Langkau ke kandungan utama

Apa yang menjadikan Alkitab sangat istimewa?

Berdasarkan/terjemahan buku Answer & Reasons (Omnibus Edition: Two Books in One) tulisan Josh McDowell & Don Stewart.

Kristianiti percaya dan mengajarkan bahawa Alkitab (Bible) adalah satu-satunya Firman Tuhan. Walaupun ia ditulis oleh manusia, Penulis Mutlaknya adalah Tuhan yang Mahakuasa. Dakwaan ini bukan direka-reka oleh gereja, tetapi adalah dakwaan yang dibuat sendiri oleh Alkitab.

"tetapi firman Tuhan kekal selama-lamanya." (1 Petrus 1:25a TMV). "Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah" (2 Timotius 3:16a TMV). "Hal itu demikian kerana tidak ada nubuat yang disampaikan oleh para nabi, berasal daripada kehendak manusia. Tetapi Roh Allah menguasai orang semasa mereka menyampaikan perkhabaran yang datang daripada Allah." (2 Petrus 1:21 TMV).


Di dalam Perjanjian Lama sahaja, terdapat lebih 2,000 kenyataan seperti "Dan TUHAN berfirman kepada Musa", "Datanglah firman TUHAN kepada Yunus", dan "TUHAN berfirman". Selain itu, Alkitab mendakwa mengandungi catatan tentang perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan Tuhan, sekaligus menunjukkan Alkitab mengatakan ia adalah Firman Tuhan.

Namun, walaupun Alkitab membuat dakwaan bahawa ia adalah Firman Tuhan, ini tidak bererti dakwaan tersebut adalah benar, kerana terdapat banyak kitab lain juga memberikan pengakuan sedemikian. Yang membezakan Alkitab dengan kitab-kitab yang lain adalah, ia mengandungi bukti-bukti meyakinkan sebagai Firman Tuhan.

Salah satu sebab mengapa Alkitab berbeza dengan kiab-kita lain adalah kerana kesatuannya. Walaupun kitab ini ditulis oleh manusia, kesatuannya menunjukkan campurtangan Yang Mahakuasa. Alkitab ditulis dalam tempoh 1,500 tahun oleh lebih daripda 40 penulis yang berlainan. Penulis-penulis ini datang dari latarbelakang yang berbeza, seperti Yosua (pemimpin pasukan ketenteraan), Daniel (seorang perdana menteri), Petrus (seorang nelayan), dan Nehemia (seorang pelayan minuman).

Penulis-penulis ini menulis di tempat yang berbeza, seperti di padang gurun (Musa), penjara (Paulus), ketika dibuang ke Pulau Patmos (Yohanes). Penulisan kitab-kitab Alkitab ini dibuat di dalam tiga benua berbeza (Afrika, Asia, dan Eropah), dan tiga bahasa berbeza (Ibarani, Aramaik, dan Greek).

Isi kandungan Alkitab memperkatakan pelbagai topik yang bersifat kontroversi. Namun, Alkitab kekal sebagai sebuah unit. Dari awal hingga akhir, terdapat satu penceritaan tentang rancangan Tuhan untuk menyelamatkan umat manusia. Kesalamatan ini adalah melalui Yesus Kristus (Yohanes 14:6). Yesus sendiri mengakui bahawa Dia adalah tema kepada keseluruhan Alkitab.
"Kamu menyelidiki Alkitab kerana menyangka bahawa dengan cara itu kamu akan beroleh hidup sejati dan kekal. Sebenarnya Alkitab memberikan kesaksian tentang Aku....Jika kamu benar-benar percaya kepada Musa, tentu kamu akan percaya kepada-Ku, kerana Musa menulis tentang Aku. Kamu tidak percaya kepada apa yang ditulis oleh Musa, bagaimanakah kamu dapat percaya kepada apa yang Aku katakan?" (Yohanes 5:39, 46, 47 TMV)
Yesus berkata lagi,
"Kemudian Yesus menerangkan apa yang tertulis tentang diri-Nya di dalam seluruh Alkitab kepada mereka, mulai dari Kitab-Kitab Musa dan tulisan para nabi." (Lukas 24:27 TMV; lihat juga Lukas 24:44
Perjanjian Lama adalah persediaan (Yesaya 40:3). Injil adalah penjelmaan (Yohanes 1:29). Kisah Para Rasul adalah penyebaran (Kis 1:8). Surat-surat memberikan penjelasan (Kolose 1:27). Kitab Wahyu adalah penyempurnaan (Wahyu 1:7). Alkitab itu sendiri adalah tentang Yesus.

Alkitab adalah suatu kesatuan di mana bahagian-bahagian yang ada saling melengkapi antara satu sama lain. Dr. W.F. Albright menjelaskan seperti berikut: "Bagi penulis-penulis Perjanjian Baru, kitab-kitab Perjanjian Lama adalah Kitab Suci dan ia adalah warisan daripada para nabinya. Maka, adalah mustahil untuk memahami Perjanjian Baru tanpa mengetahui bahawa tujuan penulisannya adalah untuk membantu menjelaskan kitab-kitab Perjanjian Lama.
   "Sebarang cubaan untuk kembali ke sumber Kristianiti tanpa menerima keseluruhan Alkitab sebagai pembimbing pasti akan menemui kegagalan." (dipetik oleh Roger T. Foster dan V. Paul Marston, That's a Good Question, m/s 67).

Jika ada yang berfikir bahawa hal ini bukan sesuatu yang luar biasa, kami ingin memberikan anda cabaran berikut. Cari sepuluh orang dari kawasan anda dengan latar belakang yang hampir sama, bertutur dalam bahasa yang sama, dan semuanya berasal dari budaya yang hampir sama. Kemudian, asingkan mereka dan minta mereka menulis pendapat mereka tentang satu sahaja topik yang kontroversi, contohnya, makna kehidupan.

Setelah mereka siap, bandingkan kesimpulan-kesimpulan mereka. Adakah mereka akan bersetuju di antara satu sama lain? Sudah tentu tidak. Alkitab pula bukan ditulis oleh hanya sepuluh orang penulis, tetapi empat puluh orang. Ia bukan ditulis dalam satu generasi, tetapi dalam tempoh 1,500 tahun; bukan oleh penulis-penulis yang mempunyai pendidikan, budaya dan bahasa yang sama, tetapi dengan tahap pendidikan yang jauh berbeza, budaya yang pelbagai, dari tiga benua yang berbeza, tiga bahasa yang berbeza, dan bukan sahaja tentang satu topik tetapi beratus-ratus topik.

Namun, Alkitab kekal dalam kesatuan. Terdapat keseragaman yang sangat sempurna yang mana tidak dapat dijelaskan sebagai kebetulan atau persekongkolan. Kesatuan Alkitab adalah hujah yang sangat kuat dalam mendokong bahawa ia dari sumber ilham ilahi.

Kesatuan Alkitab hanyalah salah satu daripada sebab yang menyokong dakwaan Alkitab sebagai Firman Tuhan. Perkara lain yang boleh diperjelaskan dengan lebih terperinci adalah kesaksian gereja awal, kesaksian melalui sejarah dan arkeologi, dan bukti daripada mereka yang telah mengalami perubahan hidup sepanjang zaman ini.

Faktor-faktor ini telah membawa seorang ahli arkeologi agung, W.F. Albright, untuk menyimpulkan, "Alkitab mempunyai intipati yang jauh lebih hebat daripada semua penulisan kepercayaan-kepercayaan awal yang lain; dan ia juga lebih hebat berbanding semua penulisan lain dari segi kesederhanaan mesejnya dan daya tariknya yang universal terhadap semua orang tanpa mengira zaman." (The Christian Century, November 1958).

Alkitab adalah istimewa. Ia unik. Tidak ada kitab lain yang mempunyai kelayakan sepertinya. Malah, tidak ada kitab lain yang setanding dengannya. "England mempunyai dua buah buku, Alkitab dan Shakespeare. England menghasilkan Shakespeare, namun Alkitab menghasilkan England" (Victor Hugo).

Ulasan