Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #14: Salasilah Jesus?

Senarai lengkap siri post ini di sini.

Pada muka surat 10 buku ini, penulis cuba mempersoalkan salasilah Jesus:
Luke menerangkan secara meleret dan tidak selari dengan salasilah keturunan Jesus iaitu daripada keturunan ayah. Kemudian, Luke memperincikan salasilah Jesus sehingga Adam dan 'Anak Tuhan'. Luke menegaskan Jesus dan Yusuf (Jospeh) adalah daripada keturunan Daud (David).
Salasilah ini penuh dengan kontroversi. Sekiranya Luke mengatakan Jesus bukan anak Yusuf iaitu seorang tukang kayu dan juga suami Maryam, maka beliau bukan anak hasil hubungan zina mereka. Bermakna, Jesus adalah roh suci yang datang daripada Allah.
Oleh itu, Jesus tidak mempunyai salasilah daripada sebelah bapa, tetapi mempunyai keturunan sebelah ibunya, iaitu Maryam binti Imran. Namun, salsasilah sebelah ibu ini tidak ditulis dalam keempat-empat Gospel kerana bagi mereka, ayah kepada Maryam bernama Imran dan bukan daripada keturunan Nabi Daud. Luke bertegas mengatakan Jesus daripada keturunan Nabi Daud.
Penulis cuba menggambarkan bahawa salasilah yang diberikan oleh Luke adalah tidak tepat dan bercanggah. Namun, tindakan penulis ini sebenarnya mendedahkan ketidaktahuannya tentang salsasilah yang diberikan oleh Luke tersebut.


Perhatikan kenyataan penulis berikut:
"Namun, salsasilah sebelah ibu ini tidak ditulis dalam keempat-empat Gospel kerana bagi mereka, ayah kepada Maryam bernama Imran dan bukan daripada keturunan Nabi Daud."
Sebenarnya, salasilah yang diberikan oleh Luke adalah daripada Maria (Maryam). Hal ini bukanlah sesuatu yang rahsia. Ia merupakan tafsiran yang diterima oleh majoriti pentafsir Alkitab dalam memahami salasilah yang diberikan oleh Luke.[1] Maka, dakwaan penulis bahawa "salasilah sebelah ibu ini tidak ditulis dalam keempat-empat Gospel" adalah tidak benar dan mendedahkan bahawa penulis tidak pernah menyelidiki hal ini. 

Bukan itu sahaja, penulis mendakwa, bagi "mereka" iaitu orang-orang Kristian (atau mungkin keempat-empat penulis Gospel), ayah kepada Maryam (Maria/Mary) adalah Imran. Jika kita mencari di dalam keempat-empat Injil (Gospel), tidak ada disebutkan bahawa ayah Maryam (Maria/Mary) adalah Imran. Malah, di dalam keseluruhan Alkitab, nama ini tidak ada. Nama yang paling hampir bunyinya dengan nama "Imran" di dalam seluruh Alkitab adalah "Amram", iaitu ayah kepada Nabi Musa, Harun dan Miryam (adik perempuan Nabi Musa dan Harun):
Amram berkahwin dengan Yokhebed, anak perempuan Lewi. Yokhebed lahir di Mesir. Amram dan Yokhebed mempunyai dua orang anak lelaki, Harun dan Musa, serta seorang anak perempuan bernama Miryam. (Bilangan 26:59)
Maka, darimana penulis mendapat maklumat bahawa kononnya "mereka" (iaitu orang Kristian/penulis keempat-empat Gospel) mengatakan ayah kepada Maryam adalah Imran? Kerana Kristian tidak pernah mengatakan ayah kepada Maryam (Maria/Mary) adalah Imran.[2] 

Berdasarkan salah fakta daripada penulis ini, penulis kemudian mendakwa:
Bible menyebut Jesus adalah Anak Tuhan dan juga anak Nabi Daud. Jelas keturunan Jesus sebagai anak Nabi Daud adalah pemaksaan salasilah, yang menimbulkan persepsi Jesus adalah anak hasil zina. Ini kerana pengambilan salasilah keturunan daripada Yusuf si tukang kayu dan suami Maryam. Ini seolah-olah Maryam sudah hamil terlebih dahulu sebelum menikah dengan Yusuf si tukang kayu.
Kenyataan penulis ini seperti menunjukkan beliau langsung tidak membaca apa yang dituliskan di dalam Injil Luke. Dengan jelas dinyatakan oleh Luke bahawa Maria/Maryam/Mary akan mengandung sebelum berkahwin (iaitu tanpa perhubungan seks dengan suami) dan kandungan tersebut adalah daripada Tuhan.
27 Gabriel membawa berita untuk seorang gadis bernama Maria. Dia telah bertunang dengan seorang lelaki bernama Yusuf, keturunan Raja Daud. 28 Malaikat itu datang kepada Maria dan berkata, "Salam sejahtera, hai engkau yang sangat diberkati oleh Tuhan! Tuhan menyertai engkau!" 29 Maria gelisah mendengar kata-kata malaikat itu dan dia tertanya-tanya tentang makna salam itu. 30 Malaikat itu berkata kepadanya, "Janganlah takut, Maria, kerana Allah berkenan kepada engkau. 31 Engkau akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan Dia Yesus. 32 Dia akan menjadi agung dan akan disebut Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan menjadikan Dia raja seperti Daud, nenek moyang-Nya. 33 Dia akan memerintah sebagai raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan berakhir." 34 Maria berkata kepada malaikat itu, "Aku masih dara. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?" 35 Malaikat itu menjawab, "Roh Allah akan datang kepadamu, dan kuasa Allah akan menaungi engkau. Itulah sebabnya Anak yang akan lahir itu disebut Suci, Anak Allah. 36 Ketahuilah, sanakmu Elisabet yang dikatakan mandul, sudah mengandung enam bulan, walaupun umurnya sudah lanjut. 37 Bagi Allah tiada perkara yang mustahil." 38 Maria berkata, "Aku hamba Tuhan; biarlah berlaku kepadaku seperti yang engkau katakan." Lalu malaikat itu meninggalkan Maria. (Lukas 1:27-38)
Sangat jelas bahawa Luke menyatakan Maria/Maryam/Mary akan mengandung sebelum berkahwin, sekaligus menampakkan persepsi seolah-olah dia mengandung anak luar nikah. Luke tidak pernah menafikan hal tersebut (termasuk orang-orang Kristian). Namun, penulis cuba menggambarkan bahawa Luke cuba menafikannya. Bukan itu sahaja, Luke juga menjelaskan bahawa anak tersebut bukanlah anak luar nikah (suatu hal yang langsung tidak disentuh oleh penulis). Maka, mengapa penulis cuba menggambarkan seolah-olah tiada pembelaan diberikan kepada Maryam? Dakwaan sama ini juga telah digunakan oleh penulis sebelum ini.

Kesimpulan
Sangat jelas penulis tidak cermat dalam memberikan dakwaannya. Beliau tidak memeriksa dengan teliti salasilah yang diberikan oleh Luke dan mendakwa tidak ada sebarang salasilah keturunan sebelah ibu Jesus. Sedangkan, salasilah yang diberikan oleh Luke adalah salasilah keturunan daripada ibu Jesus!


Nota:
[1] Contohnya, Larry Richards dan Lawrence O. Richards di dalam buku mereka "Bible Teacher's Commentary", pada muka surat 526, menyatakan bahawa Lukas memberikan salasilah dari sebelah Maria (Maryam), ibu Jesus. Begitu juga dengan Robert Jamieson, Andrew Robert Fausset dan David Brown di dalam buku mereka "A Commentary, Critical and Explanatory, on the Old and New Testaments, Volume 1" pada muka surat 529.

[2] Sebenarnya, wujud suatu permasalahan di dalam Al-Quran tentang hal ini. Jika kita membaca surah Maryam ayat 28, dikatakan Maryam adalah saudara perempuan kepada Harun. Persoalannya, siapakah "Harun" ini? Kerana tidak ada dicatatkan di dalam Alkitab bahawa Maryam (Maria/Mary), ibu Jesus, mempunyai saudara bernama Harun. Satu-satunya penjelasan yang munasabah adalah Al-Quran telah tersalah anggap Maryam sebagai saudara kepada Harun yang disebutkan di dalam Alkitab bahagian Perjanjian Lama. Ini kerana di dalam Alkitab, Nabi Musa dan abangnya, Harun, mempunyai seorang adik perempuan bernama Miryam. Ayah mereka pula bernama Amran. Bunyi nama "Miryam" hampir sama dengan nama "Maryam" dan "Amran" hampir sama dengan "Imran". Maka, Al-Quran tersalah anggap Miryam binti Amram sebagai Maryam binti Amran. Ini kerana nama Miryam dalam sebutan Arab hampir sama dengan Maryam. Dan, Mary dalam sebutan Ibrani berbunyi "Miryam", sama dengan nama adik perempuan Nabi Musa dan Harun. Saya berikan pautan berikut yang memperkatakan hal ini dengan lebih panjang lebar: 1, 2, 3

Ulasan