Langkau ke kandungan utama

Bagaimana menjawab kontradiksi yg ternyata banyak bercanggahan seperti didakwa Muslim?

Tajuk post ini sebenarnya adalah berdasarkan komen yang diberikan oleh saudara Alex di post sebelum ini. Persoalan ini sangat baik dan penting kerana Muslim sering memetik ayat-ayat atau peristiwa dari Alkitab yang menurut mereka adalah suatu percanggahan.

Untuk merungkai masalah ini, kita perlu terlebih dahulu mengetahui asas dan pemahaman yang menjadi dasar kepada dakwaan-dakwaan tersebut.

Punca utama dakwaan-dakwaan ini timbul adalah kerana Muslim melihat definisi 'Firman Tuhan' mengikut apa yang mereka percaya tentang Al-Quran. Mereka kemudian mengunakan definisi tersebut untuk menilai Alkitab.

Menurut Muslim, seluruh Al-Quran diturunkan (tanzil) dari syurga tanpa sebarang campur tangan manusia. Di mana Nabi Muhammad, melalui perantaraan malaikat Jibril, telah menerima wahyu Firman Tuhan iaitu Al-Quran daripada Tuhan. Maka, atas pemahaman mereka bahawa Al-Quran adalah Firman Tuhan yang tidak mempunyai sebarang campur tangan manusia, diturunkan terus dari syurga, maka Al-Quran menurut mereka adalah Firman Tuhan yang paling jelas dan tulen. Pemahaman ini kemudian digunakan untuk menilai Alkitab. Masalahnya, pemahaman tentang apa itu Firman Tuhan menurut perspektif Kristian adalah jauh berbeza dengan perspektif Muslim.

Berbeza dengan Al-Quran, Alkitab tidak diturunkan melalui cara yang sama. Alkitab tidak ditulis/diterima oleh seorang penulis sahaja tetapi terdiri daripada himpunan 66 buah kitab, ditulis oleh lebih daripada 40 orang penulis, dalam tempoh 1500 tahun. Maka, Kristian sentiasa mengatakan bahawa Alkitab mengandungi tulisan manusia. Ini terbukti apabila terdapat pelbagai gaya penulisan, bahasa, dan budaya yang berbeza (mengikut zaman penulisan kitab tersebut) di dalam Alkitab. Namun, itu tidak bererti Alkitab bukannya Firman Tuhan kerana setiap penulis kitab di dalam Alkitab menulis melalui pengilhaman oleh Roh Kudus. Secara ringkasnya, Alkitab adalah Firman Tuhan (Perkataan Tuhan) yang ditulis menggunakan perkataan manusia.

Sudah pasti Muslim tidak akan dapat menerima definisi ini kerana ia bertentangan dengan pemahaman mereka terhadap Al-Quran. Namun, kebanyakkan Muslim tidak menyedari bahawa dakwaan mereka bahawa Al-Quran adalah Firman Tuhan sebenarnya diberikan oleh Nabi Muhammad sendiri, peribadi sama yang mengaku menerima Al-Quran. Maka, dakwaan bahawa Al-Quran adalah Firman Tuhan sebenarnya kelihatan seperti 'circular logic'.

Berbalik kepada percanggahan-percanggahan yang ditimbulkan, selalunya ia disebabkan oleh (1)pemahaman konteks yang salah atau (2)akibat kesilapan penyalin manuskrip Alkitab. Untuk percanggahan yang timbul akibat daripada (1), ia boleh dijelaskan dengan mudah. Untuk percanggahan yang timbul akibat dari (2), penjelasan lanjut perlu diberikan.

Akibat kesilapan penyalin manuskrip Alkitab
Perlu diketahui, penulis-penulis asal kitab-kitab di dalam Alkitab menulis menggunakan bahan yang kurang 'moden' berbanding zaman ini. Mereka menggunakan sama ada batu, kepingan kulit binatang, kulit pokok, atau sejenis tumbuhan yang dipanggil sebagai papyrus. Bahan-bahan ini tidak tahan lama. Salinan kepada kitab-kitab asal Alkitab perlu dibuat agar mesej yang ada dapat diwariskan.

Sebagai contoh, Kitab-kitab di dalam Perjanjian Lama ditulis sekitar abad ke-17 hingga abad ke-5 sebelum masihi. Maka sudah tentu kitab-kitab yang telah ditulis perlu disalin berulang-kali agar mesej yang ada dapat diwarisi dan dibaca oleh generasi seterusnya. Dalam proses penyalinan ini, adalah diakui kesilapan-kesilapan kecil telah terjadi. Saya katakan kecil kerana kesilapan-kesilapan tersebut tidak mempengaruhi dasar atau doktrin utama di dalam Alkitab.

Contoh "percanggahan":
Umur Ahazia ketika dia menjadi raja Yerusalem di dalam 2 Raja-raja 8:26 adalah 22 tahun sedangkan di dalam 2 Tawarikh 22:2 adalah 42 tahun. Mengapa ia berbeza? (Perbezaan ini selalu ditimbulkan oleh Muslim.) Namun, umur sebenar Ahazia ketika menjadi raja (iaitu 22 tahun) dapat diketahui di bahagian lain di dalam Alkitab. Di awal kitab 2 Raja-raja iaitu 2 Raja-raja 8:17, penulis menyebut bahawa  ayah kepada Ahazia iaitu Yoram menjadi raja ketika berumur 32 tahun dan meninggal lapan tahun kemudian pada umur 40 tahun. Ahazia kemudian mewarisi tahkta ayahnya sebagai raja Yerusalem. Maka, mustahil Ahazia berumur 42 tahun semasa menjadi raja kerana ayahnya mati pada umur 40 tahun. Ini bererti penyalin kitab 2 Tawarikh telah tersilap salin.

Mungkin ada yang akan mengatakan, "mustahil si penyalin boleh tersilap menyalin nombor 22 kepada 42, bukankah nombor tersebut sangat jelas berbeza?". Jika ada yang menimbulkan persoalan demikian, ia berkaitan dengan (1) pemahaman konteks yang salah.

Pemahaman Konteks yang Salah
Perlu diketahui, sistem nombor yang digunakan bukanlah seperti sistem zaman ini. Pada zaman tersebut, nombor ditulis menggunakan simbol, bukannya digit. Sebelum abad ke-5 sebelum masihi, bangsa Yahudi menggunakan sistem nombor yang sama digunakan di Mesir kuno. Maka, tidak mustahil penyalin kitab 2 Tawarikh tersilap kerana sistem nombor Mesir kuno adalah menggunakan garis dan simbol.

Kesimpulan

Jika kita berhadapan dengan dakwaan percanggahan di dalam Alkitab yang diberikan oleh Muslim, jangan panik. Mungkin kita tidak dapat memberikan jawapan pada masa tersebut. Tidak apa. Tidak dapat menjawab tidak bererti kita tersilap. Itu hanya menunjukkan kita tidak tahu dan belum tahu penjelasan kepada permasalahan yang ditimbulkan.

Yang pasti, dakwaan-dakwaan percanggahan tersebut timbul akibat salah faham, kurang penyelidikan, dan mungkin juga diberikan untuk mencuba kita. Walau apa pun tujuan ia ditimbulkan, pastikan kita mengaplikasikan ayat 1 Petrus 3:15 ketika memberikan penjelasan.

p/s: Jika ada pembaca yang ingin bertanyakan tentang 'percanggahan' yang ada di dalam Alkitab, sila berikan contoh percanggahan anda di ruangan komen post ini.

Ulasan