Langkau ke kandungan utama

Siri Good Friday & Easter: Misteri 500

Diterjemahkan dari buku The Case for Christ muka surat 231-233.
*Senarai lengkap siri ini di sini.
--------------------------------------------------------------------------------
Pengakuan iman di dalam 1 Korintus 15 adalah satu-satunya penulisan kuno yang mendakwa Yesus telah menampakkan diri-Nya kepada 500 orang sekaligus. Keempat-empat Injil tidak menyebutkan hal ini. Tidak ada seorang pun penulis sejarah yang mencatatkannya. Bagi saya, hal ini menimbulkan keraguan.

    "Jika hal ini benar-benar terjadi, mengapa tiada sesiapa pun yang memperkatakannya?" Saya bertanya kepada Habermas. "Para rasul pastinya akan memperkatakan hal ini sebagai bukti ke mana pun mereka pergi. Seperti yang dikatakan oleh seorang Ateis, Michael Martin, 'kita perlu menyimpulkan bahawa adalah sangat tidak mungkin untuk hal ini benar-benar terjadi' dan maka dengan itu, 'secara tidak langsung menimbulkan keraguan ke atas Paulus.'"


    Kata-kata tersebut membuatkan Habermas kurang senang. "Adalah sesuatu yang mengarut untuk mengatakan hal ini menimbulkan keraguan ke atas Paulus," jawabnya dengan nada yang kurang senang dan juga hairan bahawa ada yang akan memberikan tuduhan seperti itu.
    "Maksud saya, walaupun ia hanya dilaporkan oleh satu sumber sahaja, ia adalah sumber terawal dan yang paling sahih di antara semua!"
    "Kedua, Paulus jelas mengenal mereka yang disebut di dalam pengakuan iman tersebut. Dia berkata, 'kebanyakan dari mereka masih hidup sampai sekarang, tetapi beberapa di antaranya telah meninggal.' Paulus mungkin kenal dengan mereka atau orang lain yang mengenal mereka memberitahunya bahawa mereka masih lagi hidup dan sanggup disoal tentang pengakuan iman tersebut."
    "Cuba anda fikirkan sejenak: anda tidak akan memasukkan ungkapan tersebut jika anda tidak yakin mereka akan mengesahkan bahawa telah melihat Yesus dalam keadaan hidup. Maksud saya, Paulus sebenarnya menjemput orang ramai untuk memeriksa sendiri hal ini! Dia tidak akan melakukan hal ini jika dia tidak tahu sama ada mereka akan menyokongnya atau tidak."
    "Ketiga, apabila kita hanya ada satu sumber, kita boleh bertanya, 'mengapa tidak ada yang lain?' Tetapi kita tidak boleh berkata, 'Sumber yang hanya satu ini tidak boleh dipercayai.' Anda tidak boleh memperlekahkan sumber ini seperti itu. Maka, ia tidak menimbulkan keraguan ke atas Paulus. Percayalah, Martin sangat ingin melakukannya, tetapi dia tidak dapat melakukannya secara sah."
    "Ini adalah contoh bagaimana para pengkritik mahu menidakkan semuanya. Umumnya, mereka memperlekehkan Peristiwa Kebangkitan Yesus kerana ia dikatakan sepadan dengan penceritaan Paulus memandangkan dia dilihat sebagai sumber yang utama. Namun, dalam isu ini pula, mereka mempertikaikan Paulus sedangkan mereka memang pada mulanya sudah tidak begitu percaya dengan teks yang diperkatakan! Bukankah ini memberikan keraguan ke atas metodologi mereka sendiri?"

    Saya masih menghadapi masalah dalam membayangkan penampakkan Yesus ini kepada kumpulan orang yang ramai. "Di manakah penampakkan kepada lima ratus orang ini mungkin telah berlaku?" saya bertanya kepadanya.
    "Mungkin di kawasan desa Galilea," Habermas memberikan andaiannya. "Jika Yesus dapat memberi makan kepada lima ribu orang, Dia juga boleh berkhotbah kepada lima ratus orang. Dan Matius mencatatkan Yesus menampakkan diri-Nya di kawasan bukit; mungkin bukan hanya murid-muridNya yang berada di situ ketika itu."
    Sambil membayangkan gambaran peristiwa tersebut di dalam minda saya, saya masih tertanya-tanya mengapa tidak ada orang lain yang mencatatkan peristiwa tersebut. "Tidakkah penulis sejarah, Josephus, akan melaporkan peristiwa yang besar ini?"
    "Saya berpendapat, tidak. Josephus menulis enam puluh tahun kemudian. Berapa lamakah sesuatu kejadian tempatan disebarkan sebelum ia mulai tidak diperkatakan lagi?" tanya Habermas. "Jadi, sama ada Josephus tidak tahu tentangnya atau memilih untuk tidak menyebutnya, yang mana adalah masuk akal kerana kita tahu Josephus bukanlah pengikut Yesus. Kita tidak boleh berharap bahawa Josephus akan menyokong Yesus."

    Apabila saya tidak memberikan sebarang respon untuk seketika, Habermas menyambung. "Begini, saya sangat ingin kita mempunyai lima sumber untuk hal ini. Tapi tidak ada. Tetapi kita mempunyai satu sumber yang sangat baik, sebuah pengakuan iman yang sangat baik sehinggakan ahli sejarah Jerman bernama Hans von Campenhausen berkata, 'Penceritaan ini memenuhi semua tuntutan kesahihan sejarah yang diperlukan untuk teks tersebut.' Lagipun, kita tidak perlu bersandar kepada kisah lima ratus ini untuk membuktikan Peristiwa Kebangkitan Yesus. Saya sendiri jarang menggunakannya."
    Jawapan Habermas memang masuk akal. Namun, ada satu lagi aspek di dalam pengakuan iman terebut yang menjadi persoalan untuk saya: dikatakan Yesus menampakkan diriNya pertama kepada Petrus, sedangkan Yohanes berkata Dia menampakkan diriNya pertama kepada Maria Magdelina. Malahan, pengakuan iman ini langsung tidak menyebut mana-mana wanita, walaupun mereka sering disebut di dalam penceritaan kitab Injil.

    "Tidakkah percanggahan ini menjejaskan kredibilitinya?" tanya saya kepadanya.
    "Oh, tidak." jawabnya. "Pertama, perhatikan pengakuan iman itu lebih teliti lagi: ia tidak mengatakan Yesus menampakkan diriNya pertama kepada Petrus. Ia hanya meletakkan nama Petrus terlebih dahulu. Dan memandangkan kesaksian wanita tidak diterima di dalam budaya Yahudi abad pertama, adalah tidak menghairankan mereka tidak disebut di dalam pengakuan iman ini. Bagi pemahaman budaya abad pertama, kesaksian mereka tidak bermakna. Oleh itu, meletakkan nama Petrus terlebih dahulu menunjukkan kutamaan logik dan bukan keutamaan sementara."
    "Sekali lagi," dia menyimpulkan, "kredibiliti pengakuan iman ini kekal kukuh. Kamu telah menimbulkan beberapa persoalan, tetapi, tidakkah anda mengakui bahawa ia tidak menjejaskan bukti kukuh bahawa pengakuan iman ini sangat awal, dan ia bebas dari sebarang unsur lagenda, bahawa ia jelas dan khusus, dan ia pada dasarnya adalah kesaksian daripada mereka yang telah menyaksikan peristiwa tersebut?"

    Akhirnya, saya terpaksa akur bahawa apa yang dikatakannya adalah benar. Bukti yang ada jelas menunjukkan ia menyokong pengakuan iman ini sebagai bukti kukuh kepada penampakkan Yesus setelah Dia bangkit dari kematian.
    Ia sangat kukuh sehinggakan William Lane Craig, pakar dalam Peristiwa Kebangkitan Yesus yang saya temuramah di dalam bab sebelum ini, mengatakan bahawa Wolfhart Pannenberg, yang mana adalah salah seorang pakar teologi sistematika yang terulung hari ini, berkata, 'telah menggoncang teologi German yang moden dan skeptikal dengan membina keseluruhan teologinya di atas bukti sejarah kepada peristiwa kebangkitan Yesus seperti yang diberikan di dalam senarai tulisan Paulus."

    Setelah berpuas hati dengan kesahihan pengakuan iman di dalam 1 Korintus 15, tiba masanya untuk melihat kepada keempat-empat kitab Injil, yang mana menceritakan penampakkan-penampakkan Yesus dengan lebih terperinci.

bersambung, Kesaksian dari kitab-kitab Injil

Ulasan