekalkan mayat Attis. Lebih dari itu, hanya dikatakan bahawa rambutnya terus tumbuh dan sedikit pergerakan pada jarinya [Attis]. Di dalam versi lain mitos ini, Attis kembali hidup dengan tubuhnya menjadi sepohon pokok yang kekal subur. Memandangkan dasar idea kepada mitos ini adalah kitar kehidupan tumbuh-tumbuhan, sebarang persamaan dengan kebangkitan secara fizikal Kristus adalah ditokok-tambahkan.

Akhirnya ritual umum kepada mitos Attis menjadi acara tahunan di mana para pemuja berkongsi "kekekalan" Attis. Pada setiap musim bunga, pengikut Cybele akan meratapi kematian Attis dengan berpuasa dan mendera diri sendiri dengan dengan cemeti atau cambuk.

Hanya pada perayaan Rom yang lebih kemudian (selepas 300 A.D.) dalam merayakan pesta musim bunga persamaan yang sangat jauh dengan "kebangkitan" wujud. Pokok pine yang melambangkan Attis ditebang dan diusung seperti mayat ke dalam ruang pemujaan. Setelah berpesta beberapa waktu, pokok tersebut dikuburkan sementara para pemuja menjadi liar termasuk menghiris tubuh mereka dengan pisau. Pada malam berikutnya, "kubur" pokok tersebut dibuka dan "kebangkitan Attis" dirayakan. Akan tetapi, bahasa yang digunakan di dalam sumber yang lewat ini sangat kabur. Hakikatnya, tidak ada penjelasan yang jelas tentang "kebangkitan" Attis ditemui, termasuk sumber yang sangat lewat iaitu 4 abad selepas Kristus.

Taurobolium
Upacara Taurobolium
Ritual yang paling terkenal di dalam kultus Ibu Agung ialah taurobolium. Adalah penting untuk diketahui, ritual ini sebenarnya bukanlah sebahagian dari kultus tersebut di awal permulaannya. Ia memasuki kepercayaan tersebut selepas pertengahan abad ke-2 A.D.

Semasa melakukan upacara, pengikutnya duduk atau berbaring di dalam sebuah lubang di bawah pelantar sementara seekor lembu jantan disembelih di atas pelantar tersebut.6 Pengikutnya akan bermandikan darah yang masih panas binatang tersebut. Dikatakan taurobolium adalah sumber kepada istilah Kristian tentang disucikan oleh darah anak domba (Why 7:14) atau menerima percikan darah Yesus (1 Ptr 1:2). Ia juga dikatakan sebagai sumber kepada pengajaran Paulus di dalam Roma 6:1-4, di mana dia menggunakan pembaptisan Kristian sebagai identiti Kristian dengan mengaitkannya dengan kematian dan kebangkitan Yesus.

Walaupun begitu, konsep kematian dan kebangkitan tidak pernah menjadi sebahagian dari taurobolium. Bukti terbaik yang kita ada untuk ritual ini memerlukan kita memberikannya tarikh 100 tahun selepas Paulus menulis Roma 6:1-4. Tiada satu pun teks yang wujud menyokong dakwaan bahawa taurobolium mengabadikan kematian dan kebangkitan Attis. Adalah mustahil ritual pagan ini menjadi sumber kepada pengajaran Paulus di dalam Roma 6. Hanya di akhir abad ke empat A.D. ritual ini menambahkan konsep kelahiran semula. Beberapa sarjana terkenal melihat perkembangan adalah diakibatkan oleh pengaruh Kristian.7 Maka, adalah jelas, urutan perkembangan kepada ritual ini menjadikannya mustahil mempengaruhi Kristianiti abad pertama. Pengajaran Perjanjian Baru mengenai penumpahan darah sepatutnya dilihat melalui konteks latar belakang Perjanjian Lama - Paskah dan korban bait suci.

Mithraism
Mithra sedang membunuh
seekor lembu jantan.
Cubaan untuk membina semula kepercayaan dan amalan Mithraism menghadapi cabaran yang sukar kerana hanya sedikit maklumat yang kekal wujud tentangnya. Pengamal kultus ini menjelaskan keadaan dunia melalui dua prinsip utama dan berlawanan, kebaikan (digambarkan sebagai cahaya) dan kejahatan (kegelapan). Manusia perlu memilih pihak yang akan dipertahankannya; mereka terperangkap di dalam konflik cahaya dan kegelapan. Mithra kemudian dianggap sebagai pengantara yang paling berkuasa dan dapat membantu manusia menangkis serangan kuasa kejahatan.8


Sebab utama mengapa adalah mustahil untuk Kristianiti abad pertama dipengaruhi oleh kepercayaan Mithraic ialah faktor masa: Semuanya tidak tepat! Perkembangan Mithraism bermula selepas kesemua kitab Perjanjian Baru selesai ditulis, terlalu lewat untuk ia mempengaruhi apa-apa bahan di dalam Perjanjian Baru.9 Lebih dari itu, tidak ada monumen tinggalan kultus tersebut yang lebih awal dari 90-100 Tahun Masihi, malah tarikh ini memerlukan kita membuat andaian yang sangat longgar. Maka, kesulitan kronologi, menjadikan kemungkinan untuk wujudnya pengaruh Mithraic ke atasKristianiti awal sangat mustahil. Yang pasti, tidak ada sebarang bukti yang kukuh untuk wujudnya pengaruh tersebut.

PERSAMAAN MENONJOL?
Cukup banyak telah diperkatakan tentang kesilapan besar yang telah dilakukan oleh sarjana liberal di atas. Saya seringkali merujuk penulisan mereka yang membuktikan kecuaian, malah seperti melepaskan batuk di tangga. Seringkali kita menemui sarjana yang menggunakan istilah Kristian untuk menggambarkan amalan dan kepercayaan pagan, dan kemudian berasa kagum dan hairan dengan persamaan menonjol yang mereka sangkakan sebagai penemuan baru. Seseorang boleh pergi jauh untuk "membuktikan" kebergantungan Kristian awal terhadap kepercayaan misteri ini dengan menggambarkan suatu kepercayaan misteri atau amalan menggunakan istilah Kristian. J. Godwin melakukan hal ini di dalam bukunya, Mystery Religion in the Ancient World, yang menggambarkan criobolium (lihat nota kaki 6) sebagai "pembaptisan darah" di mana pengikutnya di "disucikan oleh darah domba".10 Sementara pembaca yang kurang informasi tentang hal ini merasa terkejut dengan persamaan luar biasa tersebut dengan Kristianiti (lihat Wahyu 7:14), pembaca yang mempunyai pengetahuan tentangnya akan tahu dakwaan tersebut adalah bersifat sangat berat sebelah terhadap Kristianiti.

Perbuatan menokok-tambah dan mengambil jalan mudah dalam menjelaskan sesuatu sering dilakukan di dalam kesusasteraan jenis ini. Kita sering menemui dakwaan yang dibesar-besarkan tentang persamaan di antara pembaptisan dan perjamuan kudus dengan "sakramen" yang ada di dalam kepercayaan-kepercayaan misteri ini. Cubaan untuk mencari persamaan di antara kebangkitan Kristus dengan "kebangkitan" tuhan di dalam kepercayaan-kepercayaan misteri ini melibatkan perbuatan mengambil jalan mudah yang sangat banyak dan kurang memberi perhatian terhadap perincian.

Ritual Pagan dan Sakramen Kristian
Kenyataan bahawa Kristianiti mempunyai perjamuan kudus dan penyucian tubuh dikatakan adalah bukti bahawa ia telah meminjam upacara ini daripada perkara yang sama di dalam kepercayaan pagan. Sudah tentu, hanya bersandarkan kepada upacara ini, ia tidak membuktikan apa-apa. Lagi pun, upacara keagamaan hanya dapat wujud dalam bentuk yang terhad, dan selalunya ia akan berkaitan dengan aspek yang penting atau umum di dalam kehidupan manusia. Persoalan yang lebih penting ialah pengertian upacara pagan tersebut. Upacara penyucian yang wujud sebelum Perjanjian Baru mempunyai pengertian yang berbeza dengan pembaptisan yang terdapat di dalam Perjanjian Baru, sementara upacara penyucian pagan yang wujud selepas 100 A.D adalah terlalu lewat untuk mempengaruhi Perjanjian Baru dan, sesungguhnya, mungkin kepercayaan itu sendiri yang dipengaruhi oleh Kristianiti.11 Perjamuan suci kepercayaan misteri Yunani yang wujud sebelum Kristian gagal membuktikan apa-apa kerana kesemua susunan kronologinya tidak tepat. Upacara Yunani yang dikatakan telah mempengaruhi Kristian abad pertama telah lama lenyap ketika kita sampai kepada era Yesus dan Paulus. Perjamuan kudus di dalam kepercayaan misteri selepas permulaan Kristian seperti Mithraism pula wujud terlalu lewat.

Tidak seperti ritual yang dilakukan untuk menjadi pengikut di dalam kultus-kultus misteri ini, baptisan Kristian merujuk kepada apa yang benar-benar wujud dan telah dilakukan di dalam sejarah - oleh Yesus Kristus. Para pengamal kepercayaan misteri ini percaya bahawa "sakramen" mereka mempunyai kuasa untuk memberikan pengikutnya kehidupan abadi secara mekanikal atau ghaib, tanpa memerlukan mereka melalui sebarang perubahan moral atau rohani. Hal ini jelas bukanlah pandangan Paulus berkenaan dengan keselamatan atau pun cara sakramen Kristian diamalkan. Berbeza dengan upacara kepercayaan pagan, upacara baptisan Kristian tidak bersifat mekanikal atau ghaib. Adalah jelas bahawa sumber kepada baptisan Kristian bukanlah dari upacara taurobolium (yang mana wujud selepas permulaan Kristianiti) atau penyucian kepercayaan misteri pagan. Sebaliknya, sumber upacara ini adalah dari penyucian untuk pemurnian yang terdapat di dalam Perjanjian Lama dan upacara Yahudi menyucikan pengikut baru, di mana perkara kedua ini besar kemungkinan adalah sumber kepada upacara baptisan yang dilakukan oleh Yohanes Pembaptis.

Di antara kesemua kultus misteri ini, hanya Mithra mempunyai upacara yang mirip dengan Perjamuan Tuhan. Sekeping roti dan secawan air diletakkan di hadapan pengikut baru sementara paderi Mithra mengucapkan ayat upacara. Namun kelewatan kepada wujudnya ritual ini tidak memungkinkan ia telah mempengaruhi Kristianiti abad pertama.

Dakwaan bahawa Perjamuan Tuhan adalah dipinjam dari kepercayaan pagan adalah didasarkan di atas penokok-tambahan dan tindakan mengambil jalan mudah dalam menjelaskan sesuatu. Ia menidakkan sepenuhnya persamaan yang kononnya wujud.12 Sebarang percubaan untuk menjejak sumber Perjamuan Kudus akan lebih berhasil jika ia tidak lari jauh dari latarbelakang Yahudi di dalam iman Kristian berbanding merayau jauh ke arah kepercayaan dan upacara kultus pagan. Perjamuan Tuhan adalah daripada Peribadi yang benar-benar wujud dan apa yang dilakukanNya di dalam sejarah. Peristiwa yang digunakan Yesus untuk memperkenalkan Perjamuan Tuhan yang ada di dalam Kristianiti adalah perayaan Paskah Yahudi. Cubaan untuk mencari sumber pagan kepada baptisan dan Perjamuan Tuhan harus diadili sebagai gagal.

Kematian tuhan-tuhan kepercayaan misteri dan Kematian Yesus
Cara terbaik untuk menilai dakwaan bahawa kepercayaan Kristian awal tentang kematian Kristus bergantung kepada kematian dan kebangkitan di dalam mitos pagan adalah dengan memeriksa dengan teliti setiap persamaan yang dikatakan. Kematian Yesus dan kematian tuhan-tuhan pagan berbeza sekurang-kurangnya dalam 6 perkara berikut:

  1. Tidak ada satu pun tuhan yang didakwa sebagai tuhan penyelamat ini mati demi orang lain. Pengertian bahawa Tuhan Anak mati demi ciptaanNya adalah unik hanya untuk Kristian sahaja.13
  2. Hanya Yesus mati kerana dosa. Seperti yang diperhatikan oleh Gunter Wagner, tidak ada satu pun tuhan pagan yang "bertujuan untuk membantu manusia. Sebab kematian mereka adalah berbeza (kemalangan semasa berburu, mengembiri diri sendiri, dll)."14
  3. Yesus mati hanya sekali (Ibr 7:27; 9:25-28; 10:10-14). Sebaliknya, tuhan-tuhan kepercayaan misteri adalah tuhan alam semulajadi yang mana kematian dan kehidupan semula mereka menggambarkan kitar alam semulajadi.
  4. Kematian Yesus adalah peristiwa yang benar-benar berlaku di dalam sejarah. Kematian dewa-dewi kepercayaan misteri muncul di pementasan drama mistikal tanpa sebarang kaitan sejarah; ia dirayakan berulang-ulang bersempena dengan kitaran kematian dan kelahiran alam semulajadi. Fakta yang tidak dapat dipertikaikan lagi ialah gereja awal percaya bahawa pemberitaan tentang kematian dan kebangkitan Yesus didasarkan dengan sejarah yang benar-benar berlaku, maka, sebarang cubaan untuk mengatakan bahawa kepercayaan ini diperolehi dari kultus-kultus pagan yang mistikal dan tidak mempunyai sebarang kaitan sejarah adalah sangat tidak masuk akal.15
  5. Tidak seperti dewa-dewi kepercayaan misteri, Yesus berkorban secara sukarela. Hal ini langsung tidak wujud di dalam kepercayaan-kepercayaan misteri ini.
  6. Dan yang terakhir, kematian Yesus bukanlah kekalahan tetapi kemenangan. Kristianiti jauh berbeza dengan kepercayaan misteri pagan di mana kematian Yesus dilaporkan sebagai sebuah kemenangan. Walaupun ketika Yesus mengalami kesengsaraan dan dipermalukan di kayu salib, Dia adalah Pemenang. Kegembiraan meluap-luap yang digambarkan di dalam Perjanjian Baru jauh berbeza dengan kepercayaan-kepercayaan misteri ini, di mana para pengikutnya menangisi dan meratapi nasib malang yang menimpa tuhan-tuhan mereka.16
Kristus yang Bangkit dan "kebangkitan dewa-dewi penyelamat"
Dewa-dewi kepercayaan misteri manakah yang mengalami kebangkitan dari kematian? Yang pasti tidak ada sebarang catatan kuno awal yang menyebut tentang kebangkitan Attis. Kebangkitan Osiris juga tidak begitu kukuh. Kisah "kebangkitan" di dalam cerita Osiris, Attis, dan Adonis hanya dapat diperkatakan jika kita mengambil pendekatan yang dilebih-lebihkan.17 Contohnya, setelah Isis mengumpul kesemua bahagian tubuh Osiris, Osiris menjadi "dewa alam kematian". Ini adalah contoh yang sangat lemah jika dibandingkan dengan kebangkitan Yesus Kristus. Dan, tidak ada sebarang dakwaan yang wujud bahawa Mithras adalah tuhan yang mati dan bangkit dari kematian. Arus pendapat ilmuwan telah berubah secara mendadak terhadap sebarang cubaan untuk mengaitkan Kristianiti awal sebagai bergantung kepada tuhan yang kononnya mati dan bangkit semula semasa era kebudayaan pagan Yunani.18 Sebarang penyelidikan yang tidak berat sebelah terhadap bukti-bukti yang ada menunjukkan dakwaan seperti itu mesti ditolak.

Kristian yang Lahir Baru dan Ritual keahlian Kultus
Penulisan-penulisan liberal sering melakukan perbuatan generalisasi sehingga mendakwa bahawa Kristianiti awal meminjam pengajaran tentang lahir baru daripada kepercayaan misteri pagan.19 Namun, bukti yang ada jelas menunjukkan tidak wujud doktrin lahir baru sebelum permulaan Kristian yang membolehkan Kristian meminjamnya. Sebenarnya tidak banyak bukti yang tinggal tentang pengajaran lahir baru, malah yang ada pun samada ia wujud terlalu lewat atau tidak mempunyai pengertian yang jelas. Ia tidak membantu apa-apa dalam menjawab persoalan tentang sumber penggunaan konsep tersebut di dalam Perjanjian Baru. Dakwaan bahawa kepercayaan misteri sebelum permulaan Kristianiti menganggap ritual keahlian mereka [kepercayaan misteri] sebagai sejenis konsep lahir baru tidak disokong oleh sebarang bukti yang diperolehi sezaman dengan amalan yang dikatakan. Sebaliknya, pandangan yang diperolehi dari manuksrip yang lebih lewat dilihat sebagai ritual asli, yang kemudian ditafsir secara spekulasi dan menjadikannya gambaran yang dramatik terhadap konsep "lahir baru" di dalam ritual kemasukan pengikut baru bagi kepercayaan tersebut. Pandangan bahawa kepercayaan misteri sebelum permulaan Kristianiti menggunakan konsep "lahir baru" sebagai istilah teknikal tidak disokong walau daripada satu peninggalan manuskrip pun.

Kebanyakkan sarjana moden berpendapat bahawa penggunaan konsep lahir baru oleh kepercayaan-kepercayaan misteri ini (yang diketahui hanya melalui bukti bertarikh selepas 300 A.D.) sangat berbeza dengan penggunaannya di dalam Perjanjian Baru sehingga sebarang kemungkinan ia berkaitan adalah tertolak sama sekali. Hanya hal berikut yang sanggup diterima oleh para sarjana, iaitu kemungkinan berapa Kristian meminjam metafora atau perumpamaan daripada gaya bahasa yang sering digunakan zaman itu dan mengolahnya agar sesuai dengan fahaman teologi mereka yang tersendiri. Maka, walaupun bahasa yang digunakan adalah bersifat kebudayaan Yunani, pengertiannya yang terkandung di dalam Kristianiti adalah unik.20


TUJUH ARGUMEN MENIDAKKAN KEBERGANTUNGAN KRISTIAN TERHADAP KEPERCAYAAN MISTERI.
Saya simpulkan dengan memberikan 7 perkara yang melemahkan usaha para liberal untuk menunjukkan Kristianiti abad pertama meminjam kepercayaan dan upacara daripada agama misteri pagan.

  1. Argumen-argumen yang diberikan untuk "membuktikan" Kristian bergantung kepada kepercayaan misteri menunjukkan suatu kekeliruan logik yang dipanggil sebagai false cause [kekeliruan dalam mengaitkan punca dan akibat sesuatu peristiwa]. Kekeliruan ini timbul apabila seseorang menganggap jika sesuatu itu wujud pada masa yang sama, salah satu darinya pasti telah menjadi punca kepada yang satu lagi. Seperti yang kita seharusnya sedar, suatu kebetulan tidak membuktikan wujudnya sebarang kaitan antara punca dan akibat. Persamaan juga tidak menunjukkan kebergantungan.
  2. Kebanyakan dari persamaan yang didakwa wujud di antara Kristianiti dan kepercayaan-kepercayaan misteri ini adalah ditokok-tambah atau dipalsukan. Para sarjana sering meminjam istilah Kristianiti dalam menggambarkan ritual pagan. Penggunaan bahasa yang cuai akan mengakibatkan seseorang memperkatakan kewujudan "Perjamuan Kudus" di dalam Mithraism atau "Baptisan" di dalam kultus Isis. Adalah sukar diterima jika perkataan "penyelamat" bersama-sama dengan pengertiannya di dalam Perjanjian Baru diguna pakai ke atas Osiris atau Attis seolah-olah mereka juga adalah tuhan penyelamat.
  3. Kesemua urutan kronologinya adalah salah. Hampir kesemua sumber maklumat kita tentang agama-agama pagan yang kononnya telah mempengaruhi Kristianiti awal ini adalah dari tarikh yang sangat lewat. Kita sering menemui penulis yang memetik dari dokumen yang ditulis 300 tahun selepas Paulus dalam usaha untuk mengatakan Paulus telah dipengaruhi olehnya. Kita mesti menolak pandangan bahawa hanya kerana suatu kultus itu mempunyai kepercayaan atau upacara tertentu pada abad ke-tiga atau ke-empat selepas Kristus, maka ia juga mempunyai kepercayaan atau upacara yang sama pada abad pertama.
  4. Adalah mustahil untuk Paulus meminjam dari kepercayaan pagan. Kesemua maklumat yang ada pada kita tentangnya sangat tidak memungkinkan dia dipengaruhi oleh mana-mana sumber kepercayaan pagan. Dia sangat menekankan pengajaran Yahudi di awal pembelajarannya (Flp 3:5). Dia juga memberi peringatan kepada jemaat di Kolose terhadap pengaruh dari Kristian yang telah menyatukan aliran-aliran tertentu dan mengaitkan pandangan tersebut dengan dirinya, iaitu, agar tidak membiarkan fikiran mereka dikuasai oleh pandangan asing tersebut (Kol 2:8).
  5. Iman Kristianiti awal bersifat eksklusif. Seperti yang dijelaskan oleh J. Machen, kultus-kultus misteri tersebut tidak bersifat eksklusif. "Seseorang boleh mengikuti kepercayaan misteri Isis atau Mithras tanpa perlu meninggalkan kepercayaannya sebelum itu; tetapi jika dia mahu diterima ke dalam Gereja, menurut Paulus, dia mesti meninggalkan semua penyelamat lamanya dan hanya mengikut Tuhan Yesus Kristus...Di tengah-tengah dunia Yunani-Rom yang saling bercampur, agama yang dibawa Paulus, bersama-sama agama yang dibawa Israel, berdiri seorang diri."21 Sifat eksklusif kepercayaan Kristian ini harus menjadi titil permulaan dalam merenung semua kemungkinan wujudnya perkaitan di antara Kristianiti dan kepercayaan pagan. Sebarang tanda wujudnya penyatuan fahaman di dalam Perjanjian Baru akan serta merta menimbulkan kontroversi.
  6. Tidak seperti kepercayaan misteri, agama yang dibawa oleh Paulus adalah berdasarkan peritiwa yang benar-benar berlaku di dalam sejarah. Sifat mistikal di dalam kepercayaan misteri ini adalah bukan sejarah. Mitos mereka adalah pementasan, atau lukisan-lukisan, tentang apa yang perlu dilakukan oleh penganut-penganutnya, bukan peristiwa sejarah yang telah terjadi, yang mana merupakan pandangan Paulus terhadap kematian dan kebangkitan Kristus. Pengesahan Kristian bahawa kematian dan kebangkitan Kristus terjadi ke atas peribadi yang benar-benar wujud di dalam sejarah dengan perincian masa dan tempat ia terjadi adalah sangat berbeza dan tidak wujud sebarang persamaan dengan mana-mana kepercayaan misteri pagan.
  7. Sedikit persamaan yang wujud mungkin menunjukkan pengaruh Kristian ke atas sistem kepercayaan pagan. Seperti yang dinyatakan oleh Bruce Metzger, "Kita tidak patut membiarkan pendapat bahawa kepercayaan misteri sering mempengaruhi Kristianiti tanpa penilaian yang kritikal, kerana adalah sesuatu yang tidak mustahil malah besar kemungkinan, pengaruh tersebut adalah dari pihak yang sebaliknya."22 Adalah sesuatu yang tidak menghairankan jika pemimpin-pemimpin kultus ini yang disaingi oleh Kristianiti akan cuba melakukan sesuatu untuk melawan persaingan tersebut. Apa cara yang lebih baik selain memperkenalkan suatu pengganti pagan? Usaha pagan untuk melawan pertumbuhan Kristianiti dengan menirunya sangat jelas apabila Julian the Apostate telah melakukan usaha tersebut, yang merupakan Maharaja Empayar Rom dari 361 hingga 363 A.D.
PENUTUP
Usaha para liberal untuk melemahkan keunikkan pemberitaan Kristian melalui dakwaan dipengaruhi oleh kepercayaan pagan tidak dapat bertahan setelah maklumat penuh kepada perkara ini diperolehi. Adalah jelas sarjana liberal menunjukkan penyelidikan yang sangat lemah. Namun demikian, kesimpulan ini sebenarnya sangat 'murah hati'. Menurut seorang penulis, kesimpulan yang lebih tepat tentang penyelidikan yang lemah ini adalah "prasangaka yang tidak bertanggungjawab".23 Namun, untuk mempunyai maklumat yang cukup untuk hal ini, pembaca yang bijak akan membaca bahan-bahan yang dipetik dari senarai bibliografi yang diberikan di bawah.

NOTA

1 See Ronald Nash, The Gospel and the Greeks (Richardson, TX: Probe Books, 1992). The book was originally published in 1984 under the title, Christianity and the Hellenistic World.
2 I must pass over these Greek versions of the mystery cults. See Nash, 131-36.
3 Joseph Klausner, From Jesus to Paul (New York: Macmillan, 1943), 104.
4 See Edwin Yamauchi, “Easter – Myth, Hallucination, or History?” Christianity Today, 29 March 1974, 660-63.
See Günter Wagner, Pauline Baptism and the Pagan Mysteries (Edinburgh: Oliver and Boyd, 1967), 260ff.
6 When the ceremony used a lamb, it was the criobolium. Since lambs cost far less than bulls, this modification was rather common.
7 See Nash, chapter 9.
8 For more detail, see Nash, 143-48.
9 See Franz Cumont, The Mysteries of Mithra (Chicago: Open Court, 1903), 87ff.
10 Joscelyn Godwin, Mystery Religions in the Ancient World (New York: Harper and Row, 1981), 111.
11 See Nash, chapter 9.
12 See Herman Ridderbos, Paul: An Outline of His Theology (Grand Rapids: Eerdmans, 1975), 24.
13 See Martin Hengel, The Son of God (Philadelphia: Fortress Press, 1976), 26.
14 Wagner, 284.
15 See W. K. C. Guthrie, Ortheus and Greek Religion, 2d ed. (London: Methuen, 1952), 268.
16 See A. D. Nock, “Early Gentile Christianity and Its Hellenistic Background,” in Essays on the Trinity and the Incarnation, ed. A. E. J. Rawlinson (London: Longmans, Green, 1928), 106.
17 See J. Gresham Machen, The Origin of Paul’s Religion (New York: Macmillan, 1925), 234-35.
18 See Nash, 161-99.
19 See Nash, 173-78.
20 See W. F. Flemington, The New Testament Doctrine of Baptism (London: SPCK, 1948), 76-81.
21 Machen, 9.
22 Bruce M. Metzger, Historical and Literary Studies: Pagan, Jewish, and Christian (Grand Rapids: Eerdmans, 1968), 11. The possible parallels in view here would naturally be dated late, after A.D. 200 for the most part.
23 Gordon H. Clark, Thales to Dewey (Boston: Houghton Mifflin, 1957), 195.

Ulasan