Langkau ke kandungan utama

Bukti Kebangkitan Kristus (Terjemahan) - Kesimpulan

Artikel ini diterjemah dari tulisan Peter Kreeft dan Fr. Ronald Tacelli, S.J. Artikel asal, Evidence for the Resurrection of Christ, boleh di baca di sini. Penerangan di dalam tanda [..] dan berwarna perang adalah tambahan dari saya untuk menjelaskan istilah tertentu yang memerlukan penjelasan lanjut. Artikel ini dipecahkan kepada 4 bahagian.


Bahagian I klik sini. Bahagian II klik sini. Bahagian III klik sini. Bahagian IV klik sini.


Kesimpulan: Menjawab Bantahan lain
Tidak ada alternatif lain selain peristiwa kebangkitan yang dapat menjelaskan: kewujudan kitab-kitab Injil, asal-usul kepercayaan Kristian, kegagalan musuh-musuh Kristus untuk menunjukkan mayatNya, kubur yang kosong, batu besar yang teralih, atau kesaksian terhadap penampakan selepas kebangkitan. Pengsan, konspirasi, halusinasi dan mitos telah ditunjukkan sebagai alternatif lain kepada peristiwa kebangkitan, dan setiap teori ini telah ditidakkan.

Jika saat ini seseorang itu masih tidak mahu percaya, apakah alasan yang mungkin dberikan? Pada tahap ini, lazimnya bantahan secara umum yang akan diberikan dan bukan secara spesifik. Contohnya:


Bantahan 1: Sejarah tidak sama seperti sains. Ia tidak memberikan keyakinan yang pasti seperti matematik.
Jawapan: Benar, tetapi mengapa anda menimbulkan hal ini sekarang dan tidak semasa memperkatakan tentang Caesar atau Luther atau Gorge Washington? Sejarah tidak tepat sepenuhnya, tetapi ia mencukupi. Tidak ada sesiapa pun yang meragui Ceasar telah melintasi Rubicon; mengapa ramai yang meragui Yesus bangkit dari kematian? Bukti kepada peristiwa kebangkitan jauh lebih baik berbanding [Ceasar].
Bantahan 2: Kita tidak boleh percaya kepada dokumen. Kertas tidak membuktikan apa-apa. Apa pun boleh dipalsukan.
Jawapan: Ini adalah kejahilan. Tidak mempercayai dokumen adalah sama seperti tidak mempercayai teleskop. Bukti penulisan mencukupi untuk kebanyakan perkara yang kita percayai; mengapa dalam hal ini ia disyaki?
Bantahan 3: Kerana peristiwa kebangkitan adalah mukjizat. Idea yang terdapat di dalamnya [kitab Injil] dan bukan bukti dokumentasi yang membuatkannya tidak dapat dipercayai.
Jawapan: Akhirnya kita mendapat bantahan yang terus terang - bukan terhadap bukti dokumentasi tetapi terhadap mukjizat. Ini adalah persoalan bersifat falsafah, bukan saintifik, sejarah atau persoalan tekstual (lihat bab 5 buku ini untuk jawapan).
Bantahan 4: Bukan mukjizat secara umum tetapi mukjizat ini [kebangkitan Yesus] yang dibantah. Kebangkitan sebuah mayat adalah sangat bodoh, kasar, tidak ada cita rasa, bersifat harafiah, dan materialistik. Agama sepatutnya lebih bersifat rohani, batin, beretika.
Jawapan: Jika agama adalah ciptaan kita, kita boleh menjadikannya seperti apa yang kita inginkan. Jika Tuhan yang menciptakannya, maka kita perlu menerima apa yang kita temui seadanya, sama seperti kita perlu menerima keadaan alam semesta seadanya, dan bukan seperti yang kita inginkan. Kematian adalah sangat bodoh, kasar, tidak ada cita rasa, bersifat harafiah, dan materialistik. Kebangkitan berhadapan dengan kematian dan mengalahkannya, bukannya sekadar mengeluarkan kata-kata yang damai, bersifat abstrak dan tidak jelas tentang kerohanian. Kebangkitan adalah sekasar Tuhan yang telah menjadikannya. Dia juga telah menjadikan lumpur, serangga dan kuku kaki.
Bantahan 5: Tetapi, tafsiran secara harafiah terhadap kebangkitan tidak mengambil kira maksud dari sudut dimensi yang telah diterokai dengan mendalam oleh kepercayaan lain iaitu secara simbolik, rohani, dan alam mistik. Mengapa Kristian berfikiran sempit dan bersifat eksklusif? Mengapa mereka tidak melihat hal-hal simbolik yang mendalam terhadap idea tentang kebangkitan?
Jawapan: Mereka tidak dapat. Hal ini bukan samada-atau. Kristianiti tidak menjadikan mitos hilang, ia mengesahkannya dengan melahirkannya. Ia adalah "mitos yang menjadi fakta", sesuai dengan tajuk esei tulisan C.S. Lewis (God in the Dock). Mengapa memilih kek satu lapisan dan bukan kek dua lapisan? Mengapa menolak samada sejarah-harafiah atau aspek mistik-simbolik tentang kebangkitan? Para Fundamentalis menolak aspek mistik-simbolik kerana telah melihat apa yang telah dilakukan oleh Modernis: menggunakannya untuk mengecualikan aspek sejarah-harafiah. Mengapa Modernis melakukan hal itu? Apa kesimpulan dahsyat yang menanti mereka jika mereka menilai berdasarkan bukti yang pelbagai dan kuat serta argumen yang timbul secara semula jadi dari data-data yang ada, seperti yang telah kita perkatakan di dalam bab ini? 
Jawapannya sangat jelas: Yang menanti mereka adalah Kristian Tradisional, lengkap dengan penyembahan terhadap Kristus sebagai Tuhan, tunduk kepada Kristus sebagai Raja, bersandar kepada Kristus sebagai Penyelamat, merendahkan hati untuk mengakui dosa dan bersungguh-sungguh hidup dalam pengorbanan seperti Kristus, berbeza dengan dunia, kebenaran, kesucian dan kemurnian pemikiran, perkataan dan perbuatan. Bukti sejarah adalah cukup besar untuk meyakinkan mereka yang mencari dengan fikiran yang terbuka. Melalui perbandingan dengan mana-mana peristiwa sejarah, peristiwa kebangkitan mempunyai dasar bukti yang sangat kukuh. Untuk tidak mempercayainya, anda harus dengan sengaja mengecualikan semua kaedah yang anda gunakan dalam menilai semua peristiwa sejarah yang lain. Mengapa anda mahu berbuat demikian? 
Tanya diri anda dengan persoalan ini jika anda sanggup, dan dengan jujur melihat hati anda sebelum menjawabnya.
Dari Handbook of Christian Apologetics oleh Peter Kreeft dan Fr. Ronald Tacelli, SJ (Intervarsity Press, 1994)

Rujukan lanjut

  • Who Moved the Stone? by Frank Morison (1930)
  • The Son Rises (Moody Press, 1981)Knowing the Truth About the Resurrection(Servant Books, 1988) Apologetics: An Introduction (Moody Press, 1984) all three by William Lane Craig
  • The Resurrection of Jesus: An Apologetic (Baker Books, 1980)Did Jesus Rise from the Dead? (Harper and Row, 1987) both by Gary Habermas (latter with atheist Antony Flew)
  • Christian Apologetics (Baker Books, 1976) by Norman Geisler
  • Easter Enigma (Academie Books, 1984) by John Wenham (on the consistency of the Gospel narratives)
  • The Resurrection Report (Broadman and Holman, 1998) by William Proctor (journalist)

Ulasan