Langkau ke kandungan utama

Siri Injil Barnabas: #2. Injil Barnabas dan Abad Pertama Masihi

Post ini adalah terjemahan berdasarkan artikel The Gospel of Barnabas tulisan Samuel Green.
*Senarai lengkap siri ini di sini.

Benarkah Injil Barnabas ditulis oleh seorang Yahudi yang hidup pada abad pertama masihi?

Injil Barnabas ini disebarkan oleh Muslim sebagai Injil asli yang ditulis oleh seorang yang bernama Barnabas[1] yang mana didakwa sebagai murid Yesus[2]. Maka, mereka mendakwa kitab ini ditulis oleh seorang Yahudi yang hidup pada abad pertama masihi dan mengembara bersama-sama dengan Yesus. Jika Barnabas benar-benar adalah penulis kitab ini, maka adalah munasabah untuk kita menganggap bahawa dia tahu tentang fakta-fakta asas kehidupan Yahudi pada zaman tersebut. Sekarang, kita menilai kitab ini sama ada penulisnya tahu atau tidak.

A. Kristus/Al-Masih

Perkataan Ī§ĻĪ¹ĻƒĻ„ĻŒĻ‚ (Kristos) adalah terjemahan bahasa Greek untuk perkataan Ibrani berikut: ×žָשִׁיחַ (Mesiah). Kedua-dua perkataan ini apabila diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia/Indonesia bermaksud yang diurapi atau yang dipilih. Perkataan ini bukanlah perkataan yang jarang digunakan, sebaliknya ia adalah perkataan yang paling terkenal di dalam kepercayaan Yahudi dan Kristian. Maka, seorang Yahudi yang mempunyai fahaman keagamaan yang kuat seperti Barnabas sepatutnya akan sangat biasa dengan perkataan ini.

Di awal permulaan Injil Barnabas, Yesus dipanggil sebagai Kristus: God hath during these past days visited us by his prophet Jesus Christ.[3] Namun, seluruh penulisan kitab ini menafikan Yesus sebagai Mesias/Al-Masih: Jesus confessed, and said the truth: 'I am not the Messiah.'.[4] Bagaimanakah Yesus digelar sebagai Kristus dan pada masa yang sama menafikan diri-Nya sebagai Mesias/Al-Masih sedangkan kedua-dua perkataan ini mempunyai maksud yang sama? Siapa pun individu yang menulis kitab ini jelas tidak tahu maksud perkataan Greek: Kristus, adalah seerti dengan perkataan Mesias/Al-Masih. Barnabas adalah seorang Ibrani yang tinggal di kepulauan Siprus, kepulauan yang menggunakan Bahasa Greek, dan mengembara di sekitar dunia Greek abad pertama![5] Dia seorang Ibrani dan tahu berbahasa Greek, maka tidak sepatutnya dia melakukan kesilapan terhadap perkataan yang sangat terkenal ini.

B. Para Pemerintah pada Abad Pertama Masihi

Di dalam bab 3 Injil Barnabas, kita diberitahu bahawa Herodes (Herod) dan Pilatus (Pilate) bersama-sama memerintah tanah Yudea ketika kelahiran Yesus: There reigned at that time in Judaea Herod, by decree of Caesar Augustus, and Pilate was governor. Secara sejarah, hal ini adalah tidak tepat kerana Herodes dan Pilatus tidak pernah memerintah Tanah Yudea pada masa yang sama. Herodes sendirian memerintah Tanah Yudea sekitar tahun 37 hingga tahun 4 sebelum masihi, sementara Pilatus memerintah 30 tahun kemudian iaitu dari tahun 26 hingga tahun 36 masihi.[6] Barnabas yang sebenar hidup pada zaman pemerintahan Pilatus. Maka, jika dia benar-benar telah menulis kitab ini, mengapa dia boleh melakukan kesilapan yang sangat mudah ini?

C. Geografi

Di dalam bab 20 hingga bab 21 kitab ini, kita diberitahu bahawa Yesus berlayar ke kota Nazareth dan disambut oleh para nelayan di kota tersebut. Dia kemudian meninggalkan kota Nazareth dan naik ke Kapernaum:
"Jesus went to the sea of Galilee, and having embarked in a ship sailed to his city of Nazareth. ... Having arrived at the city of Nazareth the seamen spread through the city all that Jesus wrought (done) ... (then) Jesus went up to Capernaum (bab. 20-21)"
Terdapat kesalahan yang sangat besar di dalam penceritaan ini. Nazareth bukanlah perkampungan nelayan, malah, ia terletak 14km dari laut Galilea dan terletak di kawasan bukit banjaran pergunungan![7] Kapernaum adalah perkampungan nelayan yang telah didatangi oleh Yesus dan murid-murid-Nya, bukan Nazareth.[8] Nazareth dan Kapernaum adalah dua buah kota yang sering dilawati oleh Yesus bersama-sama dengan murid-murid-Nya.[9] Maka, semua murid-murid-Nya pasti tahu tentang kedudukan kota-kota ini. Namun, penulis kitab Injil Barnabas tidak mengetahuinya! Hal ini menimbulkan keraguan terhadap dakwaan penulis kitab ini sebagai murid Yesus. Hal ini juga membuatkan kita meragui sama ada dia benar-benar pernah tinggal di kawasan tersebut.

Kesimpulan

Kitab Injil Barnabas melakukan kesilapan asas tentang bahasa, sejarah dan geografi dunia Yahudi pada zaman abad pertama masihi. Kesilapan-kesilapan seperti ini menimbulkan keraguan ke atas dakwaan bahawa kitab ini kononnya ditulis oleh Barnabas pada abad pertama.

Nota
[1] Terdapat seorang bernama Barnabas disebut di dalam Kisah Para Rasul 4:36-37; 11:19-30.
[2] "Barnabas, apostle of Jesus the Nazarene, called Christ" dipetik dari Kitab Injil Barnabas bab pendahuluan.
[3] ibid,.
[4] dipetik dari Kitab Injil Barnabas bab 42.
[5] Kisah Para Rasul 4:36; 14:8
[6] FF Bruce, Israel and the Nations, Exeter: Paternoster Press, 1973, m/s 240.
[7] "Narareth", New Bible Dictionary, England: IVP, 1987, m/s 819.
[8] Yohanes 6:16-21.
[9] Matius 2:23, 4:13, 8:5, 11:23, 17:24, 21:11, 26:71, Lukas 4:16.

Ulasan