Langkau ke kandungan utama

Good Friday, memperingati Penyaliban Yesus

Penyaliban, kematian, dan kebangkitan Yesus merupakan peristiwa yang menjadi dasar kepada permulaan Kristianiti. Tanpa peristiwa penting ini, Kristianiti tidak akan bermula, malah tidak akan wujud di dalam dunia ini.

Persoalan sama ada Yesus disalibkan atau tidak sebenarnya tidak wujud kerana hakikatnya, fakta dan bukti yang ada dengan kuat menyokong peristiwa penyaliban Yesus. Kesahihan peristiwa penyaliban ini diterima oleh hampir semua pengkaji sejarah, sama ada Kristian atau bukan Kristian. Malah, John Dominic Crossan, seorang pengkaji bukan Kristian yang sangat kritikal terhadap Kristianiti juga mengakui bahawa peristiwa penyaliban Yesus adalah peristiwa yang paling diyakini telah terjadi di dalam sejarah dunia[1].


Menolak kesahihan peristiwa penyaliban ini bererti menolak fakta dan bukti yang ada. Ia sama seperti mengatakan bumi adalah rata walaupun fakta dan bukti yang ada menunjukkan bumi berbentuk seperti Oblate Spheroid.

Namun, berapa ramai di antara kita, yang sungguh-sungguh merenungkan betapa agungnya peristiwa penyaliban Yesus ini di dalam kehidupan kita? Adakah kita melihatnya sekadar suatu tradisi yang sekadar didengar di dalam gereja pada hari Good Friday, dan kemudian dilupakan pada hari-hari seterusnya?

Agak menyedihkan peristiwa agung ini kurang diberikan perhatian berbanding Hari Krismas. Lebih menyedihkan Hari Krismas juga sering dilihat sebagai sekadar sebuah cuti umum dan hari perayaan biasa. Di mana silapnya apabila gereja sendiri kurang memberikan penekanan terhadap aspek pengetahuan tentang perkara ini? Yang lebih ditekankan oleh kepimpinan gereja adalah ritual, tanpa suatu penjelasan kepada jemaat tentang pemahaman, fakta, dan signifikannya peristiwa penyaliban. Sedangkan peristiwa penyaliban Yesus ini diperingati melalui catatan di dalam sejarah dunia, oleh mereka yang tidak percaya kepada-Nya.

Kita perlu mengerti apa yang kita imani. Kita perlu menggunakan segenap hati, jiwa dan kekuatan serta akal fikiran kita untuk merenungkan dan menyelami maksud serta kebenaran yang ada di dalam peristiwa penyaliban ini. Jika kita sekadar mengikut dek kerana kebiasaan, tanpa sebarang dasar pemahaman yang sungguh-sungguh, kita tidak ada bezanya dengan mereka yang mempercayai kepercayaan tahyul. Di mana mereka juga percaya tanpa sebarang pengertian, hanya menurut apa yang diwarisi tanpa usul periksa.

Selamat memperingati Hari Penyaliban Yesus (Good Friday). Tuhan memberkati.

Nota:
[1] John Dominic Crossan, Jesus: A Revolutionary Biography (San Francisco: HarperCollins, 1991), p. 145.

Ulasan