Langkau ke kandungan utama

Bukti Kebangkitan Kristus (Terjemahan) - bahagian I

Artikel ini diterjemah dari tulisan Peter Kreeft dan Fr. Ronald Tacelli, S.J. Artikel asal, Evidence for the Resurrection of Christ, boleh di baca di sini. Penerangan di dalam tanda [..] dan berwarna perang adalah tambahan dari saya untuk menjelaskan istilah tertentu yang memerlukan penjelasan lanjut. Artikel ini dipecahkan kepada 4 bahagian.


Strategi: Lima Teori Kemungkinan

Kita percaya kebangkitan Kristus boleh dibuktikan dengan keyakinan yang secukupnya sama seperti mana-mana peristiwa lain yang dipercayai telah berlaku secara universal dan telah didokumentasikan dengan baik oleh penulis zaman dahulu. Untuk membuktikannya, kita tidak perlu mempunyai pra-anggapan yang kontroversial (contohnya, mukzijat boleh berlaku). Namun, mereka yang skeptik juga perlu tidak mempunyai pra-anggapan (contohnya, mukzijat tidak boleh berlaku). Kita tidak perlu mempunyai pra-anggapan bahawa Perjanjian Baru adalah sempurna, atau diilhamkan oleh Tuhan atau mengandungi kebenaran. Kita tidak perlu mempunyai pra-anggapan bahawa kubur yang kosong itu benar-benar wujud atau penampakkan selepas kebangkitan terjadi, seperti yang dicatatkan. Kita hanya perlu mempunyai 2 pra-anggapan berikut, yang mana kedua-duanya adalah data yang kukuh dan boleh diuji, dan tidak dinafikan oleh mana-mana pihak: Kewujudan manuksrip yang kita ada hari ini, dan kewujudan (namun tidak semestinya ia adalah kebenaran) kepercayaan Kristian pada hari ini.

Soalannya adalah seperti berikut: Teori manakah tentang apa yang terjadi di Yerusalem pada hari pertama Easter, sepadan dengan data yang ada?


Terdapat 5 teori yang mungkin telah berlaku: Kristianiti, halusinasi, mitos, konspirasi, dan pengsan.
1Yesus matiYesus bangkitKristianiti
2Yesus matiYesus tidak bangkit - rasul-rasul terpedayaHalusinasi
3Yesus matiYesus tidak bangkit - rasul-rasul mencipta mitosMitos
4Yesus matiYesus tidak bangkit - rasul-rasul memperdayaKonspirasi
5Yesus tidak matiPengsan
Teori 2 dan 4 mengandungi dilema: jika Yesus tidak bangkit, maka para rasul yang mengatakan bahawa Dia bangkit, adalah terpedaya (jika mereka sangka Dia dibangkitkan) atau memperdaya (jika mereka tahu Dia tidak dibangkitkan). Para Modernist tidak dapat mengelak dari dilema ini sehinggalah mereka mewujudkan satu lagi kategori, mitos. Ia adalah alternatif paling popular hari ini.

Maka sama ada (1) kebangkitan benar-benar terjadi, (2) para rasul terpedaya oleh kerana halusinasi, (3) para rasul mencipta mitos, dan tidak bermaksud secara harafiah, (4) para rasul adalah penipu yang merancang suatu konspirasi untuk memperdaya dunia dengan penipuan yang paling hebat dan berjaya di dalam sejarah, atau (5) Yesus hanya pengsan dan pulih dari pengsan dan bukan dibangkitkan. Kesemua teori ini adalah logik dan mempunyai kemungkinan, maka ia haru diselidiki dengan saksama - termasuk (1)!
Semua ini hanyalah kemungkinan, melainkan kita memasukkan idea yang tidak masuk akal dan tidak dipedulikan oleh ahli sejarah yang bertanggungjawab, seperti, Yesus adalah makhluk asing dari Marikh yang datang ke bumi menaiki piring terbang. Atau Dia tidak pernah wujud; di mana semua peristiwa tersebut hanyalah sebuah novel fantasi yang ditulis oleh seorang nelayan yang sederhana; di mana Dia adalah seorang karakter sastera yang disalah anggap sebagai individu yang wujud oleh semua orang sepanjang perjalanan sejarah, termasuk oleh semua Kristian dan lawan-lawan mereka, sehinggalah sarjana tertentu telah menemui hal yang sebenar beberapa abad kemudian daripada sumber yang tidak diketahui.

Jika kita dapat menidakkan kesemua teori ini (2-5), kita akan membuktikan kebenaran terhadap kebangkitan (1). Bentuk argumen ini adalah sama dengan hampir semua argumen tentang kewujudan Tuhan. Kedua-dua hal iaitu Tuhan dan kebangkitan tidak dapat diselidiki melalui pemerhatian. Tetapi melalui data yang dapat diperhatikan secara terus kita dapat memberi argumentasi bahawa penjelasan yang paling munasabah adalah penjelasan daripada Kristian.

Kita akan melihat keempat-empat teori yang bersifat tidak percaya ini melalui urutan berikut: Dari yang mudah, kurang popular dan paling senang ditidakkan kepada yang paling mengelirukan, popular dan sangat rumit untuk ditidakkan: Pertama adalah pengsan, kemudian konspirasi, seterusnya halusinasi dan terakhir mitos.

Menidakkan Teori Pengsan (Swoon): Sembilan Argumen
Sembilan bukti menidakkan teori pengsan:

(1) Yesus tidak mungkin terselamat selepas disalibkan. Prosedur Rom adalah sangat teliti sehingga menghilangkan sebarang kemungkinan. Malah, undang-undang Rom menyatakankan mana-mana askar yang melepaskan atau mengakibatkan tahanan yang akan dihukum mati melepaskan diri akan dihukum mati, termasuk kecuaian semasa hukuman salib. Hal [Yesus kekal hidup selepas disalibkan] ini tidak terjadi.

(2) Fakta bahawa tentera Rom tersebut tidak mematahkan kaki Yesus seperti yang dilakukan terhadap dua penjenayah yang juga disalibkan (Yoh 19:31-33), bererti askar tersebut yakin Yesus telah mati. Mematahkan kaki akan mempercepatkan kematian supaya mayat dapat diturunkan sebelum hari Sabat (ayat 31). 

(3) Yohanes, seorang saksi, mengesahkan dia telah melihat darah dan air keluar dari rusuk Yesus yang ditikam (Yoh 19:34-35). Ini menunjukkan paru-paru Yesus telah gagal berfungsi dan Dia mati kerana asphyxiation. Mana-mana pakar perubatan akan bersetuju dengan hal ini. 

(4) Tubuhnya dibungkus sepenuhnya dengan kain kafan dan dimakamkan (Yoh 19:38-42). 

(5) Penampakkan selepas kebangkitan telah meyakinkan para pengikutNya, termasuk "Tomas yang tidak percaya", bahawa Yesus hidup dengan penuh kemenangan (Yoh 20:19-29). Adalah mustahil untuk pengikut-pengikutNya secara psikologi berubah dan penuh yakin jika Yesus sekadar sedar dari pengsan, dan dalam keadaan yang sangat memerlukan doktor. Seorang manusia yang separuh mati, dan sangat nazak yang hampir-hampir tidak terselamat tidak akan disembah sebagai Tuhan dan penguasa atas maut tanpa rasa takut. 

(6) Bagaimana askar Rom yang berkawal dikubur tersebut dapat dikalahkan oleh 'mayat' yang baru sedar dari pengsan? Atau oleh pengikut yang tidak bersenjata? Dan jika pengikut-pengikut yang melakukannya, mereka dengan sedar menipu ketika menulis keempat-empat Injil, dan kita masuk ke dalam kategori konspirasi, yang mana akan kita tidakkan selepas ini. 

(7) Bagaimana seorang manusia yang baru sedar dan separuh mati dapat memindahkan batu besar yang menutup pintu makam tersebut? Siapa yang memindahkannya jika bukan malaikat? Tiada siapa pun dapat menjawab persoalan ini. Pihak Yahudi mahupun Kerajaan Rom tidak akan memindahkannya, kerana mereka memang mahu makam itu kekal ditutup, Yahudi yang menutup makam tersebut dengan batu, dan pengawal Rom akan dibunuh jika mereka membiarkan mayat tersebut "melepaskan diri". Pihak Yahudi menyebarkan khabar kononnya pengawal yang berjaga telah tertidur dan para pengikut telah mencuri mayat tersebut (Mat 28:11-15), ia tidak dapat dipercayai. Pengawal Rom tidak akan tertidur semasa tugas sedemikian; jika mereka tertidur, mereka akan kehilangan nyawa mereka. Jika pun mereka tertidur, kumpulan yang ramai dan usaha untuk memindahkan batu tersebut akan mengejutkan mereka. 

(8) Jika Yesus sedar dari pengsan, Dia telah pergi ke mana? Fikirkan: kini kita perlu menguruskan tubuh yang hidup, bukan mayat. Mengapa ia menghilang? Langsung tidak wujud sebarang maklumat, termasuk maklumat palsu yang direka-reka, tentang kehidupan Yesus selepas disalibkan dari mana-mana sumber kawan atau lawan, sama ada awal atau lewat. Seorang manusia yang dalam keadaan begitu, dengan kisah silam begitu, sepatutnya akan meninggalkan jejak [selepas sedar dari pengsan]. 

(9) Secara ringkasnya, teori pengsan ini akan bertukar menjadi teori konspirasi atau teori halusinasi kerana para pengikutNya memberikan kesaksian bahawa Yesus tidak sedar dari pengsan tetapi benar-benar mati dan bangkit semula.

Mungkin kita kelihatan seperti telah melanggar prinsip awal kita iaitu tidak mempunyai pra-anggapan bahawa apa yang dituliskan di dalam manuskrip Injil adalah benar, memandangkan kita telah memberikan argumentasi berdasarkan maklumat di dalam tulisan Injil tersebut. Namun, teori pengsan tidak mencabar kesahihan peristiwa yang dinyatakan menurut tulisan Injil tersebut, ia [teori pengsan] menggunakan dan menjelaskannya [maklumat di dalam Injil]. Maka, kita menggunakannya juga. Kita memberikan argumentasi berdasarkan alasan lawan kita.

bersambung..
Bahagian II

Ulasan