Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #4: Dua Tuhan?

Senarai lengkap siri post ini di sini.

Doktrin Triniti ini diperkatakan dengan lebih lanjut oleh penulis pada bab 5 buku ini. Namun, penulis telah memberikan sedikit kritikan terhadap Triniti di muka surat xvi buku ini seperti berikut:
"Namun, sekiranya kita kaji ayat-ayat Bible, jelas Jesus dan Tuhan Bapa sebenarnya adalah dua peribadi yang berlainan. Jesus bukan jelmaan Tuhan Bapa ataupun menjadi Anak Tuhan. Jesus tidak sama dengan Tuhan Bapa. Hal ini ditegaskan dalam Gospel of Mark (16:19)
'Selepas Jesus berbicara kepada mereka, dia diangkat ke syurga. Lalu, duduk di sebelah kanan Tuhan.' (Mark, 16:19)
Ayat ini bertentangan dengan fahaman tauhid yang menyatakan Tuhan itu tunggal atau esa. Sekiranya benar Jesus kembali ke syurga dan duduk di samping kanan Tuhan, siapa yang harus kita sembah antara dua tuhan itu? Bila pula Jesus bersatu dengan Tuhan Bapa? Sekiranya kita baca ayat dalam Gospel of Mark (16:19), Jesus wujud dan tidak pernah bersatu dengan Tuhan."
Penulis cuba memberikan suatu dilema dengan mengatakan terdapat dua Tuhan berdasarkan ayat Markus 16:19. Hal ini mendedahkan kekeliruan penulis tentang doktrin Triniti.

1. Penulis mendakwa Jesus dan Tuhan Bapa adalah dua Peribadi berlainan. Sebenarnya, hal ini adalah benar! Namun, kekeliruan timbul pada penggunaan perkataan "Peribadi" yang digunakan oleh penulis. Untuk lebih memahami penggunaan "Peribadi" ini di dalam Triniti, saya berikan post berikut sebagai rujukan: "Fakta segera: Triniti/Tritunggal". Saya berharap agar anda membacanya untuk mendapat sedikit gambaran yang sebenar untuk hal ini.

2. Selain itu, penulis sekali lagi melakukan kesilapan yang dilakukan oleh Lelaki B (sila baca post ini untuk mengetahui siapakah Lelaki B ini.) Penulis memberikan suatu kepercayaan yang tidak dipercayai Kristian dan memberikan gambaran seolah-olah kepercayaan tersebut adalah kepercayaan Kristian. Penulis mendakwa "Jesus bukan jelmaan Tuhan Bapa ataupun menjadi Anak Tuhan."
- Hal ini tidak diajarkan di dalam Kristianiti. Kristian tidak percaya Jesus adalah jelmaan Tuhan Bapa, kerana Jesus adalah Firman yang menjadi manusia (Yoh 1:14), bukannya Tuhan Bapa yang menjelma menjadi Jesus.
- Kristian juga tidak percaya Jesus menjadi Anak Tuhan, kerana perkataan "menjadi" membawa pengertian Jesus bukanlah Peribadi Anak sebelum Dia dijadikan Anak Tuhan. Perkataan "menjadi" ini seolah-olah menyatakan Jesus mempunyai permulaan sedangkan Kristian percaya Jesus tidak berawal dan berakhir kerana Dia adalah Alfa dan Omega. Dia memang adalah Peribadi Anak sejak dahulu, kini dan selama-lamanya.

3. Maka, melalui kekeliruan tersebut, penulis menyangka ungkapan "duduk di sebelah kanan Tuhan" bererti wujud dua tuhan, sedangkan apa yang terjadi adalah Jesus kembali semula ke dalam kesatuan Triniti. Hal tentang Triniti akan saya perkatakan dengan lebih lanjut apabila siri post ini sampai ke Bab 5 buku ini.

Satu perkara lagi, penulis nampaknya menggunakan terjemahan ayat Alkitab yang agak berbeza. Bandingkan ayat Markus 16:19 versi penulis dengan beberapa versi terjemahan rasmi Alkitab yang lain.
Versi penulis:
"Selepas Jesus berbicara kepada mereka, dia diangkat ke syurga. Lalu, duduk di sebelah kanan Tuhan."
Terjemahan Baru Bahasa Indonesia
"Sesudah Tuhan Yesus berbicara demikian kepada mereka, terangkatlah Ia ke sorga, lalu duduk di sebelah kanan Allah."
Terjemahan Lama Bahasa Indonesia
"Setelah Tuhan (Yesus) bersabda demikian kepada mereka itu, maka terangkatlah Ia naik ke surga lalu duduk di sebelah kanan Allah."
Today Malay Version/Alkitab Berita Baik Bahasa Melayu
"Setelah Tuhan Yesus berkata-kata dengan mereka, Dia diangkat ke syurga lalu duduk di sebelah kanan Allah."
Perhatikan, penulis dengan sengaja meniadakan perkataan "Tuhan" pada ungkapan "Tuhan Yesus" di dalam ayat tersebut. Penulis juga mengubah perkataan "Allah" pada hujung ayat ini kepada "Tuhan". Persoalannya, mengapa penulis berbuat demikian? Tidakkah ini menunjukkan penulis seperti cuba menyembunyikan sesuatu? Kerana, jika terjemahan-terjemahan rasmi ini digunakan, cubaan penulis untuk membuktikan Jesus bukan Tuhan menggunakan ayat Alkitab akan berhadapan dengan kesulitan.

Sebagai info tambahan, berikut saya berikan Markus 16:19 ini di dalam bahasa asalnya iaitu Greek. Perkataan yang ditiadakan oleh penulis telah saya tebalkan. Kemudian, anda bandingkan dengan terjemahan yang digunakan penulis dan juga terjemahan-terjemahan rasmi di atas, mana satu yang lebih jujur dalam penterjemahannya.

"ὁ μὲν οὖν κύριος (Tuhan ) Ἰησοῦς (Yesus) μετὰ τὸ λαλῆσαι αὐτοῖς ἀνελήμφθη εἰς τὸν οὐρανὸν καὶ ἐκάθισεν ἐκ δεξιῶν τοῦ θεοῦ (Allah)" (sumber)

Ulasan