Langkau ke kandungan utama

Mitos-mitos tentang Persidangan Nicea

Ini adalah terjemahan. Artikel asal boleh dibaca di sini.

Terdapat beberapa mitos tentang Persidangan Nicea yang masih disebarkan hari ini.

Mitos #1: Persidangan Nicea mencipta keTuhanan Yesus pada tahun 325 Masihi.

Apa yang tidak dilakukan semasa Persidangan Nicea

Persidangan Nicea tidak mencipta keTuhanan Yesus. Lama sebelum Persidangan Nicea diadakan, orang-orang Kristian telah pun mempercayai bahawa Yesus adalah Tuhan berdasarkan beberapa ayat Perjanjian Baru (Yoh 5:18; 14:9; 20:28; Ibr 1:8; Why 5:9)

Malahan, orang-orang Kristian terawal percaya bahawa Yesus adalah Tuhan:

1. Paulus

A. 1 Korintus 8:6, "tetapi bagi kita Allah hanya satu. Dia Bapa yang menciptakan segala sesuatu, dan untuk Dialah kita hidup. Tuhan hanya satu juga, iaitu Yesus Kristus. Melalui Dia segala sesuatu diciptakan, dan kerana Dialah kita hidup.
  • Ulasan: Paulus mengadaptasikan pengakuan iman Yahudi yang dikenali sebagai Shema yang berbunyi, "Dengarlah, hai orang Israel: TUHAN itu Allah kita, TUHAN itu esa!" dan memasukkan Yesus ke dalam pengakuan iman pada 1 Korintus 8:6 tersebut. Dengan kata lain, dia meng-kristian-kan Shema tersebut.
B. Filipi 2:5-11, "5 Sikap kamu hendaklah seperti sikap Kristus Yesus: 6  Sebenarnya Dia ilahi, tetapi Dia tidak menganggap keadaan-Nya yang ilahi harus dipertahankan-Nya. 7  Sebaliknya, Dia rela melepaskan segala-galanya, lalu menjadi seperti seorang hamba. Dia datang sebagai manusia, dan hidup seperti manusia. 8  Dia merendahkan diri dan hidup dengan taat kepada Allah sehingga mati  —  iaitu mati di atas salib. 9  Itulah sebabnya Allah meninggikan Dia setinggi-tingginya, dan mengurniai Dia kedudukan yang lebih tinggi daripada semua kedudukan yang lain. 10  Oleh itu, untuk menghormati Yesus, semua makhluk di syurga, dan di bumi, dan di bawah bumi akan sujud menyembah Dia. 11  Mereka semua akan mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan; dengan demikian Allah Bapa dimuliakan.
  • Ulasan: Yesus adalah setara dengan Tuhan. Ayat di dalam Filipi 2:5-11 ini mengandungi nyanyian penyembahan (hymn) Kristian awal yang berkemungkinan berasal dari tahun 40-60 masihi. Pada ayat 10, Paulus memetik ayat dari Yesaya 45:23 yang mana adalah pernyataan yang khusus untuk Tuhan atau Yahweh dan menggunakannya untuk Yesus. Dengan kata lain, Yesus adalah Yahweh.
C. 1 Korintus 1:2, "Surat ini ditujukan kepada jemaah di Korintus, iaitu semua orang yang sudah dipanggil oleh Allah untuk menjadi umat-Nya kerana hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Surat ini juga ditujukan kepada semua orang di mana sahaja yang menyembah Tuhan kita Yesus Kristus, iaitu Tuhan mereka dan Tuhan kita juga.
  • Ulasan: Salah satu sifat jemaat di Korintus adalah mereka berdoa kepada Yesus.
D. 1 Korintus 16:22, "Terkutuklah orang yang tidak mengasihi Tuhan! Maranatha—Ya Tuhan kami, datanglah!
  • Maranatha adalah ungkapan bahasa Aramaik yang bermaksud "Ya Tuhan kami, datanglah!". Ia adalah ungkapan yang digunakan oleh Kristian awal untuk (1) berdoa kepada Yesus meminta-Nya datang kembali, dan (2) mengingatkan sesama mereka tentang kedatangan semula Yesus. Paulus menulis surat 1 Korintus dalam bahasa Greek dan tidak menterjemahkan perkataan Aramaik "Maranatha" tersebut. Ia berkemungkinan menandakan bahawa perkataan Aramaik ini berasal dari gereja berbahasa Aramaik terawal di Yerusalem. Ungkapan ini dianggarkan berasal seawal dari sekitar tahun 33 masihi atau paling lewat sekitar tahun 51 masihi. Yang pasti, ia menunjukkan bahawa gereja terawal juga telah berdoa kepada Yesus dan menantikan kedatangan-Nya semula. Perbuatan tersebut hanya akan dilakukan terhadap Tuhan.

2. Kitab-kitab tentang Injil

B. Yesus mengampunkan dosa (Markus 2:5-11; Lukas 5:20)
C. Yesus dipanggil sebagai Tuhan
  • Yohanes 20:28-29, "28  Tomas berkata kepada Yesus, "Ya Tuhanku! Ya Allahku!"29  Yesus berkata kepadanya, "Adakah kamu percaya kerana kamu sudah melihat Aku? Berbahagialah orang yang percaya meskipun tidak melihat Aku!""
  • Yohanes 5:18, "Kata-kata-Nya ini membuat para penguasa Yahudi semakin bertekad untuk membunuh Dia. Bukan sahaja Dia telah melanggar hukum hari Sabat, tetapi Dia berkata bahawa Allah itu Bapa-Nya. Hal ini bererti Dia menyamakan diri dengan Allah."
  • Yohanes 14:9, "Tetapi Yesus menjawab, "Sudah lama Aku bersama-sama kamu semua, dan kamu belum mengenal Aku juga, Filipus? Orang yang sudah melihat Aku, sudah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, ‘Tunjukkanlah Bapa kepada kami’?"

3. Surat-surat lain

A. Yesus dipanggil sebagai Tuhan
  • Ibrani 1:8, "Tetapi tentang Anak itu, Allah berfirman, "Takhta-Mu, ya Allah, akan kekal selama-lamanya! Engkau memerintah umat-Mu dengan keadilan."
Ulasan: Ayat ini dengan jelas mengatakan "tentang Anak itu", "Tahkta-Mu, ya Allah". Yesus dipanggil sebagai Tuhan.
B. Pujian dinyanyikan kepada Yesus
  • Wahyu 5:9, "Mereka menyanyikan sebuah lagu baru, "Engkau layak mengambil gulungan naskhah itu dan memecahkan meterai-meterainya, kerana Engkau telah dibunuh dan dengan kematian-Mu, manusia daripada semua suku, bahasa, negara, dan bangsa telah Engkau beli untuk Allah."
Ulasan: Bagi orang-orang Yahudi pada zaman abad pertama, menyanyikan pujian kepada Yesus yang mana adalah Anak Domba yang menduduki di atas tahkta adalah perbuatan yang hanya akan mereka lakukan untuk Tuhan.

Apa yang sebenarnya telah dilakukan pada persidangan tersebut

Persidangan Nicea memang telah menjelaskan beberapa isu berkenaan yang dihadapi oleh komuniti Kristian ketika itu. Sebab mengapa tidak ada sebarang pengakuan iman yang lebih terperinci sebelum Persidangan Nicea adalah kerana

(1) Kristianiti adalah kepercayaan yang ditindas untuk suatu jangka masa yang lama menyebabkan sukar untuk melakukan penyelidikan dan menjelaskan doktrin-doktrin yang telah pun dipercayai sejak awal lagi. Orang-orang Kristian berpegang kepada beberapa kepercayaan dasar termasuk keTuhanan Yesus, namun setelah kepercayaan tersebut dicabar oleh Arianisme (suatu kepercayaan yang pada zaman ini dipegang oleh Saksi Yehovah dan Christadelphians yang mengajarkan bahawa kononnya Yesus adalah makhluk suci yang dicipta oleh Tuhan), mereka (orang-orang Kristian awal tersebut) terpaksa menjelaskan dan memikirkan pendirian sebenar mereka.

(2) Pada tahun 313 masihi, Konstantin mewartakan Dekri Milan yang membenarkan Kristianiti untuk diamalkan secara bebas. Ini membolehkan Kristianiti diamalkan secara terbuka, termasuk membolehkan penyelidikan dan perbahasan tentang kepercayaan Kristian yang sebenar. Ini kemudian mengakibatkan wujud konflik dengan Arianisme yang berpegang kepada kepercayaan bahawa Yesus adalah mahkluk suci yang dicipta oleh Tuhan.

Mitos #2: Persidangan Nicea menentukan jumlah kitab yang sepatutnya terdapat di dalam Perjanjian Baru (iaitu 27 buah kitab)

Respon: Persidangan Nicea tidak memperkatakan isu tentang kanon atau tentang kitab apa yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada Perjanjian Baru. Sebaliknya, persidangan tersebut hanya khusus memperkatakan tentang isu-isu yang berkaitan dengan Kristologi atau pemahaman sebenar tentang siapa Yesus yang sebenarnya. Persidangan Nicea ini memperkatakan khusus tentang kontroversi Arian iaitu sama ada Yesus adalah Tuhan yang kekal atau mahkluk ciptaan Tuhan.

Mitos #3: Pengakuan iman Kristian yang pertama wujud semasa Persidangan Nicea

Respon: Mungkin hal ini agak mengejutkan bagi sesetengah pihak, tetapi sebenarnya pengakuan iman yang pertama tidak wujud semasa Persidangan Nicea. Terdapat pengakuan iman yang lebih awal di dalam Perjanjian Baru. Dipercayai pengakuan iman terawal Kristian terdapat di dalam 1 Korintus 15:3-7 yang mencatatkan kematian, pengebumian, kebangkitan dan penampakkan Yesus kepada pengikut-pengikut-Nya. Kebanyakan penyelidik menganggarkan tarikh pengakuan iman tersebut wujud pada sekitar tahun 32 hingga tahun 37 masihi. 1 Korintus 8:6 juga mengandungi versi awal Kristian tentang Ulangan 6:4 yang mana adalah Shema Yahudi atau pengakuan iman Yahudi. Selain itu, terdapat beberapa kenyataan yang berupa pengakuan iman di dalam Perjanjian Baru (Roma 1:4; 4:25; 1 Timotius 3:16; 1 Petrus 3:18-22, dll). Menariknya, pengakuan-pengakuan iman ini menumpukan hal-hal seperti status Yesus sebagai Anak, kematian dan kebangkitan-Nya. Yang menakjubkan, hal-hal ini juga adalah perkara yang menjadi isu utama semasa Persidangan Nicea diadakan!

Beberapa contoh Pengakuan Iman Kristian yang awal:

  • Roma 1:4, "tetapi sebagai ilahi, Dia ternyata Anak Allah, kerana dengan kuasa yang besar Allah membangkitkan-Nya daripada kematian."
  • Roma 4:25, "Yesus diserahkan untuk dibunuh kerana dosa kita; Dia dibangkitkan supaya kita boleh berbaik semula dengan Allah."
  • 1 Timotius 3:15, "Tidak seorang pun dapat menafikan betapa mulianya rahsia kepercayaan kita: Kristus Yesus menampakkan diri dengan rupa manusia, dan dinyatakan benar oleh Roh Allah, serta dilihat oleh para malaikat. Dia diisytiharkan antara bangsa-bangsa, dan Dia dipercayai di seluruh dunia, dan telah diangkat ke syurga."
Ulasan: Ayat ini memperkatakan tentang Yesus yang "menampakkan diri dengan rupa manusia". Ini menunjukkan bahawa Yesus sebelum itu telah pun wujud dan menjelma sebagai manusia. Yesus bukan sekadar manusia biasa yang diangkat oleh Tuhan kerana Dia kudus. Dia telah pun wujud di dalam syurga sebagai Allah Anak.
* Petikan ayat-ayat Alkitab yang digunakan adalah daripada terjemahan Alkitab Berita Baik Bahasa Malaysia, TMV.

Ulasan