Langkau ke kandungan utama

Ulasan/Review buku "Pengangkatan: Peristiwa Akhir Zaman (666) & Kerajaan Antikristus"

Mungkin tidak ramai yang pernah membaca buku ini. Buku ini adalah terbitan tempatan. Lebih spesifik lagi, dari Keningau, Sabah. Ditulis oleh seorang penulis tempatan bernama Miran Berol.

Buku ini memperkatakan tentang peristiwa pengangkatan di akhir zaman serta antikristus. Lazimnya, saya jarang membaca buku seperti ini kerana ia melibatkan hal-hal yang bersifat spekulasi terhadap tafsiran eskatologi.

Namun, buku ini menarik perhatian saya kerana penulisnya mendakwa telah menerima ‘pengelihatan’ yang diberikan terus oleh Tuhan sendiri. Malah, di dalam salah satu buku tulisannya, dia mendakwa telah menerima ‘wahyu’ dari Tuhan.[1] Penulis mendakwa apa yang terkandung di dalam buku ini adalah daripada Tuhan sendiri.[2]

Dengan kata lain, penulis telah ‘bernubuat’ kerana apa yang dilihatnya ini adalah peristiwa yang akan terjadi pada masa akan datang. Maka, kita mesti menilai hal ini kerana Firman Tuhan mengatakan kita tidak harus memandang rendah nubuat-nubuat tetapi menguji dan mempertimbangkannya (1 Tes 5:20-21).

Bagaimana kita menguji pengelihatan, wahyu dan nubuat ini?
Satu-satunya cara adalah dengan merujuk semula kepada Alkitab. Jika pengelihatan, wahyu dan nubuatan ini tidak sepadan dengan apa yang dikatakan di dalam Alkitab, maka kita mungkin berhadapan dengan masalah besar.

Buku ini...
Setelah saya selesai membaca buku ini, terdapat beberapa perkara yang menimbulkan kebimbangan.


Pertama, terdapat banyak bahagian yang menunjukkan kenyataan-kenyataan atau perintah yang diberikan terus oleh Tuhan. Mungkin penulis sendiri tidak sedar kesan kepada kenyataan-kenyataan ini kerana jika benar Tuhan telah berkata-kata dengannya, dan memberikan beberapa perintah kepadanya, secara langsung buku ini menjadi setaraf dengan Alkitab sendiri kerana Tuhan telah memberikan Firman-Nya kepada penulis. Contohnya, penulis mengatakan telah diperintahkan oleh Tuhan untuk menuliskan dan mengkhotbahkan apa yang dilihatnya.[3] Selain itu, dikatakan Yesus sendiri telah melantiknya menjadi seorang nabi.[4] Maka, adakah kita perlu menganggap buku ini sebagai setaraf dengan Alkitab? Ini adalah sesuatu yang merbahaya.

Kedua, walaupun penulis mendakwa telah dilantik menjadi nabi, namun tugas yang diberikan kepadanya tidak menggambarkan tugas yang sering diberikan kepada nabi-nabi di dalam Alkitab. Nabi-nabi di dalam Alkitab lebih berfungsi sebagai penyampai Firman yang diberikan oleh Tuhan dan memberikan nubuat. Namun, tugas yang diberikan kepada penulis adalah sebagai seorang pemimpin pendoa.[5] Jika kita membaca kisah seluruh nabi-nabi di dalam Alkitab, tidak ada yang diberikan tugas khusus seperti itu. Malahan doa adalah suatu kewajipan untuk semua orang percaya tanpa mengira siapa pun mereka (1 Tes 5:17). Maka, agak menghairankan Tuhan tiba-tiba berubah fikiran dan mewujudkan tugas khusus ini.

Ketiga, penulis memasukkan tafsiran eskatologi pada kitab Wahyu yang kontroversi iaitu kononnya lambang 666 adalah suatu cip yang akan dimasukkan ke dalam tubuh manusia.[6] Lebih mengejutkan lagi, penulis mendakwa Roh Kudus yang memberitahukan perkara itu kepadanya.[7] Sebenarnya, terdapat pelbagai versi untuk tafsiran lambang 666 tersebut. Contohnya, dikatakan tanda 666 akan datang adalah ‘barcode’ yang sering kita nampak tercetak pada pembungkus barangan.[8] Kononnya “barcode” ini akan dicetak atau ditatookan pada tubuh manusia dan sesiapa yang tidak mempunyai “barcode” 666 tersebut tidak dapat melakukan urusniaga. Agak menghairankan tafsiran ini berubah-ubah menurut perkembangan teknologi semasa. Andai kata di masa akan datang suatu alat selain cip dicipta, mungkin alat tersebut pula yang akan dikatakan sebagai “tanda 666”.

Keempat, dan juga merupakan hal yang sangat penting, adalah beberapa pengajaran asas tentang iman Kristian yang ‘kelihatan’ bercanggah. Yang paling ketara adalah apabila penulis mengatakan Tuhan harus menebus manusia daripada dosa melalui 3 meterai.[9] Hal tentang penebusan manusia daripada dosa adalah suatu pengetahuan yang sangat asas namun sangat mengejutkan penulis memberikan pengertian yang tidak tepat. Memandangkan hal ini memerlukan penjelasan yang panjang lebar, saya akan membuat suatu post yang berasingan untuk memperkatakan hal ini.

Juga agak mengelirukan apabila penulis hanya menyebut Hawa sebagai manusia pertama dan yang menjadi punca kepada dosa manusia.[10] Seluruh Alkitab memberikan Adam dan Hawa sebagai bersama-sama menjadi punca kepada kejatuhan manusia ke dalam dosa. Malah, semasa ular menggoda Hawa, Adam sebenarnya ada bersama-sama ketika itu.

Perempuan itu melihat, bahwa buah pohon itu baik untuk dimakan dan sedap kelihatannya, lagipula pohon itu menarik hati karena memberi pengertian. Lalu ia mengambil dari buahnya dan dimakannya dan diberikannya juga kepada suaminya yang bersama-sama dengan dia, dan suaminya pun memakannya.
(Kej 3:6. Terjemahan Baru Bahasa Indonesia)

Paulus juga memberikan kenyataan yang sama tentang Adam dan Hawa.

Tetapi kedua-dua mereka tidak sama, kerana anugerah Allah sangat berbeza dengan dosa Adam. Memang betul bahawa banyak orang mati akibat dosa satu orang itu.” (Rm 5:15a-15b)

Aku khuatir fikiran kamu akan dirosakkan sehingga kamu tidak lagi setia kepada Kristus. Hal itu berlaku kepada Hawa yang ditipu oleh kelicikan ular.” (2 Kor 11:3)

Malah, secara teknikalnya, Adamlah manusia yang pertama, bukan Hawa.

Tunggu dulu...
Namun, bukan semua yang terkandung di dalam bercanggah dengan Firman Tuhan. Memang benar akan ada pengangkatan. Memang benar akan ada antikristus. Memang benar akan ada penghakiman. Semua itu benar.

Cuma, perincian yang diberikan oleh penulis mungkin perlu dilihat secara waspada.

Kesimpulan
Masih banyak lagi yang perlu diperkatakan tentang buku ini. Apa yang dapat saya simpulkan adalah sesiapa yang membaca buku ini, harus membacanya dengan waspada. Mengapa? Seperti yang didakwa sendiri oleh penulis buku ini, beliau mengatakan telah menerima wahyu dan pengelihatan dari Tuhan. Maka, sepatutnya beliau tidak akan memberikan pengajaran yang bercanggah dengan Firman Tuhan kerana Tuhan itu bukan sumber kekeliruan. Perlu juga diketahui, saya percaya penulis berniat baik iaitu ingin memberitakan Injil Kerajaan Tuhan kepada semua orang. Cuma, mungkin terdapat 'kekeliruan' semasa beliau menerima apa yang dianggapnya sebagai 'pengelihatan'.

Saya tidak begitu merekomenkan buku ini untuk anda (termasuk dua lagi buku yang ditulis oleh penulis ini iaitu Syurga Menanti Kepulanganmu dan Kronology Peristiwa 7 Tahun di Syurga). Namun, jika anda mahu membacanya, pastikan anda memeriksa fakta-fakta yang diberikan di dalam buku ini serta berdoa agar Tuhan akan memberikan hikmat untuk menilai sewajarnya apa yang dituliskan.

Update: Anda boleh membaca buku "Pengangkatan: Peristiwa Akhir Zaman (666) & Kerajaan Antikristus" secara online di sini.

Nota
- Terjemahan Alkitab yang digunakan di atas adalah Alkitab Berita Baik, melainkan dinyatakan sebaliknya.
[1] “Buku ini adalah buku yang ke-3 dan kesinambungan kepada pewahyuan Tuhan dari buku pertama yang bertajuk Syurga Menanti Kepulangan Mu dan buku ke-2 Peristiwa Akhir Zaman.” Buku Kronologi Peristiwa 7 Tahun Di Syurga, m/s v.
[2] “Semua yang akan anda baca dalam buku ini adalah hasil dari penyataan Roh Allah.” ibid., m/s vi.
[3] “Saya mendengar suara dari Tuhan yang lembut berkata, “tuliskanlah dan khotbahkanlah apa yang telah kau lihat dan dengar kerana semua itu akan tinggal sebentar sahaja lagi akan digenapkan.” Buku Pengangkatan: Peristiwa Akhir Zaman (666) Kerajaan Antikristus. m/s 102.
[4] “Engkau adalah salah satu nabi yang telah dipercayakan sebagai salah seorang pemimpin prajurit doa di hari-hari terakhir ini.” Ibid., m/s 109.
[5] ibid.
[6] “…angka yang tersimpan dalam ‘mikrochip’ yang akan ditanam di dalam tubuh manusia dan itu sudah tentu angka 666.”… “Tanda ini adalah sejenis benda atau alat kecil yang hanya sebesar biji beras.” Ibid., m/s, 36.
[7] “Pada saat saya sedang berdoa, Roh Tuhan telah mengatakan kepada saya dengan jelas sekali, kataNya: “Masa itu sudah sangat hampir, malahan benda yang dipakai untuk tanda itu sudah ada sekarang.”” Ibid., m/s 35.
[8] http://www.gotquestions.org/mark-beast.html
[9] “Sebab, manusia telah terjual kepada dosa melalui keserakahan manusia pertama iaitu Hawa dengan harga sebiji buah pohon kayu di taman Eden…Allah adalah kasih, Ia harus menebus manusia kembali melalui 3 meterai tersebut.” Ibid., m/s 29.
[10] ibid.

Ulasan