Langkau ke kandungan utama

Apakah yang dimaksudkan oleh Kristian apabila mengatakan: "Alkitab adalah Firman Tuhan"?

Kristian percaya bahawa Alkitab adalah Firman Tuhan. Namun, apabila ditanya tentang hal tersebut, agak ramai yang tidak dapat memberikan jawapan yang tepat.

Sebagai orang percaya, hal ini penting kita ketahui kerana hakikatnya, bagaimana Alkitab dilihat sebagai Firman Tuhan adalah berbeza berbanding kitab kepercayaan-kepercayaan yang lain.

Ada dua ayat penting yang memperkatakan tentang hal ini, iaitu 2 Timotius 3:16 dan 2 Petrus 1:21.
2 Timotius 3:16,
Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan membetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Allah.
Perkataan diilhami yang digunakan di dalam bahasa asal kitab 2 Timotius 3:16, iaitu Greek, adalah theopneustos, yang juga membawa maksud nafas Tuhan (theo=Tuhan, pnue=nafas). Ini bererti asal-usul Alkitab adalah daripada Tuhan, bukan manusia; seperti yang dinyatakan oleh ayat yang dipetik diatas.

Seterusnya,
2 Petrus 1:21,
Hal itu demikian kerana tidak ada nubuat yang disampaikan oleh para nabi, berasal daripada kehendak manusia. Tetapi Roh Allah menguasai orang semasa mereka menyampaikan perkhabaran yang datang daripada Allah.
Ayat ini juga menjelaskan bahawa semua nubuat yang disampaikan oleh para nabi adalah daripada Tuhan. Dan perhatikan bahagian yang digariskan di atas, dikatakan Roh Tuhan yang menguasai para nabi tersebut semasa mereka menyampaikan perkhabaran daripada Tuhan.



Tuhan mengilhamkan Firman-Nya kepada para nabi melalui kuasa Roh Kudus. Ini bererti mereka yang menulis kitab-kitab di dalam Alkitab (seperti Kejadian, Keluaran, Hakim-hakim, Mikha, Maleakhi, Lukas, Yohanes, dll) menulis berdasarkan pimpinan Roh Tuhan, namun mereka juga terlibat sama di mana Tuhan memakai pengetahuan dan pengalaman mereka untuk menyatakan Firman-Nya. Mereka mungkin menulis berdasarkan pengetahuan dan pengalaman mereka, tetapi apa yang mereka tuliskan--walaupun berdasarkan peristiwa/perkara yang mereka ketahui dan alami--adalah seperti yang Tuhan kehendaki.

Contohnya, Lukas 1:1-4,

1 Tuan Teofilus yang terhormat, Banyak orang telah berusaha membuat laporan tentang peristiwa yang berlaku di kalangan kami.
2 Mereka menulis sesuai dengan apa yang diceritakan kepada kami oleh mereka yang menyaksikan peristiwa itu dari permulaan dan kemudian mengisytihar berita itu.
3 Tetapi sekarang, Tuan Teofilus yang terhormat, saya sendiri telah menyelidiki semua peristiwa itu dari permulaannya, maka ada baiknya saya juga menulis satu laporan yang teratur untuk tuan.
4 Saya berbuat demikian supaya tuan dapat tahu dengan selengkapnya bahawa apa yang telah diajarkan kepada tuan memang benar.
Lukas menyatakan apa yang ditulisnya adalah hasil penyelidikannya terhadap peristiwa tersebut dari permulaannya. Ini menunjukkan Lukas mengakui menggunakan pengetahuan dan pengalamannya sendiri serta saksi-saksi kejadian yang lain untuk menulis Injil Lukas. Namun, pada masa yang sama, semua yang ditulis oleh Lukas juga sebenarnya adalah seperti yang dikehendaki oleh Tuhan.

Kesimpulan
Apabila Kristian mengatakan Alkitab adalah Firman Tuhan,
- Ia tidak bermaksud Tuhan menurunkan bulat-bulat Alkitab seperti yang kita miliki hari ini.
- Ia tidak bermaksud penulis-penulis kitab di dalam Alkitab hanya menuliskan apa yang dikatakan Tuhan. Sebaliknya Tuhan memakai pengalaman dan pengetahuan mereka untuk menulis sesuai dengan kehendak-Nya.

Ulasan

alex berkata…
Bagaimana menjawab kontradiksi yg ternyata banyak bercanggahan seperti didakwa muslim? Contoh 2000 bukan 20,000 atau di atas bukan di bawah, sebelum bukannya selepas dll?
Unknown berkata…
Hai Alex,
Soalan yang baik, saya akan menulis post khusus memperkatakan dakwaan percanggahan ini. Yang pasti, setakat ini tidak ada 'percanggahan' yang tidak dapat dijelaskan di dalam Alkitab.