Langkau ke kandungan utama

Yesus vs Krishna

Untuk topik ini, saya sekali lagi akan menggunakan artikel dari blog Hikmatun yang mendakwa kisah Yesus diciplak dari dewa kepercayaan Hindu iaitu Krishna. Anda boleh membaca keseluruhan artikel tersebut di sini. Artikel tersebut memperkatakan peniruan lain tetapi saya hanya akan menumpukan kepada Krishna.
(Sebelum ini saya telah memberikan respon tentang dakwaan persamaan Yesus dan Baal di blog tersebut di sini.)

Penulis blog Hikmatun memulakan dakwaan persamaan di antara Yesus dan Krishna dengan kenyataan berikut:
Ahli-ahli Teologi Kristian terawal dulu juga ada mengeluarkan pendapat tentang persamaan yang ada dalam Kristian dengan agama Hindu dan agama2 penyembah berhala yang lain.
Masalah kenyataan ini adalah beliau tidak menyatakan siapakah "ahli-ahli Teologi Kristian terawal" tersebut. Kemudian, beliau memberikan persamaan-persamaan yang didakwanya sebagai peniruan/ciplak. Perlu diketahui, beberapa dari dakwaan ini berasal dari penulisan Louis Jacolliot yang kemudian dipopularkan semula oleh Jesus-Myther seperti D.M Murdock (atau lebih dikenali sebagai Archaya S).

Mari kita lihat kesahihan setiap persamaan yang diberikan.
1. Kedua-duanya lahir dalam bandar yang jauh dari rumah mereka.
- Kurang tepat. Krishna tidak dilahirkan di bandar yang jauh dari rumah mereka. Tempat tersebut adalah di dalam sebuah penjara. Bukan di dalam bandar seperti yang dinyatakan di atas. "And for what reason did the God S’rî Hari incarnate Himself as the son of Vasudeva in the prison house of Kamsa?" (The S'rîmad Devî Bhâgawatam, 4th book, Chapter 1:4-5)
2. Keduanya lahir dengan mahu dibunuh oleh raja yang memerintah kerana kononnya mereka nanti akan menggugat takhta raja.
- Untuk persamaan ini, agak unik kerana ia diubahsuai dari dakwaan asal seperti berikut:
"He was persecuted by a tyrant who ordered the slaughter of thousands of infants who feared that the divine child would supplant his kingdom." (sumber)
Terjemahan:
"Dia dianiaya oleh seorang raja yang zalim yang mana telah memerintahkan pembunuhan seribu orang bayi baru lahir kerana takut menggugat tahkta raja tersebut."
- Jika hanya melihat kepada persamaan yang diberikan oleh penulis blog tersebut, ia memang kelihatan sama. Untuk hal ini, ia tidak dinafikan.
3. Antara keajaiban yang awal ditunjukkan oleh mereka ialah MENYEMBUHKAN pesakit kusta.
- Yesus memang telah menyembuhkan pesakit kusta.
- Namun, Krishna tidak pernah dicatatkan di dalam mana-mana sumber kepercayaan Hindu sebagai telah menyembuhkan pesakit kusta.
- Saya sangat mengalu-alukan jika ada yang dapat memberikan rujukan untuk kenyataan ini dari sumber kepercayaan Hindu sendiri.
4. Kedua-duanya dipanggil tuhan dan anak tuhan.
- Yesus memang diberi gelaran sebagai Tuhan dan Anak Tuhan.
- Namun, Krishna tidak pernah dicatatkan di dalam mana-mana sumber kepercayaan Hindu dengan gelaran Anak Tuhan.
5. Keduanya dihantar dari syurga ke dunia dalam bentuk manusia.
- Hal ini kelihatan benar. Namun, masalahnya Yesus datang ke dunia manusia sebagai manusia dengan identitinya sendiri iaitu Anak Allah.
- Krishna pula adalah kelahiran semula Vishnu.
- Maka, walaupun kenyataan ini kelihatan benar, namun, jika konsep untuk kedua-dua 'penghantaran' ini diselidiki, ia jauh berbeza.
6. Keduanya dipanggil PENYELAMAT.
- Hal ini juga kelihatan benar. Namun, konsep 'penyelamat' Yesus adalah menebus manusia dari dosa.
- Konsep 'penyelamat' Krishna pula adalah membebaskan rakyatnya dari pemerintahan kejam Raja Kansa.
- Maka, ia sebenarnya jauh berbeza.
7. Ayah tiri mereka adalah tukang kayu.
- Kenyataan ini akan mengelirukan mereka yang tidak tahu tentang kisah kelahiran Krishna kerana Krishna sebenarnya dilahirkan melalui perhubungan seksual ayah dan ibunya (ingat, Krishna dilahirkan semula).
- Ayahnya (Vasudeva) pula adalah seorang bangsawan.
- Kemudian, untuk menyelamatkannya, dia dibesarkan oleh keluarga angkat. Ayah angkatnya (Nanda) adalah penternak lembu. "Thou art the most beloved of Nanda, the Cow-herd (S'rîmad Devî Bhâgawatam, 8th book, Chapter 1, p743)
- Maka, persamaan ini adalah tidak tepat.
8. Kedua mereka ada hubungan pada keturunan raja-raja juga.
- Hal ini juga kelihatan benar, cuma perbezaan besar adalah Yesus dilahirkan di dalam keluarga yang mempunyai pertalian darah yang sudah sangat jauh dari raja (iaitu Daud).
- Krishna pula dilahirkan terus ke dalam keluarga diraja (Vasudeva dan Devaki, ayah dan ibu Krishna adalah bangsawan).
9. Kedua mereka di bawa ke padang pasir untuk diuji dan berpuasa.
- Tidak ada sebarang rujukan dari kepercayaan Hindu yang mengatakan Krishna dibawa ke padang pasir untuk diuji dan berpuasa.
- Satu-satunya contoh terdekat adalah Krishna sering masuk ke dalam hutan untuk melakukan meditasi. (Malah, contoh terdekat ini juga sebenarnya jauh berbeza)
- Maka, ini juga bukanlah persamaan.
10. Keduanya dikatakan tidak berdosa.
- Memang benar, Yesus tidak berdosa.
- Namun, sumber kepercayaan Hindu sendiri mengatakan Krishna telah melakukan perhubungan seks bebas. Malah, dia dikatakan mempunyai 16 ribu orang isteri, belum termasuk wanita yang tidak dikahwininya.
- Maka, persamaan ini juga tidak tepat.
11. Keduanya dikatakan mati dan dibangkitkan kembali.
- Memang ada penceritaan bahawa Krishna mati lalu bangkit kembali. Namun, ia berbeza di mana Yesus mati dan bangkit kembali 3 hari selepas dikuburkan.
- Krishna pula terus bangkit setelah mati pada hari yang sama (kerana seorang pemburu dengan tidak sengaja telah memanah kakinya). (sumber)
- Malah, ada sumber lain mengatakan dia mati dan tidak bangkit setelah dipanah pada kakinya. Dikatakan rohnya naik ke langit sementara tubuhnya dibakar menurut cara pengebumian Hindu. (sumber)
- Maka, persamaan ini juga tidak tepat apabila diselidiki dengan lebih terperinci.
12. Keduanya datang ke dunia untuk MENEBUS DOSA.
- Hal ini juga sangat tidak tepat kerana tidak ada sebarang rujukan dari sumber kepercayaan Hindu sendiri yang mengatakan Krishna datang untuk menebus manusia dari dosa.
13. Keduanya membasuh kaki murid2 mereka.
- Hal ini juga tidak benar.
- Tidak ada sebarang rujukan yang mengatakan Krishna membasuh kaki murid-muridnya seperti Yesus membasuh kaki murid-muridNya.
14. Keduanya ada murid2 yang disayangi dan kemudiannya menyebarkan ajaran.
- Krishna memang mempunyai pengikut. Hanya itu persamaan paling hampir yang dapat kita perolehi di dalam sumber kepercayaan Hindu sendiri.
15. Keduanya akan kembali di akhir zaman untuk menentang kejahatan. Krishna dibayangkan akan kembali sebagai seorang pahlawan yang lengkap dan menaiki kuda putih bersayap. Cuba bayangkan jika kedua2nya kembali.
- Kedatangan Yesus pada akhir zaman bukan untuk menentang kejahatan tetapi mengadili manusia sebagai hakim.
- Krishna pula dikatakan akan dilahirkan semula. Ini bererti cara dia kembali adalah jauh berbeza dengan cara kedatangan kedua Yesus.
- Malah, Krishna itu sendiri adalah 'kedatangan' keduanya, di mana sebelum 'kelahiran semula' Krishna, dia adalah Vishnu.
- Kedatangan Krishna juga bukan dikatakan pada akhir zaman tetapi pada setiap zaman, jika kejahatan berkuasa. "I create myself. I am born age after age, for the protection of the good, for the destruction of evil-doers, and the establishment of piety." (THE BHAGAVADGÎTÂ, Chapter IV, p.59)
16. Ketika keduanya mati berlaku gempa bumi, meteor jatuh dan beberapa lagi.
- Ketika Yesus mati, yang terjadi adalah gempa bumi, langit menjadi gelap, namun tidak ada meteor yang jatuh.
- Persamaan ini juga kelihatan tidak terperinci apabila mengatakan "dan beberapa lagi". Apakah "beberapa" tersebut?
- Selain itu, tidak ada disebut kejadian gempa bumi ketika kematiannya. (sumber sama dengan persamaan ke-11 di atas)
17. Keduanya dapat menghalau roh2 jahat dan membangkitkan orang mati.
- Hal ini juga jauh berbeza. Krishna berperang dengan mahkluk-mahkluk suruhan Raja Kansa yang mahu membunuhnya.
- Krishna juga tidak membangkitkan orang mati. Tidak ada di dalam sumber kepercayaan Hindu yang mengatakan demikian.
18. Keduanya menyambut perjamuan makan malam terakhir.
- Hal ini juga tidak tepat. Seperti yang diketahui, Krishna mati dipanah. Dengan kata lain, dia langsung tidak tahu yang dia akan mati sedemikian. Bagaimana dia menyambut perjamuan makan malam terakhir?
- Perlu diketahui, perjamuan makan malam terakhir yang dilakukan oleh Yesus adalah khusus untuk memberitahu tentang kematianNya. Iaitu, Yesus sudah tahu lebih awal yang Dia akan mati disalibkan.
- Maka, persamaan ini juga tidak wujud.
19. Keduanya mengajar agar memaafkan musuh.
- Saya tidak dapat menemui pengajaran tersebut di dalam mana-mana sumber Hindu yang menceritakan tentang Krishna. Malah, Krishna sendiri membunuh musuhnya iaitu Raja Kansa.
- Hal ini langsung tidak sama dengan pengajaran Yesus, yang mana juga dilakukanNya sebagai contoh (iaitu tidak membunuh atau membenci mereka yang membenciNya).
20. Keduanya naik ke langit selepas mati
- Terdapat masalah pada persamaan ini. Yesus kembali ke syurga selepas bangkit dari kematian, bukan selepas mati.
- Kenyataan ini mengelirukan kerana seolah-olah tidak ada kebangkitan tetapi setelah mati terus naik ke syurga/langit.
- Maka, persamaan ini juga tidak tepat, malah adalah kesilapan dan bercanggah dengan persamaan ke-11 yang mengatakan terdapat kebangkitan.
Dan macam-macam lagi persamaan peristiwa besar yang KETARA
- Dikatakan "macam-macam lagi persamaan peristiwa besar yang ketara". Namun, setelah menilai kesemua persamaan yang didakwa ini, kita mendapati persamaan-persamaan tersebut hilang di bawah penelitian yang lebih terperinci.


Rujukan
The S'rîmad Devî Bhâgawatam
The Bhagavadgita
Krishna (wiki)
The Divine Evidence
Encyclopedia Mythica, Krishna

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Hi Tiwas,

Salam kenal.

Yang ingin saya tanyakan pada point di bawah ini :

Krishna sebenarnya dilahirkan melalui perhubungan seksual ayah dan ibunya (ingat, Krishna dilahirkan semula).

Apakah Tiwas dapat memberikan bukti bahwa hal itu memang tertulis pada kitab weda?

Terima kasih.

Tuhan Yesus memberkati.
Unknown berkata…
Hi Tanpa nama,
Maaf kerana memberikan respon yang agak lewat. (Sekarang sudah 2015!)
Saya ada memberikan lampiran rujukan untuk penulisan di atas (di hujung post tersebut).