Langkau ke kandungan utama

Apa versi terjemahan Alkitab yang sesuai untuk saya?

Pastinya ada yang tertanya-tanya maksud tajuk post ini. Malah, pasti ada yang berkata "Lihat, Alkitab mempunyai banyak versi berbeza! Alkitab telah diubah!".

Nampaknya penjelasan perlu diberikan untuk mengelak sebarang salah faham yang mungkin akan timbul.

Tajuk ini merujuk kepada versi terjemahan Alkitab yang pelbagai. Namun, kepelbagaian versi terjemahan ini tidak bererti setiap Alkitab tersebut berbeza. Sebenarnya semua versi Alkitab menceritakan hal yang sama. Cuma, bahasa pengantar atau gaya bahasa yang digunakan adalah berbeza untuk setiap versi.

Mungkin ada yang bertanya, "Mengapa perlu banyak versi jika isi Alkitab tersebut adalah sama?"
Saya pernah menulis suatu post ringkas tentang persoalan ini di sini.

Berbalik kepada tajuk post ini, bagaimana memilih versi terjemahan Alkitab yang sesuai dengan kita? Berikut beberapa saranan ringkas.

Apa yang hendak anda lakukan dengan Alkitab tersebut?
Sebelum kita memilih mana-mana terjemahan Alkitab, kita perlu jelas apa yang kita hendak lakukan dengan Alkitab tersebut. Adakah untuk pembelajaran Alkitab, hanya sekadar mahu memiliki sebuah Alkitab, atau mungkin untuk dihadiahkan kepada orang lain. Dengan mengetahui tujuan, kita akan dapat membuat pilihan yang lebih sesuai dengan keperluan kita. Contohnya, jika ia untuk tujuan renungan, adalah lebih baik kita memilih versi terjemahan yang mudah difahami (cth: NKJV, RSV, Bahasa Indonesia Sehari-hari, dll). Jika ia untuk tujuan penyelidikan atau pengajaran Alkitab, pilih yang mempunyai banyak nota kaki yang menjelaskan sesuatu ayat tersebut (cth: NET, NIV, Berita Baik dll).

Adakah terjemahan tersebut diiktiraf oleh majoriti penterjemah dan pengkaji tekstual Alkitab?
Hal ini penting kerana terdapat terjemahan Alkitab yang tidak diiktiraf kerana kumpulan penterjemah yang menterjemahkan Alkitab tersebut mempunyai agenda atau bias terhadap kepercayaan mereka. Contoh terjemahan Alkitab yang tidak diiktiraf adalah Alkitab versi New World Translation yang diterbitkan oleh gereja Jehovah Witness. Ini kerana beberapa ayat di dalam Alkitab yang bertentangan dengan fahaman JW diubah agar bersesuaian dengan doktrin mereka.

Miliki sekurang-kurangnya dua versi terjemahan yang berbeza
Kita pasti akan menemui ayat-ayat tertentu di dalam Alkitab yang sukar difahami maksudnya yang sebenar kerana gaya bahasa yang digunakan jarang kita temui.

Contohnya, agak sukar untuk saya mengerti maksud kebanyakan ayat-ayat di dalam kitab Amsal, Ratapan, Yesaya, Mazmur, dll, jika saya menggunakan versi Terjemahan Baru Bahasa Indonesia. Ini kerana saya tidak biasa membaca gaya bahasa yang digunakan. Namun, saya lebih memahami kitab-kitab ini apabila membacanya di dalam versi Berita Baik Bahasa Malaysia. Selain itu, kita juga boleh membandingkan kedua-dua versi Alkitab tersebut untuk memahami sesuatu ayat itu dengan lebih dalam lagi.
Maka, adalah disarankan agar anda memiliki sekurang-kurangnya dua versi terjemahan yang berbeza.

Yang paling penting
Setelah kita memiliki Alkitab, jangan lupa untuk membaca dan merenungkannya selalu. Tidak ada gunanya kita memiliki beratus-ratus Alkitab jika kita membiarkannya mengumpul habuk.

Atau anda boleh membaca cadangan oleh Daniel B. Wallace.

Ulasan