Langkau ke kandungan utama

10 fakta asas tentang Perjanjian Baru yang perlu diketahui oleh setiap Kristian: #1: "Perjanjian Baru adalah penulisan Kristian terawal yang kita miliki"

Post ini adalah terjemahan/berdasarkan siri post ini.
*Senarai penuh siri ini di sini.

Siri ini direka khusus untuk orang percaya mempelajari beberapa fakta asas tentang kanon Perjanjian Baru    fakta-fakta yang mungkin membantu ketika berbual dengan orang yang tidak percaya atau mereka yang ingin tahu. Fakta yang pertama ini merupakan hal yang sangat asas sehingga sering terlepas pandang. Fakta tersebut ialah: kanon Perjanjian Baru adalah penulisan Kristian terawal yang kita miliki.


Salah satu cabaran yang paling rumit di dalam mana-mana perbincangan tentang kanon Perjanjian Baru adalah menjelaskan apa yang membuatkan 27 buah kitab ini unik. Mengapa kitab-kitab ini dan bukan yang lain? Terdapat banyak jawapan untuk soalan tersebut, namun di dalam post ini, kita hanya akan menumpukan hanya satu: tarikh penulisan kitab-kitab ini. Kitab-kitab ini menonjol kerana ia adalah penulisan Kristian terawal yang kita miliki dan sekaligus membawa kita lebih hampir kepada Yesus yang di dalam sejarah dan juga kepada gereja terawal. Jika kita mahu mengetahui bagaimanakah Kristian asli sebenarnya, maka kita perlu bersandar kepada penulisan-penulisan yang lebih hampir kepada zaman tersebut.

Hal ini jelas penting terutamanya apabila memperkatakan tentang keempat-empat kitab tentang Injil, Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes. Hanya kitab-kitab Injil ini yang berasal dari abad pertama. Sudah tentu, sebilangan kecil sarjana cuba meletakkan Injil Tomas sebagai ditulis pada abad pertama, namun cubaan tersebut tidak begitu berjaya. Setelah semua perbincangan ilmiah reda, para pengkritik juga mengakui bahawa keempat-empat kitab Injil ini adalah penceritaan terawal tentang Yesus yang kita miliki.

Akan tetapi, beberapa hal perlu dipertimbangkan. Pertama, perlu diakui bahawa terdapat perbezaan pendapat tentang tarikh penulisan untuk beberapa buah kitab Perjanjian Baru. Beberapa orang sarjana yang kritikal telah memberikan hujah bahawa beberapa buah kitab Perjanjian Baru adalah palsu dan ditulis pada pada abad kedua. Sementara itu, sarjana yang lain telah mempertahankan keaslian (serta tarikh penulisan abad pertama) kitab-kitab ini. Ini adalah perdebatan yang tidak dapat kita perkatakan dengan lebih lanjut pada post ini. Walaupun demikian, jika kitab-kitab yang diperdebatkan ini tidak diambil kira di dalam perbincangan kita, kita masih dapat mengatakan bahawa majoriti penulisan-penulisan Perjanjian Baru (termasuk keempat-empat kitab Injil) kekal sebagai penulisan Kristian terawal yang kita miliki.

Kedua, mungkin ada yang akan mengatakan 1 Clement adalah penulisan Kristian yang ditulis pada abad pertama, dan ia tidak dimasukkan ke dalam kanon Perjanjian Baru. Benar, namun tarikh yang dipersetujui secara umum tentang penulisan 1 Clement adalah sekitar tahun 96 masihi. Tarikh ini adalah lebih lewat berbanding semua kitab Perjanjian Baru yang lain. Satu-satunya kitab yang berkemungkinan untuk dikecualikan adalah kitab Wahyu yang ditulis paling lewat sekitar tahun 95-96 masihi. Namun, ada yang memberikan tarikh penulisan lebih awal untuk kitab Wahyu. Akan tetapi, hal ini tidak mempengaruhi poin utama yang kita cuba berikan di sini.

Perlu diperjelaskan, kita tidak mengatakan bahawa kitab-kitab ini dianggap sebagai kanon hanya kerana ia ditulis pada abad pertama. Terdapat penulisan Kristian lain yang ditulis pada abad pertama dan bukan termasuk di dalam kanon     dan kita mungkin akan menemui penulisan-penulisan ini pada masa akan datang. Poin kami bukanlah mengatakan semua kitab yang ditulis pada abad pertama adalah termasuk di dalam kanon, tetapi, semua kitab yang termasuk di dalam kanon adalah ditulis pada abad pertama. Dan poin ini penting untuk dinyatakan.

Kesimpulannya, semua Kristian perlu ingat satu fakta asas, iaitu kitab-kitab Perjanjian Baru adalah berbeza kerana, secara umumnya, kitab-kitab ini adalah penulisan Kristian terawal yang kita miliki. Tidak ada yang lebih awal. Oleh itu, ini menunjukkan kitab-kitab di dalam Perjanjian Baru bukanlah dimasukkan sewenang-wenangnya seperti yang didakwakan oleh pihak-pihak tertentu. Sebaliknya, kitab-kitab ini adalah kitab-kitab yang akan kita masukkan jika kita mahu menyelidiki tentang Kristianiti yang asli.

Ulasan