Langkau ke kandungan utama

Siri persoalan umum: Memandangkan Yesus mempunyai Tuhan, bagaimana Dia sendiri boleh menjadi Tuhan?

Artikel ini adalah berdasarkan/diterjemahkan dari artikel ini.

Soalan:
Menurut Ibrani 1:8-9, Yesus sebagai Tuhan mempunyai Tuhan di atas-Nya. Ada Kristian mengatakan bahawa Ibrani 1:8-9 merujuk kepada kemanusiaan Yesus, di mana semasa menjadi manusia, Dia mempunyai Tuhan di atas-Nya. Masalah kepada penjelasan ini adalah ia membuatkan Yesus dianggap sebagai Tuhan ketika Dia dalam keadaan manusia, yang mana bererti kemanusiaan-Nya diangkat menjadi Tuhan. Bagaimana Kristian dapat mengatasi masalah-masalah ini?

Jawapan:

Sebelum kita menjawab persoalan ini, terlebih dahulu kita lihat ayat yang diperkatakan menurut konteks keseluruhannya:
"Pada masa lampau, banyak kali Allah berfirman kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi dengan berbagai-bagai cara. Tetapi pada zaman akhir ini Dia telah berfirman kepada kita melalui Anak-Nya. Melalui Anak-Nya inilah Allah menciptakan alam semesta. Allah sudah menetapkan bahawa Anak-Nya inilah yang berhak memiliki segala sesuatu pada akhirnya. Dia memancarkan kemuliaan Allah yang gilang-gemilang dan Dia perwujudan Allah sendiri. Dia memelihara keutuhan alam semesta ini dengan firman-Nya yang berkuasa. Setelah Dia memungkinkan manusia dibebaskan daripada dosa, Dia duduk di syurga di sebelah kanan Allah, Penguasa Yang Tertinggi. Anak itu mendapat kedudukan yang jauh lebih tinggi daripada malaikat, dan nama yang diberikan oleh Allah kepada-Nya pun jauh lebih terhormat daripada nama-nama malaikat.
Tidak pernah Allah berfirman kepada mana-mana malaikat-Nya, "Engkaulah Anak-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu." Tidak pernah Allah berfirman tentang malaikat yang mana pun begini, "Aku akan menjadi Bapa-Nya, dan Dia akan menjadi Anak-Ku." Tetapi pada masa Allah mengutus Anak-Nya yang sulung ke dunia ini, Dia berfirman, "Semua malaikat Allah wajib menyembah Anak itu." Tentang malaikat-malaikat, Allah berfirman demikian, "Allah menjadikan malaikat-malaikat-Nya angin, dan hamba-hamba-Nya nyala api.
Tetapi tentang Anak itu, Allah berfirman, "Takhta-Mu, ya Allah, akan kekal selama-lamanya! Engkau memerintah umat-Mu dengan keadilan. Engkau suka akan keadilan, dan benci akan kecurangan; itulah sebabnya Allah, Allah-Mu, memilih Engkau dan memberi Engkau kehormatan yang mendatangkan kegembiraan yang jauh lebih besar daripada yang diberikan-Nya kepada sahabat-sahabat-Mu."
Allah juga berfirman, "Engkau, ya Tuhan, pada mulanya menjadikan bumi, dan dengan tangan-Mu sendiri Engkau menjadikan langit. Semua itu akan lenyap, dan menjadi usang seperti pakaian; tetapi Engkau tidak akan berubah. Alam semesta Engkau lipat seperti jubah, dan akan Engkau ganti seperti pakaian. Tetapi Engkau tidak akan berubah, dan hidup-Mu tidak akan berakhir."
Allah tidak pernah berfirman kepada malaikat-Nya yang mana pun begini, "Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga musuh-musuh-Mu Aku jadikan alas kaki-Mu." Jika demikian, apakah sebenarnya malaikat-malaikat itu? Mereka roh yang berbakti kepada Allah, dan yang disuruh oleh-Nya untuk menolong orang yang akan menerima penyelamatan." (Ibrani 1:1-14)
Di awal petikan ini, kita mendapati teks ini memperkatakan tentang Yesus iaitu:
  1. Sebelum Dia menjadi manusia di mana melalui Yesus segala sesuatu diciptakan.
  2. Semasa Dia menjadi manusia apabila Dia menjadi Penebus.
  3. Selepas Dia bangkit dari kematian dan ditinggikan dengan kemuliaan di mana Dia kembali memerintah di tahkta Kudus selama-lamanya.
Dengan kata lain, keseluruhan bab tersebut memperkatakan tentang kewujudan Yesus sebelum Dia menjadi manusia, ketika Dia menjadi manusia, dan selepas kebangkitan dan pengangkatan-Nya ke syurga.

Melalui ayat-ayat seterusnya, jelas bahawa penulis kitab Ibrani sedang memperkatakan tentang keseluruhan peristiwa berkaitan dengan Kristus, di mana si penulis melihat secara retrospektif keseluruhan pelayanan Yesus. Penulis tidak menumpukan tentang sifat Kristus, seperti sama ada Dia memiliki dua sifat, sama ada Dia adalah Tuhan dan manusia pada masa yang sama, dll. Penulis menekankan tentang kepelbagaian peranan yang dilakukan-Nya. Penulis memperkatakan tentang Peribadi Yesus yang kekal serta semua perbuatan-Nya, dari peranan-Nya sebagai Sang Pencipta, Yang Memelihara, Penebus, dan Raja kekal.

Berdasarkan penjelasan di atas, mari kita lihat persoalan yang diajukan. Perkara pertama yang perlu kita sedari adalah Ibrani 1:8-9 adalah petikan daripada Mazmur 45:6-7, yang mana adalah sebuah Mazmur yang ditulis sempena upacara perkahwinan Raja Daud. Berikut adalah keseluruhan Mazmur tersebut supaya para pembaca boleh melihatnya sendiri:
"Mazmur puak Korah. Lagu kasih. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung. Hati hamba penuh dengan kata-kata yang indah semasa hamba menggubah lagu ini untuk raja; lidah hamba umpama batang pena seorang pujangga. Tuanku yang paling kacak antara manusia, titah tuanku penuh kebaikan, sebab itu, tuanku diberkati Allah selama-lamanya. Ikatkan pedang pada pinggang, hai raja perkasa, tuanku sungguh agung dan mulia!
Majulah dengan kemuliaan menuju kemenangan, untuk membela kebenaran dan keadilan, dengan kekuatan tuanku, rebutlah kemenangan yang besar. Anak panah tuanku yang tajam akan menembusi jantung musuh; bangsa-bangsa akan rebah ke bawah kaki tuanku. Takhta yang dikurniakan Allah kepada tuanku akan kekal selama-lamanya. Tuanku memerintah rakyat dengan adil; tuanku mencintai perkara yang benar dan membenci perkara yang jahat.
Oleh itu, Allah, Allah tuanku telah memilih tuanku, dan membahagiakan tuanku lebih daripada raja lain. Pakaian tuanku berbau mur, gaharu, dan cendana; pemuzik di istana gading membuat tuanku gembira. Antara wanita yang disayangi tuanku terdapat puteri-puteri, dan di sebelah kanan takhta tuanku berdiri permaisuri yang memakai perhiasan emas murni. Dengarlah kata-kata hamba, hai permaisuri, lupakanlah bangsa serta kerabat tuanku. Kecantikan tuanku memikat hati raja, tuanku milik baginda, taatlah kepada baginda. 
Rakyat Tirus akan membawa hadiah untuk tuanku, orang kaya akan mencuba mengambil hati tuanku. Puteri masuk dengan penuh seri, pakaiannya bersulam benang emas. Dengan pakaian berwarna-warni puteri dibawa menghadap raja, diiringi oleh anak-anak dara, yang juga dibawa menghadap raja. Dengan sorakan yang gembira, mereka masuk ke istana raja. Tuanku, raja hamba akan mempunyai banyak putera, untuk meneruskan kerajaan nenek moyang tuanku, dan tuanku akan menjadikan mereka pemerintah di seluruh dunia. Lagu hamba akan mengekalkan kemasyhuran tuanku turun-temurun, dan bangsa-bangsa akan memuji tuanku selama-lamanya." (Mazmur 45:1-17)
Penulis kitab Ibrani menggunakan ayat berikut sebagai rujukan kepada peranan Yesus sebagai Mesias (Al-Masih), sebuah peranan yang diterima-Nya dengan menjadi waris manusia kepada Raja Daud:
"Malaikat itu berkata kepadanya, "Janganlah takut, Maria, kerana Allah berkenan kepada engkau. Engkau akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan Dia Yesus. Dia akan menjadi agung dan akan disebut Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan menjadikan Dia raja seperti Daud, nenek moyang-Nya. Dia akan memerintah sebagai raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan berakhir."" (Lukas 1:30-33)
"Berita Baik itu tentang Anak Allah, Tuhan kita Yesus Kristus. Sebagai manusia, Dia keturunan Daud, tetapi sebagai ilahi, Dia ternyata Anak Allah, kerana dengan kuasa yang besar Allah membangkitkan-Nya daripada kematian." (Roma 1:3-4) 
Dengan kata lain, penulis (kitab Ibrani) menggunakan Mazmur 45:6-7 ke atas Yesus sebagai rujukan kepada peranan-Nya sebagai Mesias (Al-Masih), di mana sebagai keturunan Daud, Dia dengan sempurna menggenapi semua janji Tuhan kepada Daud dan anak-anaknya bahawa melalui keturunannya akan ada kerajaan kekal:
"Aku telah memilih satu negeri bagi umat-Ku Israel, dan Aku telah menempatkan mereka di sana. Mereka tidak akan ditindas lagi oleh sesiapa pun. Sejak mereka menduduki negeri itu mereka telah diserang oleh orang kejam, tetapi mulai sekarang hal itu tidak akan berulang lagi. Aku berjanji akan melindungi engkau daripada musuhmu dan memberi engkau keturunan. Jika sampai akhir hayatmu, dan engkau dikebumikan di kubur nenek moyangmu, seorang daripada puteramu akan Kulantik menjadi raja, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya. Dialah yang akan membina rumah bagi-Ku, dan Aku akan memastikan supaya untuk selama-lamanya seorang keturunannya akan memerintah sebagai raja. Aku akan menjadi bapanya dan dia menjadi anak-Ku. Apabila dia berbuat salah, Aku akan menghukum dia seperti seorang bapa menghukum anaknya. Tetapi Aku akan tetap mengasihinya sesuai dengan janji-Ku. Janji-Ku dengan dia akan tetap Aku pegang, dan tidak seperti yang Kulakukan kepada Saul yang telah Kusingkirkan daripada kedudukannya supaya engkau dapat menjadi raja." (2 Samuel 7:10-15)
Untuk pengetahuan, 2 Samuel 7:14 digunakan ke atas Yesus di dalam Ibrani 1:5!

Memandangkan satu-satunya cara untuk Yesus dapat menggenapi janji tersebut adalah dengan menjadi menusia dari keturunan Daud, ini menunjukkan Ibrani 1:8-9 melihat Yesus melalui perspektif kelahiran-Nya sebagai manusia dan bagaimana Dia ditinggikan. Lagi pun, jika Yesus tidak menjadi manusia, Dia tidak dapat menjadi keturunan kepada Daud dan seterusnya memerintah sebagai keturunan Daud.

Selain itu, memandangkan Yesus menjadi manusia dan akan menduduki tahkta sebagai wakil keturunan Daud selama-lamanya, Bapa menjadi Tuhan-Nya dan akan kekal menjadi Tuhan-Nya. Maka, bukanlah suatu masalah untuk Yesus mempunyai Tuhan.

Adakah ini bererti kemanusiaan Yesus diangkat menjadi Tuhan, iaitu kemanusiaan Yesus dianggap sebagai Tuhan, memandangkan kita mengatakan teks ini (Ibrani 1:8-9) memperkatakan tentang kemanusiaan Yesus di mana Dia mempunyai Tuhan ketika dalam keadaan tersebut? Tidak sama sekali.

Selepas menjadi manusia, Yesus tidak berhenti menjadi Tuhan, tetapi menambah satu lagi sifat ke dalam Peribadi keTuhanan-Nya. Ibrani 1:8-9 tidak semestinya memperkatakan tentang Yesus sebagai Tuhan atau sebagai manusia, tetapi ayat tersebut ada mengaitkan tentang kelahiran Yesus sebagai manusia, serta kebangkitan dan pengangkatan-Nya. Teks tersebut memperkatakan tentang Peribadi yang pada ketika itu adalah Tuhan dan manusia pada masa yang sama. Secara ringkasnya, memandangkan Ibrani 1:8-9 memperkatakan tentang pengangkatan Kristus selepas dibangkitkan, maka Yesus boleh disebut sebagai Tuhan di dalam sifat keTuhanan-Nya dan mempunyai Tuhan di dalam sifat kemanusiaan-Nya. Ia bukanlah senario ya atau tidak, tetapi kedua-duanya sekali.

Bapa memuji Anak-Nya yang memerintah pada tahkta Daud selama-lamanya sebagai Tuhan yang menjadi manusia. Amin. Kiranya Yesus Kristus, Tuhan yang bangkit dari kematian, satu-satunya Tuhan yang menjadi manusia, akan disembah oleh semua ciptaan-Nya untuk selama-lamanya. Amin.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
ini membuktikan kepercayaan kristian tuhan itu tidak esa...
Unknown berkata…
Tanpa nama,
Bagaimana anda sampai kepada kesimpulan "ini membuktikan kepercayaan kristian tuhan itu tidak esa"?

Tidak cukup anda sekadar memberikan suatu kesimpulan tanpa menjelaskan bagaimana anda sampai kepada kesimpulan tersebut.
Tanpa Nama berkata…
anda yang patut memberikan kesimpulan samaada ajaran kristian itu adalah menyembah tuhan yang esa yakni Allah, Ilah, YHWH @ apa pun namaNya adalah tunggal, tidak diperanakkan dan tidak memperanakkkan...TUHAN ADALAH SATU..@ Yesus itu sendiri adalah Tuhan selain daripada TUHAN...?
Unknown berkata…
Tanpa nama,
Saya telah pun memperkatakan hal tersebut di dalam blog ini. Apa kata anda menyelidikinya? Bukan itu sahaja, saya juga telah memberikan pelbagai pautan ke laman2 web yang ada menyentuh tentang hal tersebut. Mungkin anda boleh menyelidikinya?

Maka, saya ajukan semula soalan saya,
Bagaimana anda sampai kepada kesimpulan "ini membuktikan kepercayaan kristian tuhan itu tidak esa"?

Tidak cukup anda sekadar memberikan suatu kesimpulan tanpa menjelaskan bagaimana anda sampai kepada kesimpulan tersebut.