Siri post ini adalah terjemahan/berdasarkan artikel The Gospel of Barnabas tulisan Samuel Green.
*Senarai lengkap siri ini di sini.
Adakah Injil Barnabas sepadan sepenuhnya dengan pengajaran Islam?
Isi kandungan Injil Barnabas sangat menyokong pengajaran Islam. Namun, terdapat beberapa hal yang saling bercanggah.
A. Mesias/Al-Masih
Al-Quran mengajarkan bahawa Yesus adalah Mesias/Al-Masih dan tidak pernah mengatakan bahawa Muhammad adalah Mesias/Al-Masih:
"...Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam..." (surah Al-i-'Imran ayat 45)
Namun, Injil Barnabas menafikan Yesus sebagai Mesias/Al-Masih dan mendakwa bahawa Muhammad adalah Mesias/Al-Masih:
"Yesus mengakui dan berkata yang benar, 'Aku bukanlah Mesias/Al-Masih'. (bab 42). Lalu imam itu bertanya: 'Bagaimanakan panggilan kepada Mesias/Al-Masih itu?'...(Yesus menjawab): 'Dia yang diberkati ini bernama Muhammad' (bab 97)"[1]
Kedua-dua hal ini (iaitu Yesus bukan Al-Masih dan Muhammad adalah Al-Masih) bercanggah dengan Al-Quran.
B. Isteri-isteri
Tentang perkahwinan, Al-Quran mengajarkan bahawa isteri hanya boleh mempunyai seorang suami tetapi suami boleh mempunyai lebih dari seorang isteri. Lelaki Muslim bebas untuk memiliki beberapa orang isteri (surah An-Nisaa ayat 3) dan hamba-hamba perempuan yang tidak terhad (surah Al-Ma'arij ayat 30). Namun, Injil Barnabas mengajarkan konsep perkahwinan yang sama seperti di dalam Alkitab, iaitu perkahwinan mengikat seorang lelaki dan seorang wanita secara sama rata bersama-sama:
"Biarlah lelaki hanya bersama dengan isteri yang telah diberikan oleh Penciptanya, dan biarlah dia melupakan semua wanita yang lain" (bab 115)[2]
C. Kelahiran Yesus
Al-Quran dengan jelas mengajarkan bahawa Maria mengalami kesakitan semasa melahirkan Yesus:
"Maka Maryam hamilah mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh. (Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma)..." (surah Maryam ayat 22-23)
Namun, Injil Barnabas mengajarkan hal yang bertentangan:
"Perawan itu diliputi dengan cahaya yang sangat terang, dan dia melahirkan anaknya tanpa rasa sakit" (bab 3)
D. Langit
Al-Quran mengajarkan terdapat tujuh lapisan langit:
"Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah..." (surah Al-Israa ayat 44)
Akan tetapi, Injil Barnabas mengajarkan terdapat sembilan lapisan langit:
"Sesungguhnya aku berkata kepadamu terdapat sembilan langit, di antaranya terdapat planet-planet, dan jarak antaranya adalah lima ratus tahun perjalanan bagi manusia" (bab 178)
Nota
[1] "Jesus confessed and said the truth, "I am not the Messiah". (chap. 42). Then said the priest: "How shall the Messiah be called?" ... (Jesus answered) "Muhammed is his blessed name" (chap. 97)"
[2] "Let a man content himself therefore with the wife whom his creator has given him, and let him forget every other woman (chap. 115)"
Ulasan