Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #21: Lebih dari sekadar nabi?

Senarai lengkap siri post ini di sini.

Pada muka surat 23 buku ini, penulis memberikan dakwaan berikut: Kristian memandang Jesus sebagai anak Allah yang diberanakkan. Kemudian, penulis memberikan dalil berikut: Allah tidak beranak dan diperanakkan. Walaupun tidak dinyatakan oleh penulis, dalil tersebut sebenarnya dipetik dari Al-Quran, surah Al-Ikhlaas ayat 3.

Apa maksud penulis dengan "beranak dan diperanakkan"? Untuk memahami pemahaman penulis (dan juga Muslim) tentang frasa ini, saya petik tafsiran surah Al-Ikhlaas ayat 3 yang diberikan oleh Muslim sendiri:
"Maksudnya ialah hakikat Allah itu adalah hakikat yang wujud abadi dan azali lagi. Hakikat Allah tidak dipengaruhi oleh keadaan demi keadaan. Dia mempunyai sifat yang sempurna dalam segala keadaan. Makna peranakan ialah kelahiran dan lanjutan keturunan. Peranakan merupakan satu kewujudan yang lebih selepas kurang atau selepas tidak ada dan semuanya ini mustahil pada Allah. Peranakan juga memerlukan isteri yang sama kejadian. Ini juga mustahil pada Allah kerana itu sifat Maha Esa atau "Ahadun" itu sendiri mengandungi penolakan adanya ibu bapa dan anakanak." (sumber)
Tafsir ini jelas menunjukkan penulis menganggap Kristian percaya Jesus dilahirkan seperti mana suami isteri yang hidup bergaul lalu melahirkan anak atau keturunan. Dengan kata lain, penulis mendakwa Kristian percaya Allah mempunyai seorang isteri lalu melahirkan anak Allah iaitu Jesus! Hal ini sama sekali tidak benar! Kristian tidak pernah percaya TUHAN mempunyai pasangan (isteri).

Kepercayaan sebenar Kristian tentang Jesus adalah seperti berikut:
"Tuhan Yesus, sebelum kedatangan-Nya melalui kelahiran sebagai manusia ke dalam dunia, telah pun wujud dan adalah Allah dan bersama-sama dengan Allah (Yohanes 1:1). Dan atas kehendak-Nya sendiri, telah mengosongkan diri-Nya sendiri, dan mengambil rupa seorang hamba, dan menjadi sama dengan manusia (Filipi 2:5-7). Dia telah menjadi manusia sepenuhnya dan memiliki sifat ilahi sepenuhnya dan layak disembah sebagai TUHAN oleh semua mahkluk (Kolose 2:9)."
Maka, tuduhan penulis yang mengatakan Kristian percaya Jesus diperanakkan iaitu Allah berhubungan dengan pasangan-Nya lalu melahirkan anak (iaitu Jesus), adalah tidak benar dan mengelirukan.

Penulis juga cuba mengatakan Jesus hanyalah nabi biasa dengan memetik beberapa ayat Alkitab (pada muka surat 26) di mana Jesus merujuk diri-Nya sendiri sebagai nabi. Yang menjadi persoalannya, mengapa penulis tidak menjelaskan bahawa Kristian sememangnya percaya Jesus memang telah mengambil peranan sebagai nabi? Bukan hanya nabi, Jesus juga mengambil peranan sebagai Imam Besar yang mempersembahkan diri-Nya sebagai korban penebus dosa (Efesus 5:2; Ibrani 9:26-27; 10:12). Dan, Dia juga dipanggil sebagai Raja, malah menerima gelaran tersebut (Matius 27:11).

Adakah kerana Jesus dipanggil sebagai nabi serta merujuk diri-Nya sebagai nabi menjadikan-Nya tidak ilahi? Tidak sama sekali. Dia kekal adalah TUHAN dan pada masa yang sama menjadi sama seperti manusia. Maka, walaupun Jesus dipanggil sebagai nabi, Dia lebih dari sekadar nabi.

Selain itu, jika penulis dapat menerima ayat-ayat Alkitab di mana Jesus merujuk diri-Nya sendiri sebagai nabi, mengapa penulis tidak menerima ayat-ayat Alkitab lain di mana Jesus merujuk diri-Nya sebagai TUHAN? Ini menunjukkan penulis tidak konsisten dan bersikap "double standard" dalam memetik dan menggunakan ayat-ayat Alkitab.

Ulasan