Langkau ke kandungan utama

Kenapa orang-orang Kristian harus kekal sebagai Kristian

Baru-baru ini saya telah menemui sebuah artikel blog yang bertajuk "Kenapa orang-orang Kristian harus memilih Islam". Artikel tersebut agak panjang dan penulis memberikan 6 sebab.
[Update 9/4/2013: Nampaknya, link kepada artikel blog tersebut kini tidak lagi berfungsi. Namun, artikel tersebut masih boleh dibaca di sini.]

Kita akan melihat 6 sebab tersebut satu persatu.

1. Agama Kristian bukan agama Rahmatan Lil’alamin, tetapi agama Kristian hanya untuk bangsa Yahudi sahaja.

Menurut penulis, agama Kristian hanya untuk bangsa Yahudi sahaja. Kemudian, beliau memetik beberapa ayat Alkitab bahagian Perjanjian Baru untuk menyokong hujah yang diberikan (Mat 2:1-2, 5-6; Mat 15:21-26).

Melalui ayat-ayat tersebut, beliau menulis:
Kebenaran ini saya temui ketika membuat kajian perbandingan antara al-Quran dan bible, tetapi sebelum ini saya tidak mengetahui akan maksud ayat ini dan kepada siapa ia ditujukan. Oleh itu, ini sudah menjadi satu bukti yang cukup agama kristian bukan agama untuk semua manusia tetapi khusus untuk bangsa Yahudi sahaja. Di dalam bible pun tidak ada satu ayat pun yang menyebut kristian merupakan agama untuk semua manusia.
Agak menarik apabila penulis mendakwa di dalam Alkitab tidak ada satu pun ayat yang menyebut kepercayaan Kristian adalah untuk semua orang. Namun, di dalam kitab Injil Matius sendiri, ayat tersebut wujud.

18 Yesus menghampiri mereka lalu berkata, "Aku telah diberikan segala kuasa di syurga dan di bumi.

19 Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku. Baptislah mereka dengan menyebut nama Bapa, Anak, dan Roh Allah.
20 Ajarlah mereka mentaati segala yang sudah Aku perintahkan. Ingatlah, Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman." (Mat 28:18-20)
'Kristian' bererti pengikut Yesus Kristus. Sangat jelas di sini Yesus menyatakan untuk menyebarkan ajaran-Nya kepada semua bangsa di seluruh dunia. Malah, lebih ironik adalah ayat ini terdapat di dalam kitab Matius, kitab yang sama digunakan penulis untuk mengatakan kononnya Kristianiti hanya untuk bangsa Yahudi.

Penulis juga cuba memperlekehkan Benjamin Stephen. Beliau menulis:
Oleh yang demikian, kemasukan Benjamin Stephen ke dalam agama (sekarang mereka menjadi pendakwah Kristian di singapura) tidak memberikan apa-apa kelebihan dan kekuatan kepada Kristian sebagai agama yang benar dan Kristian agama untuk semua.
Mungkin hal ini mengejutkan, tetapi saya sebenarnya bersetuju dengan penulis bahawa kemasukan Benjamin Stephen sebagai Kristian tidak memberikan apa-apa kelebihan dan kekuatan kepada Kristian sebagai agama yang benar. Ini kerana untuk menilai kebenaran sesuatu kepercayaan itu bukan terletak pada individu yang menganutnya tetapi melalui pengajaran kepercayaan itu sendiri.

Maka, dengan perspektif yang sama, kemasukkan penulis ke dalam agama Islam juga sebenarnya tidak memberikan sebarang kelebihan dan kekuatan kepada Islam sebagai agama yang benar. Apa yang terjadi hanyalah pertukaran kepercayaan.

Agak mengecewakan penulis kelihatan sombong apabila menulis:
Ini kerana melihat kepada hujah yang saudara Benjamin Stephen berikan tidak ilmiah dan tidak ada dalil yang kuat berdasarkan ilmu sama ada daripada bible mahu pun pada pendapat ulama-ulama Kristian sendiri. Dan saya sendiri berani mencabar Benjamin Stephen bahawa beliau tidak lah hebat sangat dan beliau sendiri tidak memahami tentang ajaran Islam yang sebenar, walaupun pernah belajar di sekolah agama tetapi beliau lebih bodoh daripada apa yang saya sangkakan. Oleh itu sesuai lah Benjamin Stephen murtad. Kalau dibandingkan dengan saya yang baru sahaja memeluk agama Islam, kefahaman saya tentang Islam lebih baik daripada Benjamin Stephen yang lahir dan belajar di sekolah agama. Oleh itu, saya sedia bertemu dengan beliau untuk berbincang sekiranya beliau seorang lelaki yang berani. Tetapi pada saya, beliau hanya mencari publisiti murahan dan sedikit habuan daripada Paderi-paderi Kristian untuk meneruskan hidupnya.
Jika inilah antara hujah beliau untuk menarik Kristian, ia mungkin tidak begitu berkesan.

2. Tidak ada jaminan daripada Tuhan agama Kristian merupakan agama yang benar.
Hujah ini tidak begitu kukuh. Adakah hanya kerana sesuatu agama itu mengaku sebagai benar maka ia menjadi benar? Penulis mendakwa terdapat pengakuan 'agama benar' di dalam Al-Quran sehingga beliau menjadi percaya. Namun, kitab Mormon juga mengaku sebagai agama yang benar, adakah itu menjadikan Mormonisme kepercayaan yang benar?

Persoalannya, bagaimana penulis tahu pengakuan tersebut benar?

Saya sendiri sebagai Kristian tidak percaya kepada Yesus hanya kerana membaca di dalam Alkitab bahawa Yesus adalah jalan kebenaran. Jika saya memberitakan Injil kepada orang lain, saya tidak akan menggunakan hujah seperti ini. Malah, saya tidak tahu mana-mana Kristian yang menggunakan hujah seperti ini kerana hujah ini tidak munasabah. Agak menyedihkan penulis menganggap hujah ini sebagai sangat 'meyakinkan'.

3. Tidak ada jaminan Bible datangnya daripada Tuhan dan bukan ciptaan manusia.
Hujah ini juga sama dengan hujah ke-2. Penulis mendakwa Al-Quran adalah benar hanya kerana ada tertulis di dalam Al-Quran bahawa ia adalah benar. Persoalannya, adakah itu menjadikan ia benar?

Sebenarnya, terdapat ayat di dalam Alkitab yang mengatakan bahawa Alkitab diilhamkan oleh Tuhan:
Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan membetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Allah. (2 Tim 3:16)
Namun, adakah hanya dengan kenyataan ini Alkitab menjadi benar? Sudah tentu tidak.

Kebenaran Kristianiti adalah terletak pada Yesus Kristus. Jika Dia tidak disalibkan dan bangkit dari kematian, maka sia-sialah iman Kristian. Malah, tanpa menggunakan Alkitab pun, kita boleh mengetahui bahawa Yesus memang disalibkan dan disembah sebagai Tuhan seawal abad pertama.[1]

Penulis juga mendakwa:
Di dalam pengkajian saya antara al-Quran dan bible, setiap surah yang ada di dalam al-Quran mengandungi tiga ayat atau lebih yang menyatakan al-Quran ini datangnya daripada Allah SWT dan bukannya ciptaan manusia. Inilah kehebatan Islam lalu saya memeluk Islam dan meninggalkan Kristian yang tidak ada jalan keselamatan di dalamnya.
Tidak ada jalan keselamatan? Mungkin penulis terlepas pandang ayat berikut semasa pengkajian beliau:
Yesus menjawab, "Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku. (Yoh 14:6)
Penulis juga melakukan kesilapan apabila mengatakan:
Bible hanyalah sebuah cerita lama yang tidak ada kelebihan dan mukjizat untuk dibanggakan
Mungkin penulis tidak sedar kebanyakkan 'cerita-cerita lama' yang ada di dalam Alkitab juga ada di dalam Al-Quran. Contohnya, Musa membelah Laut Merah, Musa berbicara dengan Tuhan melalui semak yang terbakar, Yesus (Nabi Isa) menyembuhkan penyakit, membangkitkan orang mati, dll.

Apabila penulis mendakwa Alkitab hanyalah cerita lama, secara langsung penulis telah mempertikaikan kitab kepercayaannya sendiri.

Penulis juga mendakwa:
Saya sendiri sebenarnya hairan kerana selama ini penganut agama Kristian mendakwa bible adalah kalam Tuhan tetapi kalau kita melihat kandungannya banyak perkara lucah yang tidak seharusnya ada di dalamnya. Bukan itu sahaja bahkan bible mengiktiraf perbuatan sumbang mahram dan dirakamkan di dalam bible.
Hujah ini sangat mirip dengan hujah yang pernah diberikan oleh Ahmad Deedat. Mungkin penulis mendapat ilham darinya.

Masalah hujah ini adalah apabila penulis mengatakan "Alkitab mengiktiraf perbuatan sumbang mahram". Perlu dibezakan, "mengiktiraf" dan "dirakamkan" adalah dua perkara yang berbeza.

Ya, Alkitab ada merakamkan perbuatan sumbang mahram, namun, adakah dikatakan Alkitab juga "mengiktiraf" perbuatan tersebut? Penulis cuba memberikan contoh dari Kejadian 38:15-19 dan Kejadian 19:30-36 yang menurutnya "mengiktiraf" perbuatan sumbang mahram.

Saya menjemput anda untuk membaca sendiri konteks keseluruhan ayat tersebut (Kejadian 38, Kejadian 19) dan mencari di mana dikatakan perbuatan sumbang mahram diiktiraf sebagai perbuatan yang diperbolehkan menurut Alkitab.

Perlu diketahui, Alkitab mencatatkan semua peristiwa tentang kehidupan manusia, termasuk hal-hal yang bersifat dosa. Bukan bererti perbuatan-perbuatan tersebut diiktiraf. Ia hanya menunjukkan sikap manusia yang cenderung untuk melakukan dosa dan sudah jatuh di dalam dosa.

Penulis juga merasa jijik dengan ayat di dalam Yehezkiel 23:1-3 dan 20-21. Jika penulis merasa jijik, itu disebabkan ayat tersebut memang disengajakan untuk menimbulkan perasaan jijik. Jika kita membaca konteks keseluruhan ayat tersebut, ia sebenarnya menceritakan tentang perbuatan bangsa Israel ketika itu yang menyembah berhala selain Tuhan. Lalu Tuhan berfirman menggunakan bahasa yang menggambarkan betapa jijiknya penyembahan berhala di mata Tuhan. Kedua wanita di dalam ayat tersebut (iaitu Ohola sebagai Samaria dan Oholiba sebagai Yerusalem) sebenarnya adalah gambaran untuk bangsa Israel sendiri.

Agak ironik, dalam penulis mengatakan sumbang mahram (iaitu Yehuda bersetubuh dengan menantunya di Kej 38:15-19), nabi kepercayaan beliau sendiri telah melakukan hal yang sama apabila mengambil menantunya, Zainab, sebagai isteri.

Agak ironik juga penulis merasa terganggu dengan kitab Kidung Agung, tetapi tidak terhadap janji untuk menikmati hubungan seksual di syurga nanti bersama-sama dengan perawan-perawan berbuah dada penuh (Surah An-Naba ayat 33) dan yang tidak pernah disetubuhi oleh mana-mana manusia atau jin (surah Ar-Rahman ayat 56).

4. Agama kristian tidak mempunyai fiqh ibadat yang jelas.
Penulis mendakwa cara Kristian menyembah Tuhan tidak beza dengan konsert rock, berpakaian seksi, anjing boleh masuk ke dalam gereja. Masalah dari dakwaan ini, adakah itu cara sebenar Kristian menyembah Tuhan atau itu hanyalah budaya gereja setempat yang telah dilihat penulis?

Saya pasti penulis setuju untuk mengetahui cara sebenar untuk menyembahan Tuhan di dalam Kristianiti adalah merujuk kepada Alkitab. Agak ganjil penulis menyalahkan apa yang dilihatnya namun tidak mempertikaikan cara penyembahan yang sebenar menurut Alkitab. Malah penulis langsung tidak menyentuh sebarang pengajaran Alkitab tentang penyembahan sebenar Kristian.

Bagaimana jika penulis menemui gereja yang tidak menyembah seperti konsert rock, tidak berpakaian kurang sopan, tidak membenarkan anjing masuk ke dalam gereja, adakah itu cukup untuk mengatakan itu adalah penyembahan atau ibadat yang jelas?

Apa yang penulis lakukan adalah menilai secara luaran tanpa mendalami maksud sebenar penyembahan yang hidup menurut Alkitab.[2]

5. Bible mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai seorang Nabi, penutup segala Nabi.
Jika dilihat pada tajuk sebab ke-5 ini, seolah-olah penulis akan memberikan bukti terhadap dakwaannya bahawa Alkitab mengiktiraf Nabi Muhammad sebagai nabi dan penutup segala nabi. Penulis memberikan huraian yang panjang lebar pada bahagian ini. Masalahnya, tidak ada satu pun isi yang relevan terhadap Kristianiti. Penulis hanya memberikan dakwaan tanpa memberikan apa-apa untuk menyokong dakwaannya. Contohnya:
Nama Muhammad bukan sahaja disebut di dalam al-Quran tetapi turut disebut di dalam kitab-kitab agama yang lain seperti kitab bible dan kitab-kitab yang dimiliki oleh penganut Hindu. Walaupun nama Muhammad tidak disebutkan secara terus dan nama lain yang digunakan tetapi yang jelasnya orang yang dimaksudkan ialah Muhammad itu sendiri. Oleh kerana takut kebenaran ini diketahui oleh orang ramai, maka paderi-paderi kristian dan sami-sami tidak mendedahkanya dan menjadikanya satu rahsia yang penuh mistik.
Jika nama Muhammad ada disebut di dalam Alkitab, agak ganjil penulis tidak memberikan bahagian mana di dalam Alkitab yang ada menyebut nama tersebut.

Sesuai dengan ayat terakhir penulis di bahagian ini:
Apa bila saya bertanya kepada seorang paderi tentang adakah terdapat cerita tentang Muhammad di dalam bible? Jawapan yang diberikan cerita tentang Muhammad tidak terdapat di dalam bible.
Memang benar kata paderi tersebut.

6. Wujud percanggahan di dalam ajaran Kristian.
Sama seperti sebab ke-5, penulis hanya menyatakan ada percanggahan namun tidak memberikan apakah percanggahan tersebut.

Refleksi
Saya berasa sedih membaca sebab-sebab penulis meninggalkan imannya sebagai Kristian kerana kesemuanya bukanlah sesuatu yang terlalu rumit. Saya merasakan penulis mempunyai sebab lain selain sebab-sebab yang disebutkannya di dalam artikel tersebut.

Namun, jika benar itu merupakan sebab mengapa beliau menjadi tidak percaya, terdapat suatu corak jelas yang perlu diperhatikan oleh pemimpin-pemimpin gereja setempat.

Penekanan terhadap Firman Tuhan dan pengajaran Alkitabiah
Berdasarkan hujah-hujah yang diberikan beliau, agak jelas semasa beliau masih seorang Kristian, beliau tidak diberi penekanan tentang Firman Tuhan. Mungkin gereja setempat yang beliau hadiri dahulu terlalu karismatik sehingga mengabaikan kepentingan dasar Firman Tuhan. Hal ini jelas apabila beliau mengatakan cara penyembahan di gereja seperti konsert rock, terlompat-lompat, dll kerana itu selalunya dilakukan oleh gereja-gereja yang lebih mementingkan penyembahan, urapan dan bersifat karismatik.

Penulis telah memilih keputusannya sendiri. Keputusan tersebut memang sesuatu yang menyedihkan. Namun, ia juga mengingatkan kita betapa besarnya kasih Tuhan itu sehingga Dia sanggup memberikan kita kebebasan untuk memilih, walaupun kita mungkin akan memilih pilihan yang akan melukakan hati-Nya.

Marilah kita mendoakan dan tetap mengasihi siapa pun yang telah meninggalkan atau belum percaya kepada Yesus seperti mana Tuhan sendiri telah mengasihi kita semasa kita masih lagi berdosa.[3]

Ulasan

Fyry Lau berkata…
Setuju . Tuhan adalah satu-satunya jalan . Bukan dengan tutup aurat dapat menjanjikan syurga tapi dengan iman percaya,hati yang tulus dan takut akan Tuhan (:
Unknown berkata…
Hi Fyry Lau,
Selamat datang ke blog ini. Tuhan memberkati.
Daily News Info berkata…
Shallom.

Sa suka membaca blog seperti ini.

Tdk ada ertinya jika melompat-lompat menyembah jika tidak faham Dasar Firman Tuhan.

Penekanan terhadap Firman Tuhan dan pengajaran Alkitabiah.
Berdasarkan hujah-hujah yang diberikan beliau, agak jelas semasa beliau masih seorang Kristian, beliau tidak diberi penekanan tentang Firman Tuhan. Mungkin gereja setempat yang beliau hadiri dahulu terlalu karismatik sehingga mengabaikan kepentingan dasar Firman Tuhan. Hal ini jelas apabila beliau mengatakan cara penyembahan di gereja seperti konsert rock, terlompat-lompat, dll kerana itu selalunya dilakukan oleh gereja-gereja yang lebih mementingkan penyembahan, urapan dan bersifat karismatik.

Sa sgt setuju dgn petikan ini.

Unknown berkata…
Hai Welz,
Terima kasih kerana membaca. :)
Joanna berkata…
Saya tidak peduli akan pandangan orang2 yg bukan kristian kerana pendapat mereka tidak akan mengoyah kan iman dan kepercayaan sya terhadap cinta kasih yesus