Langkau ke kandungan utama

Kisah Para Rasul 19:13

Siri post ini adalah berdasarkan/terjemahan tulisan James Hickey. Untuk tujuan dan senarai penuh siri post ini, sila klik di sini.
"Beberapa orang Yahudi yang pergi ke serata tempat dan mengusir roh jahat, cuba menggunakan nama Tuhan Yesus untuk mengusir roh jahat. Mereka berkata kepada roh-roh jahat, "Aku mengusir kamu demi nama Yesus yang diberitakan oleh Paulus.""
(Kis 19:13)
Pengembara Yahudi yang menjadi penghalau roh jahat dan ahli magik/pelaku mukjizat adalah perkara yang biasa di tanah Israel abad pertama. Contohnya, Jospehus memberitahu kita tentang seorang lelaki yang ditemuinya sendiri:
"...saya sendiri pernah melihat seorang lelaki di negeri asal saya, yang bernama Eleazer, membebaskan orang-orang yang dikuasai roh jahat di hadapan Vespasain dan anak-anak lelakinya, serta dihadapan kapten-kapten dan seluruh pasukan tenteranya."
(Jospehus, Ant. 8.2.5)
Satu lagi contoh, Honi, disebut oleh Jospehus dan Mishnah Yahudi:
"Ada seorang lelaki, bernama Honi, seorang yang jujur dan dikasihi oleh Tuhan, pada suatu ketika berdoa agar kemarau yang terjadi untuk berakhir; dan Tuhan mendengar doanya dengan menurunkan hujan."
(Jospehus, Ant. 14.2.1)
"Suatu ketika mereka berkata kepada Honi, si pelukis bulatan, "berdoalah agar hujan turun." ...Dia berdoa namun hujan tidak turun. Apa yang dia lakukan? Dia melukis sebuah bulatan dan berdiri di dalamnya...Hujan mulai turun."
(Mishnah Ta'anit 3.8 [1])
Sumber Yahudi (Mishnah Berakot 5:5 dan Talmud Berakot 34) juga mencatatkan seorang bernama Hanina Ben Dosa yang akan berdoa agar orang mati bangkit semula.

Satu lagi perkara yang perlu diperhatikan di dalam Kitab Kisah Para Rasul ini adalah penggunaan nama Yesus (Yeshu atau Yeshua) di dalam ritual menghalau roh jahat. Adakah perincian yang tercatat di dalam kitab Kisah Para Rasul ini boleh dipercayai?

Di dalam petikan sama yang memperkatakan tentang Eleazer di atas, caranya melakukan pengusiran roh jahat sangat menarik:
"Cara dia menyembuhkannya adalah seperti berikut: Dia meletakkan sebentuk cincin yang mempunyai nama Salomo  di bahagian lubang hidung pesakit yang dirasuk...dia melarang roh jahat daripada kembali kepada si pesakit, dengan menyebut nama Salomo, dan menyebut mantera yang dibuatnya... dan setelah semuanya selesai, hikmat dan pengetahuan Salomo dinyatakan: kerana semua orang tahu kehebatan Salomo, dan betapa dia dikasihi oleh Tuhan..."
(Josephus, Ant. 8.2.5)
Eleazer menggunakan nama Salomo sebagai elemen penting di dalam perbuatannya. Tujuan Jospehus menulis peristiwa ini (yang mana terletak di tengah-tengah biografi ringkas Raja Salomo) bukanlah untuk mengagungkan Eleazer, tetapi untuk menunjukkan betapa berkesan dan berkuasanya nama Salomo.

Satu lagi penemuan adalah tradisi orang-orang pagan (bukan Yahudi) juga mempunyai ciri yang sama dalam menggunakan nama seseorang. Di dalam cara pengusiran roh jahat Greek ini, nama Yesus digunakan:
"...setelah meletakkan pesakit bertentangan dengan anda, ucapkan mantera berikut: "Aku sihir engkau di dalam nama Tuhan orang Ibrani, Yesus... Aku sihir engkau dengan meterai yang Salomo letakkan pada lidah Yeremia."
(Greek Magical Papyrus[2])
Jelas bahawa penggunaan nama semasa mengusir roh jahat adalah suatu kebiasaan. Menariknya, tradisi pagan sendiri menggunakan nama Yesus! Maka, peristiwa yang dicatatkan di dalam kitab Kisah Para Rasul ini sepadan dengan zaman dan budaya semasa kitab ini dikatakan telah ditulis [oleh Lukas].

Nota
[2] Daripada Hans Dieter Betz, ed., The Greek Magical Papyri in Translation, Including the Demonic Spells, 2nd ed. (Chicago: University of Chicago Press, 1992), 1:96; seperti yang dipetik di dalam Evans, Fabricating Jesus, p. 156-157

Kembali ke Indeks

Ulasan