Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #22: Agama Kristian adalah agama ketika Jesus masih hidup?

Senarai lengkap siri post ini di sini.

Pada muka surat 30, penulis memberikan kenyataan berikut:
Terdapat dua persepsi berbeza berkaitan peristiwa Jesus disalib iaitu antara Islam dan Kristian. Agama Kristian adalah agama ketika Jesus masih hidup manakala Islam, agama yang wujud selepas kematian Jesus. Islam membawa maklumat yang berbeza berkaitan cerita Jesus disalib.
Perhatikan bahagian yang saya tebalkan, penulis mendakwa agama Kristian adalah agama KETIKA Jesus masih hidup! Namun, di awal buku ini, penulis berkata,
Menurut sejarah, agama Kristian diperkenalkan dan dikembangkan oleh Paul, iaitu 40 tahun selepas Jesus tiada. (m/s xi)
Di sini, penulis mengatakan agama Kristian diperkenalkan 40 tahun SELEPAS Jesus tiada![1] Mungkinkah penulis terlupa apa yang ditulisnya sendiri? Bukan itu sahaja, penulis juga berkata,
Oleh itu, penulis percaya Jesus atau Isa Al-Masih adalah Muslim, bukan Kristian. (m/s xi)
Tetapi, di muka surat 30 ini pula, penulis sendiri mengatakan Islam adalah agama yang wujud SELEPAS kematian Jesus. Maka, bagaimana Jesus boleh menjadi Muslim jika Islam hanya wujud selepas Jesus tiada? Percanggahan-percanggahan ini seolah-olah menggambarkan buku ini ditulis oleh dua orang yang berbeza.


Pada bab 3 buku ini juga, penulis memulakan hujahnya dengan memperkatakan tentang penemuan arkeologi seorang korban penyaliban bernama "Yehokhanan".[2] Penulis kemudian memberikan penerangan ringkas tentang bagaimana paku-paku yang digunakan telah "menembusi lengan bawah antara tulang radius dan ulna" (m/s 29). Maklumat tentang penemuan arkeologi ini hanya akan diketahui jika penulis telah melakukan penyelidikan tentangnya. Dan penjelasan ringkas daripada penulis menunjukkan beliau ada membuat penyelidikan.

Maka, sangat menghairankan apabila pada bahagian lain, contohnya yang memperkatakan tentang "agama Kristian", penulis boleh pula tersilap dalam memberikan fakta, malah ia saling bercanggah. Seolah-olah tiada penyelidikan dilakukan.

Atau pun, adakah penulis sengaja memberikan kenyataan tersebut walaupun beliau tahu ia tidak benar? Tetapi, itu hanya spekulasi daripada saya. Yang pasti, penulis telah memberikan kenyataan yang saling bercanggah dalam hal ini. Sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi jika penulis telah menyelidiki hal ini dengan saksama dan terperinci.

Nota
[1] Hal ini juga pernah diperkatakan di sini.
[2] Pernah diperkatakan di sini dan di sini.

Ulasan