Diterjemahkan dari buku The Case for Christ, muka surat 229-231.
*Senarai lengkap siri ini di sini.
--------------------------------------------------------------------------------
Pada mulanya, saya ingin mengetahui mengapa Habermas, Craig, Bloomberg, dan yang lain begitu yakin bahawa bahagian ini (1 Korintus 15:1-8) adalah sebuah pengakuan iman gereja awal dan bukan sekadar kata-kata Paulus sendiri, yang telah terkandung di dalam suratnya kepada jemaat di Korintus.
sumber |
Cabaran saya kepada Habermas ringkas dan jelas: "Yakinkan saya bahawa ia adalah sebuah pengakuan iman."
"Saya boleh memberikan anda beberapa sebab kukuh. Pertama, Paulus menulisnya dengan menggunakan kata kuterima dan kusampaikan, yang mana adalah istilah-istilah yang akan digunakan oleh guru-guru Yahudi dalam menurunkan suatu tradisi kudus."
"Kedua," sambung Habermas sambil membilang setiap poin dengan jarinya, "isi kandungan teks tersebut menunjukkan keselarian dan gaya bahasa sebuah pengakuan iman. Ketiga, teks asal menggunakan nama Kefas untuk Petrus, yang mana adalah namanya dalam bahasa Aramaik. Bahasa Aramaik ini menunjukan asal-usul yang sangat awal. Keempat, pengakuan iman ini menggunakan beberapa frasa yang primitif yang tidak biasa digunakan oleh Paulus sendiri, seperti 'kedua belas murid-Nya', 'pada hari yang ketiga', 'Ia telah dibangkitkan', dan lain-lain lagi. Kelima, penggunaan untuk beberapa perkataan di dalam bahagian ini sama seperti penggunaan bahasa Aramaik dan bahasa Ibrani Mishnaik di dalam sesuatu penceritaan."
Oleh kerana sudah kehabisan jari untuk menyatakan poinnya, dia melihat ke arah saya. "Perlukah saya meneruskannya?" tanyanya kepada saya.
"Ok, ok," jawab saya. "Kamu berkata bahawa fakta-fakta ini meyakinkan anda sebagai seorang Kristian evangelikal yang konservatif, bahawa ini adalah pengakuan iman yang awal."
Habermas kelihatan sedikit tersinggung dengan kata-kata saya yang agak berterus terang tersebut. "Bukan hanya Kristian evangelikal yang konservatif sahaja yang yakin dengan fakta-fakta ini," tegasnya. "Ini adalah hasil penyelidikan yang dipersetujui oleh ramai pengkaji yang mempunyai pegangan teologikal yang pelbagai. Sarjana terkenal Joachim Jeremias merujuk kepada pengakuan iman ini sebagai 'tradisi Kristian yang terawal di antara semua tradisi Kristian', dan Ulrich Wilckens mengatakan ia 'tanpa keraguan adalah tradisi Kristian yang tertua di dalam sejarah Kristianiti.'"
Hal ini menimbulkan persoalan tentang seawal mana pengakuan iman ini bermula. "Seawal mana anda dapat menentukan tarikh permulaan pengakuan iman ini?"
"Kita tahu bahawa Paulus menulis 1 Korintus sekitar tahun 55 masihi dan 57 masihi. Dia mengatakan di dalam 1 Korintus 15:1-4, bahawa dia telah pun memberitakan pengakuan iman ini kepada jemaat di Korintus sebelum itu, yang bererti ia sudah wujud sebelum dia sendiri datang ke Korintus pada tahun 51 masihi. Maka, pengakuan iman ini telah mula digunakan dalam tempoh 20 tahun selepas peristiwa kebangkitan Yesus. Hal ini menunjukkan ia sangat awal."
"Namun, saya bersetuju dengan pelbagai sarjana yang mendapati ia bermula lebih awal lagi sehingga sekitar dua hingga lapan tahun selepas peristiwa kebangkitan Yesus, atau pada tahun 32 hingga 38 masihi, ketika Paulus menerimanya sama ada di Damaskus/Damsyik atau Yerusalem. Maka, ia adalah sangat awal. Ia adalah kesaksian yang sangat awal dan ringkas tentang hakikat bahawa Yesus menampakkan diri-Nya kepada mereka yang tidak percaya seperti Paulus dan Yakobus, juga kepada Petrus dan murid-murid yang lain."
"Tapi," saya membantah, "ia bukanlah kesaksian daripada saksi mata. Paulus hanya memberikannya sebagai pihak kedua atau ketiga. Tidakkah itu menjejaskan nilainya sebagai sebuah bukti?"
Tidak bagi Habermas. "Ingat bahawa Paulus sendiri mengatakan Yesus juga telah menampakkan diri-Nya kepadanya. Maka, ia juga adalah kesaksian daripada saksi mata itu sendiri (iaitu Paulus). Dan Paulus tidak mendapat pengakuan iman ini daripada orang sembarangan di jalanan. Pandangan yang diterima ramai adalah dia mendapat pengakuan iman ini daripada Petrus dan Yakobus sendiri, dan dia kemudian menempuh pelbagai rintangan untuk memeriksa kesahihannya."
Itu adalah suatu dakwaan yang besar. "Bagaimana kamu tahu?" saya bertanya kepadanya.
"Saya bersetuju dengan para sarjana yang percaya Paulus menerima pengakuan iman ini tiga tahun selepas dia menjadi orang percaya, ketika dia pergi ke Yerusalem untuk berjumpa dengan Petrus dan Yakobus. Paulus menceritakan perjalanan tersebut di dalam Galatia 1:18-19, di mana dia menggunakan sebuah perkataan Greek yang menarik, historeo."
Saya tidak begitu tahu tentang perkataan tersebut. "Mengapa ia penting?"
"Kerana perkataan ini menunjukkan dia tidak sekadar makan angin ketika melawat mereka. Ia menunjukkan lawatan tersebut adalah suatu penyiasatan. Paulus ketika itu seperti seorang penyiasat, yang dengan cermat memeriksa kisah tersebut. Oleh itu, fakta bahawa Paulus sendiri berjumpa dengan dua orang saksi mata utama yang disebut di dalam pengakuan iman tersebut, Petrus dan Yakobus, mengukuhkan hal ini. Di antara sarjana Perjanjian Baru berbangsa Yahudi yang bersetuju dengan hal ini, Prince Lapide, berkata bahawa bukti yang menyokong pengakuan iman ini sangat kukuh sehinggakan 'ia boleh dilihat sebagai kenyataan oleh saksi-saksi mata sendiri.'"
Belum sempat saya mencelah, Habermas menambah, "Dan kemudian, di dalam 1 Korintus 15:11, Paulus menekankan bahawa para rasul yang lain memberitakan Injil yang sama, mesej sama tentang peristiwa kebangkitan Yesus. Ini bererti, apa yang diberitakan oleh Paulus juga adalah sama dengan apa yang diberitakan oleh Petrus dan Yakobus."
Saya perlu mengakuinya: semua ini memang kedengaran meyakinkan. Akan tetapi, saya masih ada keraguan terhadap pengakuan iman tersebut, dan saya tidak mahu keyakinan Habermas menghalang saya dari terus menyelidiki hal ini dengan lebih lanjut.
Ulasan