Langkau ke kandungan utama

Yesus: "Menurut kamu, siapakah Aku ini?"

Persoalan ini kelihatan agak klise. Sebagai orang percaya, sudah tentu kita akan mengatakan Yesus adalah Mesias, Anak Allah yang hidup.[1] Hal itu benar. Malah, Yesus sendiri mengakuinya.[2]

Masalahnya, ramai orang Kristian yang keliru apabila disoal seperti berikut:
"Jika Yesus itu Tuhan, mengapa Dia merasa lapar seperti manusia?"[3]
"Jika Yesus itu Tuhan, mengapa Dia mengatakan Bapa yang mengutus-Nya?"[4]
"Jika Yesus itu Tuhan, mengapa Dia menggambarkan diri-Nya sebagai nabi?"[5]

Bagaimana kita, sebagai orang yang percaya, menghadapi hal ini?

Berterus terang
Jika kita tidak tahu, adalah lebih baik kita mengaku tidak tahu. Jangan terperangkap dengan persoalan yang diberikan dengan mengada-adakan penjelasan yang kita sendiri tidak pasti benar atau tidak. Kita perlu sedar, walaupun kita tidak tahu akan sesuatu itu, ia tidak bererti sesuatu itu tidak benar. Contohnya, saya tidak tahu bagaimana graviti bertindak, namun, itu tidak bererti graviti tidak benar. Apabila kita berterus terang, kita telah memberikan kesaksian yang baik terhadap iman kita.[6]

Berdoa
Hal ini jarang dipraktikkan sedangkan ia adalah perkara yang sangat penting di dalam kehidupan kita sebagai orang percaya. Kita perlu sentiasa berdoa dalam segala hal.[7] Namun, kita juga perlu sedar, tidak semestinya kita berdoa, secara automatik Tuhan menurunkan jawapan ke dalam akal pengetahuan kita. Walaupun kita beriman bahawa doa kita didengar Tuhan, jika tidak disertakan dengan tindakan, iman tersebut pada hakikatnya adalah mati.[8] Kita perlu bertindak dengan 'bersedia'.

Bersedia
Apa yang kita perlu lakukan selepas itu? Cari jawapan persoalan yang diberikan. Kita mungkin tidak dapat menjawab ketika itu. Tidak apa. Lihat ketidak-mampuan kita tersebut sebagai suatu pengajaran agar kita lebih bersedia jika kita menghadapi situasi yang sama pada masa akan datang. Sebenarnya, bersiap sedia untuk memberikan penjelasan terhadap iman kita dituntut menurut Alkitab.[9] Namun, jangan bersedia kerana mahu 'menang' dalam sesuatu 'debat'. Bersiap sedialah kerana kasih.[10]

Bagaimana dengan persoalan-persoalan di atas?
Sebenarnya, persoalan-persoalan di atas dapat dijelaskan jika kita mengetahui sifat pelayanan Yesus ketika Dia datang ke dunia sebagai manusia.
Saya sarankan anda menyelidiki tentang perkara-perkara berikut:
- Kesatuan hipostatik: Yesus sepenuhnya Tuhan dan sepenuhnya manusia semasa kehidupannya di bumi.
- Peranan-peranan lain selain Mesias/Kristus yang dimainkan oleh Yesus semasa kehidupan-Nya di bumi: Nabi, Penyembuh, Rabbi/Guru, Korban.

Selamat bersedia.

Ulasan