Langkau ke kandungan utama

Siri Good Friday & Easter: Orang mati tidak melakukan hal seperti itu

Diterjemahkan dari buku The Case for Christ muka surat 227-229.
*Senarai lengkap siri ini di sini.
--------------------------------------------------------------------------------
Habermas yang sedang duduk di sebalik mejanya, menggulungkan lengan bajunya sambil saya memasang perakam untuk memulakan temuramah kami.


    "Bukankah benar," saya memulakan dengan nada seperti seorang pendakwaraya, "bahawa langsung tidak ada saksi mata untuk kebangkitan Yesus?"
    "Tepat sekali, tidak ada kesaksian saksi mata yang terperinci untuk Peristiwa Kebangkitan tersebut," akui Habermas yang mana akan mengejutkan mereka yang hanya mengetahui serba sedikit sahaja tentang peristiwa ini.

    "Semasa saya masih muda, saya telah membaca buku tulisan C. S. Lewis, yang mana telah menulis bahawa Perjanjian Baru tidak menyebut apa-apa tentang Peristiwa Kebangkitan Yesus. Saya menulis di tepi buku tersebut sepatah perkataan "Tidak!" yang besar. Kemudian saya mendapati yang dimaksudkannya adalah: tidak ada orang yang sedang duduk di dalam kubur tersebut dan menyaksikan tubuh (Yesus) mula bernyawa, bangun, membuka lilitan kain linen, melipatnya semula, menggulingkan batu yang menutup pintu kubur, mengejutkan para askar yang sedang berjaga, lalu pergi dari situ."
    Saya melihat hal ini akan menimbulkan beberapa masalah. "Tidakkah ini menjejaskan usaha anda untuk menegaskan Peristiwa Kebangkitan sebagai suatu peristiwa sejarah yang benar-benar telah terjadi?" tanya saya kepadanya.

    Habermas menolak sedikit kerusinya agar lebih selesa. "Tidak, ia tidak menjejaskan walau sedikit pun. Kerana, sains adalah tentang sebab dan akibat. Kita tidak melihat dinosaur; kita menyelidiki fosil yang ditinggalkan. Kita mungkin tidak akan tahu asal-usul sesuatu penyakit, tetapi kita boleh mengkaji simptom-simptomnya.  Mungkin tiada yang menyaksikan sesuatu perbuatan jenayah, tetapi pihak polis mengumpulkan bukti-bukti untuk mencari fakta yang terjadi."
    "Jadi," sambungnya, "saya melihat bukti-bukti kepada Peristiwa Kebangkitan Yesus seperti ini: Pertama, adakah Yesus mati di atas kayu salib? Dan kedua, adakah Dia kemudian menampakkan diri-Nya kepada orang lain selepas itu? Jika kita dapat memberikan suatu penegasan untuk kedua-dua hal ini, kita sudah memberikan kes yang kukuh, kerana orang mati tidak melakukan hal seperti itu."

    Para ahli sejarah bersetuju bahawa terdapat banyak bukti kepada penyaliban Yesus, dan Dr. Alexander Metherell telah menunjukkan sebelum ini bahawa Yesus tidak mungkin terselamat setelah melalui proses hukuman salib yang sangat berat. Hal ini membawa kita kepada bahagian kedua isu ini: adakah Yesus telah menampakkan diri-Nya kemudian?

    "Apakah bukti bahawa orang lain telah melihat Dia?" saya bertanya.
    "Saya akan bermula dengan bukti yang mana dipersetujui oleh hampir semua sarjana termasuk mereka yang krtitikal," jawabnya sambil membuka Alkitab yang ada di hadapannya. "Tidak ada yang mempersoalkan sama ada Paulus telah menulis 1 Korintus atau tidak, dan kita dapat membaca pengakuannya di dalam dua bahagian yang mana dia mengakui telah melihat Yesus yang telah bangkit dari kematian. Dia berkata di dalam 1 Korintus 9:1, 'Bukankah aku rasul? Bukankah aku orang bebas? Bukankah aku telah melihat Yesus, Tuhan kita?' Dan dia berkata di dalam 1 Korintus 15:8, 'Dan yang paling akhir dari semuanya Ia menampakkan diri juga kepadaku,'".

    Saya tahu bahawa petikan ayat terakhir tersebut adalah dari pengakuan iman gereja awal yang telah saya dan Craig Bloomberg bincangkan.[1] Seperti yang disebut oleh William Lane Craig, bahagian pertama pengakuan iman ini (ayat 3-4) merujuk kepada kematian, pengebumian dan kebangkitan Yesus.[2]
    Bahagian terakhir pengakuan iman tersebut (ayat 5-8) merujuk kepada peristiwa penampakkan selepas kebangkitan Yesus: "bahwa Ia telah menampakkan diri kepada Kefas dan kemudian kepada kedua belas murid-Nya. Sesudah itu Ia menampakkan diri kepada lebih dari lima ratus saudara sekaligus; kebanyakan dari mereka masih hidup sampai sekarang, tetapi beberapa di antaranya telah meninggal. Selanjutnya Ia menampakkan diri kepada Yakobus, kemudian kepada semua rasul." Di dalam ayat seterusnya, Paulus menulis, "Dan yang paling akhir dari semuanya Ia menampakkan diri juga kepadaku, sama seperti kepada anak yang lahir sebelum waktunya."

    Jika dilihat pada permukaannya, pengakuan iman ini adalah kesaksian yang sangat penting kepada penampakkan Yesus setelah kematian-Nya. Di dalam pengakuan iman ini, telah diberikan nama-nama individu dan sekumpulan orang yang telah melihat Dia, dan juga ditulis pada zaman di mana orang lain masih boleh memeriksa kesahihannya dengan berjumpa sendiri dengan nama-nama yang disebutkan di dalam pengakuan iman ini. Memandangkan pengakuan iman ini sangat penting dalam membuktikan Peristiwa Kebangkitan Yesus, saya membuat keputusan untuk menyelidikinya dengan lebih terperinci: Mengapa para ahli sejarah begitu yakin bahawa ia (1 Korintus 15:1-8) adalah sebuah pengakuan iman? Sejauh mana ia boleh dipercayai? Seawal mana pengakuan iman ini bermula?

    "Adakah anda tidak kisah jika saya menyoal anda tentang pengakuan iman ini?" Tanya saya kepada Habermas.
    Dia membuka tangannya seperti menjemput saya. "Baiklah," dia menjawab dengan sopan, "silakan."



Nota
[1] Bab 2 buku The Case for Christ.
[2] Bab 12 buku The Case for Christ

Ulasan