Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #3: Daripada Jesus atau bukan? Berbeza atau sama?

Senarai lengkap siri post ini di sini.

Pada muka surat xiv buku ini, iaitu pada bahagian "Pendahuluan", penulis memberikan kenyataan berikut:
"Penulis ingin menegaskan, Bible khususnya Perjanjian Baru, iaitu Gospel of Matthew, Gospel of Mark, Gospel of Luke, dan Gospel of John, hanya kata-kata Jesus."
Melalui kenyataan ini, penulis mengakui bahawa:
- Keempat-empat kitab Injil adalah kata-kata Jesus.

Namun, pada muka surat seterusnya, iaitu xv, penulis memberikan kenyataan berikut:
"Umat Islam percaya Bible yang diakui oleh gereja dan ditulis oleh empat orang perekod (juga dikenali sebagai Gospel) iaitu Matthew, Mark, Luke dan John, bukan bersumberkan Jesus."
Sekarang, melalui kenyataan ini pula, penulis mengakui bahawa:
- Keempat-empat kitab Injil bukan bersumberkan Jesus.

Persoalannya, yang mana satu pendirian penulis? Daripada Jesus atau bukan? Mengapa percanggahan ini timbul?

Fakta yang ada adalah,
- Keempat-empat kitab Injil ini adalah sumber bertulis terawal yang kita miliki tentang Yesus di dalam sejarah. Tidak ada yang lebih awal lagi.

Maka, penulis sepatutnya memberikan bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaannya. Masalahnya, penulis langsung tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya.

Penulis juga memberikan dakwaan berikut pada muka surat xv buku ini:
"Walaupun umat Islam yakin Allah menurunkan kitab Injil kepada Jesus, namun kitab itu bukan kitab yang dikatakan Bible pada hari ini. Hal ini sama dengan kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa, ia bukan Tanakh yang disebut dalam Perjanjian Lama. Begitu juga dengan kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud, ia bukan Mazmur yang disebut dalam Perjanjian Lama."
Sekali lagi, penulis langsung tidak memberikan bukti kepada dakwaan ini. Sebenarnya, sangat mudah untuk penulis membuktikan dakwaannya. Apa yang perlu dilakukannya hanyalah menunjukkan kitab-kitab Injil, Taurat dan Zabut yang asli. Namun, penulis tidak dapat berbuat demikian kerana memang tidak wujud kitab-kitab yang didakwakan oleh penulis.

Hakikatnya, sejak dari dahulu lagi, kitab Injil, Taurat dan Zabur adalah seperti yang terdapat di dalam Bible/Alkitab pada hari ini. Saya berikan fakta-fakta berikut:
1. Salinan Bible/Alkitab tertua yang kita miliki hari ini adalah Codex Sinaiticus dan Codex Vaticanus. Kedua-dua salinan Bible/Alkitab ini ditulis pada abad ke-4, 200 tahun lebih awal berbanding permulaan Islam yang bermula pada abad ke-6. Kedua-dua salinan Bible/Alkitab ini juga mengandungi keempat-empat Injil, iaitu Matius, Markus, Lukas dan Yohanes.

2. Tinggalan salinan manuskrip Injil tertua yang kita miliki hari ini adalah Injil Yohanes yang berasal dari abad ke-2, iaitu dianggarkan ditulis sekitar tahun 100-150 masihi.[1] 

3. Salinan manuskrip Kitab Taurat dan Zabur pula telah ditemui di gua Laut Mati. Ada di antara salinan-salinan manuskrip kitab Taurat dan Zabur (Mazmur/Psalm) ini ditulis seawal tahun 300 Sebelum Masihi. Dan apa yang menakjubkan adalah isi kandungannya tidak jauh beza dengan Taurat dan Zabur yang ada di dalam Bible/Alkitab pada hari ini.

4. Ini bererti, kitab Injil, Taurat, dan Zabur yang wujud pada zaman kehidupan Nabi Muhammad adalah sama dengan yang terkandung di dalam Bible/Alkitab hari ini.

5. Malah, diriwayatkan di dalam hadis, Nabi Muhammad mengakui bahawa Taurat pada zaman kehidupannya adalah asli! Perhatikan,
"Sunan Abu-Dawud
Book 38, Number 4434:Narrated Abdullah Ibn Umar:
A group of Jews came and invited the Apostle of Allah (peace_be_upon_him) to Quff. So he visited them in their school.
They said: AbulQasim, one of our men has committed fornication with a woman; so pronounce judgment upon them. They placed a cushion for the Apostle of Allah (peace_be_upon_him) who sat on it and said: Bring the Torah. It was then brought. He then withdrew the cushion from beneath him and placed the Torah on it saying: I believed in thee and in Him Who revealed thee.
He then said: Bring me one who is learned among you. Then a young man was brought. The transmitter then mentioned the rest of the tradition of stoning similar to the one transmitted by Malik from Nafi'(No. 4431)." (sumber)
Terjemahan:
"Hadis Abu-Daud
Buku 38, Nombor 4434:Diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar:
Sekumpulan Yahudi datang dan menjemput Rasulullah s.a.w ke Quff. Maka baginda melawat mereka di sekolah mereka.
Mereka berkata: AbulQasim, salah seorang daripada orang-orang kami telah melakukan zinah dengan seorang wanita; maka berikanlah hukuman ke atas mereka. Rasulullah s.a.w yang sedang duduk di atas tilam yang diberikan mereka berkata: Bawalah Kitab Taurat. Ia kemudian dibawa. Baginda kemudian mengambil tilam yang didudukinya dan meletakkan Kitab Taurat di atasnya dan berkata: Aku percaya kepada ia dan kepada Dia yang telah mewahyukannya.
Baginda kemudian berkata: Bawalah seorang yang terpelajar di kalangan kamu. Maka seorang pemuda dibawa. Yang meriwayatkan hal ini kemudian mengatakan kisah hukum rejam yang seterusnya adalah sama dengan yang diriwayatkan oleh Malik melalui Nafi'(No.4434)."
- Perhatikan bahagian yang ditebalkan,
i) Nabi Muhammad dengan jelas meminta sebuah Kitab Taurat, kemudian mengakui bahawa Kitab Taurat tersebut adalah diwahyukan oleh Tuhan.

ii) Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, Kitab Taurat yang wujud pada zaman kehidupan Nabi Muhammad adalah sama dengan kitab Taurat yang sudah pun wujud berabad-abad lamanya sebelum kelahiran Nabi Muhammad.

iii) Kitab Taurat ini juga adalah sama dengan Kitab Taurat yang ada di dalam Alkitab hari ini.

iv) Maka, jelas terbukti bahawa dakwaan penulis yang mengatakan 'kitab Taurat yang ada pada hari ini bukan kitab Taurat yang diterima Nabi Musa' adalah tidak berasas sama sekali. Kerana, Nabi Muhammad sendiri mengakui keaslian Kitab Taurat pada zaman kehidupannya.
(sebenarnya, kitab Taurat ini terdiri daripada lima buah kitab iaitu Bereshit ("In [the] beginning", Genesis), Shemot ("Names", Exodus), Vayikra ("He called", Leviticus), Bamidbar ("In the desert", Numbers) dan Devarim ("Words", Deuteronomy). Ia bukanlah hanya sebuah kitab seperti yang diandaikan oleh penulis).[2]

Kesimpulannya, kitab Injil, Taurat dan Zabur pada zaman sebelum permulaan Islam dan selepas permulaan Islam adalah sama dengan Injil, Taurat dan Mazmur yang ada pada hari ini.
__________________________________________________________

Sedikit info tambahan, penulis telah menyamakan Taurat dengan Tanakh apabila beliau cuba membandingkan kedua-dua istilah ini. Sebenarnya, ini sekali lagi mendedahkan kesilapan penulis.
- Taurat sebenarnya merujuk kepada lima buah kitab pertama di dalam Tanakh seperti yang diberikan pada poin iv di atas.
- Tanakh pula adalah istilah orang Yahudi untuk merujuk kepada keseluruhan himpunan kitab-kitab di dalam Perjanjian Lama.[3]

Ulasan