Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #7: Bayi itu berkata-kata?

Senarai lengkap siri post ini di sini.

Untuk bahagian ini, penulis telah menghabiskan lima muka surat untuk mengulas tentang bagaimana Jesus telah berkata-kata ketika masih bayi lagi untuk mempertahankan ibu-Nya daripada tuduhan zina. Saya pada mulanya tertanya-tanya, mengapa penulis begitu beriya-iya memperkatakan hal ini? Apa signifikasinya terhadap Jesus?

Penulis nampaknya cuba menunjukkan bahawa "Al-Quran dengan jelas menentang hebat fitnah perihal Maryam berzina, yang dilontarkan oleh kaum Yahudi Farisi dan Saduki" (m/s 3). Sedangkan Bible pula "hanya menceritakan kemarahan Jesus apabila beliau dituduh sebagai anak zina" (m/s 3) dan tidak berbuat apa-apa untuk menjelaskan dan menidakkan tuduhan tersebut.

Dengan kata lain, penulis cuba memberikan gambaran bahawa Al-Quran lebih 'baik' terhadap Jesus kerana memberikan penjelasan kepada tuduhan 'anak zina' tersebut. Bible/Alkitab pula kurang baik kerana tidak memberikan penjelasan yang sama untuk membersihkan 'nama baik' Jesus dan juga Maryam (Maria).

Penulis mendakwa,
"Perjanjian Baru tidak menerangkan apa yang terjadi kepada Maryam selepas masyarakat mengetahui dia melahirkan Jesus tanpa berkahwin." (Bab 1, m/s 1)
Benarkah demikian?

Saya menjemput anda untuk membaca sendiri kisah tentang kelahiran Jesus tersebut di dalam Matius 1:18-25; 2:1-23 dan Lukas 1-2. Anda akan mendapati penceritaan yang diberikan adalah munasabah, konsisten dan sepadan dengan bukti dan sejarah yang ada.

Selain itu, dakwaan penulis ini mendedahkan beberapa kesilapan fakta:
1. Penulis mengatakan Perjanjian Baru tidak menerangkan apa yang terjadi kepada Maryam selepas dia melahirkan Jesus. Hal ini adalah tidak benar, kerana dengan jelas diceritakan apa yang terjadi kepada Maryam melalui Matius dan Lukas.

2. Penulis mengatakan Maryam melahirkan Jesus tanpa berkahwin. Sekali lagi, hal ini tidak tepat kerana dengan jelas dikatakan Yusuf telah mengambil Maryam (Maria) sebagai isterinya sebelum Jesus dilahirkan. Ini bererti, menurut Perjanjian Baru, Jesus dilahirkan selepas Maryam (Maria) berkahwin dengan Yusuf.

- Maka, dakwaan penulis ini sebenarnya adalah berdasarkan apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran, di mana dikatakan Maryam tidak berkahwin. Namun, seperti yang diakui oleh penulis sendiri, Kristian tidak percaya kepada Al-Quran (m/s xiv). Maka, cubaan penulis untuk menunjukkan seolah-olah Maryam tidak berkahwin adalah di luar daripada kepercayaan Kristian.

- Lagi pun, bukankah Perjanjian Baru memberikan pembelaan yang jauh lebih besar kepada Jesus? Ini terbukti apabila di dalam Perjanjian Baru, Jesus dicatatkan sebagai Firman yang menjadi manusia (Yoh 1:14), dikandung Maria melalui Roh Kudus dan akan disebut Anak Allah (Luk 1:35), dan bangkit dari kematian setelah disalibkan (Mat 28:5-6) sebagai bukti bahawa Dia benar-benar adalah Tuhan dan Juruselamat manusia yang dikandung oleh Maria melalui Roh Kudus. Bukankah hal-hal ini cukup besar untuk mempertahankan kesucian Maria dan juga Jesus daripada tuduhan zina dan anak zina?

- Maka, dakwaan penulis bahawa kononnya Perjanjian Baru tidak memberikan sebarang pembelaan kepada Jesus adalah sangat tidak munasabah.

Jika diikutkan, respon untuk bahagian ini sampai di sini sahaja kerana hanya dengan membaca sendiri kisah penceritaan kelahiran Jesus di dalam Perjanjian Baru, sudah cukup untuk menidakkan dakwaan penulis. Namun, penulis telah memberikan suatu kenyataan yang menarik:
"Nabi Muhammad dituduh mereka-reka Al-Quran. Sekiranya benar, dari mana beliau mengetahui cerita berkenaan Maryam, sedangkan dalam keempat-empat gospel, cerita ini tidak pernah diterangkan?" (Bab 1, m/s 1-2)
Melalui kenyataan ini, secara tidak langsung penulis memberikan cabaran untuk membuktikan bahawa Nabi Muhammad mereka-reka penceritaan berkenaan Maryam dengan melontarkan persoalan "dari mana...".

Apakah "cerita berkenaan Maryam" tersebut? Penulis memberikan 'cerita' tersebut pada muka surat 4 buku ini,
"Al-Quran menceritakan mukjizat Jesus yang tidak diceritakan dalam semua kitab Injil. Antara mukjizat itu adalah, tempat Jesus dilahirkan adalah di dalam buaian. Ini bagi membersihkan dan membuktikan kemuliaan ibunya daripada tuduhan dan fitnah keji kaum Yahudi."
- Bagaimana kisah seseorang yang dilahirkan di dalam buaian boleh dikatakan sebagai suatu mukjizat? Saya berpendapat, penulis mungkin telah melakukan kesilapan dalam menulis ayatnya, ataupun penterjemah buku ini telah melakukan kesilapan dalam menterjemahkannya. Yang pasti, dilahirkan di dalam buaian bukanlah suatu mukjizat.
- Mungkin, yang cuba disampaikan oleh penulis sebenarnya adalah hal berikut:
"Namun, perkara luar biasa berlaku apabila Jesus yang masih bayi dalam gendongan Maryam tiba-tiba berbicara dan menjawab pertanyaan kaumnya dengan suara tegas dan keras. Jesus berjaya mendiamkan mulut lancang kaum Yahudi yang mahu menjatuhkan hukuman rejam zina ke atas Maryam." (Bab 1, m/s 4)
Penulis sekali  lagi menekankan 'cerita' ini pada muka surat 5,
"Namun, perkara ini tidak terdapat dalam keempat-empat kitab Gospel."
Benar, kisah Jesus berkata-kata ketika masih bayi di dalam buaian tidak ada di dalam keempat-empat kitab Injil. Dan ketiadaan cerita tersebut mempunyai sebab yang munasabah.

Sekarang, kita lihat fakta-fakta berikut:

1. Pada zaman kehidupan Nabi Muhammad, wujud sebuah penceritaan Injil yang dipanggil sebagai "The Arabic Gospel of the Infancy of the Saviour". Injil ini adalah sebuah kitab Injil apokripa dan dikenali dengan beberapa nama lain, seperti Syriac Infancy Gospel, First Gospel of the Infancy of Jesus, dan Arabic Gospel of the Childhood.
- Anda boleh membaca Injil apokripa tersebut di sini.

2. Kitab Injil apokripa tersebut berasal dari lingkungan abad ke-5 hingga abad ke-6. (J.K Elliot, The Apocryphal New Testament: A Collection of Apocryphal Christian Literature in an English Translation, m/s 100.)
- Bandingkan dengan keempat-empat Injil iaitu Matius, Markus, Lukas dan Yohanes yang mana ditulis pada abad pertama, iaitu zaman di mana kebanyakkan saksi-saksi kepada kehidupan dan pengajaran Jesus masih lagi hidup. Saksi-saksi yang masih hidup ini termasuk mereka yang menentang Jesus (seperti para pemimpin Yahudi dan Pontius Pilatus, gabenor Rom yang bertanggungjawab menyalibkan Jesus).
- Kitab Injil apokripa tersebut pula ditulis pada abad ke-5 hingga abad ke-6, di mana semua saksi kejadian telah pun lama meninggal dunia, dan tidak ada yang dapat mengesahkan penceritaan yang diberikan.
(Kitab Injil Apokripa ini akan diperkatakan dengan lebih lanjut di dalam respon akan datang.)

3. Penceritaan di dalam Injil apokripa tersebut diketahui oleh sebilangan Kristian semasa zaman kehidupan Nabi Muhammad. Ini terbukti apabila Nabi Muhammad sendiri mendengar cerita tentang bagaimana Yesus berkata-kata ketika masih bayi ini daripada tiga orang Kristian dari Najran. (Ibn Ishaq, Sirat Rasulullah, An abridge version, m/s 57. Online)
- Menurut Ibn Ishaq, setelah Nabi Muhammad mendengar hal tersebut daripada ketiga-tiga orang Kristian dari Najran itu, 'wahyu' tentang cerita tersebut turun kepadanya. 
"They argue that he is the son of God in that they say he had no known father; and he spoke in the cradle and this is something that no child of Adam has ever done.... Concerning all these assertions the Quran came down." (Ibn Ishaq, Sirat Rasulullah, m/s 272, online)
terjemahan
"Mereka berhujah bahawa dia adalah Anak Allah dengan mengatakan tiada siapa yang tahu ayahnya, dan dia telah berkata-kata semasa di dalam buaian dan hal ini tidak pernah berlaku di dalam seluruh keturunan Adam.... mengenai semua dakwaan ini Al-Quran telah diturunkan."
4. Masalahnya, ketiga-tiga Kristian dari Najran tersebut sebenarnya memberikan pengajaran yang salah tentang peristiwa kelahiran Jesus kerana mendasarkan penceritaan mereka pada kitab Injil apokripa, "The Arabic Gospel of the Infancy of the Saviour".
- Perlu diketahui, setakat ini, tidak ada penemuan kitab Injil apokripa lain yang memasukkan cerita tersebut selain kitab Injil Apokripa "The Arabic Gospel of the Infancy of the Saviour".
- Kisah tersebut juga tidak diterima oleh penganut Kristian yang tahu tentang pengajaran Kristian yang sebenar pada zaman kehidupan Nabi Muhammad. Ini terbukti apabila tokoh-tokoh Kristian yang hidup jauh lebih awal daripada Nabi Muhammad; seperti Irenaeus, Tertullian, Polycarp, Justin Martyr, dll; juga tidak memperkatakan tentang kisah tersebut kerana kisah tersebut tidak wujud pada zaman kehidupan mereka.
- Kisah tersebut hanya wujud sekitar abad ke-5 dan ke-6, di mana penulis-penulis awal Kristian tersebut telah lama meninggal dunia. Fakta ini membuktikan kepalsuan kisah tersebut dan bukanlah kepercayaan sebenar Kristian tetapi adalah bidaah.

5. Nabi Muhammad kemudian memasukkan penceritaan tersebut, dengan sedikit ubah suai, sebagai 'wahyu' daripada Allah. Saya berikan petikan bahagian tersebut untuk anda bandingkan sendiri,
"1. We find what follows in the book of Joseph the high priest, who lived in the time of Christ. Some say that he is Caiaphas. He has said that Jesus spoke, and, indeed, when He was lying in His cradle said to Mary His mother: I am Jesus, the Son of God, the Logos, whom thou hast brought forth, as the Angel Gabriel announced to thee; and my Father has sent me for the salvation of the world." (The Arabic Gospel of the Infancy of the Saviour, Chapter 1)
Terjemahan:
"Kami mendapati apa yang terdapat di dalam kitab Yusuf, imam besar yang hidup pada zaman Kristus. Ada yang mengatakan dia adalah Kayafas. Dia berkata bahawa Jesus telah berkata-kata, dan sesungguhnya, ketika Dia masih lagi berada di dalam buaian telah berkata kepada Maryam ibu-Nya: Aku adalah Jesus, Anak Allah, yakni Firman, yang telah engkau lahirkan, seperti yang dikatakan oleh Malaikat Jibril kepadamu; dan Bapa-Ku telah mengutus aku untuk memberi keselamatan kepada dunia."
Bandingkan dengan ayat Al-Quran berikut:
"Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): "Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?Ia menjawab:" Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka. Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)"." (Surah Maryam ayat 29-33)
Jelas wujud persamaan di antara Injil apokripa tersebut dan juga Al-Quran!

Berdasarkan maklumat-maklumat ini, kita mendapati:
  1. Wujud penceritaan kitab Injil apokripa sekitar abad ke-5 hingga abad ke-6 yang mengatakan Jesus telah berkata-kata ketika masih lagi di dalam buaian.
  2. Kewujudan cerita tersebut sudah ada dua abad lebih awal berbanding permulaan Islam.
  3. Nabi Muhammad sendiri pernah mendengar penceritaan tersebut daripada orang-orang Kristian yang ada di sekitarnya pada zaman kehidupannya sebelum menerima wahyu yang sama..
  4. Kisah tersebut adalah palsu dan berdasarkan sebuah Injil apokripa yang direka-reka pada sekitar abad ke-5 dan ke-6.
  5. Nabi Muhammad kemudian memberikan cerita sama yang menurutnya adalah 'wahyu' daripada Allah.
Jadi, berdasarkan poin-poin ini, apakah kesimpulan yang lebih munasabah untuk kita pertimbangkan?
A) Kisah Jesus berkata-kata di dalam buaian adalah mitos.
atau,
B) Kisah Jesus berkata-kata di dalam buaian adalah 'wahyu' daripada Allah.
Anda sendiri yang menentukannya.

Untuk rujukan lanjut,
  • The Life of Muhammad, by Ibn Ishaq, Translated by A. Guillaume. (PDF, Zip)
  • Responses to Islamic Awareness: On The Bible Borrowing Theories Of The Qur'ân: An Authoritative Refutation. (Online)
  • Muhammad, The Qur'an, and Christian sources. (Online)
  • Apocryphal gospels in the Quran: Fictional revelations must yield to the truth. (Online)
  • Unravelling a Knot of the Qur'an: De-confusing Surah 19:37. (Online)

Ulasan

alex berkata…
Salam sejahtera tuan tiwas... semoga tuan diberi kekuatan untuk membuat ulasan-ulasan yang bernas. Dan menterjemahkan buku-buku asing yang ternyata sangat baru bagi kami sekalian kristian.
Unknown berkata…
Hai Alex,
Lama tidak membaca komen anda. Semoga anda dan keluarga dalam keadaan yang baik.

Dan terima kasih dengan dorongan anda. Saya sangat menghargainya.

Tuhan memberkati.