Langkau ke kandungan utama

Enam Musuh dalam Melakukan Apologetik

Artikel ini diterjemah dari laman web Leader U dan boleh dibaca di sini.

Oleh Douglas Groothuis


Pengenalan
Dunia penginjilan hari ini mengalami perkara yang dipanggil anemia apologetik (kekurangan apologetik). Walaupun Kitab Suci menyeru orang percaya untuk memberikan sebab kepada harapan kita di dalam Kristus (1 Ptr 3:15; lihat juga Yud 3), namun agak menyedihkan kerana kita kekurangan suara di tempat umum tentang kebenaran dan akal budi di tempat pertembungan minda. Kita tidak mempunyai kehadiran intelektual yang kuat di dalam budaya popular atau akademik (namun, dalam bidang tertentu, seperti Falsafah, lebih banyak dipengaruhi oleh evangelis dari yang lain). Punca kepada anemia ini wujud dalam pelbagai lapisan dimensi dan juga rumit.

Tiga buku terbaru meneroka tentang kekurangan "Minda Kristian" di dalam penginjilan kontemporari, dan saya sangat menyarankan buku-buku ini kepada anda. Buku Mark Noll, The Scandal of the Evangelical Mind (Eerdmans, 1994) menerokai asal usul sejarah penginjilan yang bersifat anti-intelektualisme. Buku Os Guinness, Fit Bodies, Fat Minds (Baker Books, 1994), membincangkan beberapa masalah sejarah dan juga menggariskan bagaimana rupa minda Kristian yang sepatutnya.  Buku J.P. Moreland, Love Your God with all of Your Mind (Navpress, 1997) menjelaskan mengapa orang Kristian tidak berfikir, membentuk minda teologikal secara Alkitabiah, dan memberikan beberapa argumen apologetik dan strategi untuk menguatkan gereja secara intelektual.

Tujuan saya adalah untuk memberikan secara ringkas enam faktor yang menghalang penglibatan apologetik hari ini. Jika halangan-halangan ini dialihkan, kesaksian apologetik kita akan bertumbuh menjadi yang sepatutnya di dalam Kristus.



1. Sikap acuh tak acuh
Terlalu ramai orang Kristian yang tidak kisah terhadap Kristianiti yang sering diejek sebagai ketinggalan zaman, tidak rasional, dan berfikiran sempit di dalam budaya kita. Mereka mungkin mengadu perbuatan itu "menyinggung perasaan" mereka (sama seperti semua orang mengadu terhadap sesuatu perkara yang "menyinggung perasaan" mereka), namun tidak melakukan apa-apa untuk membalas dakwaan yang diberikan dengan mengemukakan suatu pertahanan terhadap pandangan Kristianiti di dalam perlbagai situasi. Namun, Alkitab menyuruh semua orang Kristian untuk memiliki alasan kepada harapan yang ada di dalam diri mereka dan memberikannya dengan lemah lembut dan hormat kepada mereka yang tidak percaya (1 Ptr 3:15).

Pendirian kita sepatutnya sama seperti Rasul Paulus yang "sangat sedih hatinya" apabila melihat penyembahan berhala oleh penduduk Athens yang sofistikated. Semangat terhadap kebenaran Tuhan telah memimpinnya kepada suatu pertemuan apologetik yang berhasil dengan para pemikir yang berkumpul untuk membahaskan idea baru (lihat Kis 17). Kita juga sepatutnya begitu. Sama seperti Tuhan "sangat mengasihi dunia ini" dan kemudian mengutus Yesus untuk memperbaiki hubungan kita dengan Tuhan (Yoh 3:16), para pengikut Yesus juga sepatutnya sangat mengasihi dunia ini dan berusaha untuk mencapai mereka yang hilang dengan memberitakan Injil dan menjawab bantahan terhadap kepercayaan Kristian (Yoh 17:18).

2. Bersikap Tidak Rasional
Bagi sebilangan Kristian, iman bererti kepercayaan dengan ketiadaan bukti dan argumen. Lebih teruk lagi, ada yang menganggap iman adalah kepercayaan walaupun bukti yang ada menunjukkan perkara sebaliknya. Lebih tidak rasional kepercayaan kita, lebih baik -- lebih "rohani" bagi mereka. Walaupun Paulus di dalam 1 Korintus 1 dan 2 mengajarkan pengetahuan dunia adalah kebodohan bagi Tuhan (kerana ia adalah pengetahuan yang palsu), wahyu Tuhan tidak bersifat tidak rasional; atau perlu dipegang secara tidak rasional. [1] Tuhan tidak memerlukan kita menghentikan pemikiran kritis kita untuk dapat mempercayai apa yang telah dinyatakanNya. Melalui Yesaya, Tuhan mengisytiharkan kepada bangsa Israel, "Mari kita berfikir bersama" (Yes 1:18). Yesus menyuruh kita mengasihi Tuhan dengan segenap akal budi kita (Mat 22:37).

Apabila Kristian memilih untuk tidak rasional, mereka sekadar menjadi satu lagi "pilihan agama", dan sama seperti Heaven's Gate, the Flat Earth Society, dan lain-lain kumpulan yang tidak bersifat intelektual. Selepas peristiwa bunuh diri oleh kumpulan Heaven's Gate, beberapa buah penerbitan majalah utama seperti Esquire, Newsweek, dan US News and World Report mendakwa iman mereka yang membunuh diri menurut kepercayaan fiksyen sains Marshall Applewhite ini adalah tidak asing dengan Kristian, yang juga percaya kepada perkara yang tidak masuk akal. Yang menyedihkan, sikap beberapa orang Kristian memberikan dorongan terhadap dakwaan seperti ini.

3. Kejahilan
Ramai orang Kristian tidak sedar wujudnya sumber intelektual yang sangat banyak untuk mempertahankan "iman yang telah disampaikan kepada orang-orang kudus" (Yud 3). Ini kerana sebahagian besar gereja dan organisasi penaung gereja tidak mengambil tahu tentang apologetik. Sebuah kampus pelayanan yang besar dengan sejarah yang baik serta memiliki program yang hebat tidak menawarkan sedikit pun bahan untuk membantu pelajar berdepan dengan ketidakpercayaan yang datang dari profesor-profesor sekular mereka. Hanya sedikit khotbah penginjilan yang menyentuh tentang bukti kepada kewujudan Tuhan, kebangkitan Yesus, keadilan neraka, keagungan Kristus, atau permasalah logik dalam pandangan bukan Kristian. Buku Kristian yang laris, selalunya berkenaan dengan spekulasi akhir zaman yang tidak berasas, selebirit Kristian yang diagung-agungkan (yang mana karakter mereka sering tidak sepadan dengan populariti mereka), dan suka dengan kaedah tunjuk-cara. Anda dapat mengetahui banyak perkara tentang suatu pergerakan itu melalui apa yang dapat dibaca darinya, dan apa yang tidak.

4. Perasaan Takut
Di dalam budaya kita yang majmuk, sikap "hidup dan biarkan hidup" adalah sesuatu yang normal, dan penyerahan terhadap tekanan sosial menyebabkan keyakinan dalam penginjilan menjadi kering. Ramai evangelis yang lebih tertumpu untuk menjadi "baik" dan "toleransi" berbanding menjadi lebih Alkitabiah atau setia kepada Injil khusus yang terdapat di dalam Alkitab. Tidak ramai evangelis yang sanggup untuk menyatakan atau mempertahankan iman mereka dalam situasi yang mencabar, sama ada di sekolah, tempat kerja, atau dalam mana-mana situasi umum lain. Godaan yang ada ialah menjadikan iman sebagai suatu yang bersifat peribadi, menyekat dan mengasingkannya dari kehidupan umum sepenuhnya. Ya, kita adalah Kristian (di dalam hati kita), tetapi kita menghadapi kesulitan untuk berdepan dengan orang lain tentang kepercayaan kita dan mengapa kita mempercayainya. Ini sama seperti sikap pengecut dan pengkhianatan terhadap apa yang kita katakan kita percayai.

Pertimbangkan permohonan Paulus untuk didoakan dan peringatannya untuk kita: "Bertekunlah dalam doa dan dalam pada itu berjaga-jagalah sambil mengucap syukur. Berdoa jugalah untuk kami, supaya Allah membuka pintu untuk pemberitaan kami, sehingga kami dapat berbicara tentang rahasia Kristus, yang karenanya aku dipenjarakan. Dengan demikian aku dapat menyatakannya, sebagaimana seharusnya. Hiduplah dengan penuh hikmat terhadap orang-orang luar, pergunakanlah waktu yang ada. Hendaklah kata-katamu senantiasa penuh kasih, jangan hambar, sehingga kamu tahu, bagaimana kamu harus memberi jawab kepada setiap orang." (Kol 4:2-6)

Kita mungkin akan mengalami penolakkan; tetapi Yesus mengatakan 'diberkatilah' mereka yang ditindas oleh kerana namaNya. "Berbahagialah kamu, jika karena Aku kamu dicela dan dianiaya dan kepadamu difitnahkan segala yang jahat. Bersukacita dan bergembiralah, karena upahmu besar di sorga, sebab demikian juga telah dianiaya nabi-nabi yang sebelum kamu." (Mat 5:11-12)

Rasul Petrus mengulang apa yang diajarkan kepadanya, "Berbahagialah kamu, jika kamu dinista karena nama Kristus, sebab Roh kemuliaan, yaitu Roh Allah ada padamu." (1 Ptr 4:14)

Sebaliknya, apabila Roh Kudus memberkati usaha kita, orang lain akan memberikan respon yang baik dan mungkin memiliki iman yang menyelamatkan (Rom 1:16). Kita tidak boleh lupa bahawa Yesus mempunyai kuasa ke atas seluruh langit dan bumi, dan Dia telah menugaskan kita untuk mengisytiharkan dan mempertahankan InjilNya (Mat 28:18-20).

5. Sombong dan kesia-siaan intelektual
Di hujung spektrum yang lain terdapat kesombongan oleh apologis yang kelihatan tahu semua perkara, yang mana lebih berminat menunjukkan kehebatan argumennya berbanding mempertahankan kebenaran dengan sikap yang berkenaan di hadapan Tuhan. Dosa yang melanda apologetik adalah keangkuhan intelektual, dan ia mesti dielakkan dengan apa cara sekali pun. Kebenaran yang kita pertahankan adalah dikaruniakan atas dasar kasih, bukan pencapaian intelektual kita. Kita mengembangkan kemahiran apologetik kita untuk menyucikan kita di dalam kebenaran, dan memenangi jiwa untuk Kristus, serta memuliakan Tuhan. Kita mesti "menyatakan kebenaran dengan kasih" (Ef 4:15). Kebenaran tanpa kasih adalah kesombongan, kasih tanpa kebenaran adalah kesentimentalan. [2]

Kesombongan juga timbul apabila apologis menuduh orang percaya yang lain sebagai percaya kepada bidaah tanpa bukti yang kukuh. Paulus memberitahu pemimpin-pemimpin gereja awal untuk bersedia terhadap bidaah dan bertahan darinya (Kis 20:28-31). Kita juga perlu melakukan perkara yang sama. Namun, kita mesti berhati-hati untuk tidak memfitnah saudara Kristian yang lain atau berprasangka buruk terhadapnya. Saya pernah mengalaminya, apabila saya dituduh sebagai mengikut fahaman New Age kerana seorang pengkritik telah tersalah faham semasa membaca sebahagian daripada salah satu buku anti-New Age saya, Unmasking The New Age! Jangan kita membazirkan tenaga apologetik kita menyerang orang percaya yang lain sedangkan pengamal bidaah sebenar dan orang tidak percaya berseru untuk ditidakkan serta diperbetulkan.

6. Teknik cetek dan apologetik gaya 'schlock'
Mereka yang menjadi teruja terhadap apologetik mungkin akan berpuas hati dengan jawapan cetek untuk persoalan yang rumit. Budaya kita menggemari jawapan ringkas untuk hampir semua perkara, dan teknik lebih diutamakan. Beberapa orang Kristian menghafal jawapan segera untuk persoalan apologetik--seperti masalah kejahatan atau kontroversi penciptaan/evolusi--yang mana mereka gunakan tanpa berdepan terlebih dahulu dengan isu tersebut dan tanpa perasaan empati terhadap jiwa yang mengajukan persoalan tersebut. Saya pernah membaca sebuah buku kecil bertajuk seperti Cara mudah menjawab dakwaan evolusi. Ya, evolusi-makro adalah salah, dan argumen yang baik telah diberikan terhadapnya berdasarkan alam semula jadi dan Alkitab, namun hal ini tidaklah semudah seperti yang dinyatakan oleh tajuk buku tersebut. [3] Apologetik mesti dilakukan dengan kejujuran intelektual.

Motto apologetik Francis Schaeffer adalah kita mesti "memberikan jawapan yang jujur untuk soalan yang jujur". Pertama, kita mesti benar-benar mendengar soalan yang diajukan atau bantahan yang diberikan. Kita mesti menyelami minda mereka yang memberikan alasan untuk tidak mahu mengikut Kristus. Setiap peribadi adalah berbeza, walaupun bantahan yang diberikan sering kita dengari. Jangan menjadikan mereka menjadi klise.

Kedua, beri respon terhadap perkara yang anda dengar. Jangan menjawab soalan yang tidak ditanya. Pendekatan cetek seperti ini tidak akan meninggalkan impak baik kepada orang tidak percaya yang berfikir. Jika anda tidak dapat memberikan jawapan yang baik terhadap bantahan yang diberikan ketika itu, jangan cuba menyembunyikan ketidaktahuan anda atau ketidakmampuan anda. Mengaku kelemahan anda dengan jujur adalah jauh lebih baik dari memberikan jawapan yang kurang bermutu. Beritahu orang tersebut bahawa ia adalah poin yang baik dan anda memerlukan masa untuk memikirkannya. Kristianiti adalah benar; namun ia tidak bererti mana-mana orang Kristian akan dapat menghadapi apa sahaja bantahan yang diberikan kepadanya. Kita haru mengelakkan teknik apologetik, sebaliknya mengembangkan sumber intelektual dan memupuk dialog yang bermakna dengan mereka yang tidak percaya.

Walter Martin berkata benar apabila dia mengatakan gereja evangelikal seperti gergasi yang tidur, dan dia berusaha dengan sangat gigih untuk membangunkannya ke aras potensi yang diberikan Tuhan untuk menyatakan Injil dan mempertahankannya daripada bantahan bersifat skeptikal dan bidaah. Dengan warisan ini di dalam minda kita, semoga kita dapat menghidupkan semula visi ini dan menemui semangat serta kebijaksanaan, dan menggunakannya dengan kuasa pimpinan Roh Kudus (Kis 1:8).

Tentang penulis
Douglas Groothuis, PH.D. mengajar falsafah di Denvar Seminary dan merupakan penulis tujuha buah buku, dan yang terbaru adalah The Soul in Cyberspace (Baker, 1997).

Nota akhir
[1] Untuk penjelasan kepada ayat Alkitab yang kelihatan mengajarkan iman adalah tidak rasional, lihat J.P. Moreland, Love God With All of Your Mind (Colorado Springs, CO: NavPress, 1997), 57-61.
[2] Untuk hal ini, lihat Douglas Groothuis, "Apologetics, Truth, and Humility", Christian Research Journal (Spring 1992), 7.
[3] Untuk pengenalan yang menarik kepada isu ini, lihat Philip Johnson, Defeating Darwinism by Opening Minds (Downers Grove, IL: InterVarsity Press, 1997).
[4] Lihat Dialogical Apologetics oleh David Clark (Grand Rapids, MI: Baker Books, 1993).

Ulasan