Langkau ke kandungan utama

Menjawab: "JESUS tidak pernah disalibkan berdasarkan St. Luke"

Dakwaan ini diambil dari blog Irwan Idris. Anda boleh membaca keseluruhan artikel tersebut di sini.

Menurut penulis blog tersebut, Yesus tidak disalibkan dan ia dapat dibuktikan dengan membaca Injil menurut Lukas. Penulis kemudian memberikan gambar berikut:

Sumber
Penulis kemudian memberikan hujah berikut:
Penulis bagi GOSPEL LUKE mengakui yang dia bukan saksi bagi semua penulisannya. Dia menggunakan perkataan INVESTIGATE. Dalam bahasa melayu ia bermaksud menyiasat. Adakah menyiasat dikira sebagai saksi? Analisis dari siasatan yang dia buat menjadi kesimpulan yang dibukukan dan di masukkan sebagai salah satu isi BIBLE dan sebuah Kitab Perjanjian Baru.
Ok, sekiranya ini adalah SIASATAN. Kesimpulan yang saya ambil disini, St Luke tidak tahu melainkan mengambil maklumat dari orang orang yang sudah menulis dizamannya dan menjadikan ia sebagai penulisannya dan ia tidak lebih sekadar ANDAIAN.
ANDAIAN dan kemungkinan tidak boleh dijadikan sebagai bukti kukuh didalam mahmakah apa pun di atas dunia ini. Sebagai manusia yang mempunyai nilai tamadun yang tinggi. Kita tidak mengambil sesuatu keputusan yang besar terhadap sesuatu isu berdasarkan ANDAIAN.
Demikian saya membuktikan bahawa St Luke juga tidak tahu samada JESUS disalib.
Kesimpulannya, JESUS TIDAK PERNAH DISALIB.
Berdasarkan hujah ini, kita dapat mengenalpasti argumen penulis seperti berikut:
  1. Lukas bukan saksi kerana dia menyiasat peristiwa kehidupan Yesus.
  2. Penulisan Lukas hanyalah andaian kerana dia memperolehi maklumatnya melalui siasatan.
  3. Lukas tidak tahu sama ada Yesus disalibkan atau tidak.
  4. Ketiga-tiga hujah diatas membuktikan Yesus tidak pernah disalibkan.
Berikut pula adalah masalah hujah yang diberikan oleh penulis.
Pertama, penulis tidak mengendahkan ayat sebelum perkataan "investigate" tersebut iaitu "just as the original eyewitness and servants of the word handed them down to us" (Lukas 1:2). Kenyataan ini secara langsung menidakkan dakwaan penulis bahawa Lukas menulis berdasarkan andaian kerana Lukas menulis berdasarkan cerita mereka yang telah menyaksikan atau hidup bersama-sama dengan Yesus.

Kedua, penulis tersilap apabila mengandaikan Lukas hanya mendapatkan maklumat daripada penulisan di zamannya. Lukas juga merupakan penulis kitab Para Rasul dan agak jelas Lukas mengenali kesemua murid Yesus (Petrus, Yohanes, Yakobus, dll) yang mana merupakan saksi-saksi peristiwa kehidupan Yesus, termasuk penyalibanNya.

Ketiga, kesimpulan yang diberikan oleh penulis tidak logik kerana jika (saya katakan jika) hujahnya ini adalah benar sekali pun, kita hanya boleh mengatakan "Lukas tidak pasti sama ada Yesus disalibkan atau tidak". Yang menghairankan penulis memberikan kesimpulan yang pasti iaitu Yesus tidak disalibkan sedangkan hujahnya tidak memberikan kesimpulan tersebut.

Keempat, Injil Lukas ditulis sekitar tahun 65 hingga 85 masihi. Yesus disalibkan sekitar tahun 33 masihi. Dengan kata lain, Lukas menulis pada zaman di mana kebanyakan saksi peristiwa penyaliban Yesus masih hidup. Jika Yesus tidak disalibkan, sudah pasti akan ada di antara saksi-saki ini yang akan menidakkan penulisan Lukas. Namun, tidak ada yang berbuat demikian. Malah, penulis sejarah sekuler seperti Josephus dan Tacitus (yang mana menulis semasa zaman penulisan Injil Lukas) juga mencatatkan Yesus memang telah disalibkan. Maka, kita mempunyai bukti sokongan di luar Perjanjian Baru yang mengesahkan Yesus telah disalibkan.

Kesimpulan
Penulis gagal membuktikan Yesus tidak disalibkan berdasarkan perkataan "investigate" dan juga Injil Lukas. Hujahnya (jika benar) paling tidak hanya mampu mengatakan Lukas tidak pasti sama ada Yesus disalibkan atau tidak. Namun, kita mempunyai bukti di luar Perjanjian Baru yang mengesahkan Yesus telah disalibkan.

Ulasan