Post ini diterjemahkan/berdasarkan sebahagian daripada kandungan buku The Case for Christ (edisi 2 buku dalam 1) oleh Lee Strobel, muka surat 204-205.
Kenyataan Dr. Metherell kelihatannya disokong dengan bukti yang baik. Namun, masih terdapat beberapa hal yang perlu saya perkatakan--termasuk satu titik lemah di dalam penceritaan ini yang mungkin boleh menjejaskan kredibiliti penceritaan Alkitabiah ini.
"Kitab Injil mengatakan askar-askar mematahkan kaki kedua-dua penjahat yang disalibkan bersama Yesus," saya berkata. "Mengapa mereka melakukan hal tersebut?"
"Jika mereka mahu mempercepatkan kematian--dan hari Sabat serta Paskah hampir tiba, para pemimpin Yahudi sudah tentu mahu hal ini selesai sebelum matahari terbenam--pihak askar Roma akan menggunakan batang besi dari sebatang tombak pendek untuk mematahkan tulang kaki mangsa. Ini akan menghalang mereka dari menolak tubuh mereka menggunakan kaki untuk bernafas, dan kematian melalui asphyxiation akan terjadi dalam beberapa minit.
"Sudah tentu, kita diberitahu di dalam Perjanjian Baru bahawa kaki Yesus tidak dipatahkan kerana askar yang terlibat telah mengetahui bahawa Dia telah pun mati ketika itu, dan mereka cuma menggunakan tombak untuk mengesahkannya. Hal ini menggenapi satu lagi nubuat tentang Mesias di dalam Perjanjian Lama di mana tulang-tulang-Nya tidak akan dipatahkan."
Sekali lagi saya mencelah. "Ada pihak yang cuba menimbulkan keraguan terhadap penceritaan Injil dengan menyerang kisah penyaliban," saya berkata. "Contohnya, sebuah artikel di dalam Harvard Theological Review menyimpulkan beberapa tahun yang lalu bahawa 'terdapat sangat sedikit bukti yang menunjukkan kaki mangsa penyaliban dipaku.' Sebaliknya, artikel tersebut mengatakan, tangan dan kaki mangsa diikat dengan tali pada kayu salib.[1] Tidakkah anda mengakui bahawa hal ini menimbulkan masalah kredibiliti terhadap penceritaan Perjanjian Baru?"
Dr. Metherell mengubah kedudukannya sehingga dia hanya duduk di hujung kerusinya. "Tidak," katanya, "kerana kini arkeologi telah menunjukkan bahawa penggunaan paku adalah tepat secara sejarah--walaupun saya akui tali juga kadang-kala digunakan."
"Apakah buktinya?"
"Pada tahun 1968, ahli arkeologi di Yerusalem telah menemui tinggalan tulang tiga dozen orang Yahudi yang telah mati ketika penentangan terhadap kerajaan Roma sekitar tahun 70 masihi. Salah seorang mangsa, yang bernama Yohanan, telah disalibkan. Dan, mereka menemui paku sepanjang tujuh inci masih tertanam pada kakinya, dengan kepingan kecil kayu zaitun, iaitu kayu salib yang digunakan masih terlekat pada paku tersebut. Ia adalah pengesahan arkeologi yang sangat baik kepada maklumat penting di dalam perincian Injil tentang peristiwa penyaliban."
Berjaya, fikir saya. "Tetapi satu lagi persoalan iaitu tentang kepakaran askar Roma untuk memastikan sama ada Yesus benar-benar telah mati," kata saya. "Orang-orang ketika itu sangat primitif dari segi kefahaman mereka tentang perubatan dan anatomi serta lain-lain perkara yang berkaitan--bagaimana kita tahu mereka tidak tersilap ketika mereka mengatakan bahawa Yesus telah meninggal?"
"Ya, saya setuju dengan anda bahawa askar-askar ini tidak pergi ke sekolah perubatan. Namun, perlu diingat bahawa mereka adalah pakar dalam membunuh orang--itu adalah pekerjaan mereka dan mereka melakukannya dengan baik. Mereka tahu dengan pasti apabila seseorang itu telah meninggal, dan ia tidaklah begitu susah untuk dikenalpasti.
"Lagipun, jika ada tahanan berjaya melarikan diri, askar yang bertanggungjawab akan dibunuh sebagai ganti, maka, mereka mempunyai tekanan besar untuk memastikan setiap mangsa telah meninggal ketika diturunkan dari kayu salib."
Nota
[1] J.W. Hewitt, "The Use of Nails in the Crucifixion," Harvard Theological Review 25 (1932), 29-45, dipetik dari Josh Macdowell, The Resurrection Factor (San Bernardino, Calif.:Here's Life, 1981), 45.
bersambung..
bersambung..
Ulasan