Langkau ke kandungan utama

Siri Good Friday & Easter: Seksaan sebelum disalibkan

Post ini adalah terjemahan sebahagian daripada kandungan buku The Case for Christ (edisi 2 buku dalam 1) oleh Lee Strobel. Muka surat 198-200.

Pada asalnya, saya hendak mendapatkan penjelasan asas daripada Metherell tentang perincian-perincian yang terjadi sehinggalah peristiwa kematian Yesus. Maka, selepas berbual-bual secara santai, saya meletakkan teh ais saya dan menukar kedudukan kerusi saya untuk berhadapan terus dengannya. Saya kemudian bertanya, "Bolehkah anda gambarkan apa yang telah terjadi kepada Yesus?"

   Dia berdehem untuk membersihkan kerongkongnya. "Ia bermula selepas Perjamuan Akhir," katanya. "Yesus bersama-sama murid-murid-Nya telah pergi ke Bukit Zaitun--lebih spesifik lagi, Taman Getsemani. Di sana, jika anda masih ingat, Dia berdoa semalaman. Ketika itu juga, Dia sedang bersedia untuk menghadapi apa yang akan terjadi pada keesokan harinya. Memandangkan Dia tahu betapa berat kesengsaraan yang akan dihadapi-Nya, secara semula jadinya, Dia menghadapi tekanan psikologi yang sangat berat."

   Saya mengangkat tangan, "Whoa..pada bahagian ini, mereka yang skeptik akan sangat teruja," kata saya kepadanya. "Kitab Injil memberitahu kita bahawa Dia mula berpeluh darah pada waktu tersebut. Sekarang, bukankah itu jelas hanyalah hasil imaginasi yang aktif? Bukankah ini akan menimbulkan persoalan kepada ketepatan penulis-penulis kitab Injil ini?"

   Dengan yakin, Metherell menggelengkan kepalanya. "Tidak sama sekali," jawabnya. "Ia adalah kondisi perubatan yang dikenali sebagai hematidrosis. Kondisi ini jarang berlaku, namun, ia dikaitkan dengan kegelisahan psikologi yang sangat tinggi."
   "Apa yang terjadi adalah kegelisahan yang teruk ini menghasilkan bahan kimia yang akan mengakibatkan kapilari darah di sekitar kelenjar peluh pecah. Akibatnya, terdapat pendarahan kecil yang akan termasuk ke dalam kelenjar peluh tersebut, dan peluh yang keluar akan bercampur dengan sedikit darah. Kita bukan memperkatakan jumlah darah yang banyak; ia hanyalah dalam jumlah yang sangat kecil."

   Walaupun saya merasa terpukul dengan jawapan tersebut, saya kekal meneruskannya. "Adakah keadaan ini memberikan kesan lain ke atas tubuh kita?"
   "Kondisi ini akan menyebabkan kulit kita menjadi sangat mudah cedera, maka, ketika Yesus dicambuk oleh askar-askar Roma pada hari berikutnya, kulit-Nya ketika itu akan sangat, sangat sensitif."

   Baiklah, saya berfikir, sekarang ia akan bermula. Saya menguatkan diri saya untuk gambaran-gambaran mengerikan yang akan membanjiri fikiran saya. Saya telah melihat banyak mayat sebagai seorang wartawan--mangsa-mangsa kemalangan jalan raya, kebakaran, dan pembunuhan oleh sindiket jenayah--namun wujud suatu perasaan tidak selesa dalam mendengar bagaimana seseorang yang dengan sengaja diseksa untuk memberikan kesengsaraan yang paling maksimum.

   "Beritahu saya," saya bertanya, "seperti apakah perbuatan yang dikatakan sebagai mencambuk?"

Klik pada gambar untuk membesarkannya.
   Mata Metherell terus merenung ke arah saya. "Mencambuk kaedah Roma terkenal kerana kekejamannya. Selalunya ia dilakukan sebanyak 39 kali sebatan. Namun, ia kadang-kadang dilakukan lebih dari itu, bergantung kepada mood askar yang melakukan sebatan tersebut.
   "Askar tersebut akan menggunakan cambuk yang dipintal daripada kulit dengan ketulan-ketulan besi di dalamnya. Apabila cambuk tersebut disebat ke atas tubuh, ketulan-ketulan besi ini akan mengakibatkan lebam atau luka yang dalam, yang mana akan bertambah besar apabila disebat berkali-kali. Dan cambuk ini juga mempunyai bilah tulang yang tajam, yang mana akan mengakibatkan luka hirisan yang teruk ke atas tubuh.
   "Bahagian belakang tubuh akan luka dan terhiris dengan teruk sehingga sebahagian daripada tulang belakang akan kelihatan melalui luka-luka tersebut. Sebatan akan dibuat dari bahu, belakang, punggung dan bahagian belakang kedua-dua kaki mangsa. Ia sangat-sangat mengerikan."
   Metherell berdiam sejenak. "Teruskan," saya berkata kepadanya.

   "Seorang doktor yang mengkaji tentang hukuman Roma berkata, 'Sedang sebatan tersebut dilakukan, luka hirisan akan mendedahkan tisu otot yang melindungi rangka tubuh dan menghasilkan cebisan daging yang penuh dengan darah.' Seorang penulis sejarah pada abad ketiga bernama Eusebius menggambarkan proses mencambuk ini seperti berikut, 'Salur darah mangsa akan kelihatan, dan otot-otot, urat-urat serta usus mangsa juga menjadi terdedah.'
   "Kita mengetahui bahawa ramai yang meninggal akibat dari hukuman ini sebelum mereka sempat disalibkan. Paling tidak, mangsa akan mengalami kesakitan yang amat sangat dan mendapat kejutan hypovolemic."

   Metherell telah menggunakan istilah perubatan yang tidak saya ketahui maksudnya. "Apa itu kejutan hypovolemic?" saya bertanya.
   "Hypo bermaksud "rendah", vol bermaksud "isipadu", dan emic bermaksud "darah", jadi, kejutan hypovolemic bermaksud seseorang itu mengalami kesan kehilangan darah yang banyak," jelas doktor tersebut. "Keadaan ini mengakibatkan empat perkara. Pertama, jantung berusaha mengepam darah yang tidak ada; kedua, tekanan darah jatuh, menyebabkan pitam atau pengsan; ketiga, buah pinggang tidak lagi menghasilkan kencing untuk mengekalkan jumlah cecair yang masih ada di dalam tubuh; dan keempat, individu tersebut menjadi sangat haus kerana tubuhnya memerlukan cecair untuk menggantikan darah yang telah hilang sebelum itu."

   "Adakah anda melihat bukti ini di dalam penceritaan kitab Injil?"
  "Ya, sudah tentu," jawabnya. "Yesus berada dalam keadaan kejutan hypovolemic ketika Dia terhoyong-hayang menuju ke tempat Dia akan disalibkan iaitu Golgota, dengan membawa bahagian kayu yang akan membentuk palang salib tersebut. Akhirnya Yesus jatuh, dan askar Roma mengarahkan Simon untuk membawa kayu palang tersebut bagi pihak-Nya. Kemudian, kita membaca bahawa Yesus berkata, 'Aku dahaga', yang mana Dia kemudian diberikan sedikit anggur masam.
   "Oleh kerana kesan daripada seksaan yang sangat kejam ini, sangat jelas bahawa Yesus ketika itu sudah pun berada di dalam keadaan yang kritikal walaupun Dia belum lagi dipaku pada kedua-dua bahagian tangan dan kaki-Nya."

bersambung..

Ulasan