Langkau ke kandungan utama

"الله" atau "Allah" yang dilarang?

Pada 2 Januari 2014 yang lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah melakukan serbuan (tanpa waran) ke pejabat Bible Society of Malaysia (BSM) di Petaling Jaya. JAIS kemudian merampas kira-kira 321 buah Alkitab Bahasa Melayu dan 16 buah Alkitab Bahasa Iban. Alkitab-Alkitab ini dirampas kerana dikatakan mengandungi perkataan "Allah" yang mana adalah dilarang dari digunakan oleh bukan-Muslim di dalam Negeri Selangor.

sumber gambar
Dan esok, iaitu pada 5 Januari 2014, beberapa pertubuhan NGO Islam dan juga sebuah parti politik merancang untuk melakukan demonstrasi "aman" di hadapan gereja-gereja seluruh Selangor bagi membantah penggunaan istilah "Allah" oleh orang-orang Kristian yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di dalam ibadah mereka.
[Update: Parti politik tersebut baharu sahaja membatalkan rancangan untuk melakukan demonstrasi tersebut.]

Namun, apakah sebenarnya yang dilarang? Istilah "Allah" dalam tulisan rumi atau dalam tulisan Arab? Atau, adakah sebutan "Allah" yang dilarang?

Saya menimbulkan persoalan ini kerana menurut pemahaman Islam, hanya Al-Quran di dalam tulisan asalnya iaitu Arab, yang diiktiraf sebagai Al-Quran. Al-Quran yang diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain hanyalah "tafsir" dan tidak sama tarafnya dengan Al-Quran yang asli (iaitu dalam Bahasa Arab).

Ini bererti, kalimah "Allah" yang ditulis di dalam bahasa rumi, adalah berbeza tarafnya dengan kalimah "الله" yang ditulis dalam bahasa Arab. Nama yang dianggap suci menurut persepktif Islam adalah kalimah Arab "الله" dan bukan perkataan rumi "Allah" kerana "Allah" hanyalah transliterasi kepada kalimah "الله".

Mungkin akan ada yang berargumentasi bahawa yang dilarang adalah lafaz/sebutan "Allah". Namun, bunyi sebutan "Allah" yang digunakan oleh bukan-Muslim, khususnya Kristian yang bertutur dalam Bahasa Malaysia, adalah berbeza dengan cara sebutan Muslim. Muslim menyebut "Allah" dengan bunyi sebutan "auloh", sementara Kristian menyebut "Allah" dengan bunyi sebutan "alah".

Jika sebutan dan tulisan kepada kalimah "الله" ini berbeza dengan sebutan dan tulisan yang digunakan oleh bukan-Muslim, khususnya Kristian, maka, bagaimana mungkin hal ini akan mengelirukan orang-orang Muslim?

Untuk meneliti dengan lebih dalam tentang isu ini, saya berikan pautan ini untuk kita sama-sama selidiki.

Ulasan