Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #17: "Melengkapkan" Taurat?

Senarai lengap siri post ini di sini.

Pada muka surat 18 buku ini, penulis memberikan kenyataan berikut:
Seiring dengan misi dan dakwah Jesus selepas dewasa, beliau diangkat menjadi rasul bagi menyampaikan risalah Allah, iaitu mengembalikan ajaran Taurat Nabi Musa kepada Bani Israel. Oleh itu, dalam Injil Jesus disebut "melengkapkan" Taurat.
Maksudnya, Jesus bukan pembawa risalah baru tetapi melengkapi Taurat sesuai dengan zamannya. Perkara yang diharamkan dalam Taurat juga dilarang oleh Jesus dan perkara yang diperintahkan dalam Taurat juga diamalkan Jesus. Tidak ada yang diubah Jesus dalam Taurat.
Penulis telah memberikan suatu tafsiran kepada apa yang disebutnya sebagai "Jesus 'melengkapkan' Taurat". Penulis juga mengatakan bahawa "dalam Injil, Jesus disebut 'melengkapkan' Taurat". Namun, penulis tidak memberikan ayat yang memperkatakan hal tersebut. Maka, saya berikan ayat tersebut, yang dapat ditemui pada Injil Matius (Matthew) 5:17-18:
"Janganlah kamu menyangka, bahwa Aku datang untuk meniadakan hukum Taurat atau kitab para nabi. Aku datang bukan untuk meniadakannya, melainkan untuk menggenapinya. Karena Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya selama belum lenyap langit dan bumi ini, satu iota atau satu titikpun tidak akan ditiadakan dari hukum Taurat, sebelum semuanya terjadi." (Terjemahan Baru Indonesia [TB])
"Janganlah menganggap bahawa Aku datang untuk menghapuskan Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi. Aku tidak datang untuk menghapuskannya, tetapi Aku datang supaya semua ajaran itu berlaku. Ingatlah! Selama langit dan bumi masih ada, titik atau huruf yang terkecil sekalipun di dalam Taurat, tidak akan dihapuskan jika semuanya belum berlaku." (Terjemahan Today's Malay Version [TMV])
Jika kita meneliti ayat tersebut, ungkapan yang digunakan bukanlah "melengkapkan" tetapi adalah "menggenapinya" atau "supaya semua ajaran itu berlaku". Ungkapan ini penting kerana ia memberikan pengertian yang jauh berbeza dengan gambaran yang cuba diberikan oleh penulis. Jesus bukan datang untuk "melengkapkan" Taurat, tetapi untuk "menggenapinya" iaitu "supaya semua ajaran itu berlaku".

Akibat dari penggunaan ungkapan "melengkapkan" tersebut, penulis telah memberikan suatu penjelasan yang jauh terpesong daripada maksud sebenar ayat Matius 5:17-18 (walaupun penulis tidak menyebut ayat ini, namun beliau mendasarkan ayat tersebut dalam dakwaannya).

Mungkin ada yang akan bertanya, apa maksud "menggenapinya" atau "supaya semua ajaran itu berlaku"?
Saya berikan artikel ini untuk menjawab persoalan tersebut. Jika anda telah membaca artikel pada pautan tersebut, jelas bahawa penjelasan yang diberikan oleh penulis adalah tidak tepat dan bukanlah kepercayaan Kristian yang sebenar dalam hal ini.

Secara ringkasnya, kenyataan bahawa Jesus "menggenapi" Taurat adalah bermaksud Jesus melakukan semua yang diperintahkan di dalam Taurat dengan sempurna. Hakikatnya, tidak ada seorang manusia pun yang dapat melakukan Taurat dengan sempurna. Namun, Jesus, dengan keadaan manusia, telah menggenapinya bagi pihak manusia. 

Penulis juga mendakwa "Tidak ada yang diubah Jesus dalam Taurat". Jika demikian, bagaimana penulis menjelaskan kenyataan Jesus yang berikut:
"Kamu telah mendengar yang difirmankan kepada nenek moyang kita: Jangan membunuh; siapa yang membunuh harus dihukum. Tetapi Aku berkata kepadamu: Setiap orang yang marah terhadap saudaranya harus dihukum; siapa yang berkata kepada saudaranya: Kafir! harus dihadapkan ke Mahkamah Agama dan siapa yang berkata: Jahil! harus diserahkan ke dalam neraka yang menyala-nyala." (Matius 5:21-22, TB)
"Kamu telah mendengar firman: Jangan berzinah. Tetapi Aku berkata kepadamu: Setiap orang yang memandang perempuan serta menginginkannya, sudah berzinah dengan dia di dalam hatinya." (Matius 5:27-28, TB)
Masih ada banyak kenyataan-kenyataan Jesus seperti ini (cth: Matius 5:31-48), di mana Jesus telah memberikan suatu perintah baru dengan berkata "Kamu telah mendengar firman... Tetapi Aku berkata kepadamu". Kenyataan ini jelas menunjukkan Jesus membezakan firman sebelum itu, iaitu Taurat, dengan apa yang dikatakan-Nya, yang mana jauh lebih susah dan lebih tinggi standard moralnya berbanding Taurat.

Dengan kata lain, Jesus telah memperkenalkan peraturan atau hukum yang baru dan yang tidak dinyatakan di dalam firman sebelum itu (iaitu Taurat). Maka, bagaimana mungkin penulis dapat mengatakan "Tidak ada yang diubah Jesus dalam Taurat" sedangkan dengan jelas Jesus memberikan peraturan atau hukum yang tidak dinyatakan di dalam Taurat sebelum itu?

Perhatikan juga, Jesus berkata "Aku berkata kepadamu". Dengan kata lain, Jesus berkata-kata dengan kuasa dan autoriti-Nya sendiri. Jika Jesus hanyalah nabi atau rasul biasa, adakah mungkin Dia berkata-kata sedemikian? Jika Jesus hanyalah nabi atau rasul biasa, tidakkah Dia telah mengkufuri Tuhan apabila Dia berkata demikian? Jika Jesus adalah nabi atau rasul biasa, Dia sepatutnya berkata, "Aku berkata kepadamu, sesuai dengan yang difirmankan Tuhan kepadaku".

Jika kita menyelidiki Alkitab, semua nabi yang menerima Firman daripada Tuhan tidak pernah mengungkapkan perintah atau Firman tersebut seperti cara yang dilakukan Jesus. Sebaliknya, mereka akan berkata "Tuhan telah berfirman..." dan kemudian menyatakan firman tersebut. Kerana hanya Tuhan yang layak memberikan kenyataan seperti itu.

Contohnya:
"Berkatalah Musa kepada umat itu: "Inilah firman yang diperintahkan TUHAN untuk dilakukan."" (Imamat 8:5, TB)
"Kemudian Samuel mengerahkan bangsa itu ke hadapan TUHAN di Mizpa dan ia berkata kepada orang Israel itu: "Beginilah firman TUHAN, Allah Israel: Aku telah menuntun orang Israel keluar dari Mesir dan telah melepaskan kamu dari tangan orang Mesir dan dari tangan segala kerajaan yang menindas kamu." (1 Samuel 10:17-18, TB)
Maka, kenyataan Jesus yang memberikan suatu perintah berdasarkan autoriti-Nya sendiri ini sebenarnya adalah salah satu bukti bahawa Jesus menyatakan diri-Nya sebagai setara dengan Tuhan di hadapan umum sehingga Dia (Jesus) berani memberikan kenyataan yang mana hanya layak diberikan oleh Tuhan sendiri, iaitu memberikan suatu perintah baru selain perintah sedia ada yang terkandung di dalam Taurat.

Kesimpulan
Penulis sebenarnya telah memberikan pengertian yang jauh terpesong tentang Jesus "menggenapi" Taurat dengan menggunakan perkataan "melengkapkan" Taurat. Jika penulis ada menyelidiki hal ini dengan lebih lanjut, beliau pasti akan mendapati Jesus bukan sahaja telah menggenapi Taurat, malah memberikan suatu hukum baru menggunakan autoriti-Nya (Jesus) sendiri. Sekaligus menunjukkan Jesus menganggap diri-Nya setara dengan Tuhan yang memberikan Taurat tersebut.

Ulasan