Post ini diterjemahkan/berdasarkan sebahagian daripada kandungan buku The Case for Christ (edisi 2 buku dalam 1) oleh Lee Strobel, muka surat 202-204.
Metherell telah menyatakan poinnya--dengan gambaran yang mengerikan--tentang kesakitan yang ditanggung ketika proses penyaliban bermula. Namun, saya perlu mengetahui apa yang menyebabkan kematian ke atas mangsa penyaliban kerana ia adalah isu penting dalam menentukan sama ada kematian boleh dipalsukan atau dielakkan. Jadi, saya mengajukan soalan tentang punca kematian terus kepada Metherell.
Klik untuk membesarkan gambar |
"Apabila seseorang itu sudah tergantung dalam posisi menegak," jawabnya, "penyaliban pada dasarnya adalah kematian perlahan yang sangat menyakitkan melalui asphyxiation.
"Penyebabnya adalah tekanan ke atas otot-otot dan diafragma menyebabkan dada berada dalam posisi menyedut udara; ini bererti, untuk menghembus nafas, individu tersebut perlu menolak tubuhnya ke atas menggunakan kaki agar tekanan pada otot-otot tersebut berkurangan untuk seketika. Dengan melakukan perkara tersebut, paku akan mengoyakkan kaki dan akhirnya akan terkunci pada tulang tarsal.
"Setelah menghembus nafas, peribadi tersebut kemudian akan menurunkan tubuhnya untuk menyedut nafas semula. Kemudian, dia sekali lagi perlu menolak tubuhnya untuk menghembus nafas dan menggeserkan bahagian belakangnya yang sudah luka dengan kayu salib tersebut. Hal ini akan berterusan sehinggalah kepenatan menguasai sepenuhnya dan peribadi tersebut tidak lagi dapat menolak tubuhnya untuk menghembus nafas.
"Semasa seseorang mulai memperlahankan kadar pernafasannya, dia akan masuk ke dalam keadaan yang dipanggil sebagai asidosis pernafasan--karbon dioksida di dalam darah terlerai sebagai asid karbonik dan menyebabkan keasidan darah meningkat. Ini akan menyebabkan degupan jantung yang tidak teratur. Malah, apabila jantung-Nya mulai berdegup dengan tidak teratur, Yesus akan tahu bahawa Dia sedang menghampiri kematian, yang mana membolehkan-Nya berkata, 'Ya Bapa, Aku serahkan diri-Ku ke dalam tangan-Mu!' Dan Dia kemudian meninggal kerana jantung-Nya berhenti berfungsi."
Ia adalah penerangan paling jelas yang pernah saya dengar tentang kematian melalui penyaliban--tetapi Metherell masih belum selesai.
"Malah, sebelum kematian-Nya--dan hal ini juga penting,--tekanan hypovolemic akan menyebabkan degupan jantung yang semakin cepat yang mana menyumbang kepada kegagalan jantung untuk berfungsi, menyebabkan terkumpulnya cecair di dalam membran di sekitar jantung yang dipanggil sebagai pericardial effusion, termasuk sekitar paru-paru yang dipanggil sebagai pleural effusion."
"Mengapa hal ini penting?"
"Kerana apa yang telah terjadi setelah askar Roma datang melihat keadaan-Nya, berasa yakin bahawa Yesus telah mati, telah mengesahkannya dengan menusukkan tombak pada rusuk-Nya. Ia mungkin pada bahagian kanan; hal ini tidak pasti, namun berdasarkan perincian yang ada besar kemungkinan ia adalah pada bahagian kanan, di celah tulang-tulang rusuk.
"Tombak tersebut nampaknya telah ditusuk melalui paru-paru kanan sehingga ke jantung, maka, apabila tombak itu dicabut, terdapat cecair--iaitu pericardial effusion dan pleural effusion--keluar dari tempat tusukan tersebut. Ia akan kelihata dalam bentuk cecair jernih, seperti air yang kemudian diikuti oleh darah yang banyak, seperti yang dijelaskan oleh Yohanes sebagai saksi di dalam kitab Injil."
Yohanes mungkin tidak mengerti mengapa darah dan cecair jernih keluar tersebut keluar--sudah tentu ia tidak akan disangkakan oleh individu yang tidak terlatih seperti dirinya. Namun, perincian Yohanes adalah konsisten dengan apa yang akan dijangkakan akan berlaku menurut sains moden. Pada mulanya, hal ini seperti memberikan kredibiliti kepada Yohanes sebagai seorang saksi kejadian; namun, nampaknya terdapat masalah besar di dalam hal ini.
Saya mengeluarkan Alkitab saya dan menyelak muka surat ke Yohanes 19:34. "Tunggu sekejap doktor," saya membantah. "Jika anda membaca apa yang dituliskan oleh Yohanes dengan teliti, dia ternampak 'darah dan air' keluar; dia dengan sengaja meletakkan urutan perkataan tersebut seperti itu. Namun, menurut anda, cecari jernih tersebut yang sepatutnya keluar terlebih dahulu. Jadi, terdapat percanggahan yang penting di sini."
Metherell sedikit tersenyum. "Saya bukan sarjana bahasa Greek," jawabnya, "tetapi menurut mereka yang pakar dalam bahasa ini, susunan perkataan di dalam bahasa Greek kuno tidak semestinya dilihat berdasarkan urutan, tetapi yang lebih menonjol. Ini bermaksud, memandangkan darah lebih banyak keluar berbanding air, adalah munasabah untuk Yohanes menyebut darah terlebih dahulu."
Saya menerima poin tersebut dan mengingatkan diri saya untuk mengesahkan sendiri hal ini kemudian. "Pada peringkat ini," saya berkata, "apakah keadaan Yesus ketika itu?"
Metherell merenung ke arah mata saya. Dia menjawab dengan penuh yakin, "tidak diragui lagi bahawa Yesus ketika itu telah meninggal."
bersambung..
bersambung..
Ulasan