Langkau ke kandungan utama

Bukti Kebangkitan Kristus (Terjemahan) - bahagian IV

Artikel ini diterjemah dari tulisan Peter Kreeft dan Fr. Ronald Tacelli, S.J. Artikel asal, Evidence for the Resurrection of Christ, boleh di baca di sini. Penerangan di dalam tanda [..] dan berwarna perang adalah tambahan dari saya untuk menjelaskan istilah tertentu yang memerlukan penjelasan lanjut. Artikel ini dipecahkan kepada 4 bahagian.

Bahagian I klik sini.
Bahagian II klik sini.
Bahagian III klik sini.

Menidakkan Teori Mitos: Enam Argumen
(1) Gaya penceritaan di dalam keempat Injil secara radikal jauh berbeza dengan gaya penceritaan di dalam kesemua mitos yang ada. Mana-mana pakar kesusasteraan yang tahu dan mengerti mitos-mitos ini boleh mengesahkannya. Tidak ada sebarang peristiwa yang dibesar-besarkan, terlalu menakjubkan, dan kebudak-budakan. Tidak ada yang kelihatan direka sewenang-wenangnya. Semuanya sepadan. Semuanya bermakna. Ia adalah hasil karya seorang hebat.

Kesan psikologi sangat maksimum. Di dalam mitos ia sangat minimum. Di dalam mitos, suatu peristiwa luar biasa yang berlaku akan menjadi terganggu jika watak yang terlibat diberi sifat yang memperkembangkan karakternya. Itulah sebabnya watak biasa seperti Alice yang menjadi watak utama di dalam cerita hebat Wonderland. Perkembangan karakter bagi setiap watak di dalam keempat Injil - terutamanya Yesus sendiri - adalah luar biasa. Ia juga dilakukan dengan perkataan yang secukupnya. Mitos lebih banyak menggunakan bahasa yang meleret-leret; Keempat Injil lebih ringkas (padat).

Juga terdapat perkara yang memberi petunjuk kepada keterangan saksi kejadian, seperti ketika Yesus menulis sesuatu di atas pasir apabila ditanya sama ada perlu menghukum rejam seorang penzinah atau tidak (Yoh 8:6). Tiada siapa yang tahu mengapa hal ini dimasukkan. Satu-satunya penjelasan ialah penulis tersebut telah menyaksikannya. Jika perincian seperti ini dan lain-lain lagi yang terdapat di dalam keempat Injil hanyalah rekaan, maka individu-individu abad pertama seperti seorang pemungut cukai (Matius), seorang "pemuda" (Markus), seorang doktor (Lukas), dan seorang nelayan (Yohanes), masing-masing secara berasingan telah mencipta sebuah gaya kesusasteraan baru yang realistik 19 abad lebih awal sebelum ia dicipta semula pada abad ke-20.

Hal gaya bahasa ini dihuraikan dengan baik oleh C.S. Lewis di dalam "Modern Theology and Biblical Criticism" (di dalam Christian Reflection dan Fern-Seed and Elephants) yang kami sarankan kepada pembaca sebagai sebuah esei bersifat anti-demitologisasi [kata lawan kepada 'menghilangkan hal-hal bersifat supernatural] terbaik yang pernah kami baca.

Mari kita lihat hal ini lebih khusus lagi. Kita bandingkan Injil dengan dua penulisan bersifat mitos yang ditulis sekitar waktu yang sama untuk kita nilaikan perbezaan gaya penulisan yang digunakan. Pertama adalah apa yang dipanggil sebagai Injil Petrus, sebuah pemalsuan yang ditulis sekitar 125 A.D. yang mana didakwa oleh John Dominic Crossan (dari kumpulan "Jesus Seminar"), individu kesayangan mereka yang tidak percaya dan sering muncul di dalam media ketika ini, sebagai lebih awal daripada keempat kitab Injil. William Lane Craig mengatakan:
Di dalam penceritaan ini, kubur tersebut bukan sahaja di kelilingi oleh askar Rom tetapi juga oleh ahli Farisi Yahudi dan pemimpin-pemimpin mereka serta ramai lagi yang datang dari perkampungan berhampiran untuk menyaksikan peristiwa kebangkitan tersebut. Tiba-tiba, pada waktu malam kedengaran suara yang kuat dari langit dan dua orang telah turun dari langit ke atas kubur tersebut. Batu yang menutup pintu kubur teralih dengan sendirinya, dan mereka masuk ke dalam. Tiga orang keluar dari kubur tersebut, dua dari mereka memegang yang seorang lagi. Ketinggian kedua orang tersebut sampai ke awan, namun ketinggian orang yang ketiga lebih tinggi dari awan. Kemudian sebuah kayu salib keluar dari kubur tersebut dan kedengaran suara dari langit yang bertanya 'Sudahkah kamu mengajar mereka yang sedang tidur?' Dan kayu salib itu menjawab, 'Ya.' (Apologetics, m/s. 189)
Berikut adalah perbandingan kedua, oleh Richard Purtill:
Adalah berguna untuk memperhatikan hal ini, dengan tujuan membandingkan perkara paling hampir kepada masa penulisan keempat Injil dengan cubaan untuk mencipta suatu fantasi yang realistik. Ini adalah cerita tentang Apollonius of Tyana, ditulis sekitar 250 A.D. oleh Flavius Philostratus...Ada bukti yang menunjukkan seorang neo-Pyhtagorean yang bijaksana bernama Apollonius benar-benar pernah wujud, maka hasil kerja Philostratus adalah contoh yang baik dalam menilai apa yang disangkakan telah berlaku ke atas Injil: kisah benar seorang guru yang bijaksana yang diubah menjadi kisah fiksyen, dengan menambahkan elemen keajaiban untuk membina kewibawaan kepada watak utama. Ia memberikan kita contoh yang baik bagaimana biografi yang telah difiksyenkan ditulis pada tempat dan masa yang hampir dengan zaman penulisan keempat Injil. 
Perkara pertama yang kita ketahui ialah suasana yang bersifat dongeng. Terdapat sebuah cerita pontianak yang menarik, yang kemudian memberi inspirasi kepada Keats untuk mencipta sebuah puisi kecil bertajuk Lamia. Terdapat cerita tentang haiwan, contohnya, ular besar di India yang dapat menangkap dan menelan seekor gajah. Guru yang bijaksana ini mengembara dari negara ke negara yang diingininya dan sentiasa dapat berjumpa dengan Raja atau Maharaja negara tersebut, yang kemudian berbual panjang dengannya dan mengiringnya dengan unta sebelum mengucapkan selamat tinggal dengan pemberian batu permata yang berharga.Berikut adalah mesej tipikal tentang mukzijat penyembuhan: 'Seorang wanita telah mengalami 7 kali keguguran  disembuhkan menerusi doa suaminya. Lelaki Bijaksana tersebut memberitahu si suami, apabila isterinya akan bersalin, agar membawa seekor arnab yang sembunyikan di sebalik jubahnya ke pangkuan si isteri, berjalan mengelilingi si isteri dan dengan segera melepaskan arnab tersebut; jika tidak dia akan kehilangan rahim dan anaknya jika arnab tersebut tidak dilepaskan dengan segera.' [Bk 3, sec 39] 
Apa yang cuba dinyatakan ialah hal ini yang akan kita perolehi jika kita membiarkan imaginasi yang bekerja. Apabila batas fakta dilepasi kita akan merayau ke alam fantasi. Dan ia sangat menarik, untuk tujuan hiburan dan penciptaan semula. Namun keempat Injil dengan kukuh diletakkan di dalam Palestin abad pertama yang sebenar, dan perincian kecil yang diberikan bukanlah rekaan untuk mengindahkannya tetapi perincian yang benar-benar terjadi yang mana hanya seorang saksi kejadian atau pakar penulis novel realsitik mampu menghasilkannya. (Thinking About Religion, p 75-76)
(2) Masalah kedua ialah tidak terdapat masa yang mencukupi untuk mitos terbentuk. Para demithologizers asal menekankan kes mereka berdasarkan pemberian tarikh yang lewat ke atas keempat Injil iaitu sekitar akhir abad ke-2; beberapa generasi diperlukan untuk sebarang elemen mitos disalah anggap sebagai fakta sebenar. Saksi-saksi kejadian akan menafikan sebarang versi baru bersifat mitos jika ia [versi mitos] lebih awal dari itu. Kita mengetahui hal ini terjadi berdasarkan mitos dan lagenda yang terbentuk di sekitar pengasas sesuatu kepercayaan - contohnya, Buddha, Lao-Tzu, dan Muhammad. Di dalam setiap kes, beberapa generasi berlalu sebelum mitos muncul.

Penulisan keempat Injil telah ditolak ke tarikh yang lebih awal melalui penemuan manuskrip baru, hanya hipotesis abstrak yang memberikan tarikh penulisan yang lebih lewat. Hari ini, hampir tidak ada sarjana yang bersetuju dengan Bultman bahawa, untuk mempercayai teori mitos, tidak terdapat sebarang bukti penulisan abad pertama bahawa Kristianiti bermula dengan Kristus adalah Tuhan dan dibangkitkan dari kematian, bukan dengan manusia yang telah mati.

Beberapa sarjana masih mempersoalkan tarikh keempat Injil sama ada ia adalah dari abad pertama atau tidak, terutamanya Injil Yohanes. Namun tiada yang mempertikaikan surat-surat tulisan Paulus ditulis pada zaman kehidupan saksi-saksi peristiwa Kristus. Maka, mari kita melihat surat-surat Paulus. Sama ada surat ini mengandungi mitos atau tidak. Jika ada, faktor peredaran generasi tidak ada untuk mengatakan mitos telah terbentuk darinya. Malah satu generasi pun tidak ada. Jika surat-surat ini bukannya mitos, maka begitu juga dengan keempat Injil, memandangkan Paulus mengesahkan dakwaan utama di dalam keempat Injil.

Julius Muller memberikan argumen anti-mitos seperti berikut:
Kita tidak dapat membayangkan bagaimana rangkaian lagenda dapat timbul dari permulaan sejarahnya, dipercayai secara universal, dan mengganti ingatan sejarah terhadap karekter sebenar [Yesus]....jika saksi-saksi kejadian masih hidup untuk mempersoalkan kebenaran peristiwa yang direkodkan. Maka, fiksyen lagenda, tidak menyukai masa yang jelas tetapi kepada kemisterian zaman kuno, ia cenderung memencilkan usia, bersama tempat, dan menghilangkan ciptaan paling indah dan luar biasa ke dunia yang tidak dikenali. (The Theory of Myths in Its Application to the Gospel History Examined and Confuted [London, 1844], p.26)
Muller mencabar mereka yang sezaman dengannya untuk memberikan satu contoh di mana mitos atau lagenda timbul dalam peristiwa kehidupan seorang tokoh sejarah dan kemudian dipercayai secara umum sebagai benar hanya 30 tahun selepas kematian tokoh tersebut. Tiada sesiapa pun yang dapat menjawabnya.

(3) Terdapat dua lapisan di dalam teori mitos. Lapisan pertama ialah Yesus yang di dalam sejarah, bukan Tuhan, tidak mendakwa diriNya Tuhan, tidak melakukan sebarang mukzijat, dan tidak bangkit dari kematian. Yang kedua, setelah itu, lapisan yang dimitoskan iaitu Injil yang kita ada sekarang, di mana Yesus yang mendakwa diriNya Tuhan, melakukan mukzijat dan bangkit dari kematian. Masalah teori ini ialah tidak terdapat sebarang bukti bahawa lapisan pertama wujud. Teori lapisan pertama ini hanyalah berdasarkan cakap-cakap - cakap-cakap kosong.

St. Augustine menidakkan teori dua lapisan ini dengan padat dan ringkas:
Kata-kata seorang Elpidius, yang telah berdebat secara bersemuka dengan Manichees, mulai mempengaruhi saya di Carthage, apabila dia memberikan argumen berdasarkan Kitab yang sukar dijawab. Dan jawapan yang diberikan mereka [Manichees, yang mendakwa sebagai Kristian sebenar] bagi saya kelihatan lemah - dan mereka tidak mahu menyatakannya secara umum, hanya di antara kami secara tertutup - iaitu mereka mengatakan Perjanjian Baru telah diubah oleh seseorang yang tidak diketahui..namun para Manichees ini tidak melakukan sebarang usaha untuk menunjukkan salinan yang tidak diubah. (Confessions, V, 11, Sheed translation)
Perhatikan sindiran di ayat terakhir. Ia masih berkesan hari ini. William Lane Craig menyimpulkan bukti yang ada - [atau] bukti yang kurang:
Injil mengandungi peristiwa yang ajaib, dan kita tidak mempunyai sebarang peristiwa lain yang diturunkan kepada kita selain yang terdapat di dalam keempat Injil....Surat-surat Barnabas dan Clement merujuk mukzijat dan kebangkitan Yesus. Polycarp menyebut tentang kebangkitan Kristus, dan Irenaeus menceritakan dia telah mendengar Polycarp menceritakan mukzijat yang dilakukan Yesus. Ignatius memperkatakan tentang kebangkitan. Puadratus melaporkan tentang individu yang telah disembuhkan Yesus dan masih hidup ketika itu. Justin Martyr menyebut tentang mukzijat yang dilakukan Yesus. Tidak wujud sebarang tinggalan sejarah yang menceritakan peristiwa tanpa keajaiban. Cerita asal yang kononnya telah hilang dan diganti dengan yang lain melangkaui sebarang contoh perubahan cerita termasuk tradisi lisan, lebih-lebih lagi melalui jika ia melibatkan penurunan cerita melalui penulisan. Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa peristiwa yang terdapat di dalam keempat Injil adalah sama dengan cerita yang dimiliki oleh Kristian dari permulaan lagi. Ini bererti....peristiwa kebangkitan Yesus memang merupakan sebahagian dari cerita ini. (Apologetics, chapter 6)
(4) Perincian kecil yang jarang disedari dan penting dalam membezakan keempat Injil dan Mitos ialah: saksi-saksi pertama kepada peristiwa kebangkitan ialah wanita. Menurut Agama Yahudi pada zaman abad pertamai, wanita memiliki status yang rendah dan tidak mempunyai hak secara perundangan untuk menjadi saksi. Jika kubur yang kosong itu adalah lagenda yang direka-reka, perekanya pasti tidak akan meletakkan wanita sebagai yang pertama mengetahuinya, yang mana kesaksian mereka dianggap sebagai tidak berguna. Jika, penulis hanya mencatatkan apa yang mereka nampak, mereka pastinya berkata benar, walaupun secara sosial dan perundangan ia tidak memihak kepada mereka.

(5) Perjanjian Baru tidak mungkin adalah mitos yang disalahtafsirkan atau kekeliruan fakta kerana ia jelas membezakan keduanya dan menolak tafsiran bersifat mitos (2 Ptr 1:16). Memandangkan dengan jelas dikatakan ia bukanlah mitos, jika ia adalah mitos maka ia sebenarnya adalah penipuan yang disengajakan dan bukan mitos. Dilema sebelum ini masih ada. Sama ada benar atau penipuan, sengaja (konspirasi) atau tidak sengaja (halusinasi). Kita tidak dapat lari dari dilema ini. Apbila seorang anak kecil bertanya sama ada Santa Claus wujud atau tidak, jawapan Ya anda menjadi penipuan, bukan mitos, jika dia tidak benar-benar wujud. Apabila Perjanjian Baru dibezakan dari mitos dan fakta, ia menjadi penipuan jika peristiwa kebangkitan bukanlah fakta.

(6) William Lane Craig telah membuat kesimpulan yang sangat jelas, padat dan berkesan tentang argumen tekstual tradisional, maka kami memetiknya secara panjang lebar. Argumen-argumen berikut (disusun dan digariskan dari Knowing the Truth About the Resurrection) membuktikan dua perkara: pertama, keempat Injil ditulis oleh pengikutNya dan bukan oleh pencipta mitos, dan kedua, keempat kitab Injil yang kita ada hari ini secara dasarnya adalah sama dengan yang asli.

(A) Bukti bahawa keempat Injil ditulis oleh saksi kejadian:
1. Bukti dalaman dari kitab Injil itu sendiri.
  • Gaya penulisan keempat Injil ini mudah dan hidup, seperti yang akan kita jangkakan daripada penulis asalnya.
  • Selain itu, memandangkan Injil Lukas ditulis sebelum kitab Kisah Para Rasul, dan memandangkan kitab Kisah Para Rasul ditulis sebelum kematian Paulus, Injil Lukas pastinya ditulis pada masa yang lebih awal, yang mana memberikan keyakinan terhadap keasliannya.
  • Keempat Injil juga menunjukkan pengetahuan yang sangat baik tentang keadaan Yerusalem sebelum ia dimusnahkan pada tahun 70 A.D. Keempat Injil ini penuh dengan nama khusus, tarikh, perincian budaya, peristiwa sejarah, serta adat dan pemahaman pada zaman tersebut.
  • Nubuat Yesus tentang peristiwa tersebut (kemusnahan Yerusalem) besar kemungkinan ditulis sebelum runtuhnya Yerusalem, jika tidak gereja sudah pasti akan mengasingkan elemen dahsyat akhir zaman di dalam nubuatan tersebut, yang membuatkan mereka kelihatan mengambil berat tentang hari kiamat. Memandangkan dunia tidak kiamat selepas keruntuhan Yerusalem, peristiwa keruntuhan Yerusalem ini tidak akan dikaitkan dengan hari kiamat jika ia ditulis selepas peristiwa tersebut berlaku. Maka, pasti kitab Injil telah ditulis sebelum 70 A.D.
  • Kisah tentang kelemahan tubuh manusia Yesus dan kesilapan-kesilapan murid-muridNya juga menunjukkan ketepatan kitab Injil.
  • Selain itu, adalah mustahil untuk seorang penulis palsu menulis penceritaan yang sangat konsisten seperti yang kita temui di dalam Injil. Perbezaan yang ada di dalam kitab-kitab Injil tidak cuba ditiadakan, dan ini menunjukkan bahawa ia adalah asli (ditulis oleh saksi kejadian). Tidak ada cubaan untuk menyelaraskan kitab-kitab Injil seperti yang lazimnya dilakukan oleh penulis-penulis palsu.
  • Kitab-kitab Injil tidak mengandungi anakronisme; penulis-penulisnya adalah Yahudi abad pertama yang merupakan saksi kejadian.
Kita boleh menyimpulkan bahawa tidak ada sebab untuk meragui kitab-kitab Injil ditulis oleh penulis asal masing-masing sama seperti kita tidak meragui tulisan Philo dan Josephus adalah asli, kecuali ia [Keempat Injil] mengandungi peristiwa ghaib.

2. Bukti luaran:
  • Sudah tentu murid-muridNya telah meninggalkan beberapa penulisan, yang ditulis semasa mereka mengajar atau memberikan bimbingan kepada orang percaya lain berada di tempat yang jauh; dan apakah penulisan-penulisan ini jika bukan kitab Injil dan surat? Akhirnya, para rasul perlu menulis cerita yang tepat tentang Yesus di dalam sejarah, supaya sebarang cubaan pemalsuan akan dielakkan dan  Injil yang asli dikekalkan.
  • Ramai saksi kejadian yang masih hidup ketika kitab-kitab Injil ini ditulis yang mana dapat mengesahkan sama ada ia ditulis oleh penulis asal atau tidak.
  • Kitab tambahan selain Alkitab yang lain juga sebulat suara diakui sebagai ditulis oleh penulis asal: the Epistles of Barnabas, the Espitles of Clement, the Shepherd of Hermes, Theophilus, Hippolytus, Origen, Puadratus, Irenaeus, Melito, Polycarp, Justin Martyr, Dionysius, Tertullian, Cyprian, Tatian, Caius, Athanasius, Cyril, sehingga Eusebius dalam 315 A.D., mereka yang memusuhi Kristianiti juga mengakuinya: Celsus, Porphyry, Emperor Julian.
  • Dengan hanya satu pengecualian, tidak ada satu pun Injil apokrif yang pernah dipetik oleh mana-mana pemulis sepanjang 300 tahun pertama selepas Kristus. Malah, tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan kewujudan kitab Injil palsu pada abad pertama, waktu di mana kesemua kitab Injil dan kitab Kisah Para Rasul ditulis.
(B) Bukti bahawa kitab-kitab Injil yang kita miliki hari ini adalah sama dengan kitab-kitab Injil yang asal.
  1. Memandangkan wujud keperluan untuk mengetahui cara-cara kebaktian dan untuk penyembahan pribadi, sudah tentu penulisan-penulisan ini disalin berkali-kali, yang mana meningkatkan kebarangkalian terpeliharanya teks asal.
  2. Sebenarnya, tidak ada penulisan kuno yang wujud hari ini mempunyai salinan yang banyak serta pelbagai bahasa, namun versi yang pelbagai ini mempunyai kesepakatan isi.
  3. Teks-teks yang ada juga terpelihara dari sebarang penambahan-penambahan bidaah. Manuskrip yang banyak dan tersebar dalam lingkungan geografi yang luas menunjukkan teks-teks ini telah disebarkan dengan perbezaan yang kecil sahaja. Perbezaan yang wujud adalah remeh dan disebabkan oleh kesilapan yang tidak disengajakan.
  4. Petikan ayat-ayat Perjanjian Baru di dalam buku-buku tulisan Bapa Gereja Awal semuanya sepadan.
  5. Kitab-kitab Injil tidak mungkin diubah tanpa sebarang bantahan besar oleh semua Kristian Ortodoks.
  6. Tiada sesiapa yang mampu mengubah semua manuskrip yang ada.
  7. Tidak ada masa yang sesuai untuk pemalsuan berlaku, memandangkan, kitab-kitab Perjanjian Baru sering dipetik oleh Bapa-bapa Gereja Awal dan dalam jurang waktu yang dekat dengan pewaris berikutnya. Teks tersebut tidak mungkin dipalsukan di hadapan kesaksian yang lain, kerana para rasul masih hidup ketika itu dan akan menidakkan sebarang ganguan.
  8. Teks Perjanjian Baru adalah setaraf dengan teks penulisan kuno klasik yang lain. Dengan menidakkan taraf penulisan yang sama terhadap kitab-kitab Injil adalah sama dengan menterbalikan semua kaedah penilaian kritis dan menolak semua hasil penulisan kuno, memandangkan teks bagi penulisan-penulisan ini mempunyai kepastian isi yang lebih rendah berbanding kitab-kitab Injil.
Richard Purtill menyimpulkan kes tekstual ini:
Banyak peristiwa yang diakui dengan yakin secara sejarah mempunyai (1) bukti dokumentasi yang jauh lebih sedikit berbanding banyak peristiwa di dalam Alkitab; (2) dan dokumen yang disandarkan oleh ahli sejarah untuk kebanyakan sejarah sekuler ditulis lama setelah ia berlaku berlaku berbanding peristiwa yang direkodkan di dalam Alkitab; (3) lebih dari itu, kita mempunyai salinan peristiwa Alkitab yang lebih banyak berbanding sejarah sekuler yang lain; dan (4) salinan yang ada lebih hampir dengan masa kejadian [tentang peristiwa Alkitab] berbanding salinan yang menjadi dasar kepada sejarah sekuler. Jika penceritaan Alkitab tidak mengandungi cerita tentang mukzijat, besar kemungkinan sejarah Alkitab akan lebih diyakini berbanding kebanyakan peristiwa sejarah yang lain, contohnya, Greek dan Rom klasik. (Thinking About Religion, p. 84-85)
bersambung..
kesimpulan 

Ulasan