Langkau ke kandungan utama

Apologetik Kristian

Artikel ini adalah terjemahan. Artikel asal (dalam Bahasa Inggeris) boleh dibaca di sini.

Oleh Rick Wade

Pengenalan
Sepanjang sejarah gereja, Kristian telah diminta untuk menjelaskan mengapa kita percaya dengan apa yang kita percayai. Rasul Paulus menyatakan pelayanannya sebagai "membela dan mempertahankan Berita Baik itu." Petrus berkata kita perlu "sentiasa bersedia memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kamu menjelaskan harapan yang kamu miliki."

Aktiviti gereja ini kemudian dikenali sebagai apologetik yang bermaksud "mempertahankan". Namun, jika mempertahankan iman adalah penting, bagaimana kita melakukannya?



Di dalam esei ini, saya tidak akan memberikan banyak bukti atau argumen. Saya akan melihat beberapa prinsip asas yang akan membimbing kita dalam mempertahankan iman. Kita akan memperkatakan tentang titik permulaan kita dan tentang pentingnya berfikir secara logik. Kita juga akan melihat dakwaan 'elitism' ke atas Kristian yang sangat menonjol di dalam kolej dan kampus hari ini. Dan terakhir, kita akan membincangkan persoalan tentang memberikan suatu kes yang memihak kepada Kristianiti.

Jadi, apakah apologetik dan apakah kegunaannya? Apologetik telah didefinisikan sebagai "sains dan seni mempertahankan iman." Dasar utamanya adalah tentang persoalan kebenaran Yesus Kristus. Pada zaman Greek, apabila seseorang dihadapkan ke mahkamah, dia perlu memberikan "apology" atau membela diri. Bagi Kristian, ia bererti memberikan jawapan kepada soalan seperti, "Mengapa kamu percaya Yesus adalah Tuhan?" atau soalan yang lebih kerap diajukan hari ini, "Mengapa kamu menganggap Kristian memiliki kebenaran?"

Maka, pertama, apologetik adalah mempertahankan. Namun, ia lebih dari sekadar mempertahankan. Bukan sahaja kebenaran kepercayaan kita yang menjadi isu, tetapi juga kepercayaan orang lain. Tugas kedua apologetik adalah mencabar orang lain untuk mempertahankan kepercayaan mereka.

Tugas ketiga apologetik adalah memberikan suatu kes tentang kebenaran mesej Alkitab. Mungkin ada yang melihat tugas ini sebagai "membuktikan" Kristianiti. Jika hal ini kelihatan seperti cita-cita yang terlalu tinggi, kita boleh mengatakannya sebagai meyakinkan orang lain terhadap kebenaran mesej Alkitab.

Di dalam semua ini, tujuan besar kita adalah membiarkan terang dari Tuhan bersinar dengan penuh kemuliaan. Juga menjadi impian kita untuk membawa orang yang tidak percaya mengenal kebenaran Yesus Kristus dan menyakinkan mereka untuk meletakkan iman mereka di dalam-Nya.

Apologetik biasanya adalah respon terhadap persoalan atau cabaran khusus, sama ada dinyatakan secara terus atau melalui andaian. Paulus berhujah dengan kaum Yahudi yang mana tidak dapat menerima penyaliban, dengan "menjelaskan ayat-ayat Alkitab itu dan membuktikan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan dan bangkit daripada kematian." Pada abad kedua, apologis mempertahankan bukan sahaja kepercayaan Kristian tetapi juga orang Kristian sendiri terhadap dakwaan seperti Atheism dan Cannibalism serta dikatakan menjadi ancaman kepada negara. Pada abad pertengahan (Medieval era), lebih banyak perhatian diberikan terhadap cabaran dari Judaism dan Islam. Pada era enlightenment, apologis terpaksa mempertahankan Kristianiti dari rationalisme saintifik yang sempit. Hari ini, cabaran ini telah berubah lagi, kali ini serangan ke atas doktrin-doktrin khusus yang memperkatakan samada Kristianiti mempunyai kebenaran mutlak atau tidak.

Sama seperti yang terdahulu dari kita, kita mesti menjawab cabaran pada zaman ini. Kita mesti memberikan respon kepada persoalan zaman kita walaupun ia mungkin sukar dan tidak menyenangkan.

Berfikir dengan baik
Salah satu dari kesulitan saya dalam mempelajari apologetik adalah cuba menguasai persoalan dan cabaran yang sangat banyak, dan pada masa yang sama menguasai hujah-hujah dan bukti-bukti sokongan. Walaupun kita sepatutnya menguasai beberapa dari hal ini, bagi saya berfikir dengan baik juga adalah sama penting.

Belajar untuk berfikir dengan baik, atau logik, adalah penting untuk Kristian atas beberapa sebab. Ia membantu kita mengumpul pelbagai aspek dalam iman kita menjadi satu bahagian yang padu. Ia membantu kita membuat keputusan di dalam kehidupan seharian kita apabila berhadapan dengan isu yang tidak diperkatakan secara terus di dalam Alkitab. Kita perlu belajar menyimpulkan kepercayaan yang benar atau perbuatan yang sepatutnya berdasarkan apa yang kita ketahui dari Firman Tuhan.

Pemikiran logik yang baik sangat penting untuk apologis. Ia mengelakkan kita dari membentuk argumen yang kurang baik tentang apa yang kita percayai. Ia juga membantu kita menilai kepercayaan mereka yang mencabar Kristianiti. Kita sering berhadapan dengan kritikan yang kedengaran baik, namun sebenarnya ia berdiri di atas logik yang rapuh. Mari kita lihat beberapa contoh:

Ini adalah contoh yang asas. Bagaimana anda memberikan respon terhadap seseorang yang mengatakan, "Tidak ada kebenaran mutlak"? Jika individu tersebut benar-benar menganggap tidak ada kebenaran mutlak, iaitu kebenaran yang benar untuk semua orang tanpa mengira zaman, individu itu paling tidak hanya boleh mengatakan "Menurut pandangan saya, tidak ada kebenaran mutlak." Mengatakan "Tidak ada kebenaran mutlak" adalah sama dengan menyatakan sesuatu sebagai kebenaran mutlak; kenyataan itu menidakkan diri sendiri.

Berikut satu lagi contoh. Anda mendengar orang berkata "Semua agama mengajarkan perkara yang sama." Benarkah? Kepercayaan kita mengajarkan Yesus adalah Tuhan yang menjadi manusia; agama lain mengajarkan sebaliknya. Suatu prinsip logik yang dipanggil sebagai hukum tanpa-percanggahan mengatakan Yesus tidak boleh menjadi Tuhan dan pada masa yang sama bukan Tuhan.

Mari kita lihat satu lagi. Ada orang yang berkata, "Saya tidak dapat percaya kepada Kristus. Lihatlah perbuatan jahat yang telah dilakukan oleh Kristian sepanjang sejarah." Bagaimana anda menjawab bantahan ini? Walaupun benar perbuatan Kristian akan mempengaruhi respon bukan Kristian terhadap Injil, perbuatan tersebut tidak berkaitan langsung dengan sama ada Kristian benar atau tidak. Jika sebahagian dari mesej Injil adalah apabila seseorang menjadi Kristian, dia tidak akan melakukan dosa lagi, si pemberi bantahan mungkin mempunyai dasar untuk mempersoalkan kebenaran iman tersebut. Tetapi, Alkitab tidak mengatakan hal seperti itu. Kita boleh bersetuju bahawa Kristian tidak sepatutnya melakukan perbuatan yang jahat terhadap orang lain, namun apa yang dilakukan oleh mereka di Eropah pada abad ke-14 atau pada abad ke-20 Amerika dengan menggunakan nama Yesus tidak menidakkan realiti kelahiran, penyaliban dan kebangkitan Kristus. Peribadi yang memberikan argumen ini mungkin tidak suka dengan apa yang telah dilakukan oleh orang Kristian, namun aduan ini tidak mempunyai sebarang kesan logikal ke atas kebenaran Kristus.

Apabila ada yang memberikan argumen menentang iman kita, kita perlu membezakan sama ada apa yang mereka katakan adalah benar secara fakta dan logik. Selalunya bantahan yang diberikan tidak mempunyai kedua-dua hal tersebut. Belajar berfikir secara logik membolehkan kita mengenalpasti kesilapan di dalam cara pemikiran orang lain. Mungkin dengan menunjukkan kesilapan ini (secara lembut, jika boleh) akan menyebabkan orang tersebut memikirkan semula pendiriannya. Sekurang-kurangnya, ia akan menghentikan serangan ke atas iman kita.

Menjawab dakwaan Elitism
Saya telah memperkatakan kepentingan pemikiran logik di dalam apologetik. Sekarang, saya ingin menggunakannya pada dakwaan hari ini ke atas Kristian, terutamanya di kolej dan kampus.

Di dalam sebuah video yang telah saya tonton baru-baru ini, seorang wanita muda berkata bahawa anggapan bahawa Kristian memiliki satu-satunya kebenaran adalah "elitism". Dia berkata, memandangkan terdapat banyak kepercayaan di dunia ini, mengapa suatu kumpulan itu boleh mendakwa memiliki kebenaran sebenar? Dia, dan ramai lagi yang sepertinya melihat pemikiran seperti itu sebagai sombong.

Bagaimana kita memberikan respon terhadap dakwaan ini? Pertama, perhatikan nama jolokan yang diberi. Kita didakwa sebagai mempraktikan "elitism". Isu sebenar tidak diperkatakan. Ini hanyalah salah satu contoh bagaimana pendapat dan isu ditangani oleh masyarakat kita hari ini. Namun, adalah penting untuk respon kita tidak mengikut cara yang sama. Seringkali di dalam masyarakat kita menggunakan nama jolokan atau kenyataan yang mengapi-apikan dalam memperkatakan sesuatu pendapat atau isu. Perbuatan ini tidak sepatutnya dilakukan oleh Kristian dan tidak memberikan manfaat di dalam apologetik atau penginjilan. Kita perlu melihat kepada pendapat itu sendiri.

Kedua, Kristian boleh memperakui bahawa bukan-Kristian boleh mengetahui kebenaran dan kepercayaan lain boleh mengandungi suatu kebenaran. Jika tidak, mereka [bukan-Kristian dan kepercayaan lain] hanya akan mendapat pengikut yang sedikit. Namun, mereka gagal di dalam isu-isu asas seperti indentiti Yesus dan jalan untuk didamaikan dengan Tuhan.

Ketiga, perhatikan masalah logik di dalam argumen tersebut. Apakah kaitannya realiti pandangan yang berbeza dengan nilai kebenaran setiap pandangan ini? Ia seperti mengatakan: "Sebilangan lelaki merasakan mereka sepatutnya melayan isteri mereka setaraf dengan layanan yang lelaki mahukan; ada yang tidak mempedulikan isteri mereka; yang lain menganggap boleh memukul isteri mereka. Siapa kita untuk mengatakan hanya ada satu jalan yang betul?" Struktur argumen tersebut adalah sama, tetapi adalah jelas kesimpulannya adalah salah. Seorang pengkritik mungkin mempersoalkan keyakinan kita bahawa kita percaya kepada kebenaran mutlak walaupun ramai yang tidak bersetuju. Namun ia adalah logik yang bermasalah jika kita menyimpulkan tiada kepercayaan yang boleh mengaku memiliki kebenaran sebenar hanya kerana terdapat banyak kepercayaan lain. Keempat, memandangkan kritikan ini berdasarkan kepada pendapat bahawa dua atau lebih kepercayaan yang bercanggah boleh menjadi benar pada masa yang sama, kita perlu mencabar anggapan ini. Ia boleh ditunjukkan sebagai tidak benar dengan melihat kehidupan seharian kita. Jika isteri saya mengatakan hujan sedang turun tetapi anak lelaki saya mengatakan hujan tidak turun, perlukah saya membawa payung atau tidak? Ia tidak boleh hujan dan tidak hujan pada masa yang sama. Sama seperti hal ini, jika seseorang mengatakan Yesus adalah satu-satunya jalan keselamatan dan seorang lagi mengatakan sebaliknya, hanya seorang di antara mereka yang benar.

Sudah tentu, akan ada yang akan mencabar pendapat bahawa pengetahuan kita tentang Tuhan adalah sama dengan pengetahuan kita sama ada hari hujan atau tidak. Tuhan bukan sebahagian dari alam semulajadi; Dia "berbeza sepenuhnya". Isu ini terlalu besar untuk dibincangkan di sini. Namun saya percaya pemikiran seperti ini pada dasarnya adalah prejudis terhadap wahyu yang mempunyai kuasa. Tuhan telah berfirman, dan Dia telah memberikan bukti-bukti di dunia ini untuk mengesahkan apa yang telah difirmankanNya.

Cabaran seperti ini dan juga cabaran lain terhadap Kristianiti tidak mudah untuk ditangani. Namun, jika mempertahankan iman bererti memberikan respon kepada cabaran-cabaran hari ini, kita mesti mempersiapkan diri kita, sesusah mana pun hal tersebut. Jika tidak, kata-kata kita tidak layak untuk didengar.

Kes untuk Kristianiti bahagian 1
Sebelum ini, saya menulis tugas apologetik adalah memberikan suatu kes yang menyatakan kebenaran mesej Alkitab. Sekarang, saya ingin memberikan beberapa penilaian asas, dan selepas itu kita akan melihat bagaimana kita boleh membina suatu kes.

Apabila Kristian diminta untuk memberikan suatu kes yang menyokong iman mereka, hakikatnya, mereka diminta untuk memberikan bahawa Kristianiti adalah benar. Bukti atau argumen apakah yang dapat disusun untuk menegaskan kebenaran yang kita percayai?

Apa yang kita ingin lakukan adalah menyatakan suatu kes yang tidak akan ditolak oleh mereka yang mempunyai pemikiran munasabah. Namun Alkitab mengakui hakikat di mana ramai orang yang tidak akan percaya walau sekukuh mana pun bukti-bukti tersebut. Ingat cerita di dalam Lukas 16 tentang seorang kaya yang mati lalu menderita penyeksaan? Dia merayu kepada Abraham menghantar Lazarus yang telah mati untuk memberi amaran kepada saudara-saudaranya tentang perkara yang bakal mereka hadapi. Dengarkan respon yang diberikan, Abraham berkata, "Jika mereka tidak mendengarkan ajaran Musa dan nabi-nabi, mereka tidak akan percaya juga sekalipun ada orang bangkit daripada kematian." Tekad yang telah dibulatkan boleh mengabaikan bukti-bukti terbaik sekalipun.

Melainkan kita memperkatakan bukti dalam erti kata matematik, kita perlu menyedari bukti adalah berbeza-beza bagi setiap individu; apa yang akan menyakinkan seseorang tidak semestinya akan menyakinkan orang lain. Namun, ini tidak bererti Kristianiti hanya menjadi benar jika seseorang meyakininya. Ia kekal benar sama ada seseorang percaya atau tidak.

Dalam membentuk suatu kes terhadap iman kita perlu mencari argumen kukuh yang akan meyakinkan pendengar tertentu. Maka, pertimbangan ini akan membebaskan kita dari tanggungjawab untuk mempunyai argumen yang akan meyakinkan semua orang; selain itu, ia bererti kita tidak patut bersandar kepada argumen yang "muat untuk semua saiz".

Walaupun kita dapat menangani dengan baik cabaran yang diberikan oleh seseorang itu, kita juga perlu sedar dasar sebenar kepercayaan kita. Pengetahuan benar tentang Tuhan adalah berdasarkan kepada kesaksian ilahi yang diterima dengan iman, namun juga disahkan untuk kita melalui pelbagai jenis bukti. Kesaksian Kitab Suci terhadap perkara seperti pekerjaan Kristus di kayu salib dan pembenaran melalui iman adalah perkara yang tidak dapat dibuktikan; ia diterima melalui iman.

Kita juga perlu ingat sifat mesej kita. Kristianiti bukan sekadar suatu sistem kepercayaan, tetapi mesej tentang Dia Yang Satu yang mana adalah kebenaran itu sendiri. Hari ini, ia merupakan perkara penting, terutamanya jika kita melihat mentaliti generasi muda. Hari ini kita telah kehilangan keupayaan untuk memikirkan isu-isu besar kehidupan kerana kurang minat secara saintifik dalam mencapai suatu kesimpulan yang kukuh. Konsep yang tidak menyentuh kehidupan kita tidak menarik minat kita untuk memikirkannya. Kita perlu menarik orang kepada Yesus yang mana adalah jawapan kepada persoalan-persoalan besar kehidupan. Kristianiti adalah kebenaran yang hidup dan ia sepatutnya dikhabarkan dan dipertahankan seperti itu.

Kita mungkin hanya dapat meyakinkan mereka yang tidak percaya bahawa Kristianiti munasabah atau berkemungkinan untuk dipercayai. Namun, itu adalah permulaan yang baik; seringkali seseorang itu perlu mengambil langkah yang banyak sebelum menjadi percaya. Tugas kita adalah menyediakan dasar intelektual yang kukuh untuk memberikan keyakinan terhadap langkah-langkah yang diambil.

Kes untuk Kristianiti bahagian 2
Sekarang kita akan menyelesaikan perbincangan kita dengan memberikan panduan dalam memberikan kes untuk Kristianiti. Ingat, ini hanyalah panduan; terpulang kepada anda untuk melengkapkan perincian lain.

Memandangkan Tuhan yang mencipta alam semesta dan aktif di dalam ciptaanNya, tidak ada kekurangan bukti untuk kebenaran Kristianiti. Apabila saya menggunakan perkataan "bukti", saya menggunakannya dalam konteks yang luas yang bukan sekadar melibatkan bukti fakta, tetapi juga argumen logik dan pengalaman manusia. Bukti adala apa sahaja yang dapat menanggung dakwaan kebenaran Kitab Suci.

Dalam kita memberikan bukti, kita mesti sedar terhadap pra-anggapan palsu mereka yang tidak percaya tentang Tuhan, manusia, dan dunia mungkin akan mengganggu penilaian mereka terhadap bukti-bukti tersebut. Malahan, idea menggalakkan orang untuk menilai Kristianiti membuatkan sebilangan orang kurang selesa. Adakah kita membenarkan orang yang masih berdosa membawa Tuhan ke muka pengadilan? Tidak.  Kita hanya mengakui bahawa, walaupun Alkitab tidak menyatakan sesiapa yang menolak mesejnya sebagai mempunyai alasan yang kukuh, ia juga memberikan saksi-saksi kebenaran tersebut, selalunya melalui peringatan sejarah dan dan mukjizat. Selain itu, memandangkan orang yang tidak percaya juga diciptakan menurut rupa Tuhan dan tinggal di dalam dunia milik Tuhan, mereka mempunyai sedikit pemahaman terhadap kebenaran tersebut, dan kita dapat menggunakan pemahaman tersebut.

Kita boleh membahagikan bukti yang ada pada kita kepada tiga kategori: fakta (atau bukti empirikal), pemikiran (atau logik akal); dan pengalaman (atau sifat manusia dan pengalaman hidup).

Ketiga-tiga jenis bukti ini boleh digunakan dengan dua cara: penilaian dan penjelasan.

Pertama, kita boleh mencari bukti dalam ruangan tertentu yang mengesahkan Kitab Suci. Ini adalah aspek penilaian di dalam apologetik. Contohnya, kita boleh bertanya, adakah wujud sebarang fakta yang dapat diperhatikan yang mengesahkan pengajaran di dalam Kitab Suci? Pertimbangkan sejarah dan arkeologi. Adakah pengajaran di dalam Kitab Suci koheren dan konsisten secara logik? Ya. Selalunya, mereka yang mengatakan wujud percanggahan di dalam Alkitab agak sukar untuk mengingati percanggahan tersebut. Adakah sifat dan pengalaman manusia yang dinyatakan di dalam Alkitab benar seperti yang kita ketahui? Ya. Kita boleh mengaitkan diri kita dengan watak-watak di dalam Alkitab.

Cara kedua kita menggunakan bukti adalah dengan melihat sama ada Kristianiti dapat menjelaskannya. Soalan seterusnya mungkin dapat menjelaskan maksud saya. Kita boleh bertanya, adakah pandangan Kristian tentang dunia menjelaskan fakta-fakta tentang alam semulajadi? Ya, kerana ia mengatakan Yesus mencipta dan memelihara alam semesta ini. Adakah Kristianiti memberikan penjelasan kepada kebolehpercayaan akal manusia itu sendiri? Sudah tentu. Kita dicipta menurut rupa Tuhan dengan akal fikiran. Adakah Alkitab menjelaskan sifat dan pengalaman manusia? Ya, kerana ia mengaitkan bahawa walaupun dengan serupa seperti Tuhan dan kasih membolehkan kita melakukan perbuatan baik sehingga pada suatu tahap, kita jatuh ke dalam dosa.

Di dalam esei ini saya telah cuba memberikan beberapa prinsip asas bagi mempertahankan iman. Dalam kita bersedia untuk memberikan jawapan kepada masyarakat kita, adalah penting untuk kita belajar berfikir secara logik, serta kita perlu menjawab persoalan zaman kehidupan kita, mengetahui bukti yang pelbagai untuk kita gunakan, dan menganggap peribadi yang kita akan perkatakan sebagai individu. Dengan hal-hal ini di dalam minda kita, kita akan menyatakan kebenaran Yesus Kristus dengan segala kebesaran yang ada, dan sentiasa membiarkan hasil keputusan di tangan Tuhan.

Ulasan