Senarai lengkap siri post ini di sini.
Pada muka surat 12 buku ini, penulis cuba menunjukkan bahawa Al-Quran selari dengan sains dengan mengaitkan kelahiran Jesus tanpa ayah bukanlah perkara luar biasa menurut sains. Penulis cuba mengaitkan proses Parthenogenesis dengan kisah kelahiran Jesus. Namun, ini bukanlah sesuatu yang menghairankan, kerana, Alkitab juga menyatakan Yesus dilahirkan tanpa ayah. Malah, teori mengaitkan kelahiran Jesus tanpa ayah dengan proses Parthenogenesis ini bukanlah sesuatu yang asing di dalam kepercayaan Kristian.[1] Maka, cubaan penulis untuk menggambarkan seolah-olah hanya Al-Quran yang selari dengan proses ini agak pelik.
Dalam keghairahan penulis memperkatakan hal ini, beliau telah melakukan satu lagi kesilapan fakta di dalam penulisannya. Penulis mendakwa:
Perkara serupa ini hanya diceritakan dalam Gospel of Luke sahaja. Mungkin Gospel-gospel lain seperti Matthew, Mark, dan John menganggap peristiwa Maryam didatangi oleh malaikat Jibril sebagai peristiwa yang tidak penting ataupun pembawa rekod itu iaitu Matthew, Mark, dan John terlupa sehingga tidak sempat menulis peristiwa itu.
18 Inilah kisah kelahiran Yesus Kristus. Ibu-Nya, Maria, bertunang dengan Yusuf. Tetapi sebelum mereka berkahwin, Maria sudah mengandung kerana kuasa Roh Allah. 19 Yusuf seorang yang taat kepada hukum agama, tetapi dia tidak mahu mempermalukan Maria di hadapan umum. Oleh itu Yusuf berniat memutuskan pertunangan itu secara diam-diam. 20 Yusuf mempertimbangkan perkara itu. Kemudian dalam mimpi, malaikat Tuhan menampakkan diri kepadanya. Malaikat itu berkata, "Hai Yusuf, keturunan Daud! Janganlah takut memperisteri Maria. Dia mengandung kerana kuasa Roh Allah. 21 Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu harus engkau namakan Yesus, kerana Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka." 22 Semua itu berlaku supaya terjadilah apa yang difirmankan oleh Tuhan melalui nabi-Nya, 23 "Seorang anak dara akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu akan dinamakan Imanuel." (Dalam bahasa Ibrani, Imanuel bererti, "Allah menyertai kita"). 24 Apabila Yusuf terjaga, dia melakukan apa yang dikatakan oleh malaikat Tuhan itu. Dia berkahwin dengan Maria. 25 Tetapi Yusuf tidak berseketiduran dengan Maria sehingga Maria melahirkan anak lelakinya. Yusuf menamakan anak itu Yesus. (Matius 1:18-25)
Maka, jelas bahawa penulis tidak teliti dalam dakwaannya.
Selain itu, hanya kerana Mark dan John tidak mencatatkan peristiwa tersebut, tidak bererti mereka terlupa atau menganggapnya sebagai tidak penting. Bukan itu sahaja, penulis juga tidak menjelaskan bagaimana beliau sampai kepada kesimpulan dan andaian bahawa Mark dan John terlupa atau menganggap peristiwa tersebut tidak penting. Tidak ada sebarang bukti dan hujah diberikan untuk menyokong andaian tersebut.
Perlu diketahui, Matthew, Mark, Luke, dan John menulis pada zaman yang sama, iaitu pada abad pertama. Maka, terdapat perincian yang tidak diceritakan oleh mereka kerana yang lain telah menceritakannya. Mereka hanya memberikan maklumat-maklumat tambahan yang saling menjelaskan dan menyokong isi kandungan penceritaan mereka masing-masing.
Kesimpulan
Ulasan panjang lebar oleh penulis tentang Parthenogenesis sebenarnya tidak membuktikan apa-apa kerana Bible juga mengatakan Jesus dilahirkan tanpa ayah. Malah, penulis sekali lagi cuai dalam memberikan dakwaannya apabila mengatakan Matthew tidak menceritakan perihal Maryam/Maria/Mary didatangi oleh malaikat Jibril.
Nota:
[1] Seorang doktor Kristian bernama "Edward Luther Kessel" pernah menulis tentang hal ini pada tahun 1983. Ia boleh dibaca di sini.
Ulasan