Langkau ke kandungan utama

Biografi Ringkas Rasul Paulus (Terjemahan)

(Biografi Ringkas Rasul Paulus diterjemah dari esei tulisan Mark Moore. Esei asal boleh dibaca di sini. Perkataan/ayat di dalam tanda [..] dan berwarna perang adalah penerangan dari saya untuk mana-mana terma/istilah yang sukar diterjemahkan dalam satu perkataan sahaja.)

Rasul Paulus di Atena
Adalah sukar untuk membesar-besarkan impak Paulus terhadap Kristianiti. Serangannya terhadap gereja telah mencetus pergerakan misionari yang pertama. Pertaubatan dan tindakan penginjilan olehnya selepas itu mengubah pergerakan Yahudi yang percaya terhadap mesias kepada sebuah agama yang universal. Kegeniusan inteleknya tertanam kukuh di dalam 13 surat Perjanjian Baru tulisannya yang menjadi batu penjuru kepada doktrin dan pentadbiran gereja. Selepas Yesus, dia adalah seorang pengasas terhebat Kristianiti.


I. Latar Belakang
Saul dilahirkan di Tarsus (Kis 22:3) sekitar tahun kosong [permulaan Tahun Masihi]. Maka, itu menjadikannya agak muda walaupun hidup sezaman dengan Yesus. Keluarganya berpindah ke ibu kota Yerusalem semasa zaman remajanya, di mana dia telah menjadi murid yang paling bernilai kepada seorang ahli Farisi yang sangat dihormati, Gamaliel (Gal 1:14) [lihat Kis 22:3]. Ibu bapanya telah mendidiknya menjadi seorang yang sangat ortodoks. Dia dari suku Benyamin dan disunat pada hari ke-8 (Flp 3:5). Dia mengikuti jejak langkah ayahnya, menjadi seorang Farisi yang berbahasa Ibrani (Kis 23:6) dan bekerja sebagai tukang khemah (Kis 18:3). Dia juga dilahirkan sebagai warganegara Rom (Kis 22:28) dan fasih berbahasa Yunani dan memahami kebudayaan [Yunani] (Kis 17:28, Tit 1:12), di mana kelebihan ini digunakan dalam usaha misionarinya.

Tidak diketahui sama ada Paulus adalah ahli kepada Mahkamah Agama. Yang pasti, diketahui bahawa dia mempunyai pengaruh di kalangan pemimpin Yahudi. Dia bertanggungjawab terhadap hukuman rejam ke atas Stefanus, Kristian pertama yang mati syahid (Kis 7:58), dan seterusnya menjadi ketua penganiaya kepada gereja awal. Dengan kemarahan yang meluap-luap, dia menceroboh kediaman-kediaman dan rumah-rumah ibadat Yahudi, menghumban ke dalam penjara dan mencambuk lelaki dan wanita (Kis 8:1-3; 22:4; 26:9-11; Gal 1:13). Reputasinya tersebar luas sejauh 100 batu sehingga ke Damsyik di mana dia tiba dengan surat kuasa daripada Imam Besar (Kis 9:13-14) [lihat Kis 9:2].

II. Pertaubatan
Saulus tiba-tiba menjadi buta kerana cahaya yang sangat terang semasa hari yang cerah. Dia jatuh terbaring secara fizikal dan juga secara rohani. Setelah berdoa dan berpuasa selama 3 hari, Tuhan mengutus Ananias kepadanya untuk membaptis dia ke dalam Kristus dan memulakan pelayanannya sebagai rasul kepada bangsa bukan Yahudi, sekitar tahun 35 C.E [Tahun Masihi]. Setelah menginjil di Damsyik, dia pergi ke tanah Arab selama 3 tahun dan menerima arahan secara terus daripada Tuhan melalui wahyu (Gal 1:17). Hal ini seperti latihan persediaannya sebagai rasul. Walaupun kita tidak mengatahui apa yang dilakukannya di tanah Arab, yang jelas dia telah memulakan gereja di sana dan telah menyinggung raja tanah Arab sehingga waran dikeluarkan untuk menangkapnya (2 Kor 11:32). Maka, setelah kembali ke Damsyik, dia terpaksa melarikan diri melalui sebuah tingkap pada tembok kota dan berjalan kaki ke Kota Yerusalem (Kis 9:25). Sudah tentu, situasi di sana juga tidak begitu baik untuknya. Murid-murid yang lain tidak mahu terlibat apa-apa dengannya dan jika Barnabas tidak masuk campur, dia mungkin akan dipulaukan (Kis 9:26-27). Dia hanya memperkenalkan Saulus kepada Petrus dan Yakobus (Gal 1:18) sebelum Yesus, melalui pengelihatan, mengarahkannya keluar dari kota tersebut kerana kumpulan Yahudi merancang untuk membunuhnya (Kis 22:17-18). Dia melarikan diri ke Kilikia dan hampir 5 tahun tidak menonjolkan dirinya.

III. Pelayanan Paulus
Barnabas menemui Saulus pada sekitar tahun 44 C.E dan membawanya bersama untuk mengembangkan pelayanan di Antiokhia (Kis 11:25-26). Setelah Agabus menubuatkan bahawa kebuluran teruk akan berlaku di Yerusalem, Barnabas dan Saulus telah mengumpulkan bantuan untuk diberikan kepada Kristian Yahudi. Setelah bantuan tersebut disampaikan ke Yerusalem, mereka kembali ke Antiokhia bersama-sama dengan sepupu Barnabas, Yohanes yang juga disebut Markus (Kis 12:25). Maka, dia [Saulus] ada bersama-sama dengan rasul di Antiokhia (Kis 14:4), ketika Roh Kudus mengarahkan pemimpin-pemimpin gereja untuk mengutus mereka (Kis 13:1-3). Di dalam perjalanan misi pertama inilah nama Saulus ditukar kepada Paulus (Kis 13:9), besar kemungkinan untuk memudahkan perhubungan dengan bangsa bukan Yahudi, dan juga untuk mengingatkan bahawa dia adalah "kecil" (Paulus bererti "ikan kecil").

Paulus telah melakukan 4 perjalanan misi utama. Yang pertama merangkumi Siprus dan Asia Kecil, selama lebih kurang 45-48 C.E. Melalui perjalanan misi ini kita dapat membaca model khotbah kepada Yahudi (Kis 13). Perjalanan kedua membawanya ke Makedonia dan Akhaya, ditemani oleh Silas, Timotius dan Lukas, dan beberapa orang lagi yang sering bersama-sama dengannya sepanjang perjalanan tersebut (49-51 C.E). Adalah pada tempoh perjalanan ini kita dapat membaca khotbah klasik Paulus kepada orang-orang pagan (Kis 17). Perjalanan ketiga membawanya ke Efesus di Asia Kecil, serta ke gereja-gereja yang sebelum ini dimulakan olehnya di sekitar Laut Aegean (52-56 C.E). Di sini kita dapat membaca khotbah Paulus kepada Kristian (Kis 20). Perjalanan misi keempatnya bermula selepas dia dipenjarakan (2 tahun di Palestin dan 2 tahun di Rom). Dia telah pergi ke Sepanyol dan berjumpa semula dengan ramai murid-muridnya di Kreta, Efesus, Makedonia, dan Rom. Dia dipenjarakan sekitar tahun 67 dan kemudian dihukum pancung oleh Nero, di jalan Ostin yang terletak di luar kota Rom.

Beberapa perkara mewarnai perjalanannya:

  1. Dia mulai menginjil di dalam rumah ibadat Yahudi terlebih dahulu, apabila ditolak, beralih arah kepada bangsa bukan Yahudi.
  2. Dia memulakan gereja melalui pemberitaan Injil tentang kematian dan kebangkitan Yesus, kemudian menubuhkan kepimpinan penatua di dalam jemaat setempat.
  3. Dia mensasarkan pusat metropolitan utama sebagai platform strategik penginjilan (Efesus merupakan pusat keagamaan, Athena merupakan pusat pendidikan, Korintus adalah pusat perdagangan, dan Rom adalah pusat politik). Dari pusat-pusat ini, Injil berkembang dan mewujudkan gereja-gereja satelit [bergantung kepada gereja pusat].
  4. Di hampir setiap bandar utama, dia meninggalkan salah seorang dari rakannya untuk mengajar pemimpin-pemimpin setempat. Dia juga menambah individu-individu baru di dalam kumpulannya dan menjadi mentor mereka untuk menjadi penginjil.
  5. Paulus tidak pernah menerima wang daripada gereja yang sedang dimulakannya. Dia bekerja sebagai tukang khemah sehinggalah menerima pemberian daripada gereja yang sudah dimulakannya sebelum itu. Apabila dia berpindah dari sesuatu tempat, dia mengharapkan gereja untuk menyokong usahanya dalam memulakan gereja baru di tempat lain dan sering menulis surat galakan atau nasihat kepada gereja-gereja [yang telah dimulakannya]. Dia juga melawat semula kebanyakan gereja-gereja yang telah dimulakannya.
  6. Dia sangat menderita. Dia dipukul oleh orang sebangsa dengannya kerana cemburu, juga oleh bangsa bukan Yahudi apabila dia masuk capur dengan sumber rezeki mereka. Dinyatakan di dalam 2 Korintus 11:23-25, antaranya, dia di penjarakan (Kis 16:23; 21:11; 24:27; 28:30), disesah 5 kali, didera 3 kali dengan rod, direjam sekali, mengalami kapal karam 3 kali. Hal ini ditulis sekitar tahun 55 C.E ketika Paulus masih berada di Efesus semasa perjalanan misi ketiganya. Maka, ia tidak termasuk ketika dia di serang di Yerusalem (Kis 21:30-31), diikat untuk dicambuk (Kis 22:25), atau mengalami kapal karam untuk kali keempat (Kis 27). Selain itu, Kitab Kisah Para Rasul tidak mencatatkan mana-mana perincian tentang penyesahan 5 kali, di pukul 3 kali, termasuk ketiga-tiga pengalaman kapal karam. Besar kemungkinan, perkara-perkara ini berlaku semasa 3 tahun di Tanah Aran dan 5 tahun di Kilikia. Yang pasti, kebanyakan dari biografi tentang Paulus dan mungkin beberapa surat-suratnya telah hilang. Terdapat satu lagi insiden utama yang membabitkan Paulus. Kira-kira 49 C.E., sekumpulan ahli hukum Yahudi tiba di Antiokhia. Mereka tidak sependapat dengan mesej kasih yang dibawa oleh Paulus dan berhujah bahawa bangsa bukan Yahudi mesti menjadi Yahudi dengan bersunat atau pertaubatan mereka tidak sah. Isu ini menjadi besar sehingga ia terpaksa diselesaikan melalui sebuah pertemuan di Yerusalem, dihadiri oleh Petrus dan dipengerusikan oleh Yakobus, saudara seibu dengan Yesus. Paul menang.... atau lebih sesuai jika kita katakan, kasih menang? Hal ini meninggalkan kesan yang kekal ke atas gereja. Kini, ia benar-benar menjadi sebuah badan antarabangsa dan bukan lagi sekadar sebuah kultus kecil agama Yahudi.
IV. Teologi Paulus
Kasih di dalam Kristus adalah kunci kepada Teologi Paulus. Ia terkandung di dalam kitab Galatia dan dikembangkan di dalam kitab Roma. Ia mempunyai 2 kesimpulan:
  1. KeTuhanan Yesus. Paulus secara terus terang mengangkat Kristus sebagai Tuhan yang telah bangkit dari kematian, duduk di sebelah kanan takhta Tuhan. Dia adalah Pencipta, Juruselamat dan Hakim. Dia bukan sekadar Messias bagi orang Yahudi, Dia adalah Tuhan yang lahir sebagai manusia.
  2. Kita diselamatkan kerana kasih melalui iman semata-mata. Semua perbuatan kita hanyalah ekspresi iman kita, bukan usaha kita untuk mendapatkan kasih.
Hasil dari kedua-dua kesimpulan ini, terdapat beberapa kewajipan apabila berada di dalam tubuh Kristus. Ada 3 kewajipan yang menonjol. Pertama, kita mesti mengasihi sesama kita seperti Kristus telah mengasihi kita. Kasih ini bersifat radikal dan mutlak. Kedua, kita perlu bersatu di dalam satu tubuh walaupun setiap kita adalah berbeza-beza. Pemerintahan Yesus diungkapkan melalui gereja - pewujudan kepada kerajaanNya. Kesatuan ini merentasi kaum, taraf ekonomi, dan jantina. Ketiga, jika benar-benar bersatu dengan Tuhan di dalam Kristus, maka kita perlu mulai melihat, bersikap, dan berkata-kata seperti Tuhan. Secara ringkasnya, menerima Kristus memimpin kita kepada gaya hidup yang kudus. Maka, Teologi Paulus, merangkumkan 2 perintah utama Yesus: Mengasihi Tuhan dan mengasihi orang lain. Lebih dari itu, kedua-dua perintah ini tercapai melalui kehidupan di kayu salib - pengorbanan diri dan penderitaan merupakan kunci kepada kehidupan yang mencapai kemenangan.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
http://www.youtube.com/watch?v=u9tobFbrlXs
Tanpa Nama berkata…
Hi Bro Tiwas..
Bolehkah anda membuat ulasan tentang link ini..

http://www.youtube.com/watch?v=u9tobFbrlXs

"Rasul Paulus terbukti sebagai rasul Kristus di alquran"

Terima Kasih..
Tiwas Tiwasok berkata…
Hai Tanpa nama,
Terima kasih dengan link tersebut. Benar, Paulus sebenarnya tidak pernah dikatakan adalah pencipta Kristianiti oleh Muslim awal. Dakwaan bahawa Paulus adalah pencipta Kristianiti adalah sesuatu dakwaan yang baharu sahaja timbul. Malah, yang mula2 menimbulkannya bukan Muslim, tetapi Yahudi yang anti-Kristian.

Saya pernah memperkatakan hal ini secara ringkas semasa berdialog dengan seorang lagi tanpa nama di sini.