Langkau ke kandungan utama

Bukti Kebangkitan Kristus (Terjemahan) - bahagian II

Artikel ini diterjemah dari tulisan Peter Kreeft dan Fr. Ronald Tacelli, S.J. Artikel asal, Evidence for the Resurrection of Christ, boleh di baca di sini. Penerangan di dalam tanda [..] dan berwarna perang adalah tambahan dari saya untuk menjelaskan istilah tertentu yang memerlukan penjelasan lanjut. Artikel ini dipecahkan kepada 4 bahagian.

Bahagian I klik sini.

Menidakkan Teori Konspirasi: Tujuh Argumen

Mengapa para pengikut Yesus tidak mungkin telah mereka-reka peristiwa yang telah terjadi?

(1) Blaise Pascal telah memberikan sebab yang mudah dan munasabah secara psikologi tentang mengapa hal ini mustahil.
Para rasul ini sama ada diperdaya atau terpedaya. Kedua-dua pendapat ini adalah rumit, kerana adalah mustahil untuk membayangkan seorang manusia telah bangkit dari kematian. Semasa Yesus masih bersama mereka, Dia dapat menyokong kepercayaan mereka; namun selepas itu, jika Dia tidak menampakkan diriNya kepada mereka, siapa yang menyebabkan mereka bertindak demikian? Hipotesis yang mengatakan para rasul itu adalah orang yang sengaja dan suka menipu adalah tidak munasabah. Lihat peristiwa tersebut dari awal hingga akhir, dan bayangkan kedua belas orang ini berkumpul selepas kematian Yesus dan berpakat untuk mengatakan bahawa Dia telah bangkit dari kematian. Ini bermaksud mereka harus menentang semua kuasa yang melawan mereka. Perasaan manusia cenderung untuk tidak berpendirian tetap, mudah berubah-ubah, terhadap janji, terhadap sogokan. Salah seorang dari mereka hanya perlu menidakkan peristiwa tersebut di bawah situasi ini, atau ramai mereka kerana kemungkinan untuk dipenjarakan, diseksa dan dibunuh, dan akhirnya mereka semua akan kalah. Perhatikan hal ini. (Pascal, Pensees 322, 310)

"Kekuatan" di dalam argumen ini adalah fakta sejarah di mana tidak ada seorang pun, kuat atau lemah, kudus atau berdosa, Kristian atau sesat, pernah mengaku secara sukarela atau dalam tekanan, dirasuah atau diseksa, bahawa keseluruhan peristiwa kebangkitan adalah palsu atau penipuan yang dibuat-buat. Walaupun ada yang tidak dapat menahan penyeksaan, yang kemudian menolak Kristus dan menyembah Kaisar, mereka tidak pernah mengiyakan dakwaan tersebut, tidak pernah menyatakan bahawa peristiwa kebangkitan hanyalah konspirasi mereka. Kerana dakwaan tersebut memang tidak benar. Tidak ada Kristian yang percaya bahawa peristiwa kebangkitan hanyalah konspirasi, jika ya, mereka tidak akan menjadi seorang Kristian.

(2) Jika mereka mereka-reka peristiwa tersebut, mereka merupakan pencerita kisah fantasi yang paling kreatif, bijak, dan genius di dalam sejarah dunia, jauh melebihi Shakespeare, Dante atau Tolkien. "Cerita ikan" oleh nelayan tidak pernah begitu rumit, meyakinkan, mengubah kehidupan dan kekal sepanjang zaman.

(3) Perwatakan para pengikut [Yesus] juga memberikan bantahan yang kuat terhadap konspirasi yang kononnya dilakukan oleh mereka. Mereka hanyalah orang biasa yang sederhana dan jujur, bukan penipu yang licik. Malah mereka juga bukannya peguam! Keikhlasan mereka terbukti melalui perkataan dan perbuatan mereka. Mereka memberitakan Kebangkitan Kristus dan hidup menurut Kebangkitan Kristus. Mereka dengan rela berkorban demi "konspirasi" mereka. Keikhlasan mereka terbukti melalui kematian mereka. Kehidupan mereka berubah dari bersifat penakut kepada percaya, putus asa kepada keyakinan, keliru kepada kepastian, melarikan diri kerana takut kepada berhadapan penindasan dan penyeksaan dengan keberanian, bukan hanya membuktikan keikhlasan mereka tetapi menunjukkan wujud suatu penyebab yang berkuasa di sebaliknya. Dapatkah penipuan menyebabkan perubahan yang begitu besar? Adakah kebenaran dan kebaikan musuh ketat sehinggakan kebaikan terbesar di dalam sejarah - kesucian - berasal dari sebuah penipuan?

Gunakan imaginasi dan perspektif anda. Bayangkan 12 orang biasa yang miskin, penakut dan bodoh (bacalah keempat Injil!) mengubah dunia Rom yang keras kepada dengan penipuan. Malah penipuan yang diberikan sukar diterima akal dan tidak menarik. St. Thomas Aquinas mengatakan:
Di tengah-tengah penguasaan dan penindasan, sekumpulan besar orang, sederhana dan terpelajar, mengikuti kepercayaan Kristian. Di dalam kepercayaan ini terdapat pemberitaan kebenaran yang melangkaui batas intelek manusia; keseronokan daging dikawal; diajarkan bahawa perkara duniawi harus ditolak. Bagi manusia yang fana, bersetuju dengan perkara ini adalah keajaiban yang paling besar....Perubahan luar biasa dunia kepada Iman Kristian adalah kesaksian yang paling jelas....Sesungguhnya hal ini lebih menakjubkan dari semua tanda lain jika dunia telah menjadi percaya terhadap kebenaran yang sangat agung, melakukan perbuatan yang sangat sukar, dan mempunyai harapan yang tinggi, oleh kerana cerita dari seorang insan yang biasa dan sederhana. (Summa Contra Gentiles, I, 6)
(4) Tidak terdapat sebarang motif untuk penipuan seperti ini. Penipuan sering diberikan untuk kepentingan sendiri. Apa kepentingan yang diperolehi oleh "perancang-perancang" dari "penipuan" mereka? Mereka dibenci, dicemuh, dianiaya, dipulaukan, dipenjarakan, diseksa, dibuang negeri, disalibkan, direbus hidup-hidup, dibakar, dipancung, isi perut di keluarkan dan dibiarkan dibaham singa - senarai yang langsung tidak kelihatan mengujakan!

(5) Jika kebangkitan ini hanyalah penipuan, pihak pemimpin Yahudi pasti telah menunjukkan mayat yang kekal mati dan menghilangkan perkara tahyul yang ditakuti tersebut. Mereka hanya perlu pergi ke makam dan mengambilnya. Pihak tentera Rom juga berada di pihak mereka [Pemimpin Yahudi], bukan dengan Kristian. Jika pihak pemimpin Yahudi tidak menemui mayat tersebut kerana dicuri oleh para pengikut [Yesus], bagaimana mereka melakukannya? Argumen yang menidakkan teori pengsan juga berkesan di sini: orang biasa yang tidak bersenjata tidak mungkin dapat mengalahkan askar Rom atau memindahkan batu besar sementara mereka [askar Rom] sedang tidur.

(6) Para pengikut Yesus tidak mungkin akan terlepas semasa mereka memberitakan tentang kebangkitan di Yerusalem - masa yang sama, tempat yang sama, dan penuh dengan saksi-saksi - jika ia hanyalah penipuan. William Lane Craig mengatakan:
Injil-injil ini ditulis pada tempoh masa dan lokasi geografi yang sangat hampir dengan peristiwa yang direkodkan sehinggakan ia hampir mustahil untuk mereka-reka peristiwa tersebut....Kenyataan bahawa para pengikutNya dapat memberitakan peristiwa kebangkitan di Yerusalem di hadapan musuh-musuh mereka beberapa minggu selepas peristiwa penyaliban menunjukkan mereka memberitakan kebenaran, kerana mereka tidak mungkin dapat memberitakan peristiwa kebangkitan (dan orang lain mempercayai mereka) di dalam situasi tersebut jika ia tidak benar-benar terjadi. (Knowing the Truth About the Resurrection, chapter 6)
(7) Jika wujud konspirasi, sudah pasti ia akan dibongkar oleh musuh-musuh para pengikutNya, yang mana memang berniat dan mempunyai kuasa untuk mendedahkan sebarang penipuan. Pengalaman sering menunjukkan komplot seperti ini akhirnya akan didedahkan juga (Craig, ibid)

Kesimpulannya, jika peristiwa kebangkitan ini hanyalah penipuan yang dirancang, ia telah melanggar semua aspek sejarah dan hukum psikologi dalam melakukan penipuan. Maka, ia menjadikan teori ini tidak saintifik, tidak mungkin berulang, dan tidak dapat diuji sama seperti peristiwa kebangkitan itu sendiri. Namun tidak seperti peristiwa kebangkitan, teori ini juga bercanggah dengan perkara-perkara yang telah kita ketahui (poin-poin di atas).

bersambung..

Ulasan