Langkau ke kandungan utama

Lebih dari sekadar Iman yang Buta

Artikel ini diterjemahkan dari laman web Leader U dan boleh dibaca di sini.

Oleh Paul E. Little

Adalah mustahil untuk kita mengetahui dengan pasti sama ada Tuhan wujud atau tidak dan bagaimanakah Tuhan itu melainkan Dia mengambil inisiatif dengan menyatakan diriNya. Kita mesti tahu Dia seperti apa dan sikapNya terhadap kita. Katakan kita tahu Dia wujud, tetapi Dia seperti Adolf Hitler--tidak menentu, ganas, berprasangka, dan kejam. Jika ia seperti demikian, betapa menakutkan kenyataan tersebut!

Kita mesti melihat ke arah sejarah untuk pelihat sebarang petunjuk kepada pernyataan Tuhan tentang diriNya. Ada satu petunjuk yang jelas. Di dalam sebuah kampung yang terpencil di tanah Palestin, lebih 2,000 tahun dahulu, seorang anak dilahirkan di dalam sebuah kandang. Hari ini, seluruh dunia masih merayakan kelahiran Yesus.

Dia hidup tanpa dikenali sesiapa sehinggalah Dia berumur 30 tahun, dan memulakan pelayanan umumNya selama 3 tahun. Pelayanan itu telah ditentukan untuk mengubah sejarah. Dia seorang yang baik dan kita diberitahu bahawa "orang ramai suka mendengarNya". Dan, "Dia mengajar dengan wibawa, bukan seperti guru Taurat mereka." (Matius 7:29)


Yesus mengatakan bahawa Dia adalah Anak Allah
Namun, tidak lama kemudian, Dia membuat kenyataan yang mengejutkan dan menakjubkan tentang diriNya. Dia mulai memperkenalkan diriNya lebih dari sekadar guru yang hebat atau seorang nabi. Dia mulai berkata dengan jelas bahawa Dia adalah Tuhan. Dia menjadikan identitiNya sebagai tumpuan utama di dalam pengajaranNya. Soalan terpenting yang diajukanNya kepada mereka yang mengikut Dia adalah, "Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?" Petrus menjawab, "Engkau adalah Mesias, Anak Allah yang hidup!" (Matius 16:15-16) Yesus tidak terkejut, juga tidak menidakkan kenyataan Petrus. Sebaliknya, Dia memujinya!


Dia membuat pengakuan secara jelas, dan mereka yang mendengarNya mendapat impak penuh perkataanNya. Kita diberitahu, "Kata-kata-Nya ini membuat para penguasa Yahudi semakin bertekad untuk membunuh Dia. Bukan sahaja Dia telah melanggar hukum hari Sabat, tetapi Dia berkata bahawa Allah itu Bapa-Nya. Hal ini bererti Dia menyamakan diri dengan Allah." (Yohanes 5:18)

Di dalam kejadian lain, Dia berkata, "Bapa dan Aku satu." Dengan segera orang-orang Yahudi mahu merejamNya. Dia bertanya atas perbuatan baik manakah mereka mahu membunuhNya. Mereka menjawab, "Kami mahu merejam kamu bukan kerana perbuatanmu yang baik, tetapi kerana kamu mengkufuri Allah! Kamu hanya manusia, tetapi kamu mahu menjadikan dirimu Allah!" (Yohanes 10:33)

Yesus dengan jelas mengakui sifat-sifat yang hanya dimiliki oleh Tuhan. Apabila seorang yang lumpuh diturunkan dari bumbung dan mahu disembuhkan olehNya, Dia berkata, "Anak-Ku, dosamu telah diampunkan." Ini menyebabkan pemimpin agama heboh dikalangan mereka, dan berkata di dalam hati, "Mengapa orang ini berkata begitu? Ia menghujat Allah. Siapa yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah sendiri?"

Ketika detik paling kritikal di mana nyawaNya dalam bahaya, Imam Besar mengajukan soalan secara terus kepadaNya: "Apakah Engkau Mesias, Anak dari Yang Terpuji?"

Jawab Yesus: "Akulah Dia, dan kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Yang Mahakuasa dan datang di tengah-tengah awan-awan di langit."

Maka Imam Besar itu mengoyakkan pakaiannya dan berkata: "Untuk apa kita perlu saksi lagi? Kamu sudah mendengar hujat-Nya terhadap Allah." (Markus 14:61-64)

Begitu dekatnya hubunganNya dengan Tuhan sehingga Dia menyamakan sikap seseorang terhadap DiriNya dengan sikap orang tersebut terhadap Tuhan. Maka, mengenal Dia adalah mengenal Tuhan (Yoh 8:19; 14:7). Melihat Dia adalah melihat Tuhan (Yoh 12:45; 14:9). Percaya kepadaNya adalah percaya kepada Tuhan (Yoh 12:44; 14:1). MenerimaNya adalah menerima Tuhan (Mrk 9:37). MembenciNya adalah membenci Tuhan (Yoh 15:23). Dan memuliakanNya adalah memuliakan Tuhan (Yoh 5:23).

Hanya ada Empat Kemungkinan
Dalam kita menghadapi dakwaan yang dibuat oleh Kristus, hanya ada empat kemungkinan. Sama ada Dia adalah penipu, gila, lagenda, atau Kebenaran. Jika katakan bahawa Dia bukan Kebenaran, kita secara automatik bersetuju kepada salah satu dari tiga alternatif yang lain, sama ada kita sedar atau tidak.

(1) Satu kemungkinan adalah Yesus menipu ketika Dia mengatakan Dia adalah Tuhan--iaitu Dia tahu Dia bukan Tuhan, tapi sengaja memperdayakan mereka yang mendengarNya untuk mendapatkan kuasa ke atas pengajaranNya. Hanya sedikit, itu pun jika ada, berpegang kepada posisi ini secara serius. Malah mereka yang menidakkan keTuhananNya bersetuju bahawa Dia adalah seorang guru moral yang agung. Mereka gagal mengetahui bahawa kedua pernyataan ini saling bercanggah. Yesus tidak mungkin seorang guru moral yang agung jika, pada pengajaranNya yang paling utama--identitiNya--Dia adalah penipu yang sengaja menipu.

(2) Kemungkinan yang lebih lembut, tetapi tidak kurang mengejutkan, ialah Dia jujur tetapi tidak sedar bahawa Dia terpedaya oleh diriNya sendiri. Kita mempunyai gelaran untuk mereka yang menganggap diri mereka adalah Tuhan pada zaman ini. Gelaran itu adalah gila, dan ia sememangnya sesuai dengan Kristus jika Dia memang terpedaya dengan isu yang sangat penting ini. Namun, apabila kita melihat kehidupan Kristus, kita tidak nampak sebarang bukti ketidak normalan dan ketidak warasan yang sering kita temui pada peribadi yang gila. Sebaliknya, kita melihat ketenangan hebat dalam menghadapi tekanan.

(3) Alternatif ketiga adalah semua yang memperkatakan tentang Dia mengaku sebagai Tuhan hanyalah lagenda--perkara yang sebanrnya adalah pengikut-pengikutNya yang taksub, pada abad ke-3 dan ke-4, menambahkan perkara yang mungkin Dia sendiri akan terkejut apabila mendengarnya. Jika Dia kembali, Dia akan segera menolak mereka.

Teori lagenda ini telah ditidakkan secara signifikan melalui penemuan arkeologi moden. Semua ini telah menunjukkan dengan muktamad bahawa keempat-empat biografi tentang Kristus telah ditulis dalam hayat kehidupan mereka yang sezaman dengan Kristus. Tidak lama dahulu, Dr. William F. Albright, arkeologi terkenal dunia yang kini sudah bersara dari Universiti Johns Hopkins mengatakan, tidak ada sebab untuk mempercayai keempat-empat kitab Injil ditulis lewat dari tahun 70 A.D. Untuk suatu lagenda tentang Kristus, dalam bentuk kitab Injil, tersebar luas dan memberikan impak seperti yang kita lihat hari ini, tanpa sebarang dasar atau fakta, adalah luar biasa.

Untuk hal seperti ini terjadi secara luar biasa pada zaman ini adalah jika seseorang menulis biografi tentang mendiang John F. Kennedy dan di dalam biografi itu dikatakan dia mendakwa dirinya adalah Tuhan, mengampunkan dosa manusia, dan telah bangkit dari kematian. Cerita seperti ini sangat pelik sehingga ia tidak akan dipercayai kerana ramai orang yang mengenali Kennedy masih hidup. Teori lagenda tidak dapat bertahan dengan tarikh penulisan kitab Injil yang awal.

(4) Satu-satunya alternatif yang lain adalah Yesus bercakap benar. Namun, dari perspektif yang lain, suatu dakwaan tidak begitu bererti. Cakap itu senang. Siapa pun boleh membuat dakwaan. Terdapat orang lain yang pernah mengaku sebagai Tuhan. Saya boleh mengaku sebagai Tuhan, dan anda juga boleh mengaku sebagai Tuhan, namun soalan yang kita semua mesti jawap adalah, "Apa kelayakan yang kita bawa untuk menyokong dakwaan kita?" Dalam kes saya, mungkin lima minit sudah cukup menidakkan dakwaan saya. Ia juga mungkin tidak memerlukan masa yang lama juga untuk menidakkan dakwaan anda. Namun untuk Yesus dari Nazaret, ia tidak begitu mudah. Dia mempunyai kelayakan untuk menyokong dakwaanNya. Dia berkata, "Tetapi jika Aku melakukannya, percayalah kepada apa yang Aku lakukan itu, meskipun kamu tidak percaya kepada-Ku. Dengan demikian kamu tahu dan mengerti bahawa Bapa bersatu dengan Aku, dan Aku bersatu dengan Bapa." (Yohanes 10:38)

Apakah kelayakan-kelayakan Yesus?
Pertama, karakter moralNya sepadan dengan dakwaanNya. Ramai penghuni rumah sakit jiwa mendakwa diri mereka sebagai selebriti atau tuhan. Tetapi karakter mereka mendustakan dakwaan mereka. Tidak bagi Kristus. Dia unik--seunik Tuhan.

Yesus Kristus tidak berdosa. HidupNya sangat berkaliber sehingga Dia mampu mencabar musuh-musuhNya dengan soalan, "Siapakah antara kamu dapat membuktikan bahawa Aku berdosa?" (Yohanes 8:46). Tiada yang menjawabNya, walaupun Dia berhadapan dengan mereka yang mahu menunjukkan kelemahan di dalam karakterNya.

Kita membaca tentang pencubaan terhadap Yesus, namun kita tidak pernah mendengarNya mengakui dosaNya. Dia tidak pernah meminta pengampunan, walaupun Dia menyuruh pengikut-pengikutNya berbuat demikian.

Keadaan di mana tidak wujud sebarang kelemahan moral pada diri Yesus sangat menakjubkan apabila kita melihat bagaimana ia sangat berbeza dengan pengalaman mana-mana orang suci dan mistik sepanjang zaman. Semakin dekat kita dengan Tuhan, semakin kita sedar betapa besar kegagalan, kerosakkan, dan kelemahan yang ada pada kita. Semakin dekat seseorang itu dengan cahaya, semakin dia menyedari bahawa dia perlu mandi. Hal ini juga sama di dalam dunia moral, untuk manusia yang fana.

Ia juga sangat menonjol di mana Yohanes, Paulus dan Petrus, yang mana semua mereka telah dilatih sejak kecil untuk percaya bahawa dosa dilakukan oleh semua, semua mereka mengatakan Kristus tidak berdosa, "Dia tidak pernah berdosa dan sesiapa pun tidak pernah mendengar Dia berdusta." (1 Petrus 2:22)

Pilatus, seorang yang bukan sahabat Yesus, berkata, "Apakah kesalahanNya?" Dia secara tidak langsung mengetahui Kristus tidak bersalah. Askar Rom yang menyaksikan kematian Yesus juga berkata, "Dia betul-betul Anak Allah!" (Matius 27:54).

Kedua, Kristus menunjukkan kuasa ke atas alam semula jadi yang mana hanya dimiliki oleh Tuhan, Pencipta alam ini.

Dia menenangkan ribut kencang dan ombak di Laut Galilea. PerbuatanNya telah menimbulkan persoalan yang mengagumkan pada mereka yang ada di dalam perahu tersebut, "Siapakah orang ini? Angin dan ombak pun taat kepadaNya!" (Markus 4:41) Dia menukarkan air menjadi anggur, memberi makan 5,000 orang dengan lima keping roti dua ekor ikan, membangkitkan satu-satunya anak seorang janda dari kematian, dan menghidupkan semula anak perempuan seorang bapa yang hancur hatinya. Untuk seorang sahabat lamaNya Dia berkata, "Lazarus, keluar!" dan dia segera dibangkitkan dari kematian. Hal yang paling signifikan ialah, musuh-musuhNya tidak menidakkan mukjizat tersebut. Sebaliknya, mereka cuba membunuhNya, "Jika kita biarkan Dia terus berbuat demikian, semua orang akan percaya kepada-Nya." (Yohanes 11:48)

Ketiga, Yesus menunjukkan kuasa Pencipta ke atas sakit dan penyakit. Dia menjadikan orang lumpuh berjalan, orang bisu berkata-kata, dan orang buta melihat. Beberapa dari penyembuhanNya adalah masalah sejak lahir dan bukan dipengaruhi oleh penyembuhan bersifat psikosomatik. Yang paling menonjol adalah kes penyembuhan seorang lekaki buta yang dicatatkan di dalam Yohanes 9. Walaupun lelaki tersebut tidak dapat menjawab persoalan daripada mereka yang tidak percaya, pengalamannya sudah cukup untuk meyakinkan dirinya. "Tetapi satu perkara saya tahu; dahulu saya buta, sekarang saya dapat melihat." katanya. Dia berasa sangat hairan kerana sahabat-sahabatnya tidak mengenal Penyembuh ini sebagai Anak Allah. "Sejak permulaan dunia, orang belum pernah mendengar berita tentang seorang yang dapat mencelikkan mata orang yang buta sejak lahir." katanya (Yohanes 9:25, 32). Baginya, bukti yang ada sangat jelas.

Keempat, kelayakan tertinggi Yesus untuk mengesahkan dakwaanNya sebagai Tuhan adalah kebangkitanNya dari kematian. Lima kali sepanjang perjalanan hidupNya Dia menubuatkan kematianNya. Dia juga menubuatkan bagaimana Dia akan mati dan tiga hari kemudian Dia akan bangkit dari kematian dan menampakkan diriNya kepada pengikut-pengikutNya.

Sudah tentu ini adalah ujian paling besar. Ia adalah dakwaan yang senang untuk diperiksa. Sama ada ia terjadi atau tidak.

Kesemua kawan dan lawan kepada iman Kristian memperakui bahawa kebangkitan Kristus adalah dasar kepada iman tersebut. Paulus, seorang rasul yang hebat, menulis, "Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka berita yang kami khabarkan dan kepercayaan kamu kepada Kristus sia-sia belaka." (1 Korintus 15:14). Paulus meletakkan keseluruhan kesnya di atas kebangkitan tubuh Kristus. Sama ada Dia telah bangkit atau tidak dari kematian. Jika Dia telah bangkit, ia adalah peristiwa paling sensasi sepanjang perjalanan sejarah.

Jika Kristus bangkit, kita akan tahu dengan pasti bahawa Tuhan wujud, seperti apa Tuhan itu, dan bagaimana kita dapat mengenalNya di dalam kehidupan kita. Alam semesta ini akan mempunyai maksud dan tujuan, dan adalah mungkin untuk mengalami Tuhan yang Hidup di dalam kehidupan moden ini.

Bukan Tinggalan Sejarah yang Menarik
Sebaliknya, jika Kristus tidak bangkit dari kematian, Kristianiti hanyalah sebuah tinggalan sejarah yang menarik--tidak lebih dari itu. Ia tidak mempunyai kebenaran objektif atau realiti. Walaupun ia adalah idea sia-sia yang menarik, yang pasti tidak berguna kita merasa teruja kerananya. Mereka yang mati mempertahankan iman mereka dengan dibaham singa, atau misionari moden yang mengorbankan nyawa mereka untuk memberitakan berita ini di Ecuador dan Congo, hanyalah insan malang yang tertipu dengan janji-janji kosong.

Serangan ke atas Kristianiti oleh musuh-musuhnya sering ditumpukan ke atas peristiwa Kebangkitan kerana dengan jelas diketahui itulah tiang utamanya. Satu serangan yang hebat adalah dari seorang peguam muda dari British pada awal tahun 1930-an. Dia yakin bahawa peristiwa Kebangkitan itu hanyalah dongeng dan fantasi. Mengatahui ia adalah dasar kepada kepercayaan Kristian, dia memutuskan untuk melakukan perbuatan baik untuk dunia dengan mendedahkan penipuan dan kepercayaan karut tersebut. Sebagai seorang peguam, dia merasakan dirinya memiliki daya fikir kritis untuk dengan tegas memeriksa bukti dan tidak akan mengakui sebarang bukti jika ia tidak menepati kriteria ketat sebelum dapat dimasukkan ke dalam mahkamah undang-undang hari ini.

Namun, sedang Frank Morrison melakukan penyelidikannya, sesuatu yang luar biasa terjadi. Kes tersebut tidak semudah yang disangkakan olehnya. Hasilnya, bab pertama di dalam buku, Who Moved the Stone?, diberi tajuk "Buku yang tidak mahu dituliskan". Di dalam bab tersebut dia menjelaskan, sedang dia mengkaji bukti-bukti yang ada, dia menjadi diyakinkan tanpa keinginannya, terhadap fakta tentang kebangkitan Kristus secara jasmani.

Cara Kematian dan Penguburan Yesus
Kematian Yesus adalah melalui hukuman salib yang dilakukan secara umum. Pemerintah mengatakan ia kerana menghujat. Yesus mengatakan ia untuk menebus dosa. Setelah diseksa dengan teruk, pergelangan tangan dan kaki Yesus dipakukan pada kayi salib di mana Dia dibiarkan tergantung, yang akhirnya mati kerana lemas. Mata tombak ditikam pada rusukNya untuk memastikan kematianNya.

Tubuh Yesus dibalut dengan kain linen dan dibubuh dengan rempah seberat kira-kira 100 paun. MayatNya diletakkan di dalam liang kubur batu dan ditutup dengan batu seberat 1 setengah hingga 2 tan yang digulingkan menggunakan tuil. Oleh kerana Yesus memberitahu secara umum bahawa Dia akan bangkit selepas 3 hari, pengawal yang terdiri daripada askar Rom yang terlatih diletakkan untuk berkawal di kubur tersebut. Dan meterai rasmi kerajaan Rom diletakkan pada pintu masuk kubur tersebut sebagai tanda ia hak milik kerajaan.

Walaupun semua ini dilakukan, tiga hari kemudian tubuh tersebut hilang. Hanya kain linen yang tinggal, dalam bentuk tubuh, tetapi terletak di dalam kubur. Batu yang sebelum itu menutup pintu telah tergolek ke atas lereng, tidak berapa jauh dari kubur.

Penjelasan untuk Kubur yang Kosong
Penjelasan terawal yang disebarkan ialah mayat itu telah dicuri oleh para pengikutNya! Di dalam Matius 28:11-15, kita mempunyai catatan tentang reaksi imam-imam dan pemimpin apabila pengawal menyampaikan berita yang membuat mereka marah dan penuh misteri iaitu tubuh tersebut telah hilang. Mereka memberikan wang kepada pengawal-pengawal tersebut dan menyuruh mereka mengatakan bahawa pengikut-pengikutNya telah mencuri mayat tersebut semasa mereka sedang tidur. Cerita tersebut sangat palsu sehingga Matius tidak peduli dengan tidak menyangkalnya! Hakim mana yang akan percaya kepada anda apabila anda mengatakan anda tahu jiran anda telah mencuri set televisyen anda semasa anda sedang tidur? Siapa yang tahu apa yang terjadi semasa dia sedang tidur? Testimoni seperti ini akan diketawakan oleh mana-mana mahkamah.

Lebih dari itu, kita akan berhadapan dengan keadaan psikologi dan etika yang mustahil terjadi. Mencuri mayat Kristus adalah tindakan yang tidak mungkin dilakukan oleh pengikut-pengikutNya berdasarkan apa yang kita tahu tentang mereka. Ini bererti mereka dengan sengaja melakukan penipuan yang mana mengakibatkan kematian beribu-ribu orang. Tidak dapat dibayangkan, jika beberapa dari pengikut ini telah merancang konspirasi tersebut, mereka tidak memberitahu pengikut yang lain.

Setiap pengikut ini berdepan dengan penyeksaan dan kematian kerana kenyataan dan kepercayaan mereka masing-masing. Manusia sanggup mati untuk sesuatu yang mereka anggap benar, walaupun ia sebenarnya mungkin palsu. Namun, tidak akan ada yang sanggup mati untuk perkara yang mereka tahu adalah penipuan.   Jika seseorang itu berkata benar, ia akan dibawanya sehingga dia mati. Dan jika pengikut-pengikutNya mencuri mayat tersebut, dan Kristus masih mati, kita akan tetap menghadapi masalah untuk menjelaskan penampakkan diriNya.

Hipotesis kedua adalah pihak berkuasa, pihak Rom atau pemimpin Yahudi, memindahkan mayat tersebut! Tapi mengapa? Setelah meletakkan pengawal pada kubur tersebut, apa sebabnya mereka perlu memindahkan mayat tersebut? Selain itu, mengapa pihak berkuasa yang terlibat berdiam diri apabila para rasul dengan berani memberitakan tentang Kebangkitan di Yerusalem? Para pemimpin rumah ibadat sangat maah, dan berusaha dengan apa cara sekali pun untuk menghalang penyebaran berita bahawa Yesus telah bangkit dari kematian. Mereka menahan Petrus dan Yohanes serta memukul dan mengugut mereka, dalam usaha untuk menutup mulut mereka.

Namun, terdapat penyelesaian yang sangat mudah untuk masalah mereka. Jika mereka menyimpan mayat Kristus, mereka boleh mengaraknya di jalan-jalan Yerusalem. Dengan sekali gus mereka dapat menghalang Kristianiti pada saat pemulaannya. Memandangkan mereka tidak melakukannya menunjukkan kesaksian yang sangat jelas bahawa mereka tidak memiliki mayat tersebut.

Satu lagi teori yang popular adalah wanita-wanita tersebut, dalam keadaan terganggu dan sedih, tersalah jalan ketika awal pagi dan sampai ke kubur yang salah. Semasa dalam keadaan hati yang sangat pedih, mereka membayangkan bahawa Kristus telah bangkit kerana kubur tersebut kosong. Namun , teori ini juga ditidakkan oleh fakta sama yang memusnahkan teori sebelum ini. Jika wanita-wanita ini tersalah kubur, mengapakah iman-iman besar tersebut dan musuh-musuh lain pergi ke kubur yang betul dan menunjukkan mayat tersebut? Selain itu, adalah mustahil untuk Petrus dan Yohanes melakukan kesilapan yang sama, dan sudah pasti Yusuf dari Arimatea, pemilik asal kubur tersebut, akan menyelesaikan masalah yang timbul. Ditambah lagi, kubur tersebut adalah kubur beada di tanah persendirian, bukan di tanah perkuburan awam. Tidak ada kubur berhampiran yang membolehkan mereka melakukan kesilapan tersebut.

Teori Swoon (pengsan) juga telah diberikan untuk menjelaskan kubur yang kosong tersebut. Menurut pandangan ini, Kristus sebenarnya tidak mati. Dia disalah anggap sebagai telah meninggal sedangkan Dia hanya pengsan kerana keletihan, kesakitan, dan kehilangan darah. Apabila Dia dibaringkan di dalam kubur yang sejuk, Dia tersedar. Dia keluar dari kubur dan menampakkan diriNya kepada pengikut-pengikutNya yang tersalah anggap bahawa Dia telah bangkit dari kematian.

Ini adalah teori moden. Ia pertama kali muncul pada akhir abad ke-18. Ia sangat signifikan kerana dalam sebanyak-banyak serangan yang ganas ke atas Kristianiti sejak dahulu lagi, pendapat seperti ini tidak pernah diberikan. Kesemua catatan awal bersifat empatik terhadap kematian Yesus.

Namun, katakan Kristus memang dikuburkan dalam keadaan hidup dan kemudian sedar dari pengsan. Adakah mungkin untuk Dia bertahan selama 3 hari di dalam kubur yang lembap tanpa makanan dan minuman atau sebarang rawatan? Adakah Dia akan mempunyai kekuatan untuk mengeluarkan diriNya dari kain yang membungkusNya, menggulingkan batu yang berat tersebut dari pintu kubur, mengalahkan askar Rom, dan berjalan kaki beberapa batu jauhnya dengan keadaan kaki yang telah ditembusi paku? Kepercayaan seperti ini adalah lebih luar biasa berbanding fakta ringkas tentang kebangkitan itu sendiri.

Malah, seorang pengkritik dari German, David Strauss, yang tidak mempercayai peristiwa kebangkitan tersebut, menolak pendapat seperti itu sebagai mustahil. Dia berkata:
Adalah mustahil untuk Seseorang yang baru keluar dari kubur dalam keadaan separuh mati, dalam keadaan lemah dan sakit, dan sangat memerlukan rawatan perubatan dan penjagaan yang rapi untuk memulihkan keadaanNya, yang akhirnya kalah kepada penderitaan, dapat memberikan pengaruh kepada pengikut-pengikutNya bahawa Dia adalah penakluk kematian dan kubur; bahawa Dia adalah Putera Kehidupan.
Dan yang terakhir, jika teori ini benar, Kristus sendiri terlibat dalam penipuan yang disengajakan. Murid-muidNya percaya dan memberitakan bahawa Dia telah mati dan bangkit kembali. Yesus tidak melakukan apa-apa untuk menghalang kepecayaan ini, sebaliknya menggalakkannya.

Satu-satunya teori yang dapat menjelaskan kubur yang kosong ini adalah kebangkitan Yesus Kristus dari kematian.

Tuhan yang Dapat Dikenal
Jika Yesus bangkit dari kematian, membuktikan Dia Tuhan, Dia hidup hari ini. Dia sanggup untuk lebih dari sekadar disembah, Dia sanggup dikenali dan masuk ke dalam kehidupan kita. Yesus berkata, "Lihat, Aku berdiri di muka pintu dan mengetok; jikalau ada orang yang mendengar suara-Ku dan membukakan pintu, Aku akan masuk mendapatkannya..." (Wahyu 3:20).

Mendiang Carl Gustav Jung mengatakan, "Neurosis utama dalam kehidupan kita adalah kekosongan." Semua kita mempunyai kerinduan yang sangat dalam untuk kehidupan kita mempunyai tujuan dan makna. Yesus menawarkan kepada kita kehidupan yang lebih bermakna dan berkelimpahan, yang diperolehi melalui perhubungan denganNya. Yesus berkata, "Aku datang, supaya mereka mempunyai hidup, dan mempunyainya dalam segala kelimpahan." (Yohanes 10:10)

Oleh kerana Yesus telah mati di kayu salib, serta membawa bersamaNya seluruh dosa manusia, Dia kini memberikan kepada kita pengampunan, penerimaan dan perhubungan yang sejati dengan diriNya.

Anda boleh menjemput Yesus Kristus ke dalam hidup anda sekarang. Anda boleh berdoa kepadaNya, contohnya, "Yesus, terima kasih kerana telah mati di kayu salib kerana dosa-dosa saya. Saya memohon pengampunan dariMu dan masuklah ke dalam kehidupan saya saat ini. Terima kasih kerana memberikan saya suatu perhubungan dengan Engkau."

Ulasan