Langkau ke kandungan utama

The Gospel of Judas (terjemahan)

(Berikut adalah terjemahan dari artikel yang ditulis oleh Michael Licona berkenaan dengan Injil Yudas. Anda boleh membaca artikel asal di sini.)
* Anda boleh membaca terjemahan Bahasa Melayu untuk Injil Yudas di sini.

Pada 9 April 2009, National Geographic telah mengumumkan Injil Yudas. Berikut adalah beberapa pendapat yang diberikan oleh Mike.


Injil Yudas
April ini, National Geographic Society mengumumkan tentang Injil Yudas. Manuskrip tersebut telah ditemui di Mesir pada lewat 1970-an, ditulis dalam bahasa Koptik Mesir, dan memerlukan lebih kurang 15 minit untuk selesai membaca keseluruhan kandungannya. Oleh kerana pemiliknya tidak berjaya menjualnya, manuskrip tersebut disimpan di dalam sebuah peti deposit di New York sehinggalah baru-baru ini.[i]

Apabila National Geographic menayangkan rencana khas tentang Injil Yudas pada waktu perdana pada malam Ahad, ramai di antara kita menonton dengan penuh rasa ingin tahu. Adakah ini akan memberi cabaran baru kepada Kristianiti? Apa impak yang akan terhasil dalam penantian keluarnya filem The Da Vinci Code yang semakin diperkatakan? Setelah suasana tenang semula, satu kepastian menjadi jelas untuk saya: Setiap Kristian boleh mengelak dari ‘ciuman Judas’ ini dengan memahami 3 isu asas.


Isu pertama ialah latar belakang Injil Yudas. Kebanyakan dari ahli kumpulan National Geographic memberikan masa 300 AD sebagai tahun manuskrip tersebut ditulis. Manuskrip asal Injil Yudas besar kemungkinan ditulis sekitar pertengahan abad ke-2. Bapa gereja awal, Irenaeus (180 AD) merupakan murid kepada Polycarp, yang besar kemungkinan adalah murid Rasul Yohanes. Irenaeus ada menyebut tentang Injil Yudas di dalam buku tulisannya, Against Heresies (1.31.1) dan melaporkan bahawa ia ditulis oleh sebuah kumpulan yang dipanggil Cainites yang mana menjadikan antagonis di dalam Alkitab seperti Esau, Korah, orang-orang Sodom, dan Yudas sebagai Hero. Menurut Irenaeus, Cainites ini mengajarkan bahawa Pencipta yang jahat telah memilih individu tertentu yang dilaporkan secara negatif di dalam Alkitab. Dewi baik bernama Sophia, yang lebih berkuasa dari Pencipta, telah mengambil antagonis-antagonis ini sebagai kepunyaannya. Hanya Yudas tahu tahu akan perkara tersebut sebagai kebenaran. Dia menyempurnakan misteri pengkhianatan terhadap Yesus, akibatnya, segala ciptaan menjadi keliru. Gambaran ini adalah sama dengan apa yang terdapat di dalam manuskrip Injil Yudas yang diumumkan baru-baru ini.

Isu kedua ialah ‘baka’ Injil Yudas. Sebelum abad pertama, sebuah pergerakan agama mula membentuk fahaman bahawa dunia material adalah jahat dan berusaha untuk menemui pengetahuan rahsia. Sarjana moden menggelar pengikut pergerakan ini sebagai “Gnostics” (sempena perkataan Yunani “gnosis” bermaksud “pengetahuan”). Gnosticism mempunyai pelbagai bentuk dan berkembang pada abad ke-2 setelah menyerap beberapa fahaman Kristian. Sekitar pertengahan abad ke-2, Gnostics mulai menghasilkan penulisan menggunakan nama-nama rasul. Sebelum ini, kita mengetahui tentang mereka hanya melalui peulisan bapa-bapa gereja awal, sehinggalah penemuan Nag Hammadi Library, iaitu beberapa tahun selepas penemuan Dead Sea Scrolls. Yang pasti, Injil Yudas ditulis oleh seorang Gnostic. Lima nama tokoh Gnostic telah disebut secara khusus didalamnya. Pengetahuan rahsia telah diberikan kepada Yudas tanpa diketahui oleh sesiapa pun. Dan hukuman mati yang diterima Yesus adalah baik kerana ia membebaskanNya dari tubuh yang fana.

Gnosticism merupakan salah satu kultus Kristian yang pertama, sama seperti pengajaran Mormon dan Saksi Yehovah di dalam Kristianiti zaman ini. Kecuali Injil Tomas, hampir semua sarjana moden bersetuju bahawa Injil-injil Gnostic ini tidak mengandungi sebarang bahan yang boleh dipercayai dari atau mengenai Yesus. Besar kemungkinan Injil Tomas ditulis pada awal hingga pertengahan abad ke-2 dan juga mengandungi bahan yang kelihatan seperti pengaruh Gnostic, walaupun ia lurang dikembangkan berbanding apa yang terdapat di dalam Injil Yudas.

Isu ketiga ialah manfaat dari Injil Yudas. Apa nilai yang dibawa oleh Injil Yudas kepada Kristian? Salah satu, ia dapat membantu kita memahami lebih lagi tentang kekuatan dasar iman kita dengan membandingkannya dengan tulisan-tulisan Perjanjian Baru. Sarjana yang sangat skeptikal juga mengakui bahawa banyak pengajaran Yesus dan rasul-rasulNya yang asli telah terpelihara di dalam Perjanjian Baru, sekurang-kurangnya dalam 3 bentuk. Pertama, walaupun banyak bahan di dalam Perjanjian Baru yang tidak dapat dibuktikan dan mesti diterima berdasarkan iman, ahli sejarah telah mengenal pasti beberapa pengajaran di dalam Injil yang dapat dikenalpasti sebagai berasal dari Yesus. Kedua, sarjana juga sangat yakin bahawa majoriti pengajaran oleh Gereja apostolik (gereja pertama) terkandung di dalam ringkasan khotbah-khotbah pada kitab Kisah Para Rasul.

Ketiga, sarjana-sarjana yakin bahawa Paulus mengekalkan pengajaran apostolik di dalam surat-suratnya. Walaupun ia agak popular pada 50 tahun dahulu untuk menuduh Paulus yang telah mencipta Kristianiti yang ada pada hari ini, pandangan ini telah ditinggalkan oleh sarjana-sarjana skeptikal beberapa dekad yang lalu, dan mereka yang masih berpandangan sedemikian kini adalah spesies yang hampir pupus. Surat-surat Paulus mengandungi tradisi yang tidak bercanggah dengan pengajaran rasul-rasul yang lain. Di dalam Galatia 2, Paulus melaporkan telah pergi ke Yerusalem di mana dia menyampaikan Injil yang telah diberitakannya kepada 3 rasul utama Yerusalem: Petrus, Yakobus, dan Yohanes. Dia berbuat demikian kerana inginkan kepastian samada Injil yang diberitakannya adalah tepat. Rasul-rasul di Yerusalem ini menerimanya ke dalam perkumpulan mereka. Dengan kata lain, ketepatan mesej pemberitaan Paulus telah disahkan oleh kepimpinan apostolik. Selain itu, seorang murid Petrus bernama Clement, warganegara Rom, meletakkan Paulus sebagai sama dengan mentornya dengan merujuk Petrus dan Paulus sebagai “tonggak kebenaran terulung dan terbesar.”[ii] Seorang murid Yohanes bernama Polycarp mengatakan bahawa Paulus “dengan tepat dan dipercayai memberitakan tentang kebenaran.”[iii] Dia juga telah memetik Efesus dua kali dan merujuknya sebagai sebahagian dari “Kitab Suci”.[iv] Ia sangat tidak munasabah bahawa murid-murid Petrus dan Yohanes memandang tinggi kepada Paulus jika pengajaranya bercanggah dengan mentor mereka.

Sebaliknya, penulisan-penulisan Gnostic bercanggah dengan pengajaran rasul dalam beberapa isu. Apabila digabungkan dengan fakta bahawa ia ditulis pada abad ke-2 dan ke-3, sekaligus menunjukkan ia tidak mungkin ditulis oleh rasul-rasul yang cuba dikaitkan sebagai pengarangnya, maka, para sarjana telah menimpulkan dengan saksama bahawa penulisan-penulisan ini mempunyai sedikit atau tidak bernilai dalam memahami Yesus yang di dalam sejarah dan pengajaran-pengajaranNya.

Sebagai tambahan dalam menghargai dasar kepada iman kita, ada satu lagi manfaat yang diberikan oleh Injil Yudas kepada Kristian: Memandangkan penulisan Gnostic pada saat ini adalah isu hangat, Injil Yudas adalah bahan menarik yang dapat memberi peluang untuk berdialog dengan rakan-rakan kita yang tidak percaya. Apabila mereka yang sejemaah dengan kita berada di tengah-tengah perbualan samada di dalam pekerjaan atau persekolahan atau kelas universiti yang memperkatakan tentang penulisan Gnostic, mereka akan mendapat (jika kita memberitahu mereka) maklumat yang diperlukan untuk meletakkan penulisan-penulisan ini pada perspektif yang sesuai dan menunjukkan mengapa Perjanjian Baru telah menjaga dengan tepat tradisi tentang Yesus dan pengajaran Gereja awal.


Kita sekarang hidup pada saat bersejarah di mana Amerika Utara menunjukkan minat yang kuat terhadap asal-usul Kristianiti dan keperibadian Yesus. Rebut peluang ini, fahami mesej dan sejarah Injil Yudas, dan nikmati manfaat yang disediakannya. Kesimpulanya, anda dapat mengelak ciuman Yudas dengan memahami latar belakang, ‘baka’nya, dan manfaatnya.

[1] Untuk artikel penuh infomasi yang ditulis oleh Craig Evans, ahli komiti Injil Yudas di bawah National Geographic Society, klik sini.
[iv] ibid., 12:1.

Ulasan