Langkau ke kandungan utama

Manuskrip terawal Perjanjian Baru telah dijumpai?

Artikel ini adalah terjemahan. Artikel asal boleh dibaca di sini.

Daniel B. Wallace
Pada 1 Februari 2012 yang lalu, saya telah berdebat dengan Bart Ehrman di UNC Chapel Hill tentang sama ada kita memiliki perkataan-perkataan asal di dalam Perjanjian Baru hari ini. Ini merupakan debat ketiga kami, dan lebih 1000 orang menyaksikannya. Saya telah mengatakan bahawa baru-baru ini tujuh manuskrip papyri Perjanjian Baru telah ditemui - enam darinya berkemungkinan berasal dari abad ke-2 dan yang satu lagi berkemungkinan berasal dari abad pertama. Hasil kajian fragmen-fragmen ini akan diterbitkan lebih kurang setahun dari sekarang.

Manuskrip-manuskrip ini telah menambah simpanan kita seperti berikut: kita memiliki sebanyak 18 manuskrip Perjanjian Baru (semuanya adalah fragmen, lebih kurang) yang berasal dari abad ke-2 dan satu dari abad pertama. Secara keseluruhan, lebih 40% daripada ayat-ayat di dalam Perjanjian Baru ditemui di dalam manuskrip-manuskrip ini. Namun yang paling menarik adalah fragmen yang berasal dari abad pertama tersebut.

Tarikhnya diselidiki oleh salah seorang paleographer terkemuka hari ini. Dia berkata bahawa dia 'pasti' yang ia berasal dari abad pertama. Jika hal ini benar, ia akan menjadi fragmen tertua Perjanjian Baru yang diketahui masih wujud. Sehingga hari ini, tiada sesiapa pun yang telah berjaya menemui sebarang manuskrip abad pertama untuk Perjanjian Baru. Manuskrip tertua untuk Perjanjian Baru sebelum ini adalah P52, fragmen kecil Injil Yohanes, berasal dari suku pertama abad ke-2. Ia ditemui pada tahun 1934.

Bukan itu sahaja, tetapi fragmen abad pertama ini adalah daripada Injil Markus. Sebelum penemuan fragmen ini, manuskrip tertua yang mengandungi Injil Markus di dalamnya adalah P45, dari awal abad ke-3 (sekitar 200-250 selepas masihi). Fragment baru ini pula akan mendahuluinya lebih 100 hingga 150 tahun lebih awal.

Bagaimana manuskrip-manuskrip ini akan mengubah apa yang sudah kita percayai dikatakan di dalam Perjanjian Baru? Kita perlu menunggu sehingga hasil kajian manuskrip-manuskrip ini diterbitkan pada tahun hadapan. Namun, buat masa ini saya hanya dapat mengatakan hal berikut: sama seperti hasil kajian papyri Perjanjian Baru yang telah diterbitkan sebelum ini (127 kesemuanya, diterbitkan sepanjang 166 tahun yang lalu), tidak ada satu pun yang memberikan sesuatu yang lain dari yang lain. Sebaliknya, papyri tersebut berfungsi sebagai pengesahan kepada pengkaji Perjanjian Baru terhadap apa yang telah difikirkan mereka sebagai perkataan asal [Perjanjian Baru], dalam kes-kes tertentu, mengesahkan bacaan yang berbeza - namun ia adalah bacaan yang sudah ditemui di dalam manuskrip-manuskrip lain.

Sebagai contoh: Katakan sebuah papyrus mengandungi perkataan "Tuhan" di dalam suatu ayat sementara manuskrip-manuskrip lain mengandungi perkataan "Yesus". Pengkaji Perjanjian Baru tidak akan menerima, dan belum pernah menerima, bacaan tersebut sebagai asli, kerana kita mempunyai bukti yang lebih banyak tentang perkataan asal di dalam manuskrip-manuskrip yang lain. Namun, jika papyrus yang lebih awal menggunakan "Simon" dan bukan "Petrus", dan "Simon" juga ditemui di dalam manuskrip-manuskrip awal lain yang boleh dipercayai, ia mungkin akan menyakinkan pengkaji bahawa bacaan asal yang sebenar adalah "Simon". Dengan kata lain, papyri tersebut telah mengesahkan pelbagai bacaan lain sebagai asli sepanjang 166 tahun ini, namun tidak memperkenalkan sebarang bacaan baru yang lain. Teks asal Perjanjian Baru yang sebelum itu telah pun lama diketahui, ditemui di dalam bahagian-bahagian tertentu manuskrip-manuskrip tersebut.

Papyri-papyri baru ini juga akan meneruskan kecenderungan tersebut. Namun, jika fragmen Injil Markus ini disahkan sebagai berasal dari abad pertama, pastinya ia sangat mengujakan kerana kita akan memiliki manuskrip yang berasal dari zaman kehidupan kebanyakkan pengikut asal Yesus! Bukan itu sahaja, manuskrip ini mungkin telah ditulis sebelum Perjanjian Baru itu sendiri lengkap.



Refleksi
Ketika saya membaca hal ini, ia memang sesuatu yang menarik dan seperti kata penulis, "a thrill". Namun, saya secara peribadi masih menyimpan sedikit perasaan skeptikal kerana hakikatnya hasil kajian manuskrip-manuskrip ini hanya akan diterbitkan pada tahun hadapan.

Namun, jika ia benar, ia sedikit sebanyak akan menguatkan lagi keboleh-percayaan terhadap kesahihan penulisan Perjanjian Baru secara akademik.

Ulasan